Tajuk: Puranakila
Oleh: Saadiah Ibrahim
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2015
Sinopsis:
Erna, generasi baharu yang meninggalkan Puranakila, suatu pekan-taman-ladang, atau komuniti pertanian, akan kembali ke perkampungannya. Dia mempunyai wawasan untuk membangunkan semula "kegemilangan" Puranakila, seperti yang diimpikan oleh ibu bapanya, sekali gus, menyelamatkan bumi yang terus berpadu dengan malapetaka alam dan suhu bahang yang berpanjangan.
Rasa:
Puranakila bukanlah Purana Qila (kota lama) dari Delhi, tetapi suatu simbol "komuniti" ala Quakes yang terletak di Semenanjung Malaysia, yang berkemungkinan menyerupai tanah perancangan Felda dengan niat yang "kononnya" lebih sai-fai; teknologi hijau. Nama itu dipilih, dengan agenda yang jelas oleh Saadiah sebagai suatu "rekayasa" atau "menukar kulit" daripada alam atau negara lama (kota lama) kepada negara baharu, dengan aspirasi dan wawasan baharu.
Ketinggian murni dan harapan penulis novel ini memang dipuji apabila membawa suatu genre fiksyen sains yang sudah jarang-jarang disentuh orang, tapi kadangkala marak dalam keadaan mencari "kota baharu intelektual" dalam kalangan penulis-pemikir, yakni utopia (rujuk Thomas More, juga dikatakan sebagai antara bahan fiksyen sains proto atau terawal sebelum Frankenstein). Sebenarnya, tema ini bukannya baharu dan unik fiksyen sains dalam sejarah persuratan kita. Sasterawan Negara Abdullah Hussain sendiri sudah melakukannya dalam Masuk ke dalam Cahaya tiga desawarsa lepas, dan baru-baru ini, Pelita di dalam Kaca (Kamaludin Endol) sudah pun melahirkan Baldatun Thoiyyibatun. Kota-kota baharu ini, dimimpikan, diimpikan, kemudian direalisasikan (melalui pengalaman watak yang hidup dalam kota-kota ini), menjadi suatu kota harapan dan taruhan agar hidup manusia kini menjadi lebih baik dan sempurna lagi atas lunas dan dasar baharu yang diperkenalkan, tersemat dalam pembangunan, falsafah dan sosiobudaya kehidupan kota baharu itu.
Saadiah pula banyak tersilap langkah dalam membina kota baharu sempurnanya. Niatnya menarik, yakni suatu kota baharu yang tinggi biodiversiti, hijau, mengeluarkan rezeki kepada penduduknya, kehidupan berkominiti ala gotong-royong, lantas keadaannya menyeluruh dalam memberikan kebaikan terhadap manusia yang tinggal di situ (malah Saadiah dengan menunjukkan jalan bagaimana tempat itu turut membantu masyarakat di luar komuniti), secara holistik, baik dari segi sosial, keagamaan, dan ekonomi. Namun, dalam pembinaan ini, Saadiah terlupa akan sahsiah/pendidikan (atau kekurangannya) yang membentuk generasi seterusnya (meletakkan ceramah mingguan tidak cukup dan sangat janggal) dan politik (hal ini tidak disentuh langsung). Malah jika ditilik, keadaannya terlalu cenderung Islami, terus-terusan menolak suara golongan bukan Islam untuk sama-sama mendapat ruang kondusif dalam kota baharu ini. Hal ini tidak menjadi masalah, jika penulisnya sudah dengan tuntas menyatakan untuk apa komuniti itu dibina, malah meletakkan kesempurnaan menyeluruh dalam pegangan agama itu yang menyeluruh dalam membina keadaan komuniti itu. Itulah yang dibuat dalam Kampung Cahaya Abdullah Hussain, yang dengan tidak teragak, jelas latar, pegangan dan mileu akan suatu perkampungan Islami yang sangat "holisitik", begitu juga dengan negara wawasan Pelita di dalam Kaca yang sudah cukup berhujah akan setiap hal yang membina akal dan hidup manusia yang "hidup" dalam negara baharunya.
Dalam hal ini pula, Saadiah membina terasnya atas dua hal "sai-fai", teknologi hijau dan teknologi kitar semula, khususnya polimer (plastik). Perkara ini sangat rapuh dan dapat membuat orang terbahak! Bayangkan, "Saya mahu membina kota terbaik dunia dengan plastik di tengah-tengah kehijauan alam." Tidak berlaku satu pertalian utuh untuk menyatukan suatu teknologi pembuatan yang amat dibenci oleh pencinta alam sekitar (environmentalist) dengan dunia biodiversiti yang tidak terusik dalam karya ini. Semuanya diperkenalkan secara permukaan, tanpa jujur mahu mendalami dunia utopia yang dibinanya. Apakah bagusnya dan berbezanya fenomena alam Puranakila (yang dapat dibaik pulih dengan cepat) jika dibezakan dengan tanah tercemar lain? Bagaimanakah alam hijau dapat tinggal bersama-sama dengan manusia pada ruang yang sama terdapat kilang pembuatan dan pasar dan taman rumah? Bagaimanakah penggunaan sumber kuasa digunakan secara optimum tanpa mencemarkan kehijauan alamnya? Bagaimanakah manusia dapat memanfaatkan alam hijau itu, tanpa melebih dan lebih mengawal tapi pada masa sama meraih keuntungan ekonomi daripadanya untuk penerusan hidup?
Secara realitinya, tema sains ini bukan sahaja sedang digerakkan oleh masyarakat dunia dalam kelompok atau komuniti tertentu (semuanya berdasarkan, baik sifat primtifisme, yang sebenarnya sudah dilakukan dalam Equilibira, ataupun sifat agraria ala kumpulan sederhana Quake atau Mormon di Amerika Syarikat), dengan sikap "mengurangkan penggunaan kuasa" (hal ini tidak disentuh banyak oleh Saadiah, kita tidak tahu bahan api sebenar apa yang digunakan, jika elektrik, bukankah janakuasa elektrik juga mencemarkan dari satu aspek?) dan sikap kitar semula atau penggunaan semula atau minimalis. Secara renungan juga, segala yang "diceritakan" oleh Saadiah itu sebenarnya hanya salinan-salinan atau percubaan mengikut-ikut beberapa perancangan dan komuniti yang sudah pun ada di serata Malaysia, tetapi diperlihatkan ia berlaku secara sistemaik (sebenarnya tidak).
Lebih buruk lagi, sebelum kita dipertemukan dengan "angan-angan" Erna, kita diberikan suatu cerita yang sangat panjang tentang Erna yang sakit dan bekerja di sebuah kilang teknologi membuat, saya pun sudah lupa apa sebab sangat membosankan, dan kemudian, entah bagaimana dengan hal korporat dan isu konspirasi apa, Erna dihentikan. Plot ini sungguh ruwet untuk diperbesar dan dipanjangkan, malah entah, tidak mempunyai signifikan apa-apa terhadap utopia Puranakila yang dibina oleh Erna. Hal ini suatu lagi yang kurang, Saadiah menolak dramatik dan aksi (hal ini okey jika benarlah Saadiah mahu membina sebuah novel pemikiran yang penuh) tidak memberikan apa-apa reaksi negatif atau cabaran dari luar terhadap Puranakila, sedangkan Abdullah Hussain dan Pelita melakukannya dengan baik.
Kita baru mula dapat mengecap suara utopia novel ini pada Bab 12(!) dengan strategi dan tindakan Erna yang sangat rapuh dan "menjadi secara tiba-tiba", ia melanggar logik dan keupayapercayaan terhadap pembinaan ini. Secara tiba-tiba ini nampaknya kepandaian dan kemudahan "kuasa Tuhan" Saadiah, kerana, dalam satu bab akhir, rakan serumah Cinanya, secara tiba-tiba bertukar menjadi mahu masuk Islam!
Saya terasa berduka membaca novel ini. Wataknya pipih. Bahasanya bosan. Kisahnya hanyir. Terdapat satu babak, yang melompat-lompat akan impian-realisasi Erna di sebuah kedai makan, yang tiba-tiba sahaja dengan polos, penulis menulis:
"Seorang daripada pelanggan kita menelefon. Dia mengatakan yang ibunya keracunan selepas makan nasi berlauk pucuk paku tumis dan keli masak sambal. Pesakit sedang kritikal. Berada dalam wad kecemasan!"
Really? Who cares.
No comments:
Post a Comment