Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, May 24, 2016

Kebebasan dan Pilihan Menjadi Lebih Matang


Apakah dia sikap perubahan dalam kemanusiaan itu bertitik tanda daripada suatu gerak pilihan (fenomena) yang tiada batasan, seperti sepenuhnya menerima sikap yang berubah-ubah mengikut semangat dan pilihan rakyatnya, atau seperti ada suatu kecenderungan yang kemudian dipilih menjadi suatu perkara yang biasa (norma) dan seterusnya ditanam dalam budaya dan sikap sehari-harian?

Jika kita mengikut tradisi sebenar Islam, hal sebegini menjadi sedikit tersasar atas konsep agamanya yang meletakkan kebenaran sebagai kiblat (Al-Quran, Sunnah, ijma', qiyas, ijtihad, urf), yang kemudian, mengikut peredaran dan bagaimana perubahan "ilmu/sains dunia" itu membuka pencerahannya, hal ini tetap akan bersandarkan kepada kebenaran kiblat itu sebelum diterima sepenuhnya dan diperkembangkan (persoalan, seperti panjangnya wacana dan perdebatan dalam penggunaan falsafah dalam pembicaraan tauhid dalam Islam menunjukkan betapa ahli sarjana Islam dahulu mengambil hal ini dalam pendirian yang teliti dan berjaga-jaga, tanpa semberono, dalam kefahaman yang sudah dipegangnya dengan utuh). Memang, dalam intepretasi persoalan itu, kerana manusia pun terbina dengan sikap dan pemikiran yang berlainan, berlakulah pengintepretasian yang berlainan, dengan sikap politik pada awalnya berubah kepada pegangan pemikiran, kemudian aqidah (seperti Syiah), juga perbezaan pegangan seterusnya kerana perincian terhadap beberapa rasionalisasi (seperti Muktazilah, Khawarij, dan pelbagai). Atas sebab itu, dalam kefahaman majoriti Islam, yakni Ahl Sunnah wa Jamaah, persoalan asas yang sudah terbina (dalam hal aqidah, khususnya), selalunya sudah tiada jalan untuk ditukar dan diubah, walaupun mungkin berlakunya kreativiti dalam penyampaian dan usaha kefahaman.

Baik, saya mengambil sikap sekular di sini dengan meletak ke tepi pandangan tradisi Islam, dan memilih meneliti alamiah kemanusiaan yang sepenuhnya, seperti sikap orang Barat yang menyampingkan agama (sekularisme). Dengan sikap yang dikatakan "moden" ini pun, berlaku percambahan dan pertelingkahan terhadap nilai, yang rata-ratanya, manusia, tetap, akan memilih untuk jalan "yang baik" dalam kebebasan memilih nilai. Nama-nama besar para falsafah Barat pun, Descartes, Rousseau, Marx, Kant, Nietzsche, Heidegger, dan seterusnya, lihat, betapa, pengucapannya, betapa ia keluar daripada landasan agama, tetap tersampai dalam sikap dan sifat yang beradab, walaupun bercerita tentang kematian Tuhan (yakni sebenarnya, kebenaran mutlak, atau kuasa autoriti). Pembebasan dan percambahan idea berlaku, hari ke hari, berselingkuhlah dua idea, bercambah kepada hal yang baharu, yang kononnya lebih hebat dan utuh dan relevan terhadap pandangan semasa.

Begitulah.

Tidak dinafikan, dalam kuasa pemikiran tinggi itu, terhasil juga beberapa pandangan "minoriti" yang turut cuba subur tumbuh dengan sikap yang lebih jelek terhadap konsensus masyarakat, atas dasar memilih kebebasan sepenuhnya. Mungkin satu pemikiran sahaja disebut di sini, pertamanya, penolakan moral dalam sikap "sexual libertine" Marquis de Sade (Sade bukanlah yang pertama dalam sejarah, namun antara yang utama dan dirujuk dalam memperkatakannya dari segi falsafah. Dalam pandangan Islam, hal ini terus tertolak dalam erti kata akhlak), yang menyanggah dengan sinis terhadap sistem Rousseau dan Hobbes menerima pakai "ketatasusilaan" antara alam dengan akal dan nilai murni untuk suatu masyarakat yang baik. Memang, dalam pandangan masyarakat Barat sekarang, pendirian de Sade ini lebih diguna pakai (dalam beberapa perkara, kerana ada yang terlalu kontreversi, walaupun de Sade memaparkan "kebenaran" dalam manusia yang boleh menjadi sejahat-jahatnya manusia atau lebih teruk daripada binatang, seperti yang tertera dalam The 120 Days of Sodom) dalam pemancaran atau keperluan anarki (sikap yang jauh daripada Islam), pembukaan kebebasan seksualiti (pemilihan hak homoseksual), dan sikap hedonisme melampau-lampau. Walaupun idea de Sade ini tampak mempunyai pengaruhnya jua, adakah, pandangannya ini, dominan, penting, jika dibandingkan dengan sikap kesamarataan manusiawi melalui perkongsian harta kepada pusat oleh Marx, atau sikap eksistensialis terhadap dunia dengan pemilihan yang bebas untuk berdiri atas kaki sendiri membuat pilihan perjalanan hidup?

Namun, dalam hal ini pun, kita harus menyoal, bagaimana pula dengan pemikiran kita? Apakah konsep dan idea yang kita pegang teguh dan kita sampaikan, dan diamalkan?

Hal ini dihidangkan kerana baru-baru ini, isu hanyir indie lwn. sastera perdana berlaku.

Secara serius, dalam peperangan bodoh ini, sudah ternampak keanak-anakan sikap beberapa aktivis indie yang cuba menggunakan salakan emosional dalam media sosial terhadap kritikan golongan sasterawan perdana. What gives? Ia tampak geli hati dan memalukan. Seperti anjing yang hanya tahu menyalak-nyalak.

Saya tidak menolak persada indie sepenuhnya, kerana, saya juga, bermula dalam tapak indie. Indie sebenarnya suatu tapak mandiri, taman permainan yang golongan seperti saya yang tidak mahu bermesra dengan perdana, memenuhi tapak sendiri. Hal ini tidak bermakna saya menolak perdana pula (sudah tentu ini sebelum saya dipaksa menjadi sesuatu), dan tetap mempunyai reaksi dan kritikan tersendiri terhadap ruang perdana. Seperti Islam, saya tidak menyalahkannya, hanya segelintir golongan di dalamnya (seperti ISIS). Jadi, kini, terdapat segelintir ini, yang menggunakan politik tembak emosi dan tembak peribadi dalam laman sosial terhadap pandangan ilmiah para perdana. Sikap ini amat keanak-anakan. Lihat bagaimana sikap para falsafah terdahulu, de Sade sahaja (jika hendak dibandingkan de Sade dengan Mutalib Uthman, contohnya), yang menempelak golongan "perdana" Rousseau dan kawan-kawan dengan karya cereka dan esei. Adakah dengan pembabitan media sosial, kita sudah bersikap keanak-anakan (tulisan saya ini pun akan ditempelak dengan istilah seperti "fukoff" dan "kotey" yang tidak membawa apa-apa kebaikan dalam percambahan wacana) lalu terasa puas dan menang dengan golongan era like dan retweet?

Serius, kita mempunyai masalah wahai saudaraku, indie. Sebenarnya, SM Zakir pun, bersemangat menunggu "adikarya" daripada kumpulan penulis indie (rujuk penulisannya yang menyambut kehadiran ini dalam Dewan Sastera Oktober 2015, yang sudah tentu bagi beliau, waktu itu, masih berharap ada sesuatu yang menarik, dan bukan menjadi produk kitaran klise seperti yang sudah tersedia berlaku sekarang). Saya faham, kita bermula picisan, kita bermula sampah, kita bermula punk (namun sikap ini tidak lagi, kerana indie sekarang terlalu kapitalis malah terlalu ingin menjadi populis, meninggalkan sikap punk yang saya kenal wujud dalam era Dhani Ahmad Papakerma dan kawan-kawan Food Not Bombs, dan kawan-kawan DIY Pantai Timur). Bagi saya, sudah ada nama-nama seperti Karl Agan, Ridhwan Saidi, Luqman Hakim, dan Saifullizan Tahir, yang tampak memilih menulis hal yang kontemporari, sekurang-kurangnya berinti pati (Wan Nor Azriq, Saat Omar dan Roslan Jomel, contohnya, penulis perdana yang menggunakan kedua-dua ruang yang sekali gus meneliti dunia indie, sepertimana Faisal Tehrani dan Saharil, namun saya terasa, ada juga penulis perdana yang "mempergunakan" platform indie untuk populariti, namun itu isu yang lain). Namun, saya memang, masih menunggu untuk golongan ini, menyampaikan sesuatu yang lebih besar, sekurang-kurangnya, menandingi atau melampaui Zainal Rashid Ahmad, contohnya. Jika, seperti yang diuar-uarkan oleh Azriq berkenaan "merobohkan bangunan usang" sastera perdana (DBP), ya, robohkan, tapi, dengan senjata apa? Tangan apa? Pemikiran apa? Makian dan salakan emosi dan menyeka peribadi orang yang sebaris saja di Twitter? Ironinya, inilah sikap antiintelektual yang dinyatakan oleh Zakir, terbayang sudah dalam bentuk dan amalinya (yang saya juga mengaku melakukannya).

Saya menganggap, sikap SM Zakir, yang juga pernah melalui dunia "indie"nya sewaktu muda, kini menyoal betapa sikap penulis muda sekarang yang jauh benar ingin MEMBACA dan menelaah karya penting, seperti yang diuar-uarkan oleh saudara Zamir Thukul Cetak (saya percaya, jika kita banyak membaca, sekurang-kurangnya akhlak kita lebih terjaga, walau kita mungkin memilih untuk lebih bersikap anarkis seperti Hishamuddin Rais). Sifatnya jelas dalam karya. Saya hanya perlu meneliti, awal pembabitan Mat Jan sebagai penulis lawak indie terulung, dengan humornya yang bersahaja namun tajam, berlapis dan bijak, dengan humor yang disampaikan oleh Amran Fans sekarang (walau saya percaya Amran Fans juga akan mencapai tahap matang). Jadi, pandangan SM Zakir hanya menyatakan, "Carilah kematangan wahai penulis muda." Baik, jika kita mempunyai pendirian bahawa karya indie sedia ada sudah boleh membanting dunia perdana, ya, buktikan (jangan buktikan dengan hasil penjualan, itu sikap populis yang sangat melacur, macam strategi penerbitan popular). Contohnya, dengan sikap novel Cekik yang antibudi, menolak sikap murni dan pemurniaan novel perdana, atau Rebel yang memberikan identifikasi baharu terhadap maksud "pascakolonial" kontemporari dan pengalaman keterasingan yang baharu, dengan pemilihan watak Yahudinya dalam latar lokal (sikap pemilihan gaya bahasa itu persoalan kedua pula). Sikap berani inilah, jika ingin membantai sikap terjerumus dalam antiintelektual yang dikatakan oleh Zakir (yang sebenarnya Zakir membantai KESEMUA penulis muda, jadi mengapa golongan indie perlu terkial-kial merasa pedih?) wujud dalam golongan indie.

Jalan yang kita ada panjang. Ya, kita ada pilihan untuk mematangkan lagi diri (dengan ilmu: baca), mencari asah dan senjata untuk merobohkan menara usang. Atau, kita mempunyai senjata yang diasah tajam untuk menempelak SM Zakir dengan pandangannya, dengan hujah juga (kerana kita sudah terasa matang bukan?).

Jadi pilihlah diri menjadi penulis berpedang, dan bukan anjing jalanan yang menyalak gunung.

7 comments:

Korakora said...

tepat sekali tulisan ni.

Anonymous said...

Kali ini saya tidak gembira membaca tulisan Tuan kerana Tuan sangat bias dalam memberi pandangan.

Siti Mardhiah said...

Senang jak tu, buat audit prestasi, cadangkan gomen tutup DBP, bagi grant dekat budak-budak Indie. Gurau aje. Mana ada ble buat macam tu. 1MDB pun KAN tak de buat macam itulah. Bukan macam kau marah sikit terus bunuh.

Anonymous said...

Tahniah tuan. Ini kali tuan bercakap dengan jiwa. Masalah dengan ramai bebudak indie ni, dah hilang pedoman dan hilang arah, tak macam dulu-dulu, yang paling jelas, berkejar nak buat duit, terbit buku separa popular yang dah dekat macam novel murahan entah apa-apa Karangkraf dan Kaki Novel tu tapi dengan judul lain dan langsung tak mengaku buat salah.

AMR said...

Saya dah lama membaca saudara, sejak saudara sendiri berkecimpung dalam penulisan dunia indie, sebelum Ridhwan Saidi lahir pun, malah sebelum saudara menulis dalam Orang Macam Kita pun, saudara ingat? Mula-mula saya tidak suka dan marah dengan tulisan terbaru saudara ni, macam saudara dah melupakan jati diri saudara sendiri. Tapi, apabila membacanya sekali lagi, baru saya faham apa yang saudara nak sampaikan, dengan pengalaman saudara waktu mula-mula dulu, menulis dengan produksi Sufian Abas dan Ruhayat X, saya faham keinginan saudara, yakni perubahan, yakni suatu percambahan paradigma yang sepatutnya meninggalkan statik yang wujud dalam dunia indie sekarang. Saya setuju dan merasakan saudara jujur dalam hal ini, kerana pasaran indie yang dah tak indie sekarang dah sangat poyo, penulis-penulisnya dah tak tajam dan serius macam dulu, sebab semua orang dah boleh menulis dan semuanya diraikan tanpa ada sesiapa nak kritik. Sikap hipokrisi ini, saya pun nampak ada dalam penulis ini. Kena kritik sikit nak marah, kritik sikit nak marah. Saya rasa, perkara itu tidak sihat dan mereka perlu, macam saudara kata, muhasabah diri.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada saudara kerana berada di tampuk paling prestij sekarang, walaupun saya tahu, saudara tidak pun mengidamkannya.

Anonymous said...

Ya lah, kau jelah yang betul.

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)