Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Senarai Tema Sai-Fai

Tema atau kata kunci Sai-Fai adalah seperti yang berikut:


Angkasa Lepas (Space) | Menggunakan sepenuhnya ruang angkasa lepas sebagai medan plot.

Bintang (Stars) | Unsur berkenaan buruj, falak dan hidup mati bebola gas yang memberi daya tarikan kepada manusia.

Dimensi Gantian (Alternate Dimension) | Suatu unsur yang kerap dan popular digunakan oleh pengarang tempatan, malah plot "Alice masuk ke dalam lubang arnab" ini sudah klise dalam dunia fiksyen sains awal 1980-an. Unsur ini amat dekat dengan fenomena "disorok hantu" atau "disorok orang bunian" dalam kepercayaan tahyul orang Melayu dan Bumiputera, maka ia popular. Dimensi selalunya akan mengakibatkan suatu perubahan emosi yang mendadak terhadap watak manusia yang melaluinya, selalunya berbentuk didaktik dan menyampaikan agenda penulis untuk suatu renungan nilai.


Distopia (Dystopia| Keadaan negara atau suatu tempat kediaman yang berpura-puraan sempurna dan "bahagia". Lawanan kepada utopia.

Evolusi (Evolution) | Suatu kefahaman bahawa organisma hidup yang berdikari dalam persekitaran cuba merubah fungsi biofizikal mahupun sosialnya ke arah untuk membaiki keselamatan hidupnya dalam persekitaran penuh pancaroba. Evolusi juga menampilkan keganjilan alam semula jadi (freak of nature) bilamana tumbuhan atau haiwan yang berevolusi kepada suatu makhluk yang melampaui kebiasaan dan menimbulkan bahaya kepada perhubungan manusia.

Falsafah (Philosophy) | Suatu naratif yang meneliti tentang pemikiran dan kefahaman untuk suatu tingkatan hidup yang lebih bermakna, atau renungan suatu fenomena ataupun alamiah yang menyampaikan maksud dan ciptaan nilai tertentu untuk kegunaan manusia.


FS Islami (Islamic SF) | Suatu tema fiksyen sains unik dan hanya wujud di Nusantara setakat ini (terdapat beberapa penulisan di Indonesia dan Singapura yang menyerupai tema ini). Pengetahuan hakikat dan "kebenaran" Islam dijalinmantapkan dengan peredaran teknologi, menolak pandangan bahawa Islam jumud dan tidak dapat berkembang dnegan peredaran semasa. Selalunya dalam sikap memuliakan teknologi canggih dalam falsafah, kebudayaan, dan kehidupan Islamik. Tema muda dan segar ini sudah mula menempa nama sedari kemunculan novel Faisal Tehrani, kemudian beberapa pengarang lain yang mula mengembangkannya.


Genetik (Genetic) | Berkenaan perubahan dan pengubahsuaian gen atau unsur yang membentuk percirian manusia. Kapal Angkasa | Suatu kenderaan khusus yang menjadi pembawa manusia dari satu ruang angkasa lepas ke ruang angkasa lepas yang lain. Selalunya, pengarang menggambarkan dengan teliti sekali teknologi canggih dalam kapal angkasa tersebut.

Kapal Angkasa (Space Ship) | Teknologi pengembaraan ke angkasa lepas dipentingkan, dengan penelitian teknologi tercanggih dan terkini tentang pengembaraan dalam ruang luar bumi.

Kembara (Adventure) | Pergerakan seorang individu atau kumpulan manusia ke suatu tempat baharu dengan tujuan tertentu. Unsur yang banyak mengambil proses kembara yang dijalankan oleh perwira dalam cerita hikayat lama dan kisah penglipurlara.

Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence| Suatu daya kefahaman bahawa komputer atau mesin suatu hari nanti dapat berfikir, menganalisa dan memutuskan keputusan sendiri dalam kerja dan dapatan maklumat.

Makhluk Asing (Aliens) | Unsur ini berkenaan sesuatu yang asing, keterasing, dan luar daripada tanggapan kemanusiaan. Perciriannya selalunya datang dari luar dan bukan asal bumi (otherworldly) lalu melakukan perhubungan dan kemungkinan pergeseran dengan manusia. Konflik dalam karya tempatan berlaku selalunya berkaitan dengan keinginan makhluk asing untuk mendapatkan bantuan manusiawi ataupun menjajah atau menghancur manusiawi tersebut. Pencampuran manusia dengan makhluk asing selalu membawa maksud suatu perkongsian istimewa.


Mesin Masa (Time Machine) | Suatu peralatan canggih (atau kemungkinan fenomena) yang menggunakan teori keupayaan untuk mengubah masa. Juga berkaitan dengan pengembaraan masa (time travel) dan ruang masa (time space).

Opera Angkasa (Space Opera) | Pengembaraan dan kembara yang berlaku di ruang angkasa lepas dan kalangan planet, dengan intrig dan penghidupan menarik, mengikut perwatakan watak manusianya dalam kapal angkasa.

Perubatan (Medical) | Unsur perawatan yang menggunakan kaedah canggih dan ideal (atau ideal) baharu. Bermula dengan karya Mary Shelly yang menggunakan maksud bidang perubatan untuk "mengembalikan hidup kepada kematian", suatu ideal yang melampau (idea ini diperbaharui oleh Rahmat Haroun untuk Di.Ar.Ti). Perawatan canggih yang semasa, seperti perubatan virus dalam kawalan pandemik juga di bawah tema ini.

Pasca-Apokalips (Post Apocolypse) | Suatu keadaan selepas "kiamat" atau malapetaka yang menyebabkan kematian majoriti manusia. Selalunya bentuk bumi berubah kepada "padang jarak padang tekukur".

Punk Siber (Cyber Punk) | Suatu tema (dan kini subgenre) besar dalam fiksyen sains Barat gerakan William Gibson yang mengumpamakan manusia dapat melalui masuk ke alam realiti maya dan melakukan pelbagai tindakan "senggama" di dalam ruang tersebut untuk menghasilkan suatu maksud tertentu. Lanjutan daripada bayangan manusia-mesin.

Realiti Maya (Virtual Reality) | Suatu kefahaman bahawa manusia dapat berkomunikasi atau hidup dalam suatu medan penciptaan dunia maya dalam ketangkasan siber, suatu penghidupan dengan pengalaman dan kemungkinan emosi baharu terhadap kelaziman kemanusiaan.

Robot (Robots) | Suatu peralatan mekanikal mesin canggih yang diberikan kuasa sendiri (automatif) untuk bergerak sendiri dalam memberi sisi lain kepada kewujudan kemanusiaan. Robot mungkin dicipta oleh manusia, mungkin juga oleh makhluk asing. Sifatnya boleh membantu, meneraju dan juga antagonis. Alatan gantian yang membantu manusia (seperti manusia bionik) juga bawah tema ini, juga perkembangannya. Manusia yang "bercampur" dengan mesin juga evolusi tema ini, seperti bayangan siborg dan manusoid.

Sejarah Gantian (Alternate History) | Keadaan semasa yang diubah "sejarah" oleh pengarang mengikut turutan sejarah baharu atau penulisan semula bagi menyampaikan keadaan yang mengikut ketentuan dan strategi pengarang. Fiksyen sains Barat suka mengambil sikap "Apa jadi jika Hitler menang Perang Dunia Kedua". Sikap ini berlaku juga dalam reaksi pengarang tempatan terhadap kolonialisme dan mengungkapkan occidentalisme.

Teknologi Gantian (Alternate Technology) | Suatu penemuan atau percubaan menggunakan teori atau aplikasi teknologi baharu untuk kegunaan dan kesenangan manusiawi. Tidak terlalu ditekankan kerana tema ini sudah bermula awal (roda dan penulisan merupakan teknologi terawal manusia beradab, dibandingkan dengan teknologi pertanian dan api yang dimulakan pada zaman prasejarah manusia) dan melata secara biasa (dan mesti) dalam karya fiksyen sains, namun terdapat percubaan tertentu yang khusus yang kelihatan cuba "merevolusi" tanggapan biasa dan semasa boleh dikaitkan. Robot merupakan pecahan daripada tema ini.

Utopia (Utopia) | Keadaan negara atau suatu tempat kediaman yang sempurna dan memberi "kebahagiaan". Suatu "cita-cita" kemanusiaan yang ekstrem. Lawanan kepada distopia.

No comments: