Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, June 25, 2012

Perempuan Nan Bercinta

Tajuk: Perempuan Nan Bercinta
Oleh: Faisal Tehrani
Terbitan: ITBM
Tahun: 2012


Sinopsis:
Novel "sekuel" kisah perjuangan Dr. Ali Taqi, yang mana beberapa prinsip watak diperkenalkan mengeliliinginya, khusus Tengku Idora wanita liberal feminis yang mendepani Dr. Ali, serta Fatimah, anak Dr. Ali sendiri apabila persoalan perjuangan ayahnya dibawa ke hadapan, menyentak hidupnya untuk satu penerusan hidup dan saksama keadilan yang tidak terbayangkan. 

Rasa:

Lumrah dalam alam Tehrani sekarang, kita perlu bersedia dengan wadah demi wadah yang semacam merupakan pergerakan terkini Faisal, penulis tersohor kita yang berevolusi sebaik Madonna. Buku yang tebal ini sarat wadah, dan wadah yang setentunya penting abad ini (tika ini, malah). Mengapa penting? Sastera tercipta sebagai ruang yang tidak mati, hanya disuapkan dengan kisah-kisah indah pasif lalu memohon kita melalui kehidupan semacam mimpi. Begitulah novel cinta popular serasanya. Sastera "hidup" kerana diperdebatkan, dipersoalkan, diceritakan, dicerna, dihadam. Novel ini punya kekuatan itu, baik dari segi meneliti sejarah pecahan-pecahan ikutan, perpecahan usul fiqh, falsafah Islam, tasawuf, sehinggalah meniti jati diri pemaknaan ahlul bait dan pengaruh ummah sepenuhnya terhadap dunia, di sini dengan lebih penting, terhadap penglibatan feminis-liberal yang secara menariknya adalah isu hangat yang melanda Malaysia sekarang, serta kemurtadan dan ancaman agama lain terhadap Islam.

Di tengah-tengah semua ini tentulah watak utama Dr. Ali Taqi yang kita kenali dalam Tuhan Manusia, seorang insan yang terbuka tetapi kritis terhadap pemahaman ilmu dan sejarah Islam, cendekiawan yang dilukiskan sebagai berdiri benar-benar di hadapan pancaroba kemodenan dan kegegaran umat Islam dunia dengan pemahamannya yang "provokatif" walaupun bukanlah baharu, sepertinya suatu "reformis baharu" umat sekarang, yang saya kira menarik untuk dibicarakan (dan dibangkang dalam keadaan yang tertib sudah tentu). Inilah yang sepatutnya wujud dalam novel dan sastera kita.

Walaupun ya, saya mengalami beberapa masalah yang enteng mungkin buat orang lain, tetapi masalah buat saya apa-apa pun. Ada bahagian novel ini yang menggunakan deus ex machina yang jelas-jelas membuat saya terlopong malah biasa wujud dalam novel-novel popular (wops!), ini berkenaan dengan sakit-pulih wirawati kita, Tengku Idora, apa-apa pun "masuk Jawi"nya kepada Islam sejati semula berjustifikasi dan menarik, khusus terhadap keinginannya yang tidak terungkap terhadap Bastian. This is typical women's novel but handled efficiently by the writer. Paling menggaru kepala adalah kisah panjang perjuangan Hezbollah dalam justifikasi latar Syiah untuk membuat Fatimah, anak Dr. Ali Taqi jatuh cinta terhadap seorang pemuda wira sejati. Serius pada babak-babak ini, saya lebih mencadangkan novel ini diubah daripada Perempuan Nan Bercinta kepada Perempuan Nan Berjela-jela. Lebih memelikkan, falsafah bersalut imbas kembali ini dicoklatkan dengan berahi subur dan diam Fatimah terhadap pemuda itu, seks yang halal sudah tentu.

Saya tidak ada masalah dengan novel ini. Serius. Saya suka akhirnya, walaupun pelbagai persoalan tiada terjawab, malah kita faham benar bab demi bab yang kita lalui merupakan strategi Faisal mencaknakan suatu wadah kuat berkenaan "mencari titik tengah" dalam Islam, yang bagi saya rasional, terkini dan murni. Malah hal ini sudah dijelmakan dengan baik oleh Faisal dengan cerpen terbaharunya di Utusan berjudul Homosektual,  yang begitu memeranjatkan boleh terlepas daripada pandangan editor (tahniah Ku Seman!) Di sinilah Faisal menampilkan "inti" keIslaman yang sepatutnya, lebih-lebih lagi dalam hidup, yakni kecintaan dan perikemanusiaan melangkaui kekerasan dan paksa ikut perintah yang mula tampak cerna dalam pentadbiran dan kemungkinan cara pengendalian orang-orang agama. Persoalan ini menarik: Kenapa bertegang urat bila kita sesama sesaudara? Dan pendirian ini terikat kukuh dengan wadah Faisal memperkenalkan sejarah "berdarah" Islam berkenaan persengketaan "yang tidak sepatutnya" antara golongan yang pelbagai sehingga terpecah-pecah dan terpaksa menunjukkan "kuasa" untuk wujud "lama" dalam paradigma umatnya. Dua isu yang setentunya menjadi hal kontroversi (yang bolehlah saya tebarkan permaidani buat Kak Cintazeni memasuki gelanggang) adalah berkenaan sejarah "dosa-dosa" Wahabi yang diperkenalkan (sekali lagi) serta akidah pembawaan bapa Ahli Sunna wal Jamaah yang buat saya menarik untuk diperhitungkan. Dalam segala ini, Syiah yang dibidas duduk di tengah-tengah sehinggakan "pertanyaan yang tidak dapat dijawab Ahli sunah Waljamaah telah dijawab oleh Syiah..." (hlm. 409) dan sebaliknya.

Apa yang kekurangan dalam novel penuh retorik ini adalah "jiwa". Ia amat kehausan jiwa, mencari-cari malah, diperlihatkan dalam perwatakan Tengku Idora. Tetapi hal ini tiada kesampaian. Inilah buat saya, walaupun cetek ilmu, sesebuah novel agama/persoalan agama memang memerlukan sentuhan ini, yang mana wujud dalam mana-mana penulisan sufi. Rujuk bagaimana angkuh kadang-kadang Dr. Ali terhadap manusia yang "menentang"nya sepertimana "Untuk menjawab soalan dangkal saudara..." (hlm. 383) ataupun "... saya tidak menulis untuk ditujukan kepada tuan-tuan. Saya mengarang untuk masa hadapan." (hlm. 385) yang dinyatakan Dr. Ali. Mana-mana manusia berjiwa sufi, tahu ketertibannya, tahu jiwa manusia lantas tahu bagaimana mendepani dan memperhalusi manusia. Ini yang kurang terpampang dalam novel penuh fakta, rujukan, kenyataan dan persoalan yang berlingkar-lingkar berkenaan kehidupan dan  pejuangan pencarian kebenaran. 

8 comments:

paweh said...

Siap dah baca ? Saya masih tersekat tatkala Tengku Idora pengsan atas pentas...

Anyway, sinopsis yg bagus :D

Lyla Ibrahim said...

suka dengan cara Faisal Tehrani mengupas elemen2 Islam dalam setiap bukunya...

muallij said...

Ini novel syiah. Pada 9 Julai 2012 Ustaz Aizam Masood akan sentuh racun Syiah bawaan Faisal Tehrani dalam buku Perempuan Nan Bercinta di Masjid Nurul Yaqin SS7 Kelana Jaya lepas Maghrib.InsyaAllah.

Che Minoh Parang Tumpul said...

Saya tidak tahu hendak mengatakan apa ..katalah gajah atau harimau saya tetap penggemar karya Faisal tehrani...(saya pernah jatuh cinta dengan Faisal Tehrani)..semasa di universitas saya selalu meninjau karya faisal Tehrani sampaikan kawan-kawan mengatakan saya diamuk gila bayang FT...persetan...saya sanggup habiskan masa saya dgn menelaah novelnya...dan banyak karyanya tersimpan hak milik saya(pss ada juga yg saya miliki secara haram...(tapi saya bukan pencuri buku.)..Namun akhir akhir kini saya didedahkan dgn cerita mengatakan FT ialah Syiah..lalu dalam masa yg sama saya mengkaji'syiah' (hanya sekadar pengetahuan)..Saya tidak pandai mengkritik namun saya sukakan karya FT cuma pabila membaca Tuhan manusia dan juga homosektual saya berasa tidak senang..Dan terkini Perempuan Nan Bercinta yg saya rasakan begitu indah sekali tajuknya..(tetapi apakata tukarlah tajuknya..marah nanti FT kepada saya)Apapun kisah 'syiah' dalam karyanya saya tidak pula pandang ringan tidak pula pandang berat kerna saya ini tiada kepandaian menafsir orang....hmmmmmmmm.....saya perlu banyak membaca barangkali....FT tetap di hati saya

asal said...

Che Minah Parang Tumpul, seperti Perempuan Nan Bercinta. Seperti Tengku Idora kepada Basti, Fatimah kepada Mustapha Chamran. Ini contoh realiti yang ada, bukanlah ex dues machina yang dibina FT.

Satu cadangan saya, peristiwa kesembuhan Tengku Idora bukan mustahil. Ia boleh berlaku dan banyak contoh yang boleh kita cari. Dengan syarat kita mahu cari.

Kita rugi banyak kerana tidak mahu percaya, kerana keajaiban datang hanya pada mereka yang percaya.

3 jalan menuju Tuhan yang dicadangkan Allamah Muhammad Iqbal, teologi, mysticism dan falsafah. Yang mistik itu ada, mungkin kita yang belum dianugerah Tuhan merasainya.

Rasa itu unsur seni. Hanya orang yang dapat menangkapnya akan rasa. Lain orang lain cara baca. Bagi saya PNB, telah menyebabkan saya banjir air mata (dibeberapa bab yang tertentu). Masakan kita tidak tersentuh bila membaca kisah Rasulullah dan keluarganya. Sedang keluarga kita sendiri kita akan sayang sepenuh jiwa, apatah lagi Nabi.

fadz said...

Kisah Nabi Muhammad tulisan Martin Lings serta arwah Hjjh Amina Adil shj setakat ini yg mampu buat saya menangis. Al-Amin Pak Samad pun tak mampu.

Saya tak apologetik bila menyatakan hal tu.

Khairul said...

Assalamualaikum. Saya dah lama mencari novel Perempuan Nan Bercinta ini. Tapi jika tak salah sekarang sudah tidak dicetak lagi. Jika tuan tidak keberatan, boleh saya dapatkan karya ini daripada tuan? Nanti saya bank-in kan duitnya.

fadz said...

Salam Khairul, bukankah lebih elok ditanya terus sang pengarangnya, tentu beliau ada.