Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, November 8, 2015

Perang Mikrob


Tajuk: Perang Mikrob
Oleh: Wan Salmah Wan Hassan
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2015


Sinopsis:
Pada tahun 2019, Dr. Lilia, pegawai bioteknologi kanan di Institut Pertanian Putra menghadiri Majlis Pelancaran “Makanan dari Syurga: Makanan Alternatif Masa Kini” di Dewan Seminar Quantum. Lilia sangat skeptikal terhadap makanan hasil genetik yang terubah suai begitu kerana dia tahu akan kesan buruknya. Di makmal, Dr. Lilia mendapati tikus-tikusnya sudah terkesan oleh pemakanan genetik ini.

Dr. Lilia dan Dr. Iskandar semakin serius melakukan pelbagai uji kaji selanjutnya bagi membuktikan kebenaran pendapatnya bahawa makanan terubah suai secara bioteknologi adalah berbahaya. Dalam perjalanan ke pejabat, Lilia terserempak dengan haiwan yang menjadi liar. Di makmal, tiga ekor tikus kajiannya mati. Di pejabat, Pak Din, pengawal keselamatan, dimasukkan ke wad, akibat makanan genetik. Dr. Iskandar dan Dr. Lilia berjumpa dengan majikannya, Dr. Basri, lalu menimbulkan hal ini.

Rasa:

Wan Salmah, kita dapat kesan, merupakan antara penulis yang terjerat "ingin menulis untuk fiksyen sains tetapi tidak tahu bagaimana". Punca saya berkata begini, terdapat suatu babak kecil, Dr. Lilia, dengan ironi sekali, sedang memberikan makan (eksperimen) terhadap "tikus kesayangan"nya makanan genetik FFH tersebut, tetapi boleh pula bersikap "kasihan" berlebih-lebihan terhadap tikusnya(?) Babak itu sendiri bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi sungguh tidak bijak dalam menyatakan realiti sikap profesional seorang saintis dalam pekerjaan mereka yang selalu memikirkan hal objektif dan tumpuan dan kawalan pemerhatian untuk hasil. Adakah Wan Salmah dengan senagaja ingin memaparkan, semua saintis sebenarnya tidak berjalan atas garisan profesionalisme dalam menguji kaji dan membuat pemerhatian. Mungkin ini benar, apabila Dr. Lilia ini terlalu bersandarkan kepada perasaan (dan nafsu)nya terhadap Dr. Iskandar yang dilihat sebagai "lelaki impian"nya, tidak ada yang lain tetapi Dr. Iskandar. Hal ini dibuat dengan begitu klitch sekali, kita hanya boleh tertawa bagaimana sekejap kemuncup sekejap berahinya Dr. Lilia terhadap Dr. Iskandar, yang saya agak, Wan Salmah sedang menghabiskan bacaan novel Fifty Shades of Grey simpanannya (lihat, Hafizul Osman pada musim sayembara sama juga mempunyai subplot berkenaan gerak watak untuk berkahwin atau mencari pasangan terbaik, tetapi dilakukan dengan lebih bergaya dan dramatik). 

Semua ini begitu memilukan kerana premis novel fiksyen sains sulung Wan Salmah ini sebenarnya sangat bagus, menyerupai sebuah karya HG Wells, Food of the Gods (atom atau duduk letak zarah makanan yang diubah agar dapat mengisi penambahan populasi manusia agar makanan tidak lagi akan kehabisan, dalam novel pendek Wells ini, makanan itu menjadi besar/gergasi dan menyebabkan sesiapa yang memakannya dalam tumpuan yang konsisten dan bilangan banyak, melalui pertumbuhan yang radikal). Malah, pemilihan Salmah menggunakan interpretasi makanan genetik terubah ini sebagai "makanan dari syurga" menjadi menarik (mengikut kisah makanan yang turun dari langit dalam kisah Al-Quran), memaparkan kerakusan manusia untuk mengubah norma dan natural Tuhan, walaupun tujuannya murni (untuk mengisi kelaparan dunia).

Plot novel ini amat mudah tetapi dipanjang-panjangkan dengan gerak cerita yang membosankan. Sebenarnya Salmah tidak ada cerita atau naratif untuk menggerakkan, hanya sikap saintis yang manusia, khususnya Dr. Lilia yang kita diberikan pula, suatu coret "cinta segi tiga" yang bersimboliskan penilaian moral antara sikap menyokong kepentingan material atau bersabar dengan tugas pejuang sebenar. Malang sekali, kerana tampak Salmah boleh menulis, dan tahu membina watak yang amat manusiawi (kita sebenarnya dapat merasakan kerapuhan jiwa Dr. Lilia yang amat manusia), semuanya pecah apabila kisahnya biasa-biasa untuk tujuan yang biasa-biasa.

No comments: