Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, August 4, 2015

Faith and the Machine


Tajuk: Faith and the Machine
Oleh: Fadzlishah Johanabas
Terbitan: Simptomatik Press
Tahun: 2015


Sinopsis:
Kumpulan cerpen seorang penulis muda daripada bidang kedoktoran, datanglah beberapa genre spekulatif (terdapat genre fiksyen sains, fantasi, dan seram) dan kotemporari yang mengisi kumpulan ini, berjumlah 14 cerita pendek, dengan taruhan emosi dan dendangan naratif bahasa Inggeris padu dan mengujakan. 

Rasa:

Saya sangat gembira apabila menemui kraf tulisan Fadzlishah ini. Kebanyakannya ditulis dengan baik, tersusun, dan boleh dikatakan, dalam usia yang begitu muda, mempunyai "bakat" yang kita panggil "dianugerahkan" menjadi seorang penglipur lara (storyteller). Tidak ramai penulis muda yang dapat menulis seperti Fadzlishah, menjadi seorang penglipur lara yang mahir memegang krafnya agar tidak sobek kulitnya, tapi lancar menyampainya dengan irama dan tona suara bergema-gema. Kuasa ini terdapat dalam tangan Fadzlishah dalam menyentak emosi pembaca, dengan menyusun manipulasi kesumat dan debarnya, dramatik yang tersusun dalam pemilihan kata-kata yang baik, dan kadangkala mencuit, dan selalunya menyentuh hati yang dalam tersimpan dalam kegelapan. 

Dalam hal ini, dan lebih menarik lagi, dengan bahasa Inggeris yang begitu baik dan beralun seperti air, Fadzlishah walaupun dia lebih senang dengan fiksyen spekulatif, menaburkan bakatnya dalam menulis cerita-cerita yang menggerakkan hati (hal ini tidak dapat disamakan dengan cerpen URTV yang mendayu-dayu), yang dinyatakan dalam prakatanya, ditulis atas beberapa pegalaman peribadi, dan ini yang menguatkan kepengarangan Fadzlishah yang mengimbangi pengalaman diri dengan kematangan menyusun gerak cerita dan huruf kata.

Mungkin bagi saya, cerpen seramnya sedikit tidak menakutkan, malah mungkin mencuba-cuba, walaupun dengan menarik, Fadzlishah amat tekad dengan menyampaikan suasana dan semangat tempatan (menggunakan, seperti Tunku Halim, unsur hantu tempatan dan hal-hal mistik dan tahayul tempatan ke dalam cerita), dan hal ini amat disarankan. Cerpen fantasinya cuba mencuit sedikit interteks tempatan dan bermain dengan beberapa unsur tempatan yang dihidangkan kepada pembaca antarabangsa. Mungkin, buat kita pembaca tempatan, hal ini tampak sedikit amatur dan kebudak-budakan, kerana unsur yang diambil, hanya atas dasar unsur tanpa memperlihatkan wacana dan gagasannya, menyampaikan suatu renungan yang panjang. Namun tujuan Fadzlishah lurus dan jelas; alam Melayu dan Nusantara, mempunyai banyak khazanah intim yang perlu diterokai, yang dalam pandangan mata Barat akan menampakkan unsur eksotik tersebut, hidup dan mencari sayapnya ke dalam naluri dan mimpi pembacanya. Dan hal itu sahaja amat dipuji dan disokongi.

Paling baik dalam tangan Fadzlishah ialah cerpen fiksyen sainsnya, menaburkan penceritaan yang berperisa tempatan, agama dan bentuk budaya dan latar hidupnya, tetapi sungguh sarwajagat dan manusia penyampaiannya. Kebanyakannya membuak beberapa nova atau keterasingan atau unsur futuristik yang disulam dengan penceritaan yang berkesan, khususnya dalam menakrifkan reaksi dan hentakan renungan, baik dari sudut emosi ataupun intelek, tentang kewujudan manusia dan manusiawi dalam perubahan-perubahan fenomena ataupun objek itu. Contoh terbaik, buat saya ialah cerpen pertamanya, "Act of Faith", yang begitu matang menyampaikan sebuah cerita yang mudah akan penjalinan persaudaraan antara suatu kepintaran buatan dengan seorang manusia yang menganggap materi tidak mungkin mempunyai "roh". Beberapa lapis wacana berjaya disampaikan, dari sudut kekeluargaan, kemanusiaan, politik, sosiobudaya, keagamaan, dan sudut padang falsafah yang begitu menarik dari segi kefahaman kewujudan, yang tersalut sederhana dalam kefahaman Islami yang progresif. JIwa sebenar dalam cerpen itu pun, ialah manusianya manusia, baik dari segi lemah dan jahilnya mereka terhadap pembaharuan dan perubahan yang melingkari hidup (dan mula membawa persepsi baharu), tetpai lebih baik daripada itu, kemampuan manusia untuk "mempelajari" atau mengalami dengan renungan tajam atau "memanusiakan" suatu pembaharuan dan perubahan. Hal ini merupakan suatu inti cetusan paling indah yang jarang-jarang dapat dilihat dalam cereka fiksyen sains kita, dan Fadzlishah sudah pun melakukannya.

Percayalah, Fadzlishah ialah penulis fiksyen sains Inggeris kita yang kita tunggu-tunggu. Dia bukan sahaja dapat memanipulasi dan mengembangindahkan jaringan nova dengan alami manusia dengan baik, tetapi melakukannya dengan nurani nan murni, menerobos kedalaman manusiawi yang memahami persekitaran yang kian merubah dan membuka suatu cara hidup baharu.

No comments: