Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Tuesday, July 28, 2015

Terbawakah Amalan Pengkaryaan ke Kubur?


Nazim Masnawi yang baik,

Warkah ini disediakan dengan rendah diri dan penuh kesedaran bahawa saya yang menulis ini hanyalah seorang hamba yang tidak ada apa-apa, malah sungguh jahil dalam pelbagai kefahaman dan pengabsahan ilmu. Penulisan ini pun, atas kesedaran diri sendiri, yang memahami hal-hal kecil, yang ingin dikongsikan kepada saudara yang baik, memandangkan hal ini pernah saudara lanjutkan kepada saya berkenaannya.

Saya terbaca dalam sebuah buku ilmu yang baik oleh Mufti Brunei, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Juned dalam Jambatan ke Akhirat, betapa berkenaan seksa dan fitnah kubur, dan siapakah yang dapat terlepas daripadanya. Dalam halaman 83, Haji Awang menerangkan dalam kutipan Ibnu al-Qayyim daripada kitab ar-Roh, "bahawa memang ada daripada kalangan orang yang meninggal itu yang terlepas daripada uji-tanya malaikat Munkar dan Nakir. Sebab-sebabnya ada tiga, sama ada kerana faktor amal, musibah yang menjadi sebab kematiannya, atau masa."

Dalam tiga sebab berikut, saya hanya akan mengupas dua yang pertama, walaupun masa itu sudah sedia tahu (contohnya, jika si anu meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat) beberapa hal akannya. 

Dinyatakan sebuah hadis riwayat al-Bazzar, "Daripada 'Uthman bin 'Affan, daripada Nabi S.A.W., Baginda bersabda: Barang siapa juga yang mati kerana berjihad di jalan Allah, akan dialirkan terus pahala amal salihnya dan rezekinya, aman dia daripada dua penguji kubur, serta Allah akan bangkitkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan sentosa daripada rasa takut yang dahsyat."

Jihad ke jalan Allah ini, memang (jauh daripada kefahaman kita akan kegiatan ISIS), jika yang mudah dan jelas, diperkenankan kepada golongan ustaz dan pendakwah, yang sepatut-dan-sebetulnya menjalankan urusan "menarik kepada kebaikan dan menyuruh menghindar daripada kejahatan", lantas melakukan dan menampakkan Sunnah Rasulullah S.A.W. sehari-hari tanpa sedari kepada khalayak agar dicontohi dan diikuti oleh awam, dan betapalah tinggi dan pelbagainya ujian golongan ini.

Dalam hal itu, mahu tidak mahu, dan sudah menjadi suatu pandangan jelas, seperti Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan pengikutnya, dalam kesedaran "sastera Islam", bahawa penulis itu juga, dalam amanahnya, berdakwah, lantas memegang juga amanah jihad pada jalan Allah itu, malah penulisan, seperti yang saudara fahami (dalam hal ini bagi pandangan saudara, karya filem) menjadi "amalan ke kubur"nya yang mana dalam hal ini, ada sedikit persetujuan dalam diri saya yang serba daif ini. Namun begitu, dalam setiap kerja, adanya, dan sudah tentu, adabnya, dan penelitiannya, yang perlu diteliti benar-benar betapa, dalam neraca perhitungan (dalam amalan ini, segalanya di atas ketertiban neraca, contohnya, jika seseorang kononnya ingin melakukan kebaikan melalui sihir, dia tetap dihitung syirik kerana menyekutukan Allah, walaupun niatnya "baik", contoh paling jelas, membuatkan seorang cucunya menyayanginya dengan sihir), terdapat perkiraan ketertiban berapa "baik" dan "tidak baik"nya dalam satu-satu karya. Contohnya yang paling jelas, walaupun karya itu, untuk kebaikan utamanya, membuat manusia berfikir akan hal akhirat, tetapi memasukkan unsur ranjang dan adegan lucah, sudah berlaku suatu pertimbangan "antara ketertiban baik dengan buruk", malah, saya kenal, terdapat beberapa "ustaz sastera" yang dengan mudah sudah pun menghukum terus karya yang sebegini sebagai polos dan picisan. Memang secara relatif, terdapat maksud bahawa karya tetap memberi manfaat, tetapi betapa jauh atau beratnya manfaat itu dengan fitnah atau maksiat yang turut dibawa bersama-sama itu perlu diteliti jua. Persoalan ini sudah tentu subjektif dan setiap perkiraan, daripada yang liberal kepada konservatif dan kemudian literalis totok, hal ini akan dilihat dalam pelbagai pandangan dan ruang (polemik muzik sebagai halal dan haram sahaja sudah mendapat pelbagai pandangan dan fatwa).

Saya tidak menolak, contohnya, beberapa karya Allahyarham P. Ramlee, bermanfaat, malah, semoga Allah menempatkannya di tempat yang baik di sisi Penciptanya, walaupun dari segi fizikal, terdapat watak terbuka aurat (saya mempunyai pendirian tersendiri tentang hijab, walaupun sikap masyarakat kita yang suka menghukum orang semberono kerana aurat pada era sekarang amat menakutkan, tanpa menyedari jiwa dan hati insan yang lebih dekat dengan Tuhan. Saya sendiri mengenali beberapa kenalan wanita tua, yang berpakaian ala Sunnah serba hitam dari hujung rambut sampai hujung kaki, tetapi cukup kuat bersihir untuk membuat orang menyukainya, mengadu domba, dan memecahkan silratulrahim antara ibu dengan anak dengan selamba sekali, adakah niat dan kelakuannya ini tidak akan diperhitungkan oleh Allah dan orang-orang yang disihirnya?), sudah tentu terdapat suatu perhitungan yang berlaku walaupun terdapatnya kebaikan dan kita sebagai penontonnya, yang mendapat manfaat daripadanya menyampai-sumbangkan pahala kepadanya secara tidak sengaja. Karya seni yang memang bermanfaat daripada Allahyarham ayahanda saudara sendiri, saya kira, sudah tentu membawa amal yang baik kepada arwahnya (semoga arwah ayahanda saudara ditempatkan dengan kalangan yang soleh dan mendapat rahmat tinggi daripada Allah), walaupun orang awam melihat enteng dalam hal ini atas nama hanya sebuah karya seni.

Namun terdapat suatu lagi widsom atau kebijaksanaan yang perlu kita teguk daripada alam tradisi Islam kita agar kita mengambil manfaatnya, malah hal ini sudah dilupakan oleh kita atas dasar moden dan individualis alami kita sekarang. Abang saya, sewaktu membelek pelbagai madnun (manuskrip lama) tokoh ilmuawan lama kita, menyedari, betapa susahnya sang penulis (bukan sahaja perawi, yakni penyalin buku tersebut) menuliskan NAMANYA SENDIRI di dalam karya karangannya sendiri. Oleh sebab itu, dalam kalangan pengkaji manuskrip lama ini, khusus Islam-Arab-Parsi, mereka perlu menguatkan diri mereka dengan mengenalpasti beberapa tanda tangan (trademark), baik dari segi lenggok khat yang digunakan, langgam atau gaya bahasa penulisan, beberapa istilah kerap yang digunakan, beberapa istilah khusus yang digunakan oleh penulis, beberapa cop atau corak tertentu yang dibiarkan dalam manuskrip, gaya penandaan permulaan dan pengakhiran, pembacaan riwayat oleh anak murid tentang keilmuwan dan bibliografi gurunya (kerana gurunya sendiri tidak akan menulis riwayatnya sendiri, hanya apabila meninggalnya guru, si anak murid akan melakukan riwayat gurunya, yang kadangkala berlaku jua sewaktu hidup mengikut keredaan sang guru), sanad yang disampaikan mengikut warisan, warisan kitab kepada anak murid, dan beberapa lagi kemahiran penelitian yang perlu dilakukan oleh para pengkaji untuk memastikan madnun tersebut jatuh kepada penulisan sang polan sang polan. Hal ini adalah kerana, kebanyakan madnun yang tersimpan, baik dalam perpustakaan Islam lama seperti di Al-Azhar dan Qawariyyun, mahupun dalam perpustakaan Orientalis seperti di SOAS, Leiden, Cambridge, Oxford, dan Perpustakaan Kebangsaan London, kebanyakannya memang, dalam penulisan tersebut, nama penulisnya tidak dinyatakan (sedarilah, oleh sebab itu, Hikayat 1001 Malam tidak bernama). Malah, kebanyakan penulisnya, baik Hujjatul Islam Al-Ghazali, Al-Arrabi, Ibn Razi, mahupun Ibn Khuldun, menulis, dengan rendah diri, dirinya, sebagai "fakir yang memohon hidayah". Apakah rahsia dan widsom dalam hal ini?

Bangga. Kerana kebanyakan penulis dan pengarang dahulu mahu melarikan diri atau menutup diri daripada membanggakan diri. Bangga sebenarnya api kecil yang memarakkan ego-nafsu dan dapat membawa kepada pelbagai kebatilan tanpa disedari, dan rahsia ini dipegang oleh Iblis laknatullah yang bangga terhadap keciptaan dirinya daripada api sebalik Adam daripada tanah. Apabila suatu penulisan dibuat, mereka dengan sedar, amat takut, ilmu yang disampaikan itu, bukan sahaja akan diperhitungkan kembali kepada dirinya akan apa yang ditulisnya (amanah), tetapi juga ujub diri akan apa yang ditulisnya. Mereka amat takut dengan hujah pujian dan diangkat-angkat oleh raja atau ulama atau manusia. Mereka takut, mereka tidak akan dapat mengangkat beban daripada kebanggaan itu terhadap luhur dan intim hatinya terhadap Tuhan dan dirinya sendiri yang mungkin serba kekurangan dengan amalan. Hanya mereka yang mempelajari tasawuf (yang amat ditakuti oleh golongan wahabi) yang mengenali rahsia ini. Oleh sebab itu, dalam tasawuf, terdapat pembelajaran, eloklah dihindar daripada ibu bapa berbangga-bangga dengan kejayaan dunia anaknya, walaupun akan pelajaran, dan sebab itu, terdapat petikan yang begitu indah dalam alam Melayu kita ini agar kita sentiasa tawaduk dan tunduk akan kekecilan dan kekurangan kita, yakni, "yang baik itu hanya dari Allah dan yang buruk dan silap dan lemah itu dari saya". Oleh sebab itu jua, terdapat tradisi sanad, yakni penerunan suatu ilmu atau "kitab pembelajaran" kepada murid, yang diturunkan, bertali-tali arus panjangnya, sehingga para tabiin wa tabiin, sehingga tabiin, sehingga sahabat, sehingga Rasulullah S.A.W. dan sampailah dari Allah SWT. Hal ini, secara jelasnya, walaupun ilmu itu melalui suatu dinamika (oleh sebab itu kita perlu menolak kefahaman ilmu Islam itu jumud dan tidak dinamis, terdapat perkara yang sudah fardu ain yang sudah tetap, seperti tauhid, namun terdapat, khususnya ilmu dunia-sains yang terus berkembang) dan perkembangan oleh pemegang sanad seterusnya (guru, inilah kita panggil mujtahid), tetapi pendiriannya tetap menyatakan, kehadiran dan kesimpulan yang didapatinya itu pun bukan daripada dirinya sendiri, tetapi guru kepada guru kepada guru, dan sudah tentu kepada tradisi yang sangat dijaga ini, dan dia hanya menyampaikan, tidak lebih daripada itu.

Hal ini, memang, jauh sekali dapat disertakan dengan karya atau fiksyen yang moden (kerana kitalah penciptanya, secara penuh atau secara eceran atau secara kerjasama), mahupun dalam buku kajian akademik kita sekarang, apabila, dengan bangganya, kita meletakkan nama kita sendiri, bukan sahaja di dalam, tetapi di luar buku tersebut dengan paparan motif fon yang begitu elok dan besar, megah, mendabik dada, dan hebat. Kita haruslah menyedari hal ini, betapa, jika kita hendak melihat tradisi Islam klasik, betapa jauh dan terasingnya kita dengan kefahaman dan kebestarian hal "menghilangkan nama" ini, betapa ia sudah menjadi bukan sahaja komoditi tetapi kewajipan buat kita terhadapnya. Hal ini, kita boleh perhalusi lagi dengan keadaan jujur-mahu-menyerah, dalam kefahaman jihad ke jalan Allah tadi (kita lakukan ini hanyalah semata-matanya untuk Allah). Jujur katakan, dalam hal ini, kita terikat dengan komoditi royalti (pemberian wang) dan hal ini berkenaan dengan material. Siapa yang tidak mahu dan siapa yang ingin menolaknya? Tetapi hal ini juga sudah memerangkap kita akan niat sebenar kita menulis atau berkarya, yang pada akhirnya, kita tetap menyatakan ingin merasai materi daripada kesusahan menghasilkannya.

Hal ini, secara ekstrem (dan saya tahu ia takkan berlaku dalam kalangan pembikin filem mahupun penulis kontemporari) dapat dilihat, contoh (tanpa meletakkan hal ini untuk membanggakan diri tetapi sebagai pengajaran diri sendiri) dalam hal abang saya dengan buku fatwanya. Sehingga hari ini, abang saya, dengan serius dan tegas menyatakan kepada penerbit buku fatwanya (yang berada dalam bahasa Inggeris, Arab, Turki, dan Jerman) bahawa dia tidak mahu mengambil sesen pun royalti buku fatwanya. Cukuplah baginya, diberikan buku tersebut secara percuma, dalam 50 naskhah, agar dapat dia serahkan kepada mereka yang mahukannya. Pihak penerbit memang mempunyai peruntukan "buku untuk promosi" dan buku itulah yang diserahkan kepada abang saya, maka penerbit itu sememangnya mendapat keuntungan besar dalam hal ini, namun begitulah seadanya keredaan dan prinsip abang saya.

Contoh suatu lagi, terhadap seorang pengarang tua, yang menulis sebuah puisi panjang akan sirah agama. Ya, baik, mungkin niatnya bersih, agar kitab syairnya itu untuk memberikan manfaat kepada manusia agar mengetahui keluhuran perjuangan agama. Namun, dia berkali-kali datang menyoal dan memohon duit royalitnya (walaupun buku syair itu tidak laku keras), mengikut, atas lesen nama besarnya. Bukankah berlaku suatu kontradiksi di sini, betapa untuk apa sebenarnya pengarang tua itu menukil suatu kisah agama? Untuk harta halal yang sudah ditentukan Allah atau keredaan Allah terhadap karyanya itu?

Malah, mengikut hujah Ibnu al-Qayyim tadi, mungkin karya saya sendiri, jika dilihat, dengan bahasa lucahnya, bahasa buruknya, kurang ajarnya, menjentik orang tidak habis-habis, kisah di awang-awangan yang tidak berpijak pada bumi yang nyata, dengan rendah diri, tidak mungkin menjadi amalan buat bekalan saya pada alam kubur (walaupun mungkin ada yang menyatakan sebaliknya) jika saya bandingkan dengan "manusia yang mati kerana mendapat musibah", mengikut hadis riwayat an-Nasa'i dan ath-Thabarani daripada Abu Ayyub, katanya: Rasulullah SAW bersabda, "Barang siapa bertemu dengan musuh lalu dia sabar, sehingga dia terbunuh atau dikalahkan, dia tidak akan diuji dalam kuburnya.

Saya mempunyai seorang kenalan wanita yang dizalimi oleh keluarga bekas mertuanya sendiri. Kerana dia melakukan penceraian fasakah, anaknya yang tunggal dicolek daripadanya tanpa dia sedari sewaktu anak itu kecil lagi, dan sewaktu hidupnya, tidak pernah sekali bekas mertua itu memberikan ruang untuk kenalan saya itu menemui anaknya. Mereka menuduh kenalan saya itu murtad dan keluar agama, walaupun kenalan saya masih mengucap dua kalimah syahadah dan bersolat. Anak tunggalnya sendiri, pernah menyerahkan surat kepada kenalan saya, menyatakan, dia tidak mahu menemuinya lagi, selama-lamanya, sehingga mati. Kenalan saya itu tetap bersabar, tidak mempercayai isi surat itu datang daripada anaknya sendiri, dan masuk mahkamah untuk mendapat hak menjaga anaknya, walaupun pelbagai cabaran yang dilaluinya untuk mendapatkan keadilan hak dari sisi undang-undang agama. Sistem perundangan syariah tempatan yang memberikan pelbagai ruang dan kemudahan untuk dipermain-mainkan oleh para peguamnya membuatkan kenalan saya itu duduk bertahun-tahun tanpa perbicaraan, dengan pelbagai strategi dan tipu muslihat halal yang dibenarkan dalam mahkamah dilakukan terhadapnya. 

Pada suatu hari, kenalan saya keluar dari mahkamah, terpelecet kakinya di tangga hadapan mahkamah, dan jatuh menghempap bumi, tidak sedarkan diri. Dia dibawa ke hospital untuk rawatan. Peliknya, pada tempat bengkak jatuhnya itu, tidak surut-surut bengkaknya, dan menjadi ketumbuhan. Walaupun ketumbuhan itu dibuang oleh ahli doktor, ia sudah terlepas meresap dalam salur darahnya, menjadi barah, yang sedikit demi sedikit memakan dirinya. Apabila pak ciknya datang bersama-sama dengan seorang perawat Islam ke hospital, mereka mendapati sebenarnya kenalan itu dibuat orang, dan kini, buatan itu sudah menjadi barah dan memakan dirinya sedikit demi sedikit. Alangkah sesalnya dunia yang kita tidak kenal susun geraknya, si kenalan wanita saya itu meninggal akhirnya tanpa dapat melihat bujur mata anaknya lagi. Semoga dia mendapat tempat yang baik di akhirat. Namun, dalam hati kecil saya, memang, atas apa yang dilaluinya itu, seorang wanita yang mulia dan tidak pun menyakitkan hati sesiapa, dizalimi dan ditindas begitu rupa, dibenci oleh anak sendiri, dan sakit kerana disihir, sudah ternampak jalan yang sudah teruji terhadapnya, dia sudah pun dikalahkan oleh musuhnya, dia sudahpun terbunuh kerana sihir, maka Jannah setentunya dalam tangannya, tidak disoal dikubur kerananya. Namun sedihlah buat mereka yang berdosa kepadanya, walaupun mungkin dia sudah mengampunkan dosa-dosa mereka dalam hati, si mertua yang menghalang silratulrahim ibu dengan anak itu lantas mengajar cucu sendiri membelakangi syurga cucunya sendiri, yakni di bawah telapak kaki ibu kandungnya, si polan yang mengirimkan sihir itu (semoga dia mendapat balasan yang setimpal dari Allah, Allahlah penguasa terhadap orang itu, dunia dan akhirat), dan anaknya sendiri, yang secara tidak sedar, telah menderhaka kepada ibunya sendiri tanpa dia sedari, walaupun dia tidak memintanya, walaupun dia tidak pun terniat begitu terhadap ibunya, hanya dengan suratnya. Merataplah mereka berpuluh-puluh kali di sisi kubur kenalan saya itu, hentaklah kepala di tepi pusaranya, tiadalah mendapat manfaat apa-apa dan hasilnya lagi kerana nasi sudah menjadi bubur, ruang untuk mencari kemaafan kepada orang hidup sudah ditutupkan buat mereka, sehingga menangis air darah sekalipun, perbuatan sudah pun termaktub dalam diri mereka. Ketentuan mereka kini dalam neraca Tuhan dan biarlah Tuhan yang mengadili seteliti yang mungkin di akhirat nanti.

Atas sebab itu, saudaraku Nazim yang dibaik dan disenangi, tidak mudah untuk saya (sekurang-kurangnya saya) mengaku, mana-mana karya saya ini dapat membantu saya pada alam akhirat nanti, jika saya bandingkan, sedikitpun akan tempat kenalan saya itu tadi. Betapa jauhnya diri saya hendak mencapai keredaan Allah itu pun jika dibandingkan dengan kenalan saya itu tadi. Betapa jauhnya diri saya handak terasa ada manfaatpun, kerana siapalah saya, siapalah saya, siapalah saya. Saya apa-apa pun, tetap mempercayai dengan tekad dan kepercayaan saudara yang bersih itu akan manfaat karya ini buat kita selepas mati nanti, dan saya tetap juga percaya, atas kekuasaan rahmat Rahman dan Rahimnya jua, Allah dapat mencari manfaat dan sebutir mutiara daripada karya kita, walaupun sedaif dan seburuk mana pada paparan khalayak kini atau akan datang terhadapnya. Segala-galanya kita serahkan kepada kasih sayang dan kerahsiaan Allah jua, yang mencipta, yang mematikan, yang memberikan kita rezeki seadanya.   

4 comments:

nazifah awi said...

Kagum!

Hayyan said...

Thumbs up! Tahniah

Zalita said...

Tulisan terbaik saudara!

Anonymous said...

Kagum dengan artikel ni.