Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, July 24, 2015

Kronikel Etanol

Tajuk: Kronikel Etanol
Oleh: Hafizul Osman
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2015

Sinopsis:
Tika mendekati masa hadapan, Malaysia sudah menggunapakai teknologi petrol alternatif, dengan etanol yang diambil daripada pati tebu. Perlis tiba-tiba menjadi "sumber bumi terpenting Malaysia" apabila ladang tebu terbesarnya memasuki projek biopembakaran baharu untuk memberikan minyak bioetanol baharu kepada semua penduduk Malaysia. Projek ini tiba-tiba disabotaj oleh seseorang dengan ulat parasit yang memakan tebu di ladang tebu tersebut. Majmin, seorang pakar dalam hal ini dipanggil oleh kerajaan untuk melihat jika tebu yang rosak masih dapat diselamatkan. Pada masa yang sama, beberapa pembunuhan berlaku berdekatan ladnag tersebut. Beberapa orang pula hilang seperti dicolek. 

Rasa:

Novel Hafizul ini tangkas, cepat, pendek dan nipis, amat mudah dibaca, hadam, seronok dan menghiburkan. Kengeriannya turut disusun secara bertingkat, menimbulkan kengerian yang cukup untuk sebuah novel yang nipis dan bertujuan untuk menpercepatkan cerita. Novel ini amat sesuai untuk pembacaan remaja dan budak sekolah kerana ketiadaan percubaan penulisnya untuk membuat penyimpangan yang kompleks, penceritaan yang mudah dan tidak berat, dan penjelasan sains dan teknologi yang cukup mudah. Watak juga dijelaskan dengan penuh dan mudah, berserta dialog yang biasa kita baca dalam novel remaja.

Hafizul menyimpan "rahsia" pada tempat-tempat tertentu (bagi pembaca misteri biasa, pelakunya sudah dapat dihidu pada awal plot penceritaan) sebagai ruang dramatik dan kejutan. Yang lebih menarik ialah cara penyiasatan yang dilakukan oleh penulis terhadpa watak-watak, ia kelihatan natural dan berlaku seadanya dan bukan dibuat-buat, menunjukkan kekuatan penulis adalah pada sebab-akibat dan perjalanan struktur cerita, walaupun konvensional. Logiknya tinggi dan baik, mungkin suatu kebiasaan dalam mana-mana novel berunsur penyiasatan.

Saya juga suka dengan dialog watak yang bersahaja dan tidak dibuat-buat, menyampaikan, contohnya, fakta dan maklumat sains pada tempat yang tertentu dan mempunyai sebab-sebab tertentu, tidak dicampak secara semberono seperti yang biasa kita baca dalam novel fiksyen sains.

Namun, oleh sebab ceritanya yang ringkas, ia tidak membuka apa-apa persoalan atau novum yang besar dan dibincangkan secara panas, kerana "teknologi" yang diperkenalkan, walaupun belum sampai di Malaysia dan sebenarnya agak baharu, bukan revolusioner malah sedang dalam pengkajian mendalam dan terkini di serata dunia. Biodiesel ini sudah pun digunakan dalam beberapa negara, seperti Brazil. Mungkin lebih menarik jika suatu konklusi yang "luar dugaan" antara "simbiosis" (yang pada mulanya parasitik) dapat diadukan antara ulat-tebu menjadikan pembukaan teknologi ini lebih menarik, walaupun hal ini sudah cukup sebagai suatu tilikan dan pencarian yang baik dalam sebuah novel. Secara umumnya pula, novel ini sebenarnya meneruskan konvensi novel "mencari jodoh" yang biasa kita tangkap dan sedari ada dalam mana-mana novel kontemporari, atas budaya besar pandangan alam kita berkenaan "kahwin" sedari Hikayat Malim Deman dan apa-apa hikayat kita yang berakhir dengan "perkahwinan". Ideanya, suatu idea atau penemuan yang baik, menghasilkan kebaikan. Majmin yang melalui suatu kembara mendebarkan, dalam masa sama, menemui "calon isteri"nya, menjustifikasi moral dan niat murninya "untuk kebaikan manusia" dalam menyelesaikan masalah tebu yang ditebuk itu. Majmin malah merupakan generasi kedua daripada ibu bapanya yang menemukan teknologi itu kepada Malaysia. Maka hal ini disambung bertali arus dengan Majmin pada akhir novel "beranak" daripada isteri yang ditemuinya daripada adegan siasatan novel ini. Hal ini mungkin remeh dalam kefahaman pembaca universal, tetapi dalam pembacaan "Melayu", hal ini baik dan mempunyai nilainya. 

Novel mudah dan seronok untuk bacaan lengang.

No comments: