Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 20, 2015

Perjalanan Yang Panjang


Begitulah, semuanya sudah menjadi sejarah.

Alhamdulillah, beransur sudah majlis penyampaian hadiah, dan Leksikon Ledang, suatu usaha sama bersama-sama dengan Nor Azida Ishak menerima Hadiah Kedua Utama. Untuk berdiri bersama-sama Kak Sri, Hafizul, Kak Saadiah (Ruhainie tidak hadir, BOOOOO party booper!), itu suatu keseronokan kerana mereka pejuang dalam genre yang masih disalah tafsir sebagai genre budak-budak ini.

Bagi saya, kemenangan itu, dengan kenyataan klise, hanya suatu bonus, hal yang lebih murni lagi (dan kita patut memuji pelaksanaan UTM dan Utusan dalam hal ini) ialah mengayakan genre ini dengan inisiatif memperbanyakkan terbitan judul ini yang selalunya selektif, nafsu mencuba memasarkan genre lain selain karya konvensional yang mengikut musim tertentu dalam persada kesusasteraan kita.

Semalam, dengan deretan para pelajar dan kenyataan jelas “pencapaian terbaik” hasil produk sayembara ini untuk teks KOMSAS menyatakan lagi kesesuaian genre ini untuk golongan pelajar atau anak muda. Saya mengambil hal ini dengan gembira dan runsing. Gembira, kerana benar, kalau hendak dipupuk satu-satu generasi itu untuk meraikan, membaca dan kemudian mencipta, dan seperti Amerika Syarikat, anak-anaknya yang bermimpi dengan alam fiksyen sains, besarnya menjadi ahli falsafah, pemikir pelbagai bidang keilmuan, saintis makmal, teknokrat, dan angkasawan terkemuka (dan jangan terkejut, membawa bersama istilah baharu dan penciptaan gajet yang mereka baca daripada karya, walaupun sebodoh atau sepolos mana teksnya). Runsing, kerana risau, fiksyen sains di Malaysia masih dijolok seperti era Othman Puteh lagi, genre budak lelaki dan hanya bermain dengan isu-isu “bernilai murni” dan tidak cuba melawan tampuk stereotaip ini untuk mencari ruang dan percubaan yang lebih baharu dan segar, walaupun berlawan dengan nilai “yang sudah ditentukan” itu sendiri.

Namun begitu, dalam hal yang begitulah juga saya memuji ketekalan dan risiko pihak hakim kali ini yang sanggup juga, mengambil isu yang melanggar etika dan aqidah, seperti klon dan perubahan alamiah genetik, seperti karya pemenang Pertama Sri Rahayu hali ini, Transgenik Sifar dan Idris Boi, Klon. Pada awal saya bertandang menulis Saga Horizon (awalnya dinamakan ASAIN), pihak Alaf21, dengan perbincangan bersama perujuk agamanya, telah menyatakan dengan jelas dan serius, watak ASAIN itu tidak boleh dalam ciptaan “perubahan alamiah manusia daripada percambahan dan pengubahsuaian beberapa kod genetik” yang dihasilkan daripada inkubasi pengklonan. Saya memberikan contoh, jika benar terjaganya hal ehwal nilai murni Alaf21, DBP yang amat terkenal menjaga karya bermutunya melalui persoalan nilai murni telah melepaskan adikarya Rahmat Haroun (bapa fiksyen sains moden kita, yang secara peliknya beliau tidak suka dikaitkan dengan genre ini), Manuklon (ya, sumber ASAIN daripada ini) yang jelas-jelas membina makhluk artifisial berkepintaran buatan yang ampuh. Hujah saya ditolak keras oleh pihak mereka, menyatakan bahawa, bukan dalam tangan saya untuk mengubah kejadian Tuhan, dan klon merupakan isu agama yang amat sensitif kerana percubaannya untuk mengubah fitrah ciptaan ALLAH (gaya tipikal Alaf21, membesar hurufkan Pencipta hakiki kita).

Betapalah saya terguris waktu itu, kerana mahu tidak mahu, jika saya masih mahu teruskan menghasilkan karya bersama-sama gergasi pembukuan popular Malaysia itu, saya perlu akur dengan tatacaranya. Saya tidak ada cara lain lagi, saya kini diberikan pisau untuk membelah perut bunting saya sendiri, seperti Sultan Mahmud, mengeluarkan anak yang belum cukup sifatnya itu dari rahim saya sendiri dan melihatnya terdampar mati di hadapan saya dengan perlahan. Saya kelar perut bunting saya diam-diam, dengan pedih dan luka membuak. Anak itu longlai, teresak-esak untuk sepintas udara, memandang saya dengan mata tidak cukup sifatnya, hitam yang menghisap vakum kekosongan.

Namun begitu, sebenarnya, dalam dua bulan selepas itu, setelah saya menggugurkan anak saya itu, saya tiba-tiba terlintas, membina suatu idea baharu yang tidak melanggar isu aqidah, yang tidak melanggar fitrah ALLAH, seorang anak baharu, lalu terjadilah dan jadilah Saga Horizon yang dihasilkan, malah, saya menyatakan kesyukuran dan hormat saya kepada pihak Alaf21 dan editornya atas kekerasan mereka, kerana sebenarnya, versi kedua saya itu, lebih membuahkan kepuasan peribadi dan jiwa, malah dalam hal ini, perubahan terhadap ASAIN (bahagian tengah novel) amat dipuji oleh ramai yang sudah membacanya, menyatakan itulah roh novel tersebut (walaupun saya kurang bersetuju dengan sekalangan kawan yang sempat membaca versi pertama, kebanyakan yang sudah membaca versi pertama itu lebih menyukai versi pertama dan bukan kedua, hal ini amat memelikkan tetapi saya hormati pilihan mereka, dan versi itu sudah pun dilupai dalam nisan sejarah).

Oleh sebab itu, saya amat gembira dengan keputusan panel hakim sayembara ini kerana memahami benar-benar apa yang perlu dan tidak perlu untuk fiksyen sains (walaupun bagi saya tema ini sudah melangkau era stereotaip kerana sudah ada beberapa karya daripada golongan indie dan swasta yang terdahulu menghasilkan karya bertema sama), Alhamdulillah.



Rentetan penghasilan Leksikon Ledang (“leksikon” dari segi bahasa bermakna kamus atau perbendaharaan kata, tetapi juga bermaksud penyesuaian dan suatu pengumpulan beberapa kosa kata dalam kefahaman makna yang sama, hal ini berkait rapat dengan kefahaman mentafsir teks lama sebagai kod untuk membentuk suatu rumusan pengubahan [transformasi] yang baharu – sebenarnya hal ini biasa dalam pengilmuan Barat dan Timur lama, lebih-lebih lagi ilmu ini percambahan daripada hermeneutik Bible dan tradisi kita, ilmu pentafsiran Al-Quran, yang kemudiannya pihak Barat menggunakan idea ini dalam pelbagai bidang lain, termasuk penulisan pop dan sastera, yang seperti kita tahu, menghasilkan karya seperti Da Vinci Code, Foucault’s Pendulum, Tawarikh Cinta, dan serumpunnya) sebenarnya agak jauh, dan sebenarnya terhasil daripada bengkel musim kedua sayembara ini, yang waktu itu saya bertugas di DBP Kota Bharu.

Pada masa bengkel itu (tahun 2009/10?), Dr. Saleeh Rahmat menampilkan suatu pandangan “teks baharu tempatan” yang agak mengejutkan bagi saya, yakni pengolahan dunia mistik dan perubatan tradisional (seperti penggunaan mantera dan jampi) kita sebagai suatu sains tempatan yang menunggu untuk diterokai. Betapalah saya marah dan tidak bersetuju dengan pandangan itu, mencampurbaurkan hal yang tahayul dan melanggar logik dan rasional yang biasa dalam sains dalam penciptaan teks fiksyen sains, hal itu seperti sesuatu yang melanggar hukum-hakam roh fiksyen sains.

Namun, hal yang saya entengkan juga itu, mula menumbuh dan mengacau minda dan jiwa saya. Terdetik masa tu secara selintas, saya, seperti dikejutkan daripada tidur panjang, lantas saya menjerit, “Damn, that profesor, his actually right, what a brilliant and original idea for our own science fiction novum!” Selepas itulah, saya baru mula menghormati tinggi terhadap Dr. Saleeh (nasib balik beliau tidak menulis prosa, kalau tidak!) dan pandangan inovatifnya.

Pada masa di Kelantan juga, saya mula menjelajah alam yang lebih purba, yang dilupai oleh bangsa dan hakikat sejarah manusia kita. Saya banyak mendaki gunung-gunung di sana dan serata Semenanjung. Saya menyedari sesuatu, sejarah manusia kita, jika diteliti betul-betul, bermula daripada gunung, gunung ialah punca tamadun manusia kita secara kolektif (bukan daripada kefahaman Plato dan arkeologi yang menampilkan manusia bermula daripada gua). Sains dan pertumbuhan hidup bermula di situ. Jika kita ambil kisah Nabi terdahulu riwayat Ibn Abbas r.a. yang juga mengambil beberapa sisi sumber lisan dan teks Israiliyat, dan sumber tradisi lisan dan tulisan simpanan tamadun Parsi, India, dan Turki tentang riwayat Nabi, Nabi Allah Adam a.s. (rujuk puncak Hawa di Sri Lanka atau Gunung Tur tempat Bahtera Nuh di Turki) yang baru turun dari langit, membuat penempatannya di kawasan pergunungan yang luas. Qabil yang membunuh Habil, diriwayatkan, setelah merajuk (inilah merajuk pertama sejarah dunia) daripada membunuh anak kesayangan ayahnya, dan rasa bersalah yang tinggi, telah meninggalkan pergunungan itu, lalu berkelana di kawasan tepi air sungai yang dipanggil “delta” (hal ini para pentafsir lama menghubungkan tanah Ur, Akkadia, Assyiria, dan Mesopotamia sebagai suatu kemungkinan anak cucu pelata keturunan Qabil, namun hal ini berlawanan dengan pandangan kemunculan bah besar era Nabi Nuh a.s. yang membersihkan segala tamadun anak cucu Adam a.s. selepas itu lalu terbina tamadun baharu), yang kemudiannya menjadi penempatan yang lebih maju (ingat, Qabil ahli dalam pertanian, manakala Habil dalam pengembalaan dan penjagaan haiwan ternakan) dan penduduknya jauh lebih ramai dan melata cepat daripada kawasan pergunungan. Kononnya, daripada benih Qabil inilah, wujud dan mulanya penyimpangan ajaran murni agama benar, dengan godaan Iblis (waktu itu Allah tampilkan kebolehan Iblis muncul di hadapan manusia, sebelum ketibaan Rasul Terakhir) serta kurang pendedahan dan kebersamaan bersama sang patriark dan sumber penyampai benar, Nabi Adam a.s. Oleh sebab itu, dalam kolektif pandangan manusia (dan ini mengejutkan, ia melangkau budaya, mitos dan agama dunia), gunung disimbolkan sebagai “suci”, “kemurniaan yang tidak terusik”, yang kemudiannya menjadi “tersasar” kepada tempat duduk dewa-dewa (seperti Olympus di Yunani) dan diabadikan sebagai tempat “menemui Tuhan” seperti Ziggurat kalangan Zoroastis, piramid golongan Maya, simbol Meru di Kuil Hindu kawasan Selatan India, dan Borobudur dan Angkor Wat, kalangan anak Nusantara, kita.

Hal ini lebih mengejutkan, apabila saya menemui rekahan tamadun di puncak Gunung Jerai (dikatakan tapak istana Sultan Kedah Tua pertama yang masuk Islam, yang kononnya juga secara legenda, tapak asal Wan Empu Wan Malini atau titis asal keturunan Melayu, wallahualam) dan Bukit Merak di Kelantan, juga kepelikan bukit dan gua Kota Gelanggi di Pahang. Dalam sejarah serata Asia Tenggara juga, kebanyakan punca tamadun mereka bermula dengan penempatan di pergunungan, contohnya Kemboja, asal tamadun mereka juga dalam pembukaan kota Phnom Penh berasal daripada sebuah bukit, seperti mana Istana Melaka berdiri di atas Bukit Melaka. Oleh sebab itulah, dalam mencari maksud yang terbaik untuk menimbulkan suatu cerita, Gunung Ledang (dalam tradisi Barat, ledang ialah “ophir”, kosa kata sumber Ibrani, berkenaan daerah atau persinggahan atau pelabuhan yang dikenali sebagai tepat yang kaya dengan pengumpulan barang dagangan dan harta benda melimpah ruah, dan kononnya, harta benda Nabi Sulaiman tersimpan di sini, maka dalam konteks ini, kekayaan itu tersimpan dalam bentuk ilmu yang dirahsiakan) dipilih dalam idea novel ini, gunung di sini mengambil dua maksud, pertama daripada penjagaan dan penyebaran penjagaan kesucian ajaran (supaya kita boleh kembali kepada fitrah kita seperti mahunya Tuhan kepada kita), yang sudah tentu, menjadi tempat (seperti misterinya Piramid) penjagaan dan penyebaran kesucian ilmu sains, dan dalam kisah ini, sains purba (di ini, kita mengambil kefahaman Plato dengan teknologi Atlantis dalam manuskrip Timaeus). Kedua, sudah tentu dengan mengambil maksud kolektif permulaan sejarah tamadun manusia, dan dalam hal ini, tamadun sains Melayu purba yang mempunyai penjaganya bersilih ganti.

Ah, idea sudah tercetus. Tetapi, atas kerja dan rutin tugas yang sangat mendesak, saya tahu, saya tidak dapat melakukan penulisan ini dengan sendiri. Bestarinya sayembara ini ialah sifat pembukaannya untuk pembinaan penulis berkumpulan (sehingga empat orang). Saya mula mencari rakan penulis untuk berjuang. Mulanya, ada seorang pengarang veteran mapan yang ingin ikut serta. Maaf, mungkin saya sedikit prejudis dan dari kecil selalu dikeji-keji oleh orang tua, saya sebenarnya kurang senang mendekati orang tua. Saya juga risau dan mempunyai pelbagai persoalan jika penulis lama mampu memahami apa-apa fiksyen sains yang saya sudah baca (zaman fiksyen sains dahulu berbeza dengan sekarang) dan apabila diselidiki, beliau tidak pernah membaca satu pun, bukan bidang beliau pun.

Hal inilah yang paling merisaukan, dan hal inilah yang membahagikan kalangan yang benar-benar menulis untuk fiksyen sains (dan ingin menghidupkan dan memasyarakatkannya), dan kalangan yang membuatnya kerana ada imbuhan (hadiah pemenang) tanpa betul-betul berniat memasuki alamnya. Hal inilah nanti yang kita dapat perhatikan dan detect dalam kalangan pemenang yang berjaya (penulis yang kelihatan tekal dan jujur berkarya kerana genre ini, seperti Sri Rahayu yang sebenarnya sudah memulakannya awal lagi dalam beberapa judul Hadiah Sastera Kumpulan Utusan) dan penulis yang tidak berjaya lepas ke garisan penamat. Jika mereka jujur dan semboyan sejati dalam genre ini, mereka akan mencari jalan untuk menerbitkan, dalam apa-apa jua cara sekali pun, hasil manuskrip mereka yang tertolak (rujuk perjuangan J.K. Rowling dengan Harry Potternya), dan kemudian mencari ruang untuk karya ini diperbincangkan dan diapresiasikan dengan tulus.

Saya kemudian bernasib baik apabila seorang penggemar fiksyen sains, penulis novel, ingin ikut serta bersama-sama mengambil idea ini untuk dibentuk dan diluahkan. Kami mula bergerak, mula-mula dengan baik sekali (beliau menulis dekat tiga bab) yang kemudian tiba-tiba terpaksa terhenti atas tugas beliau yang mula bertambah dalam dunia penerbitan. Lantas saya kembali pada tapak sifar.

Tuhan mencuit waktu pada tempatnya, Maha Perancang Segala, apabila tiba-tiba Nor Azida Ishak masuk dalam gambaran. Nor Azida sudah lama menulis dengan majalah DBP, khusus dalam cereka sains dalam Dewan Kosmik. Saya tampak potensinya yang kuat dalam penceritaannya, khususnya dalam antologi yang beliau usulkan kepada saya untuk masuk, antologi fiksyen sains Pistol Laser Lisa kelolaan Tok Rimau dan Azalan Sinaganaga yang hip. Bermula daripada situ, saya mula merisik. Dan, Alhamdulillah, rupa-rupanya kami sama-sama meminati Micheal Crichton (walaupun nama ini dikutuk oleh kalangan peminat tegar fiksyen sains kerana sifat populis dan latar Hollywoodnya), sama-sama meminati ilmu forensik (kami pernah berimpian untuk menulis novel ngeri ala drama CSI atau seperti Thomas Harris), dan sama-sama peminat tegar The X-Files (Azida banyak merujuk kajian komprehensif Anne Simon, The Real Science Behind The X-Files dalam proses pengkajian idea ini). Beliau adalah antara penulis yang berjaya menangkap sumber inspirasi JIAN saya yang datang daripada dua buah episod klasik siri The X-Files (dan juga filem Impulse karya Graham Baker). Setelah mengetahui hal ini, saya tahu, dan beliau tahu, kami mesti berusaha bersama dalam projek ini.

Lalu segala-galanya pun menjadi sejarah. Berjalanlah saya yang kemudiannya disambut oleh Azida dalam suatu perjalanan yang perit dan panjang, bertahun-tahun, tetapi amat membahagiakan, dan paling penting seronok. Ya, tidaklah saya mendabik ini yang terbaik, malah amat sederhana kehadirannya, seperti secampak hama dalam vakum angkasa luas fiksyen sains, tetapi amat memuaskan.

Apa yang membuatkan paduan kami menjadi ialah, idea saya yang gila-gila, dirasionalkan, dibedah, dianalisis sedalam-dalamnya, dalam kemahiran Azida untuk meneliti beberapa kajian sains dan jurnal sains serata dunia, maya atau cetak, untuk menampilkan plausibility, nova, atau kefahaman unggul fenomena fiksyen sains yang diusahakan. Azida juga tukang selidik logos perwatakan, isu sentimen, nilai murni, dan plot, malah cambahan idea, watak dan perwatakan, dan plotnya juga. Jadi beliau sebenarnya bukan sahaja co-writer saya, tetapi editor pertama saya juga. Saya percaya, hal yang sama juga sebaliknya buat Azida tentang saya.

Hal ini menjadi suatu yang indah lagi apabila Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar, pengarang siber Dendam Siber dan Wira Pesona Avatari, ketua panel hakim datang kepada kami dan menggalakkan agar kami meneruskan perjuangan ini, insya-Allah. Hal ini membayangkan gandingan Kevin J. Anderson dengan Brian Herbert, atau Orson Scott Card dengan James Cameron, atau Frank Herbert dan Bill Ransom, suatu perkara yang amat biasa berlaku dalam penulisan fiksyen sains.

Membaca laporan panel dan buku program terjumpa sedikit kecanggungan (sinopsis terus menulis kisah dari awal dan akhir, buat apa? Mereka faham tidak dengan persoalan spoiler?), dan satu permasalahan yang aku dapati. Laporan, yang mungkin dibuat dengan ekspres sekali, membaca “unsur” sains teknologi dalam erti kata mikro, bukan persoalan yang lebih meluas (novum) yang biasa dalam kefahaman fiksyen sains, khususnya Barat. Kesemua manuskrip yang dibedah, melihat dengan terpecah (modul) dan empirik sekali tanpa menyatukan satu makna dengan satu makna untuk menimbulkan suatu hal yang lebih menyeluruh, lantas akhirnya dapat menjumpai “novum” (pembaharuan atau kekinian atau keterasingan yang mengagumkan dari sudut pengalaman kemanusiann – rujuk Adam Roberts) karya itu.

Oleh sebab itu, saya percaya, segolongan 15 baki manuskrip yang tertolak tentu menyimpan mutiara yang menunggu untuk dikeluarkan daripada cangkerangnya. Ada persoalan yang kononnya “melanggar logik akal” yang sebenarnya inilah sense of wonder yang biasa dan seharusnya timbul sebagai katarsis penulisan fiksyen sains. Contohnya, dalam Dune, sebuah adikarya besar fiksyen sains, pemenang Anugerah Nebula dan Hugo, Herbert menampilkan bagaimana seorang anak muda yang meminum air water of life, kahak bendalir cacing gurun di planet Arrakis, yang berjaya menawan “racun”nya, dapat mengawal cacing gurun sebesar bangunan tinggi sekali gus rempah melange yang dijaga oleh cacing raksasa Arrakis (rempah yang melambatkan proses penuaan dan melipat angkasa). Betapalah, tiada keterangan saintifik apa-apa pun untuk menampilkan idea serba melanggar logik ini (minum air liur cacing membuat kita berjaya memerintah alam sarwajagat), tiada langsung, malah ritual serba mistik peminuman yang dijalankan ini juga berkait dengan “agama” kalangan bangsa Freeman (seperti orang Arab badwi) lantas melangkaui maksud sains pun (kuasa kepercayaan/keyakinan dalam agama/mitos.budaya untuk mengubah kefahaman kolektif masyarakat). Hal ini ialah kerana keterlibatan sebab-akibat yang kukuh secara “fenomena”, yang bermakna suatu kefahaman peristiwa yang besar akan suatu proses yang berkait-kait antara peristiwa lain dan memberi cause and effect yang tertentu atau “sejarah/pengalaman” manusia yang baharu, dan mungkin juga membawa suatu pembaharuan atau transformasi dalam cara kita melihat sejarah atau latar atau hal kontemporari, falsafah, sosiobudaya, politik, juga pemikiran dunia itu atau landskap cerita itu. Inilah yang dikatakan novum. Rempah-cacing-Arrakis-angkasa lepas menjadi berkait, menyampaikan maksud tentang penguasaan dan kekuasaan, yang membawa persoalan yang sangat besar tentang kuasa perubahan dan susunan waktu yang sesuai untuk perubahan (kisah ini sebenarnya suatu kritikan terhadap kuasa agama atau budaya mengganggu keseimbangan sistem dunia).

Dan bayangkan, dalam The MartianChronicles, klasik besar daripada Ray Bradbury, yang diisytiharkan sebagai antara fiksyen sains agung oleh ramai pengkritik, menampilkan pagar dimensi (Star Trek mengambil idea telerportasi daripada sini), pintu di bumi yang membawa manusia dan makhluk asing ke Marikh. Tidak ada keterangan sains yang perlu ditampilkan (ini bahagian mikro) akan teknologi makhluk asing ini, kerana idea besar atau novum novel ini lain, bukan sahaja antara tema opera angkasa terbaik yang pernah dibikin (novel ini banyak mempengaruhi filem Star Wars), tetapi tentang rentetan kemanusiaan menghadapi keterasingan yang kosmopolitan (!), bagaimana pengalaman manusia berubah dengan kejutan budaya baharu dan bagaimana dapat mengadaptasi dan menguasainya. Hal itu lebih besar dan penting daripada satu gerbang dimensi yang membawa manusia ke satu tempat ke satu tempat yang lain.

Saya kira, jika Phillip K. Dick, satu-satunya penulis fiksyen sains moden paling hebat masuk sayembara ini, saya gerenti, akan tertolak terus secara langsung. Bayangkan, contohnya, seperti Ubik, antara novel besar pengarang ini, si hero yang hidup separa nafas dalam alam antara hidup-mati (dipanggil half-life) perlukan semburan kuasa Ubik untuk bling-bling-bling, terus hidup sebelum diserap oleh “lorong cahaya”. Bayangkan! Bukankah begitu entah apa-apa dan imej melampau “di luar logik akal”? Namun, pengkritik kontemporari menyedari, novel ini lebih daripada itu, yakni tentang realiti kepelbagaian (realiti-separa realiti-alam akhir/realiti tamat, atau Dick amat menguatkan gagasan Buddha dan Hindu, yakni percaya kepada reinkarnasi, kelahiran semula setelah roh atau naluri atau conscience kembali ke realiti tamat) dan bagaimana manusia dapat menipu mati (cheat death), dan novum sebenarnya ialah, bagaimana manusia juga secara tidak sengaja membina struktur sistem hidup atau sosialnya dalam dunia baharu (di sini alam separa realiti hidup-mati), dan bagaimana mereka menghadapi cabaran dan kesusahan yang timbul dalam realiti baharu itu dalam keadaan manusianya. Malah pengakhiran novel ini memaparkan, si hero yang terjerat dalam alam separa realiti itu sudah mula dapat mencipta objek atau mewujudkan jirim fizikal dalam alam realiti dunia, langsung menunggangbalikkan maksud “siapa dalam alam realiti siapa dalam alam maya”? Bukankah ini melangkau logik akal?

Ridhwan Saidi, contoh penulis kita yang berbakat besar, menghasilkan Mautopia, yang sebenarnya merupakan suatu pengalaman novum baharu buat karya kita kerana menampilkan harapan sekali gus kritikan terhadap sistem dan maksud utopia serta distopia! Ini merupakan antara karya, jika dilihat dari sisi fiksyen sains (sangat pascamoden, atau memang pascamoden fiksyen sains seperti yang dikaji oleh Jean Baudrillard) sangat inovatif dan besar langkauan maksudnya. Saya kira, jika dinilai dengan modul sedia ada sayembara ini, akan terhakimilah, bahawa dunia ciptaan Saidi dengan manusia berkepala kerengga, lautan merah darah, dan enigma autoriti dan diayah ohgurubesarku! mungkin sahaja “fantastikal”, “mengarut”, “entah apa-apa”, dan tidak bercirikan unsur sains yang mantap. Jika kita hanya kenal dengan karya H.G. Wells dan Jules Verne dalam era romantisme sains (yang sememangnya kemudiannya menjadi asas kepada perincian genre fiksyen spekulatif dalam telahan Robert Heinlein bermula tahun 1947), itu sahajalah yang kita dapat.


Namun begitu, itulah, ini sayembara (dan sebab itu dipanggil fiksyen sains dan teknologi, katenyer), dan zaman ini, sayembara ini di dalam tangan dan konsensus-status quo-kedaulatan mereka. Dijalankan oleh sekumpulan Pelayar Guild yang berurusan hanya dengan sesama mereka agar “the spice must flow”, membisikkan doktrin yang harus diikuti itu ke telinga Emperor Padishah yang menguasai CHOGM dan alam sarwajagat kesemuanya. Dunia dan kapal angkasanya sudah ditentukan terlipat dan mengalir mengikut ketentuan sistematik mereka. Dan, dalam pengalaman biasa sejarah kehidupan, suatu doktrin yang terbiasa itu akan bertemu juga dengan persimpangan, apabila suatu pembaharuan idea atau fenomena yang akan mengganggunya, dan itu, untuk melihat sendiri ketentuan dan jalan panjang yang berterusan sudah tentu akan ada sesuatu yang berlaku dan menghendaki perhitungan, kebiasaan dalam hukum ketentuan alam, dan manusia hanya perlu menghadapinya. Dan ini sahaja, menariknya merupakan novum terbesar perjalanan penulisan fiksyen sains kita yang mula mengembang, sebutir demi sebutir habuk melintasi cakerawala. 

3 comments:

sri rahayu mohd yusop said...

Oh Fad. Terlebih dahulu tahniah. Barulah saya faham bagaimana anda melihat sains fiksyen. Terlalu kompleks falsafahmu sehingga takut tidak boleh diterjemah oleh bentuk novel. Heaven forbid anda menjadi ahli panel hakim 20 tahun lagi. Tolong jangan rahsiakan umur dlm biodata please. Sah falsafah kita berbeza oleh kerana pembacaan yang berbeza namun kita suka SF. Kalau kita nak co write anda muatan ilmu dan saya muatan psikologi dan saya beri terrain anda berikan falsafahnya dan saya akan pastikan penyampaian yang accessible to the layman. Anda begitu kompleks. Takut tidak dapat difahami. Intelligent men always fascinate me!

mohdsyazwan2010 said...

teruskan perjuangan dalam penulisan sains fiksyen malaysia

Mus said...

Aduhai!!! Dan saya bahagia sekali menjadi segelintir orang yang memahami pergolakan ini... hahahhaha...

Kagum dengan anda berdua... Kak Sri Rahayu & Fadli....

Tidak pernah gagal memberikan kejutan demi kejutan. Mendesak penulis2 baru supaya melepasi benchmark...

fuhhh... tak tercapai rasanya....