Begitulah, semuanya sudah menjadi
sejarah.
Alhamdulillah, beransur sudah majlis
penyampaian hadiah, dan Leksikon Ledang, suatu usaha sama bersama-sama
dengan Nor Azida Ishak menerima Hadiah Kedua Utama. Untuk berdiri bersama-sama
Kak Sri, Hafizul, Kak Saadiah (Ruhainie tidak hadir, BOOOOO party booper!),
itu suatu keseronokan kerana mereka pejuang dalam genre yang masih disalah
tafsir sebagai genre budak-budak ini.
Bagi saya, kemenangan itu, dengan
kenyataan klise, hanya suatu bonus, hal yang lebih murni lagi (dan kita patut
memuji pelaksanaan UTM dan Utusan dalam hal ini) ialah mengayakan genre ini
dengan inisiatif memperbanyakkan terbitan judul ini yang selalunya selektif,
nafsu mencuba memasarkan genre lain selain karya konvensional yang mengikut
musim tertentu dalam persada kesusasteraan kita.
Semalam, dengan deretan para pelajar
dan kenyataan jelas “pencapaian terbaik” hasil produk sayembara ini untuk teks
KOMSAS menyatakan lagi kesesuaian genre ini untuk golongan pelajar atau anak muda.
Saya mengambil hal ini dengan gembira dan runsing. Gembira, kerana benar, kalau
hendak dipupuk satu-satu generasi itu untuk meraikan, membaca dan kemudian
mencipta, dan seperti Amerika Syarikat, anak-anaknya yang bermimpi dengan alam
fiksyen sains, besarnya menjadi ahli falsafah, pemikir pelbagai bidang
keilmuan, saintis makmal, teknokrat, dan angkasawan terkemuka (dan jangan
terkejut, membawa bersama istilah baharu dan penciptaan gajet yang mereka baca
daripada karya, walaupun sebodoh atau sepolos mana teksnya). Runsing, kerana
risau, fiksyen sains di Malaysia masih dijolok seperti era Othman Puteh lagi,
genre budak lelaki dan hanya bermain dengan isu-isu “bernilai murni” dan tidak
cuba melawan tampuk stereotaip ini untuk mencari ruang dan percubaan yang lebih
baharu dan segar, walaupun berlawan dengan nilai “yang sudah ditentukan” itu
sendiri.
Namun begitu, dalam hal yang begitulah
juga saya memuji ketekalan dan risiko pihak hakim kali ini yang sanggup juga,
mengambil isu yang melanggar etika dan aqidah, seperti klon dan perubahan
alamiah genetik, seperti karya pemenang Pertama Sri Rahayu hali ini, Transgenik
Sifar dan Idris Boi, Klon. Pada awal saya bertandang menulis Saga
Horizon (awalnya dinamakan ASAIN), pihak Alaf21, dengan perbincangan
bersama perujuk agamanya, telah menyatakan dengan jelas dan serius, watak ASAIN
itu tidak boleh dalam ciptaan “perubahan alamiah manusia daripada percambahan
dan pengubahsuaian beberapa kod genetik” yang dihasilkan daripada inkubasi
pengklonan. Saya memberikan contoh, jika benar terjaganya hal ehwal nilai murni
Alaf21, DBP yang amat terkenal menjaga karya bermutunya melalui persoalan nilai
murni telah melepaskan adikarya Rahmat Haroun (bapa fiksyen sains moden kita,
yang secara peliknya beliau tidak suka dikaitkan dengan genre ini), Manuklon
(ya, sumber ASAIN daripada ini) yang jelas-jelas membina makhluk artifisial
berkepintaran buatan yang ampuh. Hujah saya ditolak keras oleh pihak mereka,
menyatakan bahawa, bukan dalam tangan saya untuk mengubah kejadian Tuhan, dan
klon merupakan isu agama yang amat sensitif kerana percubaannya untuk mengubah
fitrah ciptaan ALLAH (gaya tipikal Alaf21, membesar hurufkan Pencipta hakiki
kita).
Betapalah saya terguris waktu itu,
kerana mahu tidak mahu, jika saya masih mahu teruskan menghasilkan karya
bersama-sama gergasi pembukuan popular Malaysia itu, saya perlu akur dengan
tatacaranya. Saya tidak ada cara lain lagi, saya kini diberikan pisau untuk
membelah perut bunting saya sendiri, seperti Sultan Mahmud, mengeluarkan anak
yang belum cukup sifatnya itu dari rahim saya sendiri dan melihatnya terdampar
mati di hadapan saya dengan perlahan. Saya kelar perut bunting saya diam-diam,
dengan pedih dan luka membuak. Anak itu longlai, teresak-esak untuk sepintas
udara, memandang saya dengan mata tidak cukup sifatnya, hitam yang menghisap
vakum kekosongan.
Namun begitu, sebenarnya, dalam dua
bulan selepas itu, setelah saya menggugurkan anak saya itu, saya tiba-tiba
terlintas, membina suatu idea baharu yang tidak melanggar isu aqidah, yang
tidak melanggar fitrah ALLAH, seorang anak baharu, lalu terjadilah dan jadilah Saga
Horizon yang dihasilkan, malah, saya menyatakan kesyukuran dan hormat saya
kepada pihak Alaf21 dan editornya atas kekerasan mereka, kerana sebenarnya,
versi kedua saya itu, lebih membuahkan kepuasan peribadi dan jiwa, malah dalam
hal ini, perubahan terhadap ASAIN (bahagian tengah novel) amat dipuji oleh
ramai yang sudah membacanya, menyatakan itulah roh novel tersebut (walaupun
saya kurang bersetuju dengan sekalangan kawan yang sempat membaca versi
pertama, kebanyakan yang sudah membaca versi pertama itu lebih menyukai versi
pertama dan bukan kedua, hal ini amat memelikkan tetapi saya hormati pilihan
mereka, dan versi itu sudah pun dilupai dalam nisan sejarah).
Oleh sebab itu, saya amat gembira
dengan keputusan panel hakim sayembara ini kerana memahami benar-benar apa yang
perlu dan tidak perlu untuk fiksyen sains (walaupun bagi saya tema ini sudah
melangkau era stereotaip kerana sudah ada beberapa karya daripada golongan indie
dan swasta yang terdahulu menghasilkan karya bertema sama), Alhamdulillah.
Rentetan penghasilan Leksikon
Ledang (“leksikon” dari segi bahasa bermakna kamus atau perbendaharaan
kata, tetapi juga bermaksud penyesuaian dan suatu pengumpulan beberapa kosa
kata dalam kefahaman makna yang sama, hal ini berkait rapat dengan kefahaman
mentafsir teks lama sebagai kod untuk membentuk suatu rumusan pengubahan
[transformasi] yang baharu – sebenarnya hal ini biasa dalam pengilmuan Barat
dan Timur lama, lebih-lebih lagi ilmu ini percambahan daripada hermeneutik
Bible dan tradisi kita, ilmu pentafsiran Al-Quran, yang kemudiannya pihak Barat
menggunakan idea ini dalam pelbagai bidang lain, termasuk penulisan pop dan
sastera, yang seperti kita tahu, menghasilkan karya seperti Da Vinci Code,
Foucault’s Pendulum, Tawarikh Cinta, dan serumpunnya) sebenarnya agak jauh,
dan sebenarnya terhasil daripada bengkel musim kedua sayembara ini, yang waktu
itu saya bertugas di DBP Kota Bharu.
Pada masa bengkel itu (tahun 2009/10?),
Dr. Saleeh Rahmat menampilkan suatu pandangan “teks baharu tempatan” yang agak
mengejutkan bagi saya, yakni pengolahan dunia mistik dan perubatan tradisional
(seperti penggunaan mantera dan jampi) kita sebagai suatu sains tempatan yang
menunggu untuk diterokai. Betapalah saya marah dan tidak bersetuju dengan
pandangan itu, mencampurbaurkan hal yang tahayul dan melanggar logik dan
rasional yang biasa dalam sains dalam penciptaan teks fiksyen sains, hal itu
seperti sesuatu yang melanggar hukum-hakam roh fiksyen sains.
Namun, hal yang saya entengkan juga
itu, mula menumbuh dan mengacau minda dan jiwa saya. Terdetik masa tu secara
selintas, saya, seperti dikejutkan daripada tidur panjang, lantas saya
menjerit, “Damn, that profesor, his actually right, what a brilliant and
original idea for our own science fiction novum!” Selepas itulah, saya baru
mula menghormati tinggi terhadap Dr. Saleeh (nasib balik beliau tidak menulis
prosa, kalau tidak!) dan pandangan inovatifnya.
Pada masa di Kelantan juga, saya mula
menjelajah alam yang lebih purba, yang dilupai oleh bangsa dan hakikat sejarah
manusia kita. Saya banyak mendaki gunung-gunung di sana dan serata Semenanjung.
Saya menyedari sesuatu, sejarah manusia kita, jika diteliti betul-betul,
bermula daripada gunung, gunung ialah punca tamadun manusia kita secara
kolektif (bukan daripada kefahaman Plato dan arkeologi yang menampilkan manusia
bermula daripada gua). Sains dan pertumbuhan hidup bermula di situ. Jika kita
ambil kisah Nabi terdahulu riwayat Ibn Abbas r.a. yang juga mengambil beberapa
sisi sumber lisan dan teks Israiliyat, dan sumber tradisi lisan dan tulisan
simpanan tamadun Parsi, India, dan Turki tentang riwayat Nabi, Nabi Allah Adam
a.s. (rujuk puncak Hawa di Sri Lanka atau Gunung Tur tempat Bahtera Nuh di
Turki) yang baru turun dari langit, membuat penempatannya di kawasan
pergunungan yang luas. Qabil yang membunuh Habil, diriwayatkan, setelah merajuk
(inilah merajuk pertama sejarah dunia) daripada membunuh anak kesayangan
ayahnya, dan rasa bersalah yang tinggi, telah meninggalkan pergunungan itu,
lalu berkelana di kawasan tepi air sungai yang dipanggil “delta” (hal ini para pentafsir lama menghubungkan tanah Ur, Akkadia, Assyiria, dan Mesopotamia sebagai suatu kemungkinan anak cucu pelata keturunan Qabil, namun hal ini berlawanan dengan pandangan kemunculan bah besar era Nabi Nuh a.s. yang membersihkan segala tamadun anak cucu Adam a.s. selepas itu lalu terbina tamadun baharu), yang
kemudiannya menjadi penempatan yang lebih maju (ingat, Qabil ahli dalam
pertanian, manakala Habil dalam pengembalaan dan penjagaan haiwan ternakan) dan
penduduknya jauh lebih ramai dan melata cepat daripada kawasan pergunungan.
Kononnya, daripada benih Qabil inilah, wujud dan mulanya penyimpangan ajaran
murni agama benar, dengan godaan Iblis (waktu itu Allah tampilkan kebolehan
Iblis muncul di hadapan manusia, sebelum ketibaan Rasul Terakhir) serta kurang
pendedahan dan kebersamaan bersama sang patriark dan sumber penyampai benar,
Nabi Adam a.s. Oleh sebab itu, dalam kolektif pandangan manusia (dan ini
mengejutkan, ia melangkau budaya, mitos dan agama dunia), gunung disimbolkan
sebagai “suci”, “kemurniaan yang tidak terusik”, yang kemudiannya menjadi
“tersasar” kepada tempat duduk dewa-dewa (seperti Olympus di Yunani) dan
diabadikan sebagai tempat “menemui Tuhan” seperti Ziggurat kalangan Zoroastis,
piramid golongan Maya, simbol Meru di Kuil Hindu kawasan Selatan India, dan
Borobudur dan Angkor Wat, kalangan anak Nusantara, kita.
Hal ini lebih mengejutkan, apabila
saya menemui rekahan tamadun di puncak Gunung Jerai (dikatakan tapak istana
Sultan Kedah Tua pertama yang masuk Islam, yang kononnya juga secara legenda,
tapak asal Wan Empu Wan Malini atau titis asal keturunan Melayu, wallahualam)
dan Bukit Merak di Kelantan, juga kepelikan bukit dan gua Kota Gelanggi di
Pahang. Dalam sejarah serata Asia Tenggara juga, kebanyakan punca tamadun
mereka bermula dengan penempatan di pergunungan, contohnya Kemboja, asal
tamadun mereka juga dalam pembukaan kota Phnom Penh berasal daripada sebuah
bukit, seperti mana Istana Melaka berdiri di atas Bukit Melaka. Oleh sebab
itulah, dalam mencari maksud yang terbaik untuk menimbulkan suatu cerita,
Gunung Ledang (dalam tradisi Barat, ledang ialah “ophir”, kosa kata sumber
Ibrani, berkenaan daerah atau persinggahan atau pelabuhan yang dikenali sebagai
tepat yang kaya dengan pengumpulan barang dagangan dan harta benda melimpah
ruah, dan kononnya, harta benda Nabi Sulaiman tersimpan di sini, maka dalam
konteks ini, kekayaan itu tersimpan dalam bentuk ilmu yang dirahsiakan) dipilih
dalam idea novel ini, gunung di sini mengambil dua maksud, pertama daripada
penjagaan dan penyebaran penjagaan kesucian ajaran (supaya kita boleh kembali
kepada fitrah kita seperti mahunya Tuhan kepada kita), yang sudah tentu,
menjadi tempat (seperti misterinya Piramid) penjagaan dan penyebaran kesucian
ilmu sains, dan dalam kisah ini, sains purba (di ini, kita mengambil kefahaman
Plato dengan teknologi Atlantis dalam manuskrip Timaeus). Kedua, sudah
tentu dengan mengambil maksud kolektif permulaan sejarah tamadun manusia, dan
dalam hal ini, tamadun sains Melayu purba yang mempunyai penjaganya bersilih
ganti.
Ah, idea sudah tercetus. Tetapi, atas
kerja dan rutin tugas yang sangat mendesak, saya tahu, saya tidak dapat
melakukan penulisan ini dengan sendiri. Bestarinya sayembara ini ialah sifat
pembukaannya untuk pembinaan penulis berkumpulan (sehingga empat orang). Saya
mula mencari rakan penulis untuk berjuang. Mulanya, ada seorang pengarang
veteran mapan yang ingin ikut serta. Maaf, mungkin saya sedikit prejudis dan
dari kecil selalu dikeji-keji oleh orang tua, saya sebenarnya kurang senang
mendekati orang tua. Saya juga risau dan mempunyai pelbagai persoalan jika
penulis lama mampu memahami apa-apa fiksyen sains yang saya sudah baca (zaman
fiksyen sains dahulu berbeza dengan sekarang) dan apabila diselidiki, beliau
tidak pernah membaca satu pun, bukan bidang beliau pun.
Hal inilah yang paling merisaukan, dan
hal inilah yang membahagikan kalangan yang benar-benar menulis untuk fiksyen
sains (dan ingin menghidupkan dan memasyarakatkannya), dan kalangan yang
membuatnya kerana ada imbuhan (hadiah pemenang) tanpa betul-betul berniat
memasuki alamnya. Hal inilah nanti yang kita dapat perhatikan dan detect
dalam kalangan pemenang yang berjaya (penulis yang kelihatan tekal dan jujur
berkarya kerana genre ini, seperti Sri Rahayu yang sebenarnya sudah
memulakannya awal lagi dalam beberapa judul Hadiah Sastera Kumpulan Utusan) dan
penulis yang tidak berjaya lepas ke garisan penamat. Jika mereka jujur dan semboyan
sejati dalam genre ini, mereka akan mencari jalan untuk menerbitkan, dalam
apa-apa jua cara sekali pun, hasil manuskrip mereka yang tertolak (rujuk
perjuangan J.K. Rowling dengan Harry Potternya), dan kemudian mencari
ruang untuk karya ini diperbincangkan dan diapresiasikan dengan tulus.
Saya kemudian bernasib baik apabila
seorang penggemar fiksyen sains, penulis novel, ingin ikut serta bersama-sama
mengambil idea ini untuk dibentuk dan diluahkan. Kami mula bergerak, mula-mula
dengan baik sekali (beliau menulis dekat tiga bab) yang kemudian tiba-tiba
terpaksa terhenti atas tugas beliau yang mula bertambah dalam dunia penerbitan.
Lantas saya kembali pada tapak sifar.
Tuhan mencuit waktu pada tempatnya,
Maha Perancang Segala, apabila tiba-tiba Nor Azida Ishak masuk dalam gambaran.
Nor Azida sudah lama menulis dengan majalah DBP, khusus dalam cereka sains
dalam Dewan Kosmik. Saya tampak potensinya yang kuat dalam
penceritaannya, khususnya dalam antologi yang beliau usulkan kepada saya untuk
masuk, antologi fiksyen sains Pistol Laser Lisa kelolaan Tok Rimau dan
Azalan Sinaganaga yang hip. Bermula daripada situ, saya mula merisik. Dan,
Alhamdulillah, rupa-rupanya kami sama-sama meminati Micheal Crichton (walaupun
nama ini dikutuk oleh kalangan peminat tegar fiksyen sains kerana sifat populis
dan latar Hollywoodnya), sama-sama meminati ilmu forensik (kami pernah
berimpian untuk menulis novel ngeri ala drama CSI atau seperti Thomas
Harris), dan sama-sama peminat tegar The X-Files (Azida banyak merujuk
kajian komprehensif Anne Simon, The Real Science Behind The X-Files dalam
proses pengkajian idea ini). Beliau adalah antara penulis yang berjaya
menangkap sumber inspirasi JIAN saya yang datang daripada dua buah
episod klasik siri The X-Files (dan juga filem Impulse karya
Graham Baker). Setelah mengetahui hal ini, saya tahu, dan beliau tahu, kami
mesti berusaha bersama dalam projek ini.
Lalu segala-galanya pun menjadi
sejarah. Berjalanlah saya yang kemudiannya disambut oleh Azida dalam suatu
perjalanan yang perit dan panjang, bertahun-tahun, tetapi amat membahagiakan,
dan paling penting seronok. Ya, tidaklah saya mendabik ini yang terbaik, malah
amat sederhana kehadirannya, seperti secampak hama dalam vakum angkasa luas
fiksyen sains, tetapi amat memuaskan.
Apa yang membuatkan paduan kami
menjadi ialah, idea saya yang gila-gila, dirasionalkan, dibedah, dianalisis
sedalam-dalamnya, dalam kemahiran Azida untuk meneliti beberapa kajian sains
dan jurnal sains serata dunia, maya atau cetak, untuk menampilkan plausibility,
nova, atau kefahaman unggul fenomena fiksyen sains yang diusahakan. Azida
juga tukang selidik logos perwatakan, isu sentimen, nilai murni, dan
plot, malah cambahan idea, watak dan perwatakan, dan plotnya juga. Jadi beliau
sebenarnya bukan sahaja co-writer saya, tetapi editor pertama saya juga.
Saya percaya, hal yang sama juga sebaliknya buat Azida tentang saya.
Hal ini menjadi suatu yang indah lagi
apabila Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar, pengarang siber Dendam Siber dan Wira Pesona
Avatari, ketua panel hakim datang kepada kami dan menggalakkan agar kami
meneruskan perjuangan ini, insya-Allah. Hal ini membayangkan gandingan Kevin J.
Anderson dengan Brian Herbert, atau Orson Scott Card dengan James Cameron, atau
Frank Herbert dan Bill Ransom, suatu perkara yang amat biasa berlaku dalam
penulisan fiksyen sains.
Membaca laporan panel dan buku program
terjumpa sedikit kecanggungan (sinopsis terus menulis kisah dari awal dan
akhir, buat apa? Mereka faham tidak dengan persoalan spoiler?),
dan satu permasalahan yang aku dapati. Laporan, yang mungkin dibuat dengan ekspres
sekali, membaca “unsur” sains teknologi dalam erti kata mikro, bukan persoalan
yang lebih meluas (novum) yang biasa dalam kefahaman fiksyen sains,
khususnya Barat. Kesemua manuskrip yang dibedah, melihat dengan terpecah
(modul) dan empirik sekali tanpa menyatukan satu makna dengan satu makna untuk
menimbulkan suatu hal yang lebih menyeluruh, lantas akhirnya dapat menjumpai “novum”
(pembaharuan atau kekinian atau keterasingan yang mengagumkan dari sudut
pengalaman kemanusiann – rujuk Adam Roberts) karya itu.
Oleh sebab itu, saya percaya,
segolongan 15 baki manuskrip yang tertolak tentu menyimpan mutiara yang
menunggu untuk dikeluarkan daripada cangkerangnya. Ada persoalan yang kononnya
“melanggar logik akal” yang sebenarnya inilah sense of wonder yang biasa
dan seharusnya timbul sebagai katarsis penulisan fiksyen sains. Contohnya,
dalam Dune, sebuah adikarya besar fiksyen sains, pemenang Anugerah
Nebula dan Hugo, Herbert menampilkan bagaimana seorang anak muda yang meminum
air water of life, kahak bendalir cacing gurun di planet Arrakis, yang
berjaya menawan “racun”nya, dapat mengawal cacing gurun sebesar bangunan tinggi
sekali gus rempah melange yang dijaga oleh cacing raksasa Arrakis (rempah yang
melambatkan proses penuaan dan melipat angkasa). Betapalah, tiada keterangan
saintifik apa-apa pun untuk menampilkan idea serba melanggar logik ini (minum
air liur cacing membuat kita berjaya memerintah alam sarwajagat), tiada
langsung, malah ritual serba mistik peminuman yang dijalankan ini juga berkait
dengan “agama” kalangan bangsa Freeman (seperti orang Arab badwi) lantas
melangkaui maksud sains pun (kuasa kepercayaan/keyakinan dalam
agama/mitos.budaya untuk mengubah kefahaman kolektif masyarakat). Hal ini ialah
kerana keterlibatan sebab-akibat yang kukuh secara “fenomena”, yang bermakna
suatu kefahaman peristiwa yang besar akan suatu proses yang berkait-kait antara
peristiwa lain dan memberi cause and effect yang tertentu atau
“sejarah/pengalaman” manusia yang baharu, dan mungkin juga membawa suatu
pembaharuan atau transformasi dalam cara kita melihat sejarah atau latar atau
hal kontemporari, falsafah, sosiobudaya, politik, juga pemikiran dunia itu atau
landskap cerita itu. Inilah yang dikatakan novum.
Rempah-cacing-Arrakis-angkasa lepas menjadi berkait, menyampaikan maksud
tentang penguasaan dan kekuasaan, yang membawa persoalan yang sangat besar
tentang kuasa perubahan dan susunan waktu yang sesuai untuk perubahan (kisah
ini sebenarnya suatu kritikan terhadap kuasa agama atau budaya mengganggu
keseimbangan sistem dunia).
Dan bayangkan, dalam The MartianChronicles, klasik besar daripada Ray Bradbury, yang diisytiharkan sebagai
antara fiksyen sains agung oleh ramai pengkritik, menampilkan pagar dimensi (Star
Trek mengambil idea telerportasi daripada sini), pintu di bumi yang membawa
manusia dan makhluk asing ke Marikh. Tidak ada keterangan sains yang perlu
ditampilkan (ini bahagian mikro) akan teknologi makhluk asing ini, kerana idea
besar atau novum novel ini lain, bukan sahaja antara tema opera angkasa
terbaik yang pernah dibikin (novel ini banyak mempengaruhi filem Star Wars),
tetapi tentang rentetan kemanusiaan menghadapi keterasingan yang kosmopolitan
(!), bagaimana pengalaman manusia berubah dengan kejutan budaya baharu dan
bagaimana dapat mengadaptasi dan menguasainya. Hal itu lebih besar dan penting
daripada satu gerbang dimensi yang membawa manusia ke satu tempat ke satu
tempat yang lain.
Saya kira, jika Phillip K. Dick,
satu-satunya penulis fiksyen sains moden paling hebat masuk sayembara ini, saya
gerenti, akan tertolak terus secara langsung. Bayangkan, contohnya, seperti Ubik,
antara novel besar pengarang ini, si hero yang hidup separa nafas dalam alam
antara hidup-mati (dipanggil half-life) perlukan semburan kuasa Ubik
untuk bling-bling-bling, terus hidup sebelum diserap oleh “lorong
cahaya”. Bayangkan! Bukankah begitu entah apa-apa dan imej melampau “di luar
logik akal”? Namun, pengkritik kontemporari menyedari, novel ini lebih daripada
itu, yakni tentang realiti kepelbagaian (realiti-separa realiti-alam
akhir/realiti tamat, atau Dick amat menguatkan gagasan Buddha dan Hindu, yakni
percaya kepada reinkarnasi, kelahiran semula setelah roh atau naluri atau conscience
kembali ke realiti tamat) dan bagaimana manusia dapat menipu mati (cheat
death), dan novum sebenarnya ialah, bagaimana manusia juga secara
tidak sengaja membina struktur sistem hidup atau sosialnya dalam dunia baharu
(di sini alam separa realiti hidup-mati), dan bagaimana mereka menghadapi
cabaran dan kesusahan yang timbul dalam realiti baharu itu dalam keadaan
manusianya. Malah pengakhiran novel ini memaparkan, si hero yang terjerat dalam
alam separa realiti itu sudah mula dapat mencipta objek atau mewujudkan jirim
fizikal dalam alam realiti dunia, langsung menunggangbalikkan maksud “siapa
dalam alam realiti siapa dalam alam maya”? Bukankah ini melangkau logik akal?
Ridhwan Saidi, contoh penulis kita
yang berbakat besar, menghasilkan Mautopia, yang sebenarnya merupakan
suatu pengalaman novum baharu buat karya kita kerana menampilkan harapan
sekali gus kritikan terhadap sistem dan maksud utopia serta distopia! Ini
merupakan antara karya, jika dilihat dari sisi fiksyen sains (sangat
pascamoden, atau memang pascamoden fiksyen sains seperti yang dikaji oleh Jean
Baudrillard) sangat inovatif dan besar langkauan maksudnya. Saya kira, jika
dinilai dengan modul sedia ada sayembara ini, akan terhakimilah, bahawa dunia
ciptaan Saidi dengan manusia berkepala kerengga, lautan merah darah, dan enigma
autoriti dan diayah ohgurubesarku! mungkin sahaja “fantastikal”,
“mengarut”, “entah apa-apa”, dan tidak bercirikan unsur sains yang mantap. Jika
kita hanya kenal dengan karya H.G. Wells dan Jules Verne dalam era romantisme
sains (yang sememangnya kemudiannya menjadi asas kepada perincian genre fiksyen
spekulatif dalam telahan Robert Heinlein bermula tahun 1947), itu sahajalah
yang kita dapat.
Namun begitu, itulah, ini sayembara (dan
sebab itu dipanggil fiksyen sains dan teknologi, katenyer), dan zaman
ini, sayembara ini di dalam tangan dan konsensus-status quo-kedaulatan mereka.
Dijalankan oleh sekumpulan Pelayar Guild yang berurusan hanya dengan sesama
mereka agar “the spice must flow”, membisikkan doktrin yang harus
diikuti itu ke telinga Emperor Padishah yang menguasai CHOGM dan alam
sarwajagat kesemuanya. Dunia dan kapal angkasanya sudah ditentukan terlipat dan
mengalir mengikut ketentuan sistematik mereka. Dan, dalam pengalaman biasa
sejarah kehidupan, suatu doktrin yang terbiasa itu akan bertemu juga dengan
persimpangan, apabila suatu pembaharuan idea atau fenomena yang akan mengganggunya,
dan itu, untuk melihat sendiri ketentuan dan jalan panjang yang berterusan
sudah tentu akan ada sesuatu yang berlaku dan menghendaki perhitungan,
kebiasaan dalam hukum ketentuan alam, dan manusia hanya perlu menghadapinya.
Dan ini sahaja, menariknya merupakan novum terbesar perjalanan penulisan
fiksyen sains kita yang mula mengembang, sebutir demi sebutir habuk melintasi
cakerawala.
3 comments:
Oh Fad. Terlebih dahulu tahniah. Barulah saya faham bagaimana anda melihat sains fiksyen. Terlalu kompleks falsafahmu sehingga takut tidak boleh diterjemah oleh bentuk novel. Heaven forbid anda menjadi ahli panel hakim 20 tahun lagi. Tolong jangan rahsiakan umur dlm biodata please. Sah falsafah kita berbeza oleh kerana pembacaan yang berbeza namun kita suka SF. Kalau kita nak co write anda muatan ilmu dan saya muatan psikologi dan saya beri terrain anda berikan falsafahnya dan saya akan pastikan penyampaian yang accessible to the layman. Anda begitu kompleks. Takut tidak dapat difahami. Intelligent men always fascinate me!
teruskan perjuangan dalam penulisan sains fiksyen malaysia
Aduhai!!! Dan saya bahagia sekali menjadi segelintir orang yang memahami pergolakan ini... hahahhaha...
Kagum dengan anda berdua... Kak Sri Rahayu & Fadli....
Tidak pernah gagal memberikan kejutan demi kejutan. Mendesak penulis2 baru supaya melepasi benchmark...
fuhhh... tak tercapai rasanya....
Post a Comment