Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, March 16, 2015

Kronikel Bumi



Tajuk: Kronikel Bumi
Oleh: Nurul Izwazi Mohd Nor
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2010


Sinopsis:
Bumi zaman hadapan menderita gersang. Teknologi canggih disandarkan. Sekumpulan anak muda melakukan ekspidisi mencari relik yang membuka persoalan teka-teki "jisim kosmik", kepingan batu mateorit dari luar langit yang menimpa bumi, untuk mengembalikan bau asin lautan dan kepulan rimbun awan. 

Rasa:

Akhirnya, saya habiskan novel yang amat susah saya habiskan beberapa tahun lepas. Saya sengaja hendak habiskan sebelum hari penyampaian hadiah sayembara ini, tahun 2015, untuk melihat perkembangan dan kelangkaan kandungan daripada musim pertamanya. Jelasnya, mungkin mutu kandungan dan penyampaiannya sudah jauh maju dan baik selepas musim keduanya (Detik dan Equilibria merupakan antara contoh yang terbaik).

Memang, saya akur pada para jurinya dalam melihat kekuatan latar dan skop landskap, antara ketiga-tiga novel pemenang tahun 2010, novel Nurul Izwazi ini yang terbaik dari segi kemajuan tema, ketangkasan unsur sains, dan ruang latar. Bayangkan, kisahnya berturut-turut dalam beratus-ratus tahun. Hal ini menarik dan saya kira tidak pernah dilakukan oleh mana-mana penulis (sebenarnya, membaca novel Izwazi yang sebelum, beliau pernah melakukan hal ini, yakni mengambil skop epik, bertahun-tahun). Hal ini menarik lagi apabila bab demi bab yang dibaca, mengatur suatu "cerita" bumi yang makin tenat dek ketelanjuran dan ketaasuban manusianya dengan teknologi, menghancurkan tanah tumpahnya tanpa sedar (dan Izwazi memaparkan, dilakukan dengan naif dan jahil sekali oleh kalangan manusia berautoritinya). Kemusnahan itu membawa kepada perubahan iklim, bukan sahaja fizikal dan geografi (tanah jadi tandus, perubahan cuaca yang ekstrem, salji kepada terik mendadak) tetapi sosiopolitik dan sosiomasyarakatnya. Terdapat kumpulan manusia yang bersatu membentuk kembali monarki (atau sebenarnya pemerintahan berkuku besi), perpecahan negara kota yang berkumpul suatu "federasi" (persekutuan). Semua ini menarik (saya teringat akan HG Wells, khususnya novel The Shape of Things to Come[1933] dan The Food of the Gods and How it Came to Earth[1904], yang mana pengarang roman sains atau sains romantisme ini begitu pakar sekali melakar latar panjang dengan banyak watak yang berdurasi bertahun-tahun untuk menampilkan sebab-akibat fenomena sains atau perubahan isu sains yang disampaikan, dan bagaimana, sedikit demi sedikit, yang pada awalnya manusianya berkonflik, kemudian menghadapinya, cuba memahami fenomenanya, dan lantas menerimanya dan mengubahsuai atau membaikinya) kerana menampilkan suatu kronikel yang panjang, berkait-kait yang kemudiannya membentuk suatu sikap dan fahaman baharu yang kemudian akan diubah/dihadapi oleh generasi baharunya (fiksyen sains yang baik memahami maksud ini, malah inilah kupasan novum yang dicari-cari oleh pengarang fiksyen sains yang baik, kebanyakan pengarang fiksyen sains besar, seperti Asimov, Herbert, dan Heinlein, banyak menggunakan sisi fahaman ini, tanggungjawab generasi baharu).

alas, generasi baharu yang ditunggu-tunggu itu merupakan sekumpulan manusia kartun dan selapis (sebenarnya, banyak watak selapis dalam fiksyen sains, tapi bagaimana pengarang membuatnya menarik itu yang penting, seperti Wells, tulisan wataknya sangat satu dimensi tetapi bergerak secara dokumentasi atau jurnal) yang saya tangkap merupakan kesukaan Iswazi, yakni menghidupkan watak komik manga yang beliau sukakan sangat. Hal ini mencanggungkan, kerana dalam dialog dan penceritaan watak, watak Izwazi sangat terganggu dalam ingin menjadi "Melayu-Timur" tetapi bersifat Barat-Superfisial ala Manga dan beberapa percubaan yang dicedok (yang paling jelas adalah daripada Saga Empayar Kristal Firdaus Arif). Banyak perlakuan, gerakan, penerangan dan penyampaian yang canggung bunyinya, banyak berlaku penempelan isu, fenomena dan bahasa, lebih-lebih lagi percubaan Izwazi untuk beranalogi dengan metafora biasa dan lama Melayu, beberapanya menarik,  malah mencuit, tetapi kebanyakannya gagal menarik kefahaman dan nikmat pembaca.

Paling canggung, bahasa dan gaya langgam Izwazi amat terperangkap dengan sikap dan penyampaian yang begitu "simple minded", bercelaru, dan hilang tumpuan, yang tidak sepatutnya keluar daripada fiksyen sains kerana fiksyen sains amat-amat menitikberatkan hal logos dan sebab-akibat yang kuat (lebih baik Izwazi menulis cerita ini dalam bentuk omnipresent atau jurnalistik daripada cuba menangkap kisah mikronya), seperti "Terjerit Darius akibat marah dan untuk jeritan itu, kepalanya dihentak." (hlm. 125) atau "Radixone ni dah dipatenkan atau belum? ... Aku baru cipta semalam ..." (hlm. 255), dan "Bunyi apa tu? ... Perut akulah, berkeroncong ni ... Kau lapar?" (hlm. 266). Kecanggungan demi kecanggungan ini melemahkan lagi nikmat pembacaan dan keseronokan pembaca.

Lihat sahaja judul bab yang diberikan: "Akut atau Kronik" yakni judul bab kesepuluh (atau Arka Kesepuluh[?]) novel ini (dengan penerusan bab yang entah apa-apa tentang merawat seorang kawan). Sah, Izwazi seakan tersesat dalam rimba bahasa Melayu yang indah, yang ingin menyampaikan, menggunakan, secara sepenuhnya nama-nama baharu ini yang dijumpainya daripada kamus atau pembimbing, tanpa memikirkannya dengan betul-betul, menampilkan betapa polosnya pena dan akal.

Izwazi memang hebat menampilkan pertempuran, lebih-lebih lagi meka, antara satu puak dengan puak yang lain, dan hal ini sudahpun beliau lakukan dalam novel DBP yang lalu. Ini kekuatan (dan kegilaan) beliau.

Dosa terbesar Izwazi ialah dalam fenomena atau novum besar novelnya. Jelas, temanya amat murni dan melangkau Kala Yuda, pemenang tahun itu, yakni fenomena pascaapokalips. Kita diberikan latar beberapa buah negara kota dan sebuah empayar zalim. Pertama, tidak ada sebab-akibat kukuh untuk Izwazi menampilkan maksud perpecahan "monarki" dan "federasi" dan "kota" (peranan kota itu mendekati novel saya sendiri, Saga Horizon, dengan maksud air sintetik dan air tulen yang seakan-akan sama tetapi tidak dihuraikan maksud budaya-agama-ekonomi dengan kekontangan segalanya yang tulen ini), bagaimana kota dan empayar ini terbentuk, cara dan mengapa ia dibentuk, siapa dan mengapa, tujuannya apa. Hal ini yang membezakan Izwazi dengan Wells, contohnya, yang membina dunia baharunya dengan kumpulan manusia yang cukup serba-serbi sejarah, tujuan, peranan, sosiobudaya, pembudayaan, dan pemikiran awam masyarakatnya (mana-mana pencipta alam baharu, seperti Herbert, Banks, Vladimir Bogoraz, Vladimir Solovyov, Anderson, dan Gibson pun memahami hal ini). Satu hal yang amat membuat saya marah dan mencampak buku ini adalah apabila, dunia gersang dan terpinggir kota-kota novel ini (saya terbayangkan Mad Max atau Hardware) sudah tersedia dibina, kemudia terletak satu akropolis agung sehebat kota kosmopolitan Blade Runner di tengah-tengah cerita(!) yang menterbalikkan kesemua kefahaman alamiah dan logos yang sudah terbina daripada latar ini. Okey, Izwazi boleh lakukan hal itu (sangat berisiko) tetapi perlu maksud dan hujah kuat, yang dibina dengan latar dan maksud yang sempurna, KENAPA wujud satu kota agung di tengah kegersangan dunia (makanan dan minuman tidak ada, bagaimana manusia dapat tinggal dalam bangunan yang tinggi-tinggi? Dengan pendingin hawa? Tidak ada kubah yang menutupinya?). Dan akropolis itu (yang muhibbah, lawan terhadap Islami Militan empayar zalim yang cuba melawannya!) pula akan diserang oleh sebuah empayar besar yang kononnya zalim (Klingon di bumi kot). Kemudian, jika terdapat PELBAGAI pakar dalam kota agung (sebab itu kosmopolitan dik, kalau tak jangan buat!), kenapa tiba-tiba ada sekumpulan anak muda yang menggatal "cuba cari" jisim kosmik, yang kononnya, tiba-tiba jadi cerdik nak menyelesaikan masalah ekosistem bumi apabila ada berpuluh pakar dalam satu kota agung tidak terfikir untuk menyelesaikannya. Malah, pemecahan "kalung", "kepingan relik" dan entah apa-apa itu lagi sangat naif; secara latarnya, dan cara ia dijumpai.

Dan hal itu membawa kepada dosa kedua terbesar novel ini: meteorit dari luar langit menjadi jawapan penyelesaian bumi yang kontang? The worst ever idea in science fiction ever attempt by any FS writers. Saya mencari-cari suatu maksud yang konkrit, kenapa meteorit ini penting, kenapa jisim kosmik ini penting (perlu ada penampilan fenomena sains yang dipamerkan, bertindakbalas antara ekosistem atau persekitaran bumi, mungkin udara-atmosfera dengan meteorit tersebut, dengan memaksudkan asal usul meteorit itu dengan konkrit, atau sekurang-kurangnya dengan penampilan alamiah atau anamoli bima sakti yang luas), tetapi sampai ke garisan penamat saya tidak menemuinya. Ini yang membuatkan suatu karya itu dapat dipanggil sebagai fiksyen sains atau sai-fai (antara sains dengan fantasi) atau "fantasi", dan karya ini amat mencuba tetapi tidak berjaya. Kini saya faham kenapa Kala Yuda menang dan bukan novel ini. Malah, dapat saya rumuskan, untuk musim pertamanya, kebanyakan novelnya lemah, malah tidak patut diberikan hadiah utama.

Akhirnya, saya pernah, beberapa tahun dulu, dengan rendah diri, menghadiahkan novel biasa saya, Saga Horizon, kepada seorang daripada panel hakim hadiah sayembara ini. Hakim itu hanya tersengih, melihat label "Alaf 21" yang tertera sambil bercakap dengan nada sinis, "Cuba baca novel pemenang fiksyen sains dan teknologi yang baru terbit baru-baru ini, novel mereka jauh lebih mendalam kupasan dan wawasan sains teknologinya, karyanya sangat intelektual dan tinggi nilai sasteranya." Setelah membaca kesemua novel untuk tahun itu, saya dapat mengembalikan balasan pantun saya kepada hakim itu, "Maaf tuan, (novel-novel itu) jauh daripada sempurna, jauh daripada apa yang kami pembaca fiksyen sains idam-idamkan."

1 comment:

srirahayumohdyusop said...

Saudara Fadli,

Anda berjaya membuat kritikan yang sopan tetapi sampai tujuan kritikan itu. Bahkan ada bahagian kritikan yang amat murah hati kerana anda punyai ilmu untuk membuat perbandingan. Tapi kami dapat rasakan kekecewaan anda. Perenggan akhir paling bagus. Kesal yang ia berlaku, di mana orang yang kita harapkan kepakarannya boleh buat kenyataan berasaskan prejudis tahap rendah (jika betul anekdot ini kerana persepsi itu 99% realiti) Sekarang kita tengok sempurnakah karya kita? Ataupun tak perlu sempurna, cuma boleh diterima akal dan orang boleh jumpa kisah diri mereka dalam novel sai-fai. Hanya Allah yang lebih tahu.s