Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, August 2, 2013

Panrita: Perjalanan dan Ramalan




Tajuk: Panrita

Oleh: Arena Wati 
Terbitan: DBP
Tahun: 1993



Sinopsis:
Kisah pengalaman ke alam roh yang dilalui Omba bersama-sama "Panrita", seorang guru yang membuka jalan kepadanya melalui pelbagai "citra" dan "pengisahan" yang juga merupakan perjalanan "penyucian" dan "pengajaran" Omba. Omba dalam alam bumi "maya" sedang koma sebagai Tun Khamis yang mana di sebelahnya, isteri keduanya di Mekkah sednag duduk berdoa. Tidak dia sedari, terdapat tiga lagin insan serata dunia yang turut mengalami koma seperti Omba dan sedang melalui perjalanan roh yang panjang tetapi menarik dan menakutkan. 

Rasa:


Percubaan Sasterawan Negara yang amat saya gemari secara peribadi ini sungguh besar cita-citanya, sesuatu yang saya pasti belum pernah dilakukan dalam alam fiksyen Melayu (mungkin saya salah), yakni memberikan antitesis terhadap puisi epik Divine Comedy karya Dante Aligheri, yakni perjalanan seorang individu (kita dipastikan di sini sebagai "roh" atau kesedaran protagonis yakni Omba) melalui alam "malakut" atau ghaib lalu bertemu dengan Panrita yang membuka kepadanya pelbagai pintu dan gambaran "filem" tentang baik buruk duniawi/kendiri/akal/jiwa. Baik buruk ini akan terpancar sebagai cerminan terhadap Omba, yang sekali gus menjadi perjalanan dia memahami "diri" lalu kemudian melalui penyucian jiwanya "yang telah banyak kali berdosa di bumi". 

Kerja Arena lakukan ini memang "gila" dan amat hebat. Bab pertamanya sahaja membuka suatu "perbicaraan" falsafah yang menarik tentang suatu "projek" yang digerakkan oleh kumpulan "golongan wali Allah?" untuk mengubah "takdir bumi". Memang perbincangan dan kesatuan falsafah dan agama yang dilakukan Arena impresif walaupun mungkin tersedak buat mereka yang mencari lebih daripada perkembangan perwatakan dan kedalaman watak. Omba dan "isi-isi watak lain" dalam dunia "malakut" itu semacam kadbod yang berkata-kata dengan tergamam dan teruja melihat segala spectacle kuasa Allah di kelilingi mereka diketuai guru rohaniah mereka. Memang ini kelihatan "kering" buat pembaca Barat namun perlulah diketahui bahawa kepintaran Arena, seperit tingkat demi tingkat "rohani" yang saya kira terdapatlah beberapa rujukan kitab Islam yang dibuat, walaupun tidak sempurna kefahamannya, dapatlah mendepani ilustrasi mata Islam-Melayu melihat kefahaman besar, yakni Tuhan terhadpa manusia dan isi bumi, pemaknaan takdir dan qada qadar, serta penciptaan "manusia" paling sempurna di hadapan Ilahi. Hal ini jauh meninggalkan, walaupun turut mengalami detik perjalanan dalam puisi panjang Dante. Kedua-duanya turut mendidaktik "siapa masuk syurga siapa masuk neraka" (dalam puisi Dante, beberapa tokoh Islam kita dimasukkan dalam "neraka").

Hanya saya tersinggung dengan perlakuan Arena terhadap tokoh sufi besar dan penyair moden Melayu sebenar, Hamzah Fansuri yang dipermain-mainkan (walaupun menarik) dari segi karikatur, antara "guru rohani" Omba. Saya faham terdapat tingkat "keramat" dan "hakikat" kalangan guru-guru yang secara tidak nyata "wali" itu dinamakan, namun bagi saya petikan yang berikut agak keterlaluan buat Hamzah, walaupun menarik:

"Kau ini Hamzah, seperti orang bodoh." Guru Khalwatiah ketawa. "Memang semua yang dicipta oleh Yang Maha Khaliq dengan tujuan masing-masin." 
Arena Wati, 1993: 334

Tahukah kita sedalam mana "bodoh" atau tidak "bodoh"nya Hamzah Fansuri, pencipta syair dan pantun sufi itu? Saya memaafkan Arena kerana "dia tidak tahu" walaupun hal ini tidak sepatutnya berlaku. Inilah "peningkatan rohani" yang kita tampak, jelas tertulis (pada masa itu) oleh penulisnya terhadap kefahaman hakikat, keramat, dan makrifat. Yang terpancar bukanlah "kebenaran" tetapi "penafsiran" Arena terhadap tahap hakikat Hamzah yang sebenarnya membicarakan kebenaran kefahaman penulisnya sendiri (buat Bapak Affandi, kes inilah yang saya maksudkan dalam tulisan saya ini, mereka yang sok-sok tahu sesuatu yang mereka tidak tahu, yang jelas mereka dapat baca daripada buku dan bukan mengalaminya seperti peningkatan ilmu yang diajar oleh Imam Ghazali).

Namun begitu, sikap dan niat Arena jujur dan murni kerana ada suatu lagi agenda yang menyebabkan kerja ini dihasilkan. Novel ini terpecah dalam dua alam, alam ghaib (seperti di atas) dalam alam dunia/maya/bumi yang mana kita bergerak atas watak Sumarti, isteri Tun Khamis/Omba sebagai pencerita dan "mata naratif" kita. Kita memahami sesuatu di sini. Arena seakan-akan penulis fiksyen sains yang terkemuka, menyusun kisahnya pada suatu matlamat besar. Beliau seperti seorang ahli nujum yang membuat ramalan besar akan kejayaan Melayu keturunan Bani Tamim di persada antarabangsa. Ya, inilah detik-detik Awal Arena (sebelum trilogi Armageddon itu) menyelami dunia "masa hadapan". Inilah pembentangan kertasnya terhadap kerelevan orang Melayu-Nusantara dalam gelanggang antarabangsa. Suaranya jelas dan optimis terhadap kejayaan mereka. Semangatnya tinggi.

Novel ini cukup menarik dalam detik dialog dan penulisannya yang kadang-kadang ekonomis dan panjang tetap juga menyampaikan puitis yang tersendiri, gaya Arena, yang saya nampak hidup dalam lidah Faisal Tehrani. Terdapat beberapa citra yang naif dan terus-terang komikal (contohnya mainan PBB) yang saya kira dibuat secara sedar oleh Arena. Pengakhiran novel ini memberi suatu "kekuatan" dan nafas semangat, memaparkan detik-detik kebangkitan Melayu untuk mengubah takdir dunia.

2 comments:

Anonymous said...

Saya membaca novel ni ketika berumur 17 tahun dan hanya mampu baca separuh sahaja kerana tingkat pemikiran pada masa itu. Sekarang baru sahaja jumpa tajuk dia, dan akan mencari balik buku ni dan cuba habis kan

Anonymous said...

Saya hampir tamat membaca cerita Panrita dan bagi saya jalan penceritaanya itu pelik tetapi menarik dan saya amat kagum dengan cara penulisan Allahyarham SN Arena Wati. Apa pendapat bagi yang sudah tamat membaca mengenai unsur simbolik yang digunakan?