Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Saturday, July 27, 2013

Jogosimo Mahizan Husain


Tajuk: Jogosimo

Oleh: Mahizan Husain
Terbitan: DBP
Tahun: 2013



Sinopsis:
Pokok Jejawi Tok Merah yang sudah beratus tahun berdiri dan dianggap keramat oleh penduduk Kampung Jejawi, termasuk tok Imam Kasa, menjadi antogonis utama buat Agus, seorang anak pondok yang pandai bermain beduk dan seruling. Kisah pertembungan adat, adab, pegangan dan tradisi ini dicampur dengan semangat pertentangan orang Melayu terhadap penjajah Inggeris serta kisah panjang suatu sumpahan ilmu harimau jadian yang membawa pada satu klimaks di kota besar London! 

Rasa:


Saya agak terkejut dan teruja membaca novel ini. Tidaklah dapat saya nyatakan jika novel ini novel Malaysia terbaik setakat 2013 kerana banyak lagi yang belum berjaya dihabiskan, namun novel ini sememangnya antara tahun 2013 yang paling puas dibaca dan mendekati kesempurnaan sebuah novel.

Saya pernah memanggil semangat "realisme magis" cerpen SM Zakir dengan realisme haqiqat (kerana pencapaian ghaib kita sememangnya hak, tiada yang batil) dan ini merupakan suatu contoh lagi yang menarik. Penulis berjaya mengangkat suatu dunia keagamaan atau kepondokan yang amat teliti (diwakili oleh watak Agus), disesuaikan dengan strategi naratif terhadap alam pembelajaran ghaib, dengan istilah "bertapa", oleh dua watak "asalan" Tok Merah/Jogosimo dan Kudus. Hal ini berkenaan dengan "ilmu belang tunggal" yang dibawa oleh tuan guru Yudhistira dari tanah Jawa. Pengimbauan dunia pondok dan sufisme berlaku dalam kehadiran "spiritual" Ustaz Muhid yang banyak membantu langkah gerak qada' dan qadar Agus, membawa kepada pokok mistik Tok Merah yang juga berkenaan keturunan Tok Merah-Kudus.

Pertalian dan pergaduhan "zaman berzaman" ini berkenaan pula dengan nasionalisme atau pertentangan kepada penjajah asing (era Tok Merah, Indonesia dilanda kekuasaan Belanda). Hal ini yang menarik apabila pertalian pokok jejawi Tok Merah dengan "keramat" cara kematian Tok Merah yang berkait pula dengan pengorbanan untuk tanah air dan semangat juang, dan dikomplekskan dengan pandangan aqidah (berkenaan maksiat orang kampung dan penduduk yang memohon ekor dengan pokok itu) dan rohaniah (berkenaan hakikat keramat pokok itu yang hanya dapat ditebang oleh sang hati yang tulus dan suci). Penulis seakan-akan merancang suatu "perjalanan sejarah perjuangan kemerdekaan" yang panjang, yang seakan-akan menampilkan bagaimana kerohanian, suci dan keramatnya perjuangan orang dahulu terhadap mencari tampuk kemerdekaan, lalu masa berlalu, anak generasi terkemudian "mencemari" makna jitu ini terhadap tuntutan kapitalisme dan kebendaan (memohon untuk rezeki yang sememangnya syirik) sampai melanggar hakikat sebenar makna pokok (hakikat kebenaran perjuangan untuk kemerdekaan). Saya tertarik hal ini kerana mengikut pandangan Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud berkenaan bagaimana negara dan perlembagaan disimbolkan dalam bentuk sebuah pokok yang tegap.

Cara Mahizan memainkan simbolisme ini menarik, sehingga novel ini bukan sahaja cuba menyelami ketelusan perjuangan anak watan untuk mencari kebenaran dan kebebasan tetapi berjaya menyelami ketidaktentuan dan kecelaruan semangat anak generasi sekarang dengan pertindihan demi pertindihan "penjajahan" luar yang lebih halus daripada fizikal, lebih licik daripada penipuan dan lebih bahaya daripada senapang. Hal pegangan, falsafah, niat material menjadi pertaruhan utama. Sifat mencari peradaban "benar" menjadi persoalan runcing, diikuti dengan naif dan tulus terbuka seorang watak "romantis", Agus. Agus didedahkan suatu sisi kekelabuan yang amat menarik, antara kebenaran dalam agama dan kebenaran dalam gerakan pemodenan, yang juga bermain dengan maksud-maksud kalbu, kekotoran jiwa, dan adab.

Bahasa Mahizan mungkin kadang-kadang keras dan kadang-kadang amat mengikuti Shahnon Ahmad (ini mungkin kelaziman kerana tempat asal di Utara). Terdapat pembayangan yang disampaikan dengan bahasa mudah yang kadang-kadang dingin tanpa satu kesatuan yang ampuh, dan kadang-kadang sengaja keanak-anakan. Namun begitu, saya suka dengan cara Mahizan "membuka cerita" novel ini, dari sudut "saya sumpah anda tidak pernah mendengar". Suara "monolog" ini menjadi samar-samar mulanya, menangkap pembaca dalam ketakjuban "alam" yang dicipta, dan pujukan seorang anak yang baru melihat dunia, diselit dengan kejutan teks berkenaan sastera dan filem Barat(!), yang kemudiannya kita menyedari merupakan suatu "pengalaman yang panjang" dilalui sang narator dalam kenaifannya melihat dunia. Namun, terdapat juga kata-kata yang akhirnya begitu indah, menampilkan perih kepayahan seorang insan "merdeka" yang kehilangan makna kemerdekaan dan dirinya:

"Saya seperti dihimbaukan ke rahim malam yang sangat hitam. Angin gundah musim panas yang menampar-nampar kaca jenedela sering mengejutkan saya di tengah malam. Kadang-kadang hujan yang gelisah di luar berdesis pilu. Selalu saya rasa seperti sedang berjalan di sebuah koridor yang lengang, panjang. Tiada sesiapa di situ. Saya dapat mendengar bunyi hentakan sepatu saya dengan jelas. Saya fikir saya akan menemui jalan di hujung koridor itu, tapi saya tidak temui apa-apa. Saya terus berjalan dan berjalan, bunyi sepatu makin kuat mengekori dan saya tidak tahu di mana penamatnya. Saya buntu dan rasa melayang tinggi seolah-olah saya berada di antara gugusan bintang-bintang dan galaksi. Saya terapung-apung kemudian masuk ke rongga langit yang memuntahkan saya semula sebagai hablur yang sangat halus."
Mahizan Husain, 2013: 428.

Novel yang amat berkata-kata dan mempunyai jiwa. Antara novel terbaik tahun ini.

No comments: