Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Tuesday, July 9, 2013

Sastera Islam: Pendirian Peribadi


Sudah dekat setahun lebih saya menjaga Dewan Sastera. Kritikan dan kutukan yang datang, biasalah, saya ambil sahaja dan cuba meneliti dan cuba memperbaiki. Sekurang-kurangnya saya cuba tidak makan kuaci.

Saya penulis biasa, amat biasa yang saya kira, saya tidak pernah terfikir akan dapat memegang majalah nasional sebesar itu. Semacam kalau Malaysia ini tidak ada Dewan Sastera, macam bukan Malaysia lagilah. Begitulah. 

Dalam banyak-banyak isu dan persoalan, saya paling tidak ambil pusing dan tidak mahu pun ambil pusing berkenaan polemik dan silat perbincangan berkenaan "sastera Islam".

Saya pernah sebelum ini mempernyatakannya, mungkin entri blog ini, mungkin blog lain dan mungkin kata-kata cetusan dalam media sosial lain. Saya tetap utuh keimanan berpaksikan, sebenarnya tidak ada yang perlu diperbesar-besarkan jika kita benar-benar betul dan tahu apa yang kita mahu sampaikan.

Bukan apa. Saya melihat gaya dunia sarjana kita, jika dilihat, atau dunia penulisan kita ini, secara rawaknya, sememangnya sudah "berubah" dalam alam kefahaman yang disenangi dan disanggupi oleh dunia Islam pada awalnya, dipelopori oleh imam besar dan "penggerak hati" yang tulus. Cuba fikirkan alam persuratan zaman itu, bagaimanakah proses penerbitan yang dibuat (ingat, era itu semuanya tulisan tangan sehinggan pencatit itu punya kerjaya pakarnya sendiri, yang dalam istilah Inggerisnya dipanggil "scriber"). Penerbitannya biasanya tergolong dan dikatakan "elitis" kerana tersasar kepada individu tertentu dalam ruang lingkup tertentu yang selalunya yang memahami dan menegakkan penguasaan (pemerintah/pelaku kerja memerintah). Kalangan cerdik pandai pula "dekat" atas dasar kerja mereka ini "dibiayai" oleh kumpulan berkuasa tersebut, namun ada juga yang bergerak sendiri atas sebagai seorang guru yang dihormati di sebuah madrasah, sepertimana kitab-kitab mutakhir Imam Al-Ghazali terhasil.

Cuba bayangkan betapa "berkeringatnya" kepala seorang guru masa itu apabila "melepaskan" suatu ilmu. Mereka tentu dengan ketakwaan tinggi (walaupun ada juga beberapa yang berpegang selain Ahl Sunnah Wa Jamaah seperti kalangan Muktazilah dan Syiah) berasa "kecil diri" dan sebab itu selalu, dalam penulisan mereka, tertitip "hamba yang memerlukan hidayah", "hamba yang kecil lagi daif", "hamba yang memerlukan pertolongan" dan pelbagai lagi. Semua adab ini sudah hilang dalam dunia zamna sekarang.

Sekarang, dunia pesat dan penerbitan pesat pasca-Guttenberg. Percayalah, baik apa-apa pun teori yang diutara dan diperbincangkan, kita tidak dapat lari daripada berasa "riak". Oh lihat, itu buku saya dah keluar. BUKU SAYA. Saya faham, sesiapa yang pernah melalui ceramah hebat Prof. Naguib al-Attas sekurang-kurangnya akan berasa "takut" untuk menulis jika tidak berasa "bertanggungjawab" dengan karyanya. Namun begitu, walaupun setelah menghasilkan karya itu, mahu tidak mahu, ada rasa "bangga" dalam diri kita.

Percayalah, sarjana dahulu kita tiada pun rasa bangga itu tersemat, kerana yang lebih penting ialah penyampaian ilmu yang kemudiannya digunakan dalam ruang-ruang tertentu untuk diperdengarkan dan dibicarakan. Itulah sebaik-baiknya.

Saya tertarik dengan kata-kata Sasterawan Negara Kemala dalam bukunya, Gagasan, menyatakan bagaimana kalangan penyair hebat seperti Iqbal dan Hamzah Fansuri, dunia mereka tidak pun berlakunya penandaan standard tertentu atau sekolah tertentu untuk menulis "Islam yang terbaik" dalam menampilkan "keindahan". Semuanya datang daripada naluri yang suci dan tawaduk.

Keperibadian yang suci.

Buatlah, kajilah, analisislah. Ya, kadang-kadang perlakuan itu akhirnya kita akan mendobrakkan kata-kata nista terhadap seorang insan lain, yang kadnag-kadang jika tidak ikut adab, mencapai tahap "mengutuk" lantas memfitnah. Kita takkan tahu soal ketelitian kritis antara Ibn Rusyd yang menyelar Tahafut Al-Falasifa Al-Ghazali. Apakah dengan kata-kata nista? Apakah dengan kita menunjukkan diri "Hey, lihat kepandaian aku terhadap kejelikan jahil kalian" itu menjadikan kita terbaik di sisi Allah? Tidakkah kita takut?

Sebab itu aku tidak berapa "bernafsu" membaca apa-apa bentuk teori atau kupasan "Islami" dalam dunia sastera kita. Ya, biarkan, tidaklah pula aku menghalangnya, kalau mahu kirimkan, ya kirim saja, namun pendirian peribadi aku tetap begitu, kerana bagi aku, bukan sahaja "keindahan" itu yang paling sempurna punya Allah jua, kita hanyalah pengemis miskin yang cuba mengutip bintang-bintang langit dan cuba menghamparkannya di atas lembaran. Di sinilah Allah (bukan aku, bukan kau) yang menunjukkan betapa benarnya kita dapat "menyalin" keindahan yang Allah ciptakan. Kerana itu, bagi aku, hanya penyair sufi yang benar-benar sufinya, dengan ikutan tariqatnya dan punya murshidnya dan sudah lama dalam dunia pencariannya yang benar-benar kelihatan "hidup" keindahan yang disampaikannya di atas lembaran, percayalah, telinga dan mata terbuka kerananya, jiwa dan hati terpesona kerananya. Kerana itu tokoh seperti Prof. Naguib Al-Attas, Syeikh Nazim al-Haqqani, Iqbal, dan seumpamanya sahaja yang apabila berkata dapat memindahkan gunung. Terasa intinya. Yang lain-lain, maaf, hanya fana.

Kerana itu jika ada penulis Islam atau pengkaji sastera Islam, saya suka sahaja bertanya, "Siapa guru awak?" Saja, hendak melihat perbezaan cara belajar mereka berbanding tradisi Islam pondok/tariqat yang punya sistem yang jauh lebih teliti dan terikat dengan adab yang luhur dan dipraktiskan, kemudian diuji dalam hal sehari-harian.

Jadi kerana itu saya tidak berani mendabik diri "menulis Islam", apatah lagi ingin berkata tentang Islam. Siapakah gerangan sekarang penulis "Islam" pun? Kenapa isitlah itu perlu diperdagangkan? Saya sendiri mengaku, keperibadian saya pasir berbanding seorang suluk di Masjid Kg. Yam, apa lagi ingin membahaskan "sastera" yang mendekati kesempurnaan. Yang harus pegang dan tahu, bagi saya, sudah cukup apa yang diperkatakan oleh Prof. Naguib yang saya sendiri pun tahu sampai bilakah dapat saya sampai ke tahap itu.

4 comments:

srirahayumohdyusop.blogspot.com said...

Terima kasih atas peringatan yang lembut ini, Fad.

Mohd Affandi Hassan said...

Salam saudara Fadhli.

Barangkali lebih baik jika kita lebih terbuka tentang perkara ini. Saya lihat yang sdr. bincang benar-benar masalah peribadi sdr., bukan tentang apa yang disebut "sastera Islam" itu. Kita boleh kritis, barangkali sampai menghiris, tetapi tentulah dengan mengemukakan hujah, bukan hanya tuduhan atau nista tersembunyi. Kini sudah jelas tidak saja sastera Melayu ada masalah epistemologi, malah pembicara tentang sastera pun ada masalah itu. Apa yang kita perlu buat? Bahaskan dan bicarakan dengan tegas. Tentu saja tidak ada yang sempurna, tetapi itu tidak menghalang orang memberi sanjungan terlalu tinggi kepada karya sasterawan negara. Kita bahaskan semua dengan mengemukakan hujah, bukan tuduhan. Kalau betul-betul mahu seperti tokoh yang anda sebut, itulah caranya. Tetapi saya lihat pembicara sastera di Malaysia tidak begitu, orang kampung saya kata masih lembik ubun-ubun. Sekali sekala biarlah yang sudah keras ubun-ubunnya berbicara pula; lagi pula mereka terbuka untuk dikritik, malah jika ada yang mahu mengutuk pun mereka boleh terima, hanya sebaiknya berilah hujah, bukan hanya kutukan kontan seperti dalam drama Melayu di TV. Saudara biasa dengan drama-dramaan ini; jangan dramakan perbincangan ilmiah tentang persuratan, tradisi nenek moyang kita. Kalau takut atau kecil hati bila dikritik, tidak layak menjadi ahli akademik, apatah lagi ahli sufi, kerana Imam Ghazali kata, ahli sufi itu pejuang yang berada di kalangan khalayak, di kalangan orang ramai. Seperti Tuk Kenali atau para pejuang kemerdekaan Nusantara. Insha Allah kita akan lebih maju jika kita terbuka kepada kritikan dan pandangan kritis. Tidak ada sebab untuk kita takut berkata benar, seperti saudara sendiri jika yang anda perkatakan itu sesuatu yang benar. Terbukakah DS untuk itu?

Muhammad Fadhli al-Akiti said...

Salam tuan Affandi, saya akur dan terima keterbukaan itu :)

Anonymous said...

Alah, Affandi Hassan tu pun mulutnya busuk mengata orang tak habis-habis nak bercakap pasal sastera Islam pulak.