Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Wednesday, May 13, 2015

Bersastera, Untuk Apa Lagi Kau Bergantung Di Sini?


Saya, Fadli al-Akiti, hamba Tuhan dan penjaga sapi seorang tuan pada sebuah padang yang luas, yang kini petak padangnya sudah mula (dan ini hal dunia yang biasa) diambil-ambil tempatnya, duduk bersama-sama anda dalam keadaan yang sangat gundah, mungkin menunggu hari-hari terakhir, meninggalkan, dibawa pergi.

Ngeri saya tidak pernah padam. Pada hari saya ditegur oleh Kembara Muda dengan tempik yang amat tajam sekali, bahawa saya tidak ada kelayakan untuk duduk di tempat seorang wali sastera yang amat besar bernama Usman Awang, editor Dewan Sastera zaman lampau dahulu, saya menyedari sendiri, saya tidak punya apa-apa pasport atau karya yang boleh dihadapkan sebagai persamaan, jauh lagi keberadaan Bapak Usman yang duduk atau berdiri sahaja, para sasterawan menghampirinya seperti kunang-kunang pada cahaya. Saya hanya seorang bocah bermimpi siang, dahulu belajar sains tulen, pandai IT, bersarjana muda dalam pengurusan, yang sentiasa terpesona dengan padang hijau di sebelah sana tempat Pak Usman pernah bersenda, Pak Arena melayar bedarnya di tengah padang, dan anak-anak kecil yang turut terpana melihat padang hijau itu seperti saya, yang kebanyakannya sudah pun membesar, dan sudah ada yang lantang suaranya, duduk bersama-sama kita pada pagi ini.

Jadi sekali saya bertanya, seperti Kembara Muda, untuk apa saya di sini jika mereka tidak mahu saya di sini?

Setelah saya duduk dengan sabar dalam tiga tahun, di padang yang mula kontang tanahnya, rumputnya dimamah rumput import dari New Zealand, dan kadang-kadang berkali-kali disimbah racun, saya menyedari, warga yang tinggal di padang luas itu juga boleh tahan biadabnya, boleh tahan sombong dan kurang ajarnya. Saya, sebagai bocah, hanya mahu dianggap sebagai manusia juga, seorang pegawai di kaunter yang meneliti baik, buruk, dan palsu tiket anda untuk lalu masuk ke dalam panggung. Tetapi nama sastera yang anda pegang, memalukan saya, dan patut, memalukan anda juga, kerana bukan seni dan kelembutan yang saya jumpa, tetapi pencucuk jarum, pendabik berdarah raja, pengadu domba, penekan, dan pengguna kuasa. Setiap satunya memakai topeng yang bertopeng dan bertopeng, yang sebalik wajah sebenarnya, seperti kata Robert Downey Jr, "fulfills their own dark agendas." 

Saya paling tidak tahan dengan kalangan Patih Karma Vijaya, yang terus-terusan menghasut tuan penjaga padang untuk ikut serta memasuki panggung yang sudah terbeli tiketnya. Kita terlalu bermain dengan politik rimba, menggasak, menggigit dan mencakar. Selagi kita tidak dapat apa yang kita tidak dapat, walaupun selaung kata sehingga patah kaki seorang, kita terus menggasak, menghasut. Tidak mempeduli jika padang luas itu terus dimamah oleh agenda yang lebih besar dan harus kita pertanyakan dan usahakan untuk mencari jalan penyelesaian, yang saya kira, dibawakan dengan realistik dan tepat pada masanya dalam resolusi demi resolusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, yang patut kita tanya, di manakah suara politik yang beria untuk meneliti dan merealisasikan cadangannya, di manakah tindakan susulan dan arah perintah seterusnya? Saya tahu, memang segelintir daripadanya sudah terlaksana, tetapi isu-isu yang lebih besar dan nasional sifatnya, masih dienteng-entengkan dan menjadi permainan teka-teki hingga sekarang.

Apakah gunanya jawatankuasa khas sastera jika hanya mencari salah tengek-bengek kecil sebuah majalah, bukankah lebih baik gunanya jawatankuasa segah itu memikirkan strategi-strategi baharu dalam hidup mati sastera dan kepentingan sastera kepada gerak maju negara, seperti cara untuk memasyarakatkan lagi sastera yang kian dibiarkan mati di sekolah dan tanah sendiri, gerakan mengantarabangsakan sastera dengan pendedahan penulis kita, karya kita, dan gerakan ejen pengarang dalam pelbagai festival, persidangan, dan biasiswa antarabangsa di luar sana, isu terjemahan dan penentuan sastera kita di mata dunia, menggerakkan pengampu, tukang promosi dan duta sastera kita ke luar negara, dan secara serius, berhentilah mengirim rakan-rakan kita ke luar negara jika tujuan mereka ke festival hanyalah untuk masuk ke pasar cenderamata dan membeli jajan untuk anak di rumah dan kawan pejabat di sebelah meja.   

Saya hanya seorang pegawai di tepi pintu panggung, dan anda sangat bernasib baik kerana anda dapat melihat saya. Kalau di dunia New Yorker atau Granta, jika karya anda sampah atau tidak mengikut perut peribadi editornya, tanpa soal jawab (malah tidak perlu jawab pun) karya anda akan terus dibakul sampahkan. Berkali-kalilah sang penulis, sebesar mana pun perut mereka, bertanya, kenapa tidak tersiar, hanya wajah maya seorang budak dengan ais krimnya yang akan mencebik lidahnya kerana salah bertanya.

Tapi tidak, anda mahu saya seperti seorang Nenek Kebayan yang menjemput anda yang hilang di tengah-tengah belantara, memujuk anda dengan gurindam mesra, memberi anda petunjuk, dan mententeramkan jiwa anda yang begitu kecamuk. 

Editor Paris Review dan Granta tidak ada masa untuk semua itu.

Saya amat menghormati dua pengarang ini, Marsli N.O dan Dato' Mansor. Jika saya kata karya mereka tidak lulus, ya mereka biarkan, diam, tidak mengecam atau bertanya "Mengapa?" tapi terus-menerus mengirim karya mereka. Malah Dato' Mansor sudah berkali-kali mengirim dan mengirim. Kami pernah berbual, dengan aspirasi saya untuk melihat dunia naratif kita mendapat suatu yang lebih baharu dan melanggar kebiasaan yang pernah dilakukan (ini tidak bermakna saya menolak bentuk yang konvensional dan sudah biasa, hanya awas, ini akan melemaukan wajah sastera kita). Dato' Mansor boleh dibawa berbincang, malah kami sungguh mesra, dan beliau tidak perlu pun berpolitik rimba (walaupun saya tahu, bertemu dengan saya ini juga sebenarnya suatu tindakan politikal, tetapi kami bertemu seperti kawan lama, dan ini hal yang lebih memanusiakan dan beradab dan disenangi).

Kita kini memang kehausan suara-suara baharu yang dapat memberi nafas pada puisi kita (walaupun secara peribadi, ada beberapa nama penyair muda yang saya gembira dengan penampilan mereka), kita kini dalam dunia mengitar semula, malah sudah terlalu menggunapakai suara yang rata-ratanya sama, malah sudah sampai pada tahap yang mendatar. Kita suka benar mengambil bayang-bayang penyair serba kenal kita, penaratif sedia baik kita, malah ada suara-suara luar seperti dari Indonesia, lalu kita tempel-tempelkan dengan kononnya, suara kita sendiri. Mungkin hal ini kita katakan dalam fasa eksperimen kita, kononnya untuk kita menemui suara penyair dan naratif kita sendiri, tetapi memperaga-ragakannya di hadapan khalayak lalu dengan bangga mendabik, "Ini aslinya aku," amat memalukan dan memualkan. Kita perlu sedar diri. Kita perlu bermuhasabah diri.

Mungkin Hang Tuah menyedari, dalam renungan yang panjang, bahawa lambat-laun, Feringgi akan dapat juga menjamah tanah Melaka bukan kerana ketiadaan kekuatan tenteranya, tetapi masalah dalaman istananya dan si Kitul yang berlumba-lumba untuk mengganggu kedaulatannya. Hang Tuah lalu menyepi dan membawa diri, kerana tahu, jika dibawakan kebenaran itu di hadapan balairung, negara terus nestapa sedang rohnya tercerai daripada badannya, sia-sia. Saya tidak katakan bahawa saya itu Hang Tuah dan kita tidaklah menghadapi kemurkaan Sultan Melaka, tetapi saya memohon kita untuk merenung seperti Hang Tuah, keadaan tidak tenteram kita sekarang dari segi apresiasinya dan perkembangannya, baik inti dan gerakan, agar kita tidak pula sunyi dan diam seperti Hang Tuah, menyendiri, menghilangkan diri, tetapi mengorak langkah untuk melihat maksud sebenar untuk apa sastera itu kepada diri kita. Insya-Allah, kita dapat menyelamatkannya.

2 comments:

srirahayumohdyusop said...

Saudara Fadli Al-Akiti,
Saya sudah mengagak anda berada di tempat yang sukar. Piawai anda tinggi dan itulah yang sepatutnya kerana setiap karya ada tempatnya. Terus berkhidmat umpama laksamana, terus bijaksana umpama pendeta. Semoga selamat sentiasa.

rozais al-anamy said...

Saudara Fad,
Membaca coretan ini pun, saya sangat yakin saudara sangat layak dan arif tentang padang amanah jagaan ini. Hanya petaka mazmumah yang menghuni diri mereka menidakkkan kelebihan saudara.

Ya, memang benar ada segelintir penulis dan sasterawan yang 'tidak tahu malu' sering membentak editor dengan sikap mereka yang sangat tidak mencerminkan seni mengharap dan meminta budi baik seseorang. Ada antara mereka yang membuatkan saya terbeliak biji mata kerana tidak percaya sama sekali terlalu rendah moralnya.

Semoga terus berjaya dan diganjari kebaikan yang berganda dengan sifat sabar saudara menghadapi mereka.