Tajuk: Ah Fook
Oleh: Jong Chian Lai
Terbitan: ITBM
Tahun: 2015
Sinopsis:
Ah Fook, seorang lelaki tanah besar China yang berkeluarga dan miskin, mengambil keputusan untuk merantau, mencari jalan untuk meraih kekayaan kembali untuk keluarganya, mencari jalan untuk membawa keluarganya bersama-sama di tanah baharu, dan mencari jalan untuk lari daripada sistem Komunis yang mencengkam hidupnya. Pelayaran di atas tongkang pak ciknya membawanya mengenali tanah "emas" dan hijau di pesisir Borneo, Sarawak, dengan kerja kuli di sebuah mahligai tauke kaya. Jepun datang, dan dengan detik itu, Ah Fook menyedari, pencarian jalannya mungkin terganggu selama-lamanya.
Rasa:
Novel Jong ini, yang memenangi tempat pertama dalam Syembara Penulisan ITBM-PENA-BH Musim Kedua telah membawa, dalam perkembangan kepengarangannya, suatu kesegaran dari segi pengucapan bahasanya dan perbicaraannya, yang turut mengisi rak persuratan saga diaspora yang jarang-jarang sekali wujud dalam novel kebangsaan. Cita-cita Jong ini agak tinggi, dan mungkin dapat dikatakan terjustifikasi, dengan setebal 718 halaman (novel paling tebal dekad ini, selain Sayang Sarawak nukilan Idris Boi yang melebihi lebih daripada 1000 halaman), melampirkan lebih daripada 10 watak, dengan zaman yang mencakupi era sebelum pendudukan Jepun, Perang Dunia Kedua, Kemerdekaan Tanah Melayu, pembentukan Malaysia dengan kemasukan Sarawak dalam peta nasional, sampai pada detik pascamerdeka yang pesat membangun, berubah dan mula berintegrasi antara kaum.
Adakah novel ini sebenar-benarnya sebuah novel sejarah atau novel kritikan sosial, atau suatu suara kontemporari hibrid, yang cuba menyatakan sesuatu tentang perkauaman dan pembentukan struktur sosial bangsa baharu dengan melihat kisah-kisah lama daripada foto hitam putih? Menariknya dalam memperkatakan novel ini, kita tidak dapat mengelak daripada merujuk novel Interlok, hasil Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang turut mempunyai suatu cetusan wacana yang sama, pemetaan identiti bangsa.
Dalam Interlok, pemetaan bangsa dilakukan dengan jelas, melancarkan tiga warna daripada tiga ras yang berbeza (hal inilah yang meletakkan Interlok dalam perangkap "propaganda" kerana susunan kausalitinya), bermula daripada suatu pengalaman individu-keluarga dalam ras masing-masing sebelum perang, dengan melihat ras imigran sebagai sesuatu "yang terasing" (the other) lantas dilihat dengan prejudis, yang sedikit demi sedikit, pengalaman dan perspektif ini terkikis secara alamiah atas perubahan masa, pengenalan, dan percampuran. Interlok, walaupun indah dan agung, menebarkan jalan integrasi (interlock) yang mudah daripada proses pembacaan.
Dalam hal Ah Fook, hal ini menjadi suatu hal yang berbeza, dengan sikap Jong kali ini, seakan-akan melakukan suatu pengemaskinian (upgrade) terhadap perspektif dan introspektif integrasi, malah Jong, sebenarnya melakukan pemetaan semula identiti, khususnya dalam identiti ras Cina terhadap keadaan dan pengalaman maksud menjadi "orang Malaysia", khususnya lagi dalam pengalaman latar Sarawak. Hal ini, dengan menariknya, dinaratifkan, bukan oleh protagonisnya, tetapi anaknya, Ah Rong, yang menceritakan susur galur dan latar sejarah ayahnya sedari awal dari Tanah Besar China, dan seterusnya dalam latar kontemporari, mengikut satu per satu, mungkin watak sebenar daripada cerita-cerita ayahnya, mungkin watak yang diciptanya sendiri sebagai penggerak cerita sepanjang ayahnya bercerita. Malah, menarik lagi, kerana novel ini ditulis dengan keadaan sedar dalam pencampuran kata ganti pertama (aku - Ah Rong) dan ketiga (dia, watak), seakan-akan Ah Rong, yang "merekodkan" kisah hidup ayahnya, turut bersama-sama, menjadi "bayang-bayang" ayahnya, menyampaikan suara batin, hasrat, malah pilihan situasi dan komentar tentang "apa yang dilalui" oleh ayahnya, secara rasa, jiwa, dan kadang-kadang, intelek. Saya mula-mula berasa janggal akan sikap "moden" dan kadang-kadang "intelek" apabila Ah Fook berbincang dengan rakan-rakan kulinya di rumah besar Kapitan Chang, dengan isu yang kelihatan berat dan politikal, malah terdapat penggunaan perkataan yang sungguh moden dan di luar milieu latar.
Namun, kejanggalan ini dijawab, pada bahagian ketiga novel ini, apabila, sedikit demi sedikit, kita menyedari bahawa Ah Rong berimpian (malah membuat pengakuan dengan sedar dalam sebuah bab) untuk menulis suatu biografi panjang tentang ayahnya. Keadaan "menulis hikayat" ini menarik, bukan sahaja daripada keadaan identifikasi semula Jong dan representasi kaumnya dalam maksud nasional yang luas, tetapi cara Jong, dan orang Cina dalam kefahaman Confucius secara prasedarnya, melakukan hubungan (connection) semula dengan nenek moyang (sejarah, akar, jati diri). Dalam erti kata orang Cina, melakukan hal ini (merujuk semula nenek moyang) sebagai tanda hormat dan sumpah setia terhadap makna dan kewujudan mereka sebagai manusia. Hal ini (perhubungan Cina sekarang dengan sejarah dan darah nenek moyang lamanya) bukan lagi suatu penulisan sastera, tetapi suatu penulisan yang mulia, dalam erti kata menyentuh hal spiritual, menjadi medium penghubung sekarang (Jong, Ah Rong) dengan dahulu (nenek moyang, era lama). Secara pengalaman pembacaan, hal ini menjadi lebih besar dari segi "pembacaan sejarah" apabila kita menyedari, Jong dengan sengaja, memasukkan "bahagian ketiga" novel ini dengan suara dan suasana dunia Malaysia sekarang, walaupun khusus pentas pengalaman Cina-Sarawak (walaupun sebenarnya terdapat babak panjang Ah Rong, narator novel ini, satu-satunya yang mendapat pengenalan dunia semenanjung Malaysia dan orang Melayu Islam secara intim dan peribadi), menjadi "penghubung mulia" ras Cina dengan bangsa Malaysia, lantas menjadi penyatuan spiritual sekali gus oleh pembaca terhadap sejarah panjang setitik diaspora ini, menjadi sejarah yang juga milik "kita semua".
Hal yang lebih menariknya, Jong tidak berhenti di situ. Dalam penggambaran rumah Ah Fook yang lama, kayu, berlubang, dan senget seperti hendak roboh, kita diminta untuk menyoal, duduk letak mana, susunan, pemetaan dan identifikasi biografi dan bangsa, yang sudah ditulis panjang oleh Ah Rong ini, punya nilai atau dipersoalkan oleh kita? Jika kita perkecilkan, robohlah rumah kayu Ah Fook yang senget itu, tiadalah tempat Ah Fook dalam hati kita sebagai bangsa dan manusia yang menjumpai tanah yang jauh, misterius, asing, tetapi akhirnya menjadi darahnya juga.
Novel ini dipecahkan kepada tiga bahagian sebenarnya. Bahagian pertama bahagian terbaik (malah bab pertama merupakan bab paling mengghairahkan pembacaan untuk diselak seterusnya penceritaan kisah Ah Fook) yang menatarkan kisah Ah Fook sampai ke Sarawak sebelum perang. Bahagian kedua, era pendudukan Jepun, walaupun intrig pada bahagian awal (lukisan ketidaktentuan dan ketakutan kehadiran Jepun dilukiskan dengan baik sekali) berkesan, episod seterusnya sedikit bosan dan tidak ada arah tujuan yang benar. Malah penceritaan kawan-kawan Ah Fook (selepas Ah Fook berkahwin dengan wanita Cina kacukan) dari rumah Mahligai Kapitan Chang dimatikan begitu sahaja tanpa kesinambungan dan penerusan. Bahagian ketiga pula, Jong melakukan, dengan sedar, banyak pengulangan, menceritakan, sedari zaman Jepun, merdeka, sehingga era moden, kisah rumah mertua, isteri baharunya, dan kemudian rumah binaan sendiri Ah Fook dan berlegar-legar hanya tentang lampu minyak tanah, belukar ikan, getah, besi sekerap, setiap anak-anak Ah Fook yang tiga belas itu. Walaupun ya, dalam penceritaan (setiap bab mewakili setiap anak, seperti Ah Rong menyembahyangkan setiap roh watak tersebut) berlakulah pembuka mata buat Ah Fook terhadap "manusia ganjil" berkulit gelap dan berlainan daripada kehidupannya, menggasak alam Ah Fook dengan lagu P. Ramlee, hiburan tarian joget, filem Melayu, adat pantang larang, dan agama Islam. Anak-anak Ah Fooklah, tanpa dosa dan penghakiman, melihat dengan mata miskin mereka dalam semua hal ini seperti menemui emas dan gula-gula. Namun pengulangan, tanpa benar-benar memberikan dramatik penceritaan, sedikit melemahkan motivasi dan daya gerak cerita. Walaupun kita sedar, pengulangan ini menjustifikasi sikap dan perspektif kebanyakan kaum Cina terhadap "hal terasing" yang mereka lihat sehari-hari, yang kemudiannya menjadi perkara biasa dan antaranya, menyeluk ke dalam budaya mereka, malah mengubah mereka (ada anak Ah Fook masuk Islam). Hal ini pula dengan sengaja meletakkan pula Ah Fook, sebagai seorang yang tidak konformis terhadap keterasingan dan pembaharuan yang mengelilinginya, walaupun anak dan cucunya berubah di hadapan matanya. Sikap Ah Fook ini (seperti generasi tua dalam wakil Interlok) seakan-akan menjadi pemerhati sejarah semata-mata, dan bukan pengikut masa atau mangsa sosiorealitinya, malah Ah Fook benar-benar bertegas untuk tidak mahu tahu menahu akan "budaya luar" itu. Hal ini menjadi suatu refleksi diri terhadap masyarakat kita sekarang, pada era serba waswas dan prasangka, adakah kita ingin mewarisi atau mewakili Ah Fook moden, yang berkeras untuk hanya mengenali diri kita sendiri dan cara kita sendiri, atau cuba kenal dan belajar sesuatu daripada bangsa lain. Persoalan ini dilemparkan dengan lembut tetapi bersahaja oleh Jong Chian Lai.
Novel yang mengambil masa, dan mungkin memerlukan sedikit kesabaran kita untuk melalui ranting dan pokok ceritanya, namun tentu memberikan sesuatu kepada kita yang mencari jalur dan maksud pengidentitian dan pemetaan kisah semalam untuk keyakinan jati diri dan harapan hari ini.
No comments:
Post a Comment