Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, April 27, 2015

Biohazard


Tajuk: Biohazard
Oleh: Kushairi Zuradi
Terbitan: Simptomatik Press
Tahun: 2014


Sinopsis:
Kumpulan 14 cerpen milik pakar perubatan dan pengarang fiksyen sains muda, Kushairi, yang lebih menumpukan kepada hal virus dan organisma seni yang banyak membahayakan dan mengganggu hidup manusia. 

Rasa:

Kushairi menjadi seorang lagi nama segar yang bakal menggegar dunia fiksyen sains tempatan. Penulisan dan garapan Kushairi sangat kreatif dalam menghidupkan suasana dan keadaan, latar dan dramatik dalam menyampaikan kesan-akibat dan kesediaan fenomena yang khusus dalam kejadian manusia mendapat penyakit bahaya, atau kuman yang dikira enteng tapi sebenarnya boleh membawa pada tahap kritikal, malah membunuh. Inilah dunia Robin Cook yang semahu-mahunya. Menariknya, bahasa sains dan kreatifnya terjalin baik seperti seorang pengarang yang sudah lama menulis (cerpennya pada masa hadapan wajib masuk dalam Dewan Kosmik). Kushairi mengikut gaya romantisme sains H.G. Wells, dengan meletakkan di atas meja ujiannya, segala bahan eksperimen, radas dan proses uji kaji (dalam hal ini, fenomena) dengan episod demi episod. Malah, ada kisah sebaran virus yang membuatkan saya kembali teringat dengan filem kegemaran saya, Outbreak (yang saya tahu, Kushairi cuplik daripada sebuah filem yang baik juga, Contagion), apabila masyarakat dengan alpa tetap akan musnah dan hancur kerana tidak dapat memahami dan menyedari bahayanya kuman atau virus dalam kehidupan seharian. Malah, dengan jelas, kesimpulan Kushairi, termasuk kritikan Kushairi terhadap masyarakat kita yang masih percaya dengan tahayul, bahawa manusia mati dalam berjuta, lebih banyak, kerana kealpaan, ketidak rasional, malah mengikut kemanusiaan mereka, daripada meneliti satu-satu hal dengan sains. Bagi Kushairi, Black Plague yang pernah menyerang Eropah yang jahil pada era Zaman Kegelapan akan tetap berlaku pada zaman sekarang dan hadapan, kerana manusia hanya lupa dengan pengulangan sejarah. Hal ini ditanda dengan berkali-kali, dengan suara didaktik yang baik, menyampaikan detik demi detik "apa yang akan berlaku", sepertimana yang dibuat oleh HG Wells tentang satu-satu penyebaran penyakit.

Dalam hal ini, atas sikap didaktik juga, Kusahiri menyampaikan pertukaran jangkitan penyakit melalui hubungan kelamin (saya rasa banyak cerpennya sentuh hal ini), sebagai inti pati didaktik yang hendak disampaikan pada kefahaman menjaga kemaluan daripada seks bebas dalam pengajaran agama. Kushairi juga menyampaikan sikap kritisnya terhadap masyarakat Melayu yang suka menyalahkan orang lain (di sini, Yahudi) tanpa hendak menuding diri sendiri. Kritikan ini menarik, walaupun sudah biasa dibuat. Terdapat juga cerpen "berkenaan gastrik" yang cuba disatirakan oleh Kushairi dalam fenomena "kesakitan" dengan keadaan politik yang bergolak, menjadi hal yang menarik kerana memanusiakan kumpulan kuman dan peri laku dalam anggota tubuh badan manusia. 

Dalam hal ini, beliau juga hanya menyentuh kuman yang sudah disedari realis atau muncul secara nyata (tidak ada percubaan untuk mencipta kuman baharu, walaupun ada pada cerpen awal, sebagai maksud senjata biologi), dan lebih khusus memerhatikan (seperti dokumentari) detik demi detik penyebarannya dan keadaan atau reaksi yang berlaku terhadap penghidap dan manusia sekitarnya, dan penyelesaian atau tragedi yang berlaku selepasnya. Hal ini baik, khusus pada mereka yang mencari hiburan dalam hal yang serius, atau menjadi nilai tambah kreatif terhadap penyakit sedia ada (sebagai rujukan case study), namun plot yang berulang-ulang ini menampakkan suatu klise yang sedikit membosankan bagi pembaca yang mencari lebih daripada itu. Namun, tujuan Kushairi yang walid, yakni menakutkan pembaca akan "makhluk yang ada di mana-mana" ini tersampai dan diwajari.

Pengarang ini, sudah tentu, menjadi pengarang hebat suatu hari nanti, kerana sudah terlihat kekuatan gambaran dan sisi dramatiknya dalam penulisan, hanya beliau perlulah beralih pada tema yang berbeza atau menyampaikan plot yang sedikit berbeza daripada cerpen dalam kumpulan ini. Saya terlihat, Kushairi tentu akan menyambung wawasan dan jejak pengarang fiksyen sains terbaik kita, Rahmat Haroun, dengan kisah dan novum yang tentu akan diingati pada zaman hadapan.

No comments: