Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, March 23, 2015

Pena Azida Tentang Penulisan Leksikon Ledang


Di sini, saya perturunkan suara pasangan penulis yang saya hormati dan kagumi, Nor Azida Ishak berkenaan pengalamannya menulis novel sulungnya, Leksikon Ledang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca semua. Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan penulis saya, Fadli kerana sudi membenarkan saya menumpang ruang blognya yang terkenal ini. Saya hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya menulis novel Leksikon Ledang dan juga rentetan peristiwa yang Allah SWT takdirkan berlaku sehingga menyebabkan kami menjadi pasukan penulis untuk novel yang memenangi tempat kedua dalam Sayembara Fiksyen Sains UTM-Kumpulan Utusan Musim Ketiga ini. Malah, semasa majlis pada 19 Mac 2015 tempoh hari, kami dikerumuni para wartawan dan soalan yang sering menjadi pilihan mereka ialah, “Bagaimana dua orang penulis boleh bekerjasama sehingga menghasilkan novel fiksyen sains ini?” Mungkin kerana ini adalah kali pertama dua orang penulis diangkat sebagai pemenang dalam sebuah sayembara, kerana sifat sesuatu sayembara itu yang jarang membenarkan penyertaan kumpulan. Atau mungkin juga kerana terdapat tanggapan bahawa seseorang penulis itu pastinya mempunyai kehendak dan aspirasinya sendiri dalam menghasilkan sesuatu manuskrip, maka tentunya agak sukar untuk dua orang penulis hendak bekerjasama, tambah lagi jika kedua-duanya mempunyai cara penulisan dan ideologi yang berbeza.

Tetapi bagi saya sendiri, menulis Leksikon Ledang adalah suatu kenangan yang manis. Saya sendiri tidak menyangka bahawa ia akan mencapai ke tahap setinggi ini, tambah lagi saya tidak berpengalaman menulis novel. Tetapi saya amat meminati sains dan tidak jemu menelaah karya dan artikel berkenaan subjek ini. Sekitar tahun 2009, saya mencuba nasib dengan mula menghantar cerpen-cerpen sains di majalah Dewan Kosmik. Alhamdulillah, rezeki saya yang murah menyebabkan beberapa cerpen saya disiarkan dengan kadar yang agak cepat. Saya tahu bahawa ini menarik perhatian Fadli kerana dia pernah menulis dalam wall FB milik Dewan Kosmik dan bertanya, “Siapa penulis Nor Azida Ishak ni? Karyanya selalu tersiar.” Masa ini, kami belum berkawan, apatah lagi bertegur sapa. Saya cuma mengikuti perkembangan Fadli dari jauh, yang mana saya tahu dia seorang pengajar bengkel penulisan fiksyen sains kelolaan Astaka Villa Aksara yang diurus oleh Serunai Faqir. Saya juga tahu bahawa Fadli adalah penulis Saga Horizon, maka saya membeli buku itu secara pos daripada Alaf 21 untuk membaca tulisannya.

Wah, Saga Horizon sangat menarik! Saya suka dengan ceritanya, ayatnya, mainan emosinya. Membaca Saga Horizon, saya terasa sangat dekat dengan wataknya, malah turut menyelami apa yang dirasai oleh wataknya; bagaimana ASAIN yang dianiayai sebegitu rupa sehingga menyebabkan ia menjadi jahat, kesedihan Maisara dan Dr. Ikone kerana ASAIN, kecekalan Rogue biar pun telah banyak kali kehilangan, ah semua watak-watak dalam novel Saga Horizon ini sangat dekat dengan jiwa saya.

Maka bermula bulan November 2011, saya menulis e-mel kepada Fadli, memberitahu bahawa saya meminati tulisannya dalam novel Saga Horizon. Di dalam e-mel itu saya bertanyakan tip-tip penulisan beliau dalam menghasilkan novel yang bagi saya sangat-sangatlah menarik tema penceritaannya. Fadli membalas dengan panjang lebar, bercerita sejarah manuskrip ASAIN dilahirkan dan bagaimana ia berkembang menjadi novel Saga Horizon. Fadli juga berkongsi tip bagaimana beliau meluangkan masa menulis novel setebal 500+ mukasurat itu, di samping memberitahu teknik untuk menghasilkan rangka dan juga tujuan beliau menulis novel itu.

Di sini saya nampak bahawa Fadli ialah seorang yang ikhlas dalam membimbing dan tidak kedekut berkongsi pengalamannya. Malah isi kandungan e-mel Fadli yang panjang lebar itu juga pernah dikongsikan dalam bengkel penulisan fiksyen sains (tetapi saya bertuah dapat percuma melalui emel, yay), tentang bagaimana menghasilkan fiksyen sains yang baik, yakni apakah tema/idea besar/novum yang ingin disampaikan, dan dari situ, bolehlah ia dikaitkan dengan drama manusia yang berlingkar dan berkonflik dengan idea itu. Menurut Fadli, itulah sebenar-benarnya kuasa sesuatu karya fiksyen sains yang maha agung.

Setahun selepas itu, pada 5 Disember 2012, saya mengajak Fadli menyertai Projek Buku Sains Fiksyen kelolaan Tok Rimau dan Abang Lan Sinaganaga. Keesokannya saya bertemu Fadli pertama kali dalam majlis penyampaian hadiah Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Kedua pada 6 Disember 2012. Di meja penonton, kami berbincang dan Fadli bertanya sama ada saya berminat menulis bersamanya, menghasilkan sebuah novel fiksyen sains untuk sayembara musim ketiga. Malam itu juga, selepas majlis, pada jam 7.41 malam Fadli telah menghantar e-mel kepada saya (tentu dia terkesan dengan aura para pemenang dan berkobar-kobar hendak menyertai sayembara seterusnya).

Dalam e-mel itu, Fadli menghantar sinopsis Leksikon Ledang yang pernah dihantar kepada rakannya. Oleh kerana tiada cerita yang terperinci, saya meminta Fadli menyediakan draf cadangan mengikut plot/kronologi kerana saya seorang yang sangat lemah memplot. Saya tahu bahawa kekuatan Fadli adalah kebolehannya mencipta plot yang rumit seperti Saga Horizon. Dan Fadli yang rajin membuat plot sehingga 7 muka surat panjangnya! Ah, mudahnya kerja saya, kerana saya hanya perlu mengembangkan novel itu mengikut plot yang dikarang Fadli dengan penuh gigih itu.

Fadli memberitahu agar saya menguatkan diri dengan segala kemungkinan alat bantu untuk dijadikan perencah novel itu. Beliau memohon saya mengkaji tentang DNA dan heredity, kuasa superconductor atau elektromagnet untuk membentuk adimanusia serta kaitan emas/perak dengan suatu unsur, yang mana emas/perak itu merupakan satu kod, kerana novel ini bergerak dengan kod-kod yang berkaitan dengan hikayat Puteri Gunung Ledang. Oh, saya sangat suka bahagian ini, jadi saya juga menggigihkan diri mengkaji aspek sains yang disebut itu. Fadli ada juga meminta saya mendalami tentang simbologi (membaca Puitika Sastera Melayu dan The Mind of the Author – yang ini saya tak buat, hii).

Kesukaan seorang penulis ialah apabila tiada orang yang cuba mengkritik atau membetulkan karyanya sepanjang masa. Bekerjasama dengan Fadli sangat harmonis kerana dia seorang yang tidak langsung memaksa. Fadli mempercayai saya untuk menulis mengikut cara saya yang tersendiri, malah membiarkan saya berimaginasi bebas seperti burung yang baru belajar terbang di langit biru. Namun pabila malam menjelang burung itu masih tetap mahu pulang ke sarangnya, dan saya juga perlu ingat untuk kekal pada novum yang dicadangkan Fadli, di mana beliau berkata bahawa: “Bangsa Melayu adalah bangsa yang besar sebenarnya, menanamkan sifat menyedari kita bukan bangsa pemalas/bodoh seperti yang kita didoktrin oleh pernyataan "White Men's Burden", serta mencakna generasi baharu untuk melihat kembali teks lama dan mengintepretasinya untuk pemahaman zaman sekarang, ini yang paling penting. Satu lagi adalah saya mau mengembalikan atau memberi makna baharu kepada "kedaulatan" dan ini berkenaan "darah" (melanggar pemahaman sosialis yang sentiasa menyatakan ketidakadilan berlainan darjat yang terus menular sehingga sekarang)”.

Entah mengapa, pada awalnya percubaan menulis novel ini sangat perlahan, susah, dan tersangkut-sangkut. Berkali-kali saya rasa mahu mengalah dan menguburkan sahaja projek penulisan ini. Sehinggalah Allah SWT menemukan saya dengan DVD The X-Files yang lengkap sehingga 10 season. Saya menonton setiap episod dalam siri itu tanpa jemu seperti orang dahagakan ilmu, dan saya menelaah buku yang ditulis Anne Simon bertajuk The Real Science Behind the X-Files seperti saya mahu membuat kertas kerja layaknya. Alhamdulillah, apa yang dimahukan Fadli ada di dalam buku itu dan saya mula mendapat sedikit ilham untuk memulakannya. Saya gunakan episod "Darkness Falls" dalam X-Files untuk mencipta adegan Hasan di dalam hutan, dan filem Jurassic Park yang diilhamkan Michael Crichton untuk mencipta adegan penemuan dan kajian geliga/amber itu.

Alhamdulillah, penulisan berjalan lancar dan siap dihantar pada Fadli untuk dicantikkan pada 8 Disember 2013, dua minggu sebelum bengkel fiksyen sains akan berlangsung di UTM KL pada 21 Disember 2013. Kami berbincang dengan gigih semasa bengkel. Fadli seterusnya memakai topi editornya, meneruskan proses menulis dan mengedit dengan sangat laju bagi mengekalkan momentumnya. Pada 22 Januari 2014, draf pertama berjaya disiapkan sepenuhnya oleh Fadli, dan sesudah membacanya, saya dikunjungi suatu perasaan lega yang teramat, kerana betapa saya sangat berpuas hati dengan hasilnya.

Penciptaan watak-watak dalam Leksikon Ledang sebenarnya adalah mudah. Kami sengaja meletakkan Zack sebagai seorang yang berwatak sederhana pada mulanya. Zack itu ialah seorang yang sedikit tidak yakin dengan dirinya, tetapi berubah menjadi berani dan sanggup mengorbankan dirinya sendiri apabila menghampiri ke penghujung cerita. Itu adalah ciri keperibadian dan keberanian yang sukar dicari, lebih-lebih lagi manusia pada zaman kini yang dilihat terlalu mementingkan diri. Harapannya agar hal perubahan Zack ini akan menjadikan beliau sebagai suatu inspirasi kepada pembaca yang turut berkongsi pengembaraan Zack dalam novel Leksikon Ledang ini.

Dalam Leksikon Ledang juga terdapat bahagian yang menyindir ketaasuban masyarakat kita pada cerita hantu, tahyul, misteri, seram, dan mistik sehingga terlalu berleluasa dan melampau sifatnya. Maka sebab itulah dalam novel ini diwujudkan unsur seperti makhluk halus yang menjadi ‘penunggu’ di dalam hutan, malah ianya bermata merah pula. Apa yang menarik, kehadiran makhluk halus ini sebenarnya boleh diterangkan dengan mudah melalui takrifan sains, menandakan betapa sesuatu yang misteri dan aneh itu sebenarnya mempunyai penjelasannya yang tersendiri, lebih-lebih lagi jika kita berminat dan berusaha untuk mengkajinya.

Saya juga sengaja menciptakan dialog buat watak Ainul Muin yang tidak sudah-sudah menyebut beberapa filem di dalam novel ini, sebagai ‘homage’ kepada Fadli yang sangat meminati dunia filem. Menariknya tentang Ainul Muin ini, adalah kerana dalam menulis Leksikon Ledang, saya mengalami sendiri apa yang dikatakan oleh kalangan penulis berpengalaman bahawa terdapat watak-watak yang boleh ‘hidup sendiri’. Ainul Muin itu hidup sendiri tanpa dapat saya kawal, dan saya sangat-sangat tidak menggemari wataknya. Saya beberapa kali mengadu kepada Fadli tentang watak Ainul Muin yang selalu berkonflik dengan diri saya. Bagi saya, Ainul Muin itu terlalu banyak bercakap, terlalu terburu-buru, terlalu penyibuk, terlalu segalanya. Sampai satu tahap, saya rasa mahu ‘bunuh’ sahaja watak Ainul Muin itu dengan kejam di penghujung cerita, tetapi Fadli melarang kerana katanya watak Ainul Muin itu jugalah yang menambah warna-warni Leksikon Ledang sebenarnya. Kini, apabila mengenang kembali pengalaman itu, saya hanya boleh ketawa sendiri, kerana akhirnya saya berjaya juga merasai pengalaman pelik menulis seorang watak yang ada ‘angin’nya sendiri, watak yang langsung saya tidak tahu dari mana kemunculannya, dan bagaimana beliau boleh bernyawa sendiri tanpa mampu saya kawal perwatakannya itu.

Sebagai penutup, saya juga tidak mahu mendabik dada mengatakan bahawa novel ini adalah yang terbaik. Saya akui bahawa tulisan di dalam Leksikon Ledang ini mungkin tidak dapat memenangi hati semua pembacanya. Segala reviu, komen dan kritikan daripada para pembaca akan kami jadikan sebagai panduan untuk memperbaiki penulisan yang akan datang. Dengan izin Allah SWT, semoga Leksikon Ledang menjadi batu loncatan untuk saya dan Fadli terus berkarya, menyubur dan memeriahkan lagi dunia fiksyen sains yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kita. Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca blog Fadli yang sudi membaca tulisan kecil ini.

Yang benar,
Azida

*Sesiapa yang berminat untuk membeli Leksikon Ledang (harga RM30 termasuk pos), boleh hubungi Azida di azida80@yahoo.com


1 comment:

Mus said...

Tahniah! Tahniah!

Tak sabar mahu memiliki buku anda berdua