Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Wednesday, March 25, 2015

Mengimbas Kembali JIAN 18SG


Masa saya kecik, saya banyak angst, saya rasa, perangai buruk tu masih ada sampai sekarang. Tapi, masa kecik, saya lebih tidak matang dan banyak perkara yang saya tidak tahu.

Antaranya berkenaan novel JIAN saya, novel sulung saya, yang, terdapat beberapa adegan ganas yang dipotong oleh penerbit DBP masa itu kerana "tidak sesuai dengan pembacaan remaja". Ya, saya agak marah tapi saya tidak semarah Aidil Khalid yang ingin menyaman-nyaman editor dan penerbit. Saya akur dan hormati keputusan mereka, walaupun saya tidak suka. Itu lumrah (tapi Aidil tentu akan kata, "Go to hell") dalam dunia penerbitan, mengikut agenda dan matlamat penubuhan mereka.

Apabila saya meneliti beberapa novel zombi yang sudah banyak di pasaran sekarang (seperti Zombijaya dan Infeksi), saya hanya terkikih dan seronok, teringat zaman "muda" saya. Tapi jika hendak menyatakan bahawa saya "penulis pertama" menulis zombi, mungkin saya tolak. Dalam persuratan, seingat saya, kemungkinan Rahmat Harounlah pengarang kita yang pertama memperkenalkan idea zombi, dalam novel bersaudara dengan Frankenstein, Di.Ar.Ti. Dalam novel itu, Rahmat "menghidupkan" mayat yang sudah dipilih khas, dengan kuasa elektromagnetik(?) untuk mengembalikan mayat itu kepada kehidupan. Menariknya, mayat hidup atau zombi dalam novel itu bersikap seperti "binatang" (menyerupai maksud filem zombi Barat) dan merogol pelajar universiti di situ (kerana mengikut Rahmat, nafsu id/haiwani manusia sahaja yang tinggal dalam badan yang tanpa roh, kerana roh yang juga berkait dengan pemikiran rasional merupakan milik Tuhan). Novel ini tertulis pada pertengahan 1980-an.

Saya peminat besar filem seram, khususnya genre zombi. Evil Dead, Night of the Living Dead, dan Braindead/Dead Alive (ini yang paling saya gemari, arahan Peter Jackson) merupakan antara filem yang amat saya sayangi. Sewaktu saya menulis JIAN, saya telah memasukkan unsur "zombi" dan pembunuhan-serangan oleh kumpulan zombi. Kebanyakan babak klimaks, khususnya babak zombi kanak-kanak mengamuk di sekolah menghomajkan banyak adegan yang saya ingat daripada filem berikut, dan inilah yang dipotong. Jika novel ini masih ada pembaca, inilah beberapa babak yang saya ingat dipotong kerana babak yang begitu ganas dalam novel "remaja" itu:

1. Waktu Cikgu Maisara (isteri Dr. Amran) mengajar dalam kelas yang kurang pelajar (kerana kebanyakan pelajarnya terkena sakit virus itu yang sudah mula merebak), seorang daripada budak itu mentertawakan kawannya yang tidak menjawab soalan Mai dan hanya membeliak. Budak itu, dengan mengejutkan, mengambil pensel dan mencacaknya ke dalam biji mata budak yang tertawa itu. Tiba-tiba, beberapa pelajar menggigit leher kawannya di sebelah, atau mencucuk mereka dengan pensel. Mai dan beberapa pelajar lari dengan ketakutan.

2. Di beranda sekolah, waktu Mai sedang melarikan diri dan cuba menyelamatkan beberapa pelajar, ada cikgu yang sudah terkena infeksi dan pelajar yang menolak kawan-kawan mereka jatuh dari beranda sekolah. Kepala mereka berkecai di lantai tempat perhimpunan. Huru-hara.

3. Mai masuk dalam keretanya. Rupa-rupanya tukang kebun sekolah juga sudah terkena dan sudah menjadi "gila", lalu dia menggunakan pemotong rumputnya (zaman dahulu, pemotongnya masih menggunakan besi, bukan seperti sekarang) untuk memotong leher mana-mana budak yang lari di sebelahnya (pekebun di hadapan pinta pagar sekolah). Mai merempuh pekebun itu. Pekebut itu menyerang Mai dengan pemotong rumputnya, cuba memecahkan tingkap kereta Mai, tapi Mai berjaya melanggar dan merempuh pekebun itu.

4. Seorang daripada mak cik yang terkena telah datang ke buaian anaknya yang masih tidur lalu menakik gunting pada anak bayinya sampai mati.

Ada beberapa lagi takik, kelar dan gigit yang saya sudah lupa, yang kesemuanya sudah dipotong oleh editor DBP sampai novel itu sudah menjadi novel arnab Disney di hadapan gunung berapi.

Haha, begitulah. Kini saya hanya boleh tertawa dengan benda-benda kecil yang saya lakukan, yang saya tidak faham baik-buruknya. Saya sendiri sekarang tentu akan melarang anak saya yang remaja membaca JIAN jika novel ini memaparkan adegan ganas sebegitu, tapi idea ini menarik kerana saya sengaja menunjukkan bagaimana Mai lebih "heroic" daripada suaminya Dr. Amran yang kita dapat tangkap bagaimana kuatnya Mai menyelamatkan suaminya kembali ke dalam kereta setelah keluar daripada maklmal bawah tanah. Ya, saya amat-amat terpesona dengan watak Ripley dalam Alien, malah saya memang suka mengangkat watak wanita yang jauh lebih kuat daripada pasangan lawannya. 

Tulisan ini khusus buat mereka yang sayang dengan JIAN :) 

3 comments:

Mardhiah Mohd Yusoff said...

Tahniah Fadz... senang-senang visit le kite di mardhee.blogspot.com

Adi Rentaka said...

hmmm...duduk2 tongkat dagu termenung depan pc...

kat mana ada jual buku-buku budak fadli ni?

FaizNazim said...

Menarik sungguh ceritanya. Teringin pula dapatkan buku Jian itu nanti!