Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Thursday, June 5, 2014

Lukanya, Merah


Tajuk: Lukanya, Merah
Oleh: Rohani Deraman
Terbitan: DBP
Tahun: 2013

Sinopsis:
Mek Romah, seorang Melayu Petani yang tinggal di Selatan Thailand melalui tragedi hidup dek kehilangan beberapa individu dalam keluarganya, termasuk suaminya, seorang agamawan dan pejuang anak Petani di Kampung Chanae. Atas kehilangan satu-satunya anak kandungnya yang menetap di Johor dan menjadi penjaga tunggal menantunya berserta cucu yang ditinggalkan, Mek Romah bangkit melihat kezaliman dan "tirani" yang digerakkan secara zahir dan terlindung oleh pihak penguatkuasa, ahli politik, dan bangsa Thai terhadap minoriti terpinggir Petani di Selatan Thailand. Semuanya menjadi lebih jelas apabila Mek Romah bertemu dengan Fatmah, pejuang gerila Petani yang diburu oleh tentera dan polis Thailand kerana pengaruh arwah ayahnya. 

Rasa:

Bahasa dan langgam novel ini senang diikuti, seperti penulisan John Briley untuk novel perjuangan, Cry Freedom, mudah, terus-terang, dan menyampaikan kisah dengan suara hati sang wataknya. Briley mungkin lebih luas dalam landskap naratif apabila memilih beberapa tokoh untuk menyuarakan "realiti" yang berlaku era aparteid Afrika Selatan, dari sisi kulit hitam serta kulit putih. Rohani memilih susuk Mek Romah, nenek, wanita uzur, suri rumah yang dikekah oleh anjing kakinya sebagai suara mata dan telinga orang Petani yang melalui desakan tirani lembut dan keras terhadap agama, pendidikan, budaya, bahasa, dan cara hidup mereka. Mek berjalan dalam ruang-ruang kecil, bukan bersuara dan menyampaikan suara dalam ruang massa. Segalanya dibuat dengan rahsia di sebalik pokok getah dan tempat sunyi. Sehinggalah beberapa ketika hal kecil itu akan membawa maksud peristiwa yang lebih besar. Memang, kadangkala, Mek mendapat suara simpati daripada kalangan Thai yang menyedari kehimpitan hidup orang Petani, yang dijelmakan oleh seorang jiran etnik Thainya. Secara deskriptif, Rohani berjaya melukiskan watak Mek Romah yang kehilangan dan terpedaya dengan hentakan zaman serba berubah. Sifat keperempuanan yang biasa kita baca dalam novel popular terserlah disampaikan dalam Mek Romah, tetapi Rohani memberikan sisi agama, perjuangan, dan titik survival Melayu Petani dalam mempertahankan agama dan budaya sebagai sikap yang murni dan sentiasa dicengkam. Mek Romah dibayangkan sebagai seorang wanita yang "buta huruf" dan serba lemah, kecil tetapi punya semangat juang dan pembawa berita (persuratan ala lisan?) yang "luas" dan penting untuk bangsanya, secara tidak sah, sebagai tokoh feminis dan Ibu Zain yang tidak didendang oleh sejarah dan politik Thailand. 

Suara terhimpit dan sunyi anak Petani dibunyikan dengan gah dan sakit. Derita dan darahnya terasa, walaupun mungkin penciptaan Mek Romah dan watak yang mengelilinginya itu fiksyen dan mengambil sedikit daripada perca tokoh sebenar yang mengelilingi dunia Petani sekarang. Hal ini kerana Rohani bertujuan politik dan ingin menyampaikan suatu maksud yang murni tentang suara masyarakat Petani yang jarang-jarang sekali dituliskan dalam teks sastera Malaysia. Saya mengaku, ada beberapa bahagian, jiwa saya terdetik dan tersentuh. Mata saya berair dengan keadaan rintih dan seksa yang dilalui dengan senyap oleh kalangan orang Petani. Rohani malah berani menyampaikan maksud "tiga golongan" orang Petani sekarang: 1)Mereka yang masih tidak melupai jati diri asal dan berjuang untuknya 2)Mereka yang memilih menjadi orang Thailand sepenuhnya, berasimilasi, dan kadangkala, menjadi gunting dalam lipatan bangsanya sendiri, dan 3)Mereka yang melarikan diri melihat realiti sengsara bangsanya. Rohani melukiskan setiap watak itu dengan sikap moral yang jelas, yang mempertahankan kemurnian anak-anak yang masih tetap ingin mengakar terhadap identiti mereka dalam ruang yang serba berubah dan mendesak mereka untuk berubah dan diubah. Agama dinyatakan (sekolah pondok di selatan masih lagi menggunakan bahasa Melayu Petani, tetapi sekolah dan universiti Islam di utara menggunakan bahasa Thai sepenuhnya) sebagai senjata utuh yang menyatukan dan membenarkan identiti bangsa Petani kukuh, yang dikecam oleh pihak Thailand, dan sebab itu, dibayangkan, golongan agamawan Petani sebagai ancaman utama(!) lantas berlaku penahanan dan tekanan, dan ada pembunuhan.

Beberapa insiden sebenar yang pernah berlaku era Perdana Menteri Thaksin juga dinyatakan dengan jelas, seperti tragedi Tak Bai, yang mendokumentasikan beberapa hal yang berlaku secara mikro lalu merebak maksudnya secara makro (malah dipertunjukkan bagaimana orang Melayu Malaysia turut terasa tempiasnya). Semua ini bergerak dengan strategik dan teratur untuk membawa maksud perjalanan perjuangan Mek Romah yang memberikan maksud perjuangan dalam erti kata yang amat radikal dan subversif, sesuatu yang benar-benar berani dilakukan oleh Rohani dalam memberikan keadilan untuk masyarakat Petani.

Metafora kaki Mek Romah yang dikekah anjing sendiri merupakan suatu simbolisme yang dimainkan secara fizikal dan naratif untuk membayangkan sengsara Mek Romah/orang Petani yang dikelilingi kafir/orang Thai. Kaki Mek dibayangkan terus bernanah tetapi dibiarkan sahaja terencut-encut dan terus Mek Romah bergerak dengan perjuangannya, sekali gus menggambarkan keadaan lemah dan sakit kalangan Petani sekarang dan keadaan mereka yang "tidur" dengan kesakitan itu, juga keadaan sakit dalam perjuangan kalangan mereka yang terus bernanah dan tidak ke mana. Secara lembutnya, hal inilah mengapa Rohani dengan berani mengambil sikap subversif dalam menangani keadilan sosial dan politik masyarakat Petani, serta mempertahankan (jikalau pengeboman yang berlaku di selatan bersifat politik) perjuangan oleh kalangan penggerak subversif. 

Bom terus berlaku di mana-mana. Seksa terus dikendong dalam sunyi malam dan hilai daun getah yang melambai. Novel ini, antara suara yang menarik dalam merakamkan derih sakit darah rakyat.

3 comments:

Anonymous said...

boleh bgtaw tak, kat mane nk beli buku ni secara online.-aizura88@yahoo.com..terima kasih

Anonymous said...

kat mana boleh saya beli buku ni secara online..-aizura88@yahoo.com

Fadli al-Akiti said...

Salam, perlu pesan melalui: DBP Niaga di Facebook atau hubungi 03-89611836.