Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, May 11, 2014

Rumah Penulis: Pengisian dan Kekosongan

Rencana ini merupakan terjemahan bahasa Inggeris tulisan Joan Wickersham yang tersiar dalam ruang surat komentar dalam International Herald Tribune: The Global Edition of The New York Times, 28-29 Mei 2011 (hlm. 9).



Sewaktu saya di London 30 tahun dahulu, saya teringin untuk melawat rumah Charles Dickens. Saya tidak dapat mengagak apa yang akan saya temui. Tempatnya amat menyenangkan - bilik, perabot, beberapa artifak di dalam almari berkaca. Namun pelik, tempat itu terasa kosong. Perkara yang saya inginkan tidak ditemui di situ. 

Apakah yang kita cari apabila kita melawat sebuah rumah penulis?

Kadangkala, kita mencari landskapnya - lembah Bronte, jelapang New Hampshire Robert Frost. Kadangkala, kita mencari ruang gaya (Jane Austen menulis bukunya dalam kalangan kehidupan keluarga di bilik-bilik kecil di Chawton). Namun selalunya, perkara yang kita inginkan ialah sesuatu yang tidak terluah dan terfikirkan. Kita sudah membaca bukunya tapi kita masih lagi mahukan sesuatu - kita mahu mendekatkan lagi diri kita dengan penulisnya. Kita mahu alami sendiri katil tempat si penulis tidur, meja yang mereka makan, dan jendela yang tentu ditenung oleh mereka apabila kata-kata tidak terungkap di atas kertas.

Namun begitu, ada sesuatu yang sia-sia apabila kita melawat rumah seorang penulis. Perkara yang kita cari mengaburkan mata kita. Apa-apa yang berlaku di situ berlaku dalam bayang-bayang, di ruang liku-liku imaginasi. Rumah itu - walaupun mempunyai tujuh gebeng layar - masih hanya sebuah rumah.

Walaupun begitu, impak The Mount, rumah jenis Lenox milik novelis Edith Wharton, semesra dan sekuat The Age of Innocence atau Ehtan Frome atau mana-mana karya hebat Wharton - yang memang masuk akal pun kerana rumah itu merupakan karyanya juga. Dia merekanya pada tahun 1901 bersama-sama jurubina, Ogden Codman, yang turut berkolaborasi dalam buku pertamanya, The Decoration of House, terbit pada tahun 1897.

Walaupun Wharton dan Codman akhirnya tidak sehaluan semasa menghabiskan pembinaan The Mount (Wharton marah apabila Codman menaikkan perbelanjaan; Codman pula marah apabila Wharton yang kaya raya sanggup berkira tentang wang), rumah itu mencitrakan prinsip mereka yang terjalin dalam buku itu. Daripada gaya berjejer Victorian yang menunjuk-nunjuk, Wharton lebih mempercayai kepada kedikitan, keteraturan, dan kefungsian. Beliau akur bahawa menghias tidak sepatutnya menimbulkan keindahan yang superfisial, tetapi sepatutnya menjadi sebahagian dan berharmoni dengan seni binanya. Sebuah rumah seeloknya "menganalisis dan mengungkapkan" kemahuan pemiliknya, dan "memenuhi cita rasa tersendiri yang diingini."

The Mount sekali gus ekstrovert dan introvert, mengungkapkan sikap peramah Wharton terhadap tetamunya dan sekali gus keperluan kebersendiriannya sebagai penulis. Rumah itu agam tetapi tidak berlebih-lebihan, deretan biliknya yang damai diisi dengan suatu lorong galeri yang panjang pada satu bahagian dan pada satu bahagian lain pula diisi dengan beranda panjang gaya formal Italiante yang berlatarkan taman bunga dan perbukitan. Rumah itu bersedia untuk meraikan pesta beriadah meriah seperti yang digambarkan dalam The House of Mirth, ketika Wharton menulisnya di The Mount, di dalam kamar tidurnya yang terletak di ruang hujung yang kecil supaya orang gajinya dapat mengemaskan kamarnya dan masuk keluar tanpa mengganggunya.

The House of Mirth menceritakan kisah Lily Bart, yang membesar dalam dunia kelas atasan mengikut tradisi Wharton dipupuk, tetapi tanpa harta Wharton. Lily memiliki rumah seperti The Mount, namun hanya jika dia mengahwini seorang lelaki kaya. Bakal-bakal suami yang Wharton ciptakan untuk Lily sungguh mengecewakan - pasif atau konvensional, malah kasar. Liliy terlalu cerewet untuk memilih antara mereka, menyatakan "ya" akan menjadi suatu sabotaj diri, tapi menyatakan "tidak" juga begitu. Cemas dan imbangan sempurna tragedi indah novel itu datang daripada melihat Lily menolak satu per satu bakal suaminya, dan pada masa yang sama kita berharap bahawa dia tidak akan mecelakakan dirinya dengan mengahwini satu pun daripada mereka.

Melawat The Mount, saya dapat meneliti Edith Wharton dalam segala aspeknya: wanita kelas atasan, sejarawan seni bina, novelis yang berdisiplin dan menyendiri. Berjalan melalui ruang lorongnya, saya membayangkan Lily Bart berjalan di hadapan saya, skirtnya melintas tenang membawa saya turun melalui tangga ke dewan makan tempat tetamu makan malam yang dikesali olehnya namun berharap dapat duduk sama taraf dengan mereka.

Memikirkan tentang Lily Bart membuatkan saya menyedari bahawa walaupun semewah dan sehebat mana pun The Mount tersergam, rumah itu tetap berkongsi manfaat dan kekurangan mana-mana rumah penulis. Walaupun rumah itu dapat membangkitkan bayangan penulisnya, anugerah terhebatnya masih kalah dengan bayangan bukunya, membuatkan kita terliur untuk melawat bukunya sekali lagi. The Mount memang wajar dilawati, namun tempat tinggal sebenar Edith Wharton adalah di dalam The House of Mirth.         

No comments: