Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, April 28, 2014

Majlis Baca Puisi


Definisi syair oleh Sayyiduna Hassan Bin Thabit radhiyaAllahu'anhu, 
sahabat baginda Rasulullah solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam.

Saya selalunya ada masalah besar dengan majlis baca puisi. Saya selalunya nak lari kalau ada orang ajak ke majlis baca puisi. Buat saya, majlis baca puisi, baik bahasa Melayu atau bahasa Inggeris ialah acara santai-santai yang mencari alasan ruang waktu hendak bertemu kawan-kawan lama, bukan benar-benar nak dengar ucapan puisinya pun, tapi bertepuk bahu dan bersalam mesra. 

Kalau saya duduk dalam majlis itu, hamparkanlah berutus kata dan jerami indah jalinan diksi yang meliuk-liuk, saya susah nak tangkap, saya jadi dungu. Mungkin kerana saya jenis manusia yang cepat menangkap visual/imej dan susah hendak cepat menangkap lisan/suara.

Kadangkala, terdapat majlis rasmi ataupun negara yang mengadakan acara pembacaan puisi. Saat itulah yang paling saya tidak tahan, rasa tempat duduk empuk pun memebara dari api gehana. Rasa telinga meronta-ronta untuk terbang keluar tingkap. Hal ini lagilah jika deklamatornya berutus syair-syair panjang lima halaman seakan-akan mereka membaca Wasteland di hadapan mata. 

Siapakah, dan bagaimanakah jerih penyakit ini berlaku dalam budaya sastera kita? Adakah terdapat jalinan waris sambungan daripada bapak dan ibu panggung dunia bangsawan atau silang kaki seorang penglipur lara?

Baru-baru ini saya berpeluang bersambil lewa dengan Pak Sutung Umar RS, pengarang dan mantan editor besar dalam dunia sastera. Beliaulah yang membuka cerita bagaimana acara baca puisi ini berlaku. Zaman itu, beliau penolong editor lagi kepada seorang editor yang pemalas dan tidak pernah buat kerja hakiki majalah. Apa-apa karya yang dipilih pun dibuat oleh Sutung dan Sutung tidak akan memberinya kepada editor itu tetapi kepada Usman Awang terus. Sutung amat dekat dengan Dinsman dan Ajikik. Mereka selalu berkongsi-kongsi sajak, selalunya di nightclub bersama-sama beberapa gadis untuk menunjukkan karya siapa yang lebih hebat, atau strategi memikat gadis (yakni dengan puisi, zaman itu!) Saya terbayangkan gaya hidup ini semacam suatu budaya kepengarangan yang menarik zaman 1970-an untuk berlaku hal seperti ini, seperti mana Tolkein dan kawan-kawannya duduk berbincang tentang karya mereka di sebuah tavern di pekan Oxford (hal ini kadang-kadang berlaku juga dengan saya berserta beberapa kawan dekat di kafe-kafe tetapi tempatnya tidak menentu dan terpilih satu).

Alasan bermulanya acara baca puisi pun menarik. Mereka bertiga menyedari karya mereka sudah banyak dan tidak ada ruang lagi(!) dalam majalah atau akhbar (Sutung menceritakan, zaman itu, penyiaran sajak setiap hari bukan berminggu seperti sekarang) jadi bukankah elok kalau mereka dapat bacakan sajak-sajak yang lebih itu dalam suatu acara santai? Mereka bertigalah yang memulakan pembacaan puisi di DBP, waktu itu dengan tidak rasmi menamakan suatu ruang di DBP (lama) sebagai "sudut penulis" yang mana dihadiri oleh berpuluh peminat dan penulis sastera masa itu!

Ah, lihat apa yang Sutung katakan, "Nak buat baca puisi ni bukannya boleh buat saja-saja, kena ada gimik, dengan cara itu orang akan datang, mereka bukannya datang nak dengar sangat pun, tapi gimik tu yang buat mereka nak lepak lama lagi. Macam kita, kita jual air seringgit yang pada masa tu mahal, tapi masa tu, mana ada acara yang bagi air macam tu. Atau sesiapa yang sampai je kita bagi seorang kurma sebijik. Zaman tu kurma macam buah eksotik, bukan macam sekarang."

Memang meriahlah baca puisi yang dibuat oleh Sutung, Ajikik dan Dinsman, sampai ada yang kata, kisah baca puisi itu sendiri sudah jadi "lejen" dalam zaman itu dan tidak mungkin dapat dijelmakan zaman sekarang. Masa itu, baca puisi itu tidak dibayar. Sutung bising kepada Usman, kalau seorang biduanita boleh dapat upah ribu-ribu untuk baca, kenapa mereka yang berjaya "menghiburkan" khalayak tidak? Usman berilah RM10 untuk acara itu (bukan untuk seorang tetapi untuk acara itu!) DBP masa itu tidak ada peruntukan dan kerana itulah kemudiannya budaya membayar penyair berlaku. Yang inilah yang saya tidak berapa setuju daripada sisi berdiri untuk membaca. Saya tidak mendengar, mungkin saya salah, jikalau Ginsberg membaca Howl lalu diupah selepas itu, saya berasa semacam ada keadaan yang menjadi agak kapitalis, agak material dan seakan hilang sikap jujur penyair yang percaya kepada puisinya yang hendak disampaikan. Walaupun hal ini memang subjektif dari segi penerimaan maksud jujur, tapi saya dapat bayangkan keadaan yang berleluasa ini, dan ini berlainan pula kepada seorang deklamator yang memang diupah untuk mendeklamasikan sajak "orang lain".

Pada masa itu juga, adalah hamba Allah yang begitu dengki dengan mereka, telah menyatakan yang dia boleh buat acara baca puisi lagi hebat daripada mereka. Jadi Sutung pun tinggalkanlah acara di DBP itu dan beralih di tempat lain, dan ini lebih menarik, di kelab malam Hotel Abad Century KL (berdekatan Pudu). Hotel itu milik Ahmad Jarr. Beliaulah dengan senang hati memberikan ruang kepada Sutung dan kawan-kawan untuk membuat suatu lagi acara baca puisi. Minuman pula diberikan percuma kepada Sutung dan para penyair yang membaca. Bayangkan, acara itu juga diiklankan dalam The Malay Mail, akhbar bahasa Inggeris! Menariknya, acara itu (yang dihadiri oleh pelbagai jenis dan ragam manusia, dan Sutung juga akur, ada yang datang minum arak pun ada) selesai dan diteruskan dengan nyanyian artis zaman itu, Sahara Yaacob seorang daripadanya, lalu khalayak juga, seperti yang kita tonton dalam filem Melayu 1970-an akan berdiri dari kerusi dan bergelek atas lantai disko! Bayangkan, khalayak ini yang duduk mendengar maknawi indah dan kemudian berhedonis sebentar! Jangan terkejut jika pada era itu, acara puisi Sutung ini dapat menarik orang hebat seperti Syed Hussein al-Attas untuk datang, tanpa perlu pun mengadakan jemputan seperti yang dibuat sekarang.

Dengan kehadiran misai janggut Anwar Ibrahim dan serban Ashaari, mungkin lama-kelamaan orang memperhitungkan bahawa acara sebegini diislamisasikan, dimoderatkan mungkin, lalu jadilah acara-acara dua empat jam panjang bacaan puisi berjela-jela seorang demi seorang di auditorium, dewan tertutup, tepi pokok, seperti yang dibayangkan dalam filem Penyair Malam

Acara baca puisi di Barat, kalau tidak silap saya, berlaku di empat tempat utama. Pertama, di kedai buku apabila sesebuah buku puisi seorang penyair tempatan (contohnya, penyair itu dari Wisconsin lalu di kedai buku Wisconsinlah bukunya dilancarkan) dilancarkan yang mana penyair itu tentu akan membacanya. Kedua, di universiti apabila penyair itu dipanggil dan diperkenalkan kepada pelajar, selalunya dalam kelas sastera, penulisan, atau seni liberal. Semuanya acara perseorangan yang kadangkala berkumpulan. Ketiga, di perpustakaan atau pusat komuniti (pusat komuniti Malaysia adalah ruang masyarakat buat kenduri kahwin, main badminton, dan tempat ucapan ADUN) yang mana selalunya terdapat persatuan penyair kecil yang mengadakan bacaan puisi. Keempat, dan paling biasa dilakukan, di kafe atau kelab malam/bar tertentu yang mana, orang Beat seperti Ginsberg akan membaca puisinya. Sekali-sekala, adalah, bacaan puisi itu (selalunya puisi mengikut isu) dibaca pada khalayak dalam suatu acara rasmi (jika Pak Samad contohnya membacakan puisinya pada himpunan Bersih, ini dikategorikan dalam ruang itu) atau memang persidangan bacaan puisi sedunia yang lebih berbentuk himpunan para penyair di suatu persidangan utama. 

Dengan jelaslah, acara sebegitu boleh berlaku di Barat kerana mereka tahu apa maksud apresiasi sastera dan mereka ada kalangan yang meminati sastera. Kita mungkin tidak dapat memaksa seseorang di tepi jalan untuk datang ke acara sastera kita. Oleh sebab itu, kita lihat, acara baca puisi itu hanya yang mengenali dan mengikutinya sahaja yang menghadirinya. Lebih-lebih lagi dengan Islamisasi yang kuat, acara maulid selawat dan qasidah (ini juga puisi) lebih menarik manusia agama sekarang daripada baca puisi yang kelihatan lebih sekular. Elok sahajalah jika acara baca puisi bersatu dengan maulid, mungkin lebih sesuai buat keadaan semasa. 

Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya lebih selesa kalau dapat duduk-duduk tenteram dengan air minuman karbonat di atas meja lalu mendengar si penyair membaca. Barulah, puisi yang dilontarkan itu, seperti makanan yang dapat dihadam dengan air dan kacang, seronok seronok tapi kadang-kadang tercuit jiwa dan minda mendengar bait si penyair malam di hadapan mikrofon hitam.

No comments: