Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, April 23, 2014

Pertemuan Musim Semi


Tajuk: Pertemuan Musim Semi
Oleh: Zubaidah Ishak
Terbitan: ITBM
Tahun: 2013


Sinopsis:
Malikah, pelajar perempuan Melayu keturunan Pantai Timur di sebuah universiti Jordan terpaut dengan Nasrullah, seorang mahasiswa Palestin yang berwibawa. Nasrullah juga sebenarnya terpaut dengan Malikah. Perkahwinan suci mereka dikecam oleh jarak dan gegar gempita bumi Palestin yang dicemari puak Sahyuni (Zinois), yang menguji percintaan dua insan berlainan budaya dan sempadan. 

Rasa:

Mungkinkah tertumpah beberapa pengalaman peribadi Zubaidah, mantan pelajar Universiti Yarmouk, Jordan di dalam novel ini apabila menghidupkan pelbagai watak Melayu yang melata dunia pendidikan tinggi di Jordan? Hal itu tidaklah dipersoalkan sangat apabila jelas pandangan dan doa Zubaidah jelas untuk menarik pemerhatian khalayak Malaysia dalam perjuangan Palestin terhadap kecaman zalim Zionis Israel. Niat Zubaidah begitu suci, malah menandakan perjuangan dan sikap politiknya dalam suatu serumpun orang Islam bahawa masalah Palestin tidak terjerat dalam permasalahan sempadan, kearaban, atau permainan politik dunia, tetapi sikap tulus yang naifnya berkenaan kesatuan suara Islam dari segi aqidah dan rohaniah untuk sama-sama berjuang "jihad" untuk Palestin, negeri bertuah daripada cengkaman musuh Islam (hal ini menarik apabila novel ini memenangi tempat ketiga menolak novel Faisal yang memasuki sayembara sama yang berhujah bahawa perjuangan pembebasan Palestin tidak sepenting masalah kezaliman di tanah air sendiri) menjadi suatu dasar yang kukuh dan sorotan suara yang mengibar dalam novel ini.

Strategi Zubaidah jadi lebih jelas dengan mengambil sikap romantis, dengan gaya novel popular dalam mengikat Malikah dengan Nasrullah (saya teringat akan puisi Faisal, "Ingin Jadi Nasrullah"), lalu penyatuan dua insan berlainan bangsa ini tidak lagi kelihatan "daripada budaya lain" (atau berkonsepkan the other) tetapi disatukan dalam bentuk fizikal dan imaginasi (mereka mendapat seorang anak perempuan yang dipanggil Mulaikah). Hal ini jelas apabila doa dan luahan Malikah bahawa "Palestin itu tanah airku jua" dan "Palestin itu tanah air bagi semua Muslimin yang Mukminin." Dakwah Zubaidah yang lembut ini menegaskan suatu kekuatan yang jarang-jarang dijumpai, walaupun tampak mudah. Saya membayangkan semangat inilah yang dicari-cari oleh Anwar Ridhwan dalam Penyeberang Sempadan, berjaya dibentuk dan dibayangkan dalam suatu mesej universal Islam bagi kesatuan iman dalam hal jarah dan jajah Palestin.

Untuk inilah saya kira novel ini sesuai dijpasarkan ke tanah Arab serta negara Islam lainnya agar pendedahan didaktik Zubaidah yang baik ini tersampai kerana niatnya begitu tulus. Walaupun kalau dilihat, Zubaidah mengambil pembalikan daripada sisi popular Ayat-ayat Cinta. Dalam novel Habiburrahman itu, watak protagonis Indonesianya diwakili lelaki, tampan, berilmu, aktif, yang digilai oleh golongan gadis Arab Mesir. Novel ini membalikkan hal itu dengan meletakkan Malikah yang sempurna wajah Melayu Pantai Timurnya dikelilingi oleh Melayu serta pemuda Arab yang menaruh harapan terhadapnya. Seakan suatu perjalanan saga yang panjang berlaku terhadap Malikah dengan pelbagai lelaki yang ingin mengenalinya, serta para wanita yang mencemburuinya. Memang kita teragak sengih dengan penggayaan ini namun Zubaidah pintas menyusun naratifnya yang bijak, dengan imbauan masa lampau, teks surat, diari, dan pelbagai emosi dan konflik watak untuk menggerakkan naratif. Ada terdapat satu bahagian, khususnya pada pengakhiran novel, walaupun terdapat keadaan "kebetulan", adegan itu begitu mencuit saya dengan penyimpangan dan debaran yang diberikan oleh Zubaidah, saya menyatakan novel ini "berbaloi" untuk dibaca. Ya, agak terhibur dengan teknik dan cara Zubaidah walaupun tidak seelegan Qalam Kalbu Sri Rahayu. 

Lenggok dialog Zubaidah juga membangkitkan suara popular Islami yang baik, seperti bagaimana lembutnya istilah Sahyuni itu terhadap Yahudi Zionis. Watak-watak juga jelas terlihat sifat kelemahan manusianya, tiada percubaan Zubaidah untuk "menyucikan" watak manusianya. Sosial yang dicipta juga membentuk suatu dunia sosial yang realistik dan kontemporari, membayangkan keadaan "sebenar" yang berlaku di Malaysia (dengan keadaan perkembangan golongan tengah atas Melayu) dan di tanah Arab, khusus Jordan, Mesir, dan Palestin. Cubaan-cubaan Zubaidah inilah yang menjadikan novel ini dapat dikaji sebagai suatu teks kritikan sosial Arab daripada pandangan bukan Arab. Memang mungkin citra keadaan dan persekitaran yang dibina oleh teks Zubaidah mungkin "imaginasi" Zubaidah, namun betapa menarik dan hidupnya imaginasi itu dalam tangannya.

Sah, novel ini yang menghiburkan dan sesuai bagi pembaca novel pop Islami kerana mempunyai sesuatu yang sedikit berlainan daripada novel pop Islami yang biasa dan amat berbaloi untuk ditelaahi. 

2 comments:

Zubaidah Ishak said...

Assalamualaikum, saudara Fadli Al Akiti, terima kasih di atas komentar yang sungguh membina ini. Sungguh ia menjadi peniup semangat saya yang hampir padam diasak kekangan-kekangan waktu..jazakallah akhi..

Zubaidah Ishak said...

Assalamualaikum,Saudara Fadli Al Akiti, terima kasih di atas komen yang sungguh membina ini buat menyegar semangat yang layu untuk terus menulis buat tatapan umat kita..jazakallah akhi..