Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 21, 2014

Semenanjung Menangis


Tajuk: Semenanjung Menangis
Oleh: Ariff Mohamad
Terbitan: ITBM
Tahun: 2013

Sinopsis:
September 1998. Rizal di tengah-tengah kecamuk suara "Reformasi" yang berkumandang setelah bekas Timbalan Perdana Menteri dikecam, ditindas, dibuang, dan dipenjarakan daripada masyarakat. Suara-suara bilau dan kacau menjadi lagu biasa. Tuduh menuduh dan tuding menuding. Rizal yang terperusuk dalam perjuangan kawan-kawannya tidak terkecuali. Waktu sama, dia mula membuka cerita rahsia tentang ayahnya, Mahmud, seorang pejuang kemerdekaan yang kecil dalam peta sejarah. Dan dengan wajah ayahnya, dia teringat susuk ibunya yang sentiasa menangis dalam diam. Dan ibunya menceritakan tentang kisah Semenanjung Menangis berbentuk manusia yang bersujud atau air mata berlinang. Ibunya Semenanjung Menangis. Dan keadaan keadaan hidupnya berselang dengan ibu dan ayahnya. 

Rasa:

Novel ini mempunyai ciri-ciri besar sebagai maksud untuk menyampaikan wacana yang murni dan utuh dalam keadaan yang begitu genting lagi diperlukan sekarang, malah tidak silap saya, ini, selain mungkin yang pernah ditulis Faisal Tehrani dan mungkin yang lain, merupakan antara novel yang benar-benar memperuntukkan kisah dan fakta detik-detik Reformasi 1998. Dalam kecamuk itu, sudah tentu anak muda tidak terkecuali terbuka mata untuk melihat "kelenaan" dalam kekotoran arus politik era itu, lantas Rizal, protagonis dalam novel ini, menyusur maksud yang berliku untuk melakukan perjuangan, yang kemudiannya mengalami suatu konflik dalaman apabila keadaan kerjayanya dikecam, dan dalam masa yang sama, konflik diri terjadi apabila pembukaan perjuangan ayahnya dibuka.

Sesungguhnya, novel ini berkata tentang perjuangan dan ruang dinamis yang berlaku dalam usul kerja manusia ini. Setentunya ia juga berlegar dalam maksud politik dan kecaman jenayah, juga hal-hal tertentu dalam pengisian bidang politik. Dua sejarah ditampilkan, dengan sengaja oleh Ariff dalam menyampaikan maksud perjuangan orang dahulu dan orang sekarang, yang mana Ariff dengan halus mengkritik kedua-duanya mempunyai masalah dalaman tertentu yang manusia, kelemahan yang tidak dapat dibendung, lantas terbuka untuk ditelaah, baik buat peneliti prokerajaan atau propembangkang. 

Secara luaran, hal ini tentu menjadi suatu saga yang baik jika diteliti dengan bersungguh, dengan ruang dan struktur plot yang tertentu diyakini mampu membawa suatu drama manusia yang menjanjikan, air mata dan darah dan maksudnya yang dicalar pecah zaman sekarang (atau bermula lagi zaman dahulu). Hanya mungkin, saya agak terasa kekok membaca gaya populis Ariff dalam menghidupkan naratif dan watak-wataknya, seperti Ariff dengan sengaja, menulis seperti era penulis novel Creative Enterprise dengan penjelajahan populis. Hal ini tidaklah menjadi masalah, hanya saya inginkan kedalaman dan kemasukan yang mungkin lebih dalam untuk menayangkan katarsis. Saya inginkan, mungkin, teks sebenar suara Rizal, detik Reformasi yang lebih teliti dengan fakta dalaman dan kejadian, esei politik dan pemerhatiannya yang dikatakan jujur tetapi menjentik kalangan dalam kerajaan (sehingga mereka tersilap prasangka). Begitu juga dengan penciptaan naratif yang mungkin memerlukan lebih banyak renungan supaya memberi ruang dalam menelaah imgainasi. Ambil sahaja antara perenggan terakhir dalam novel ini:

Namun kehidupan sebaliknya; hidup bermula dengan kecerahan cahaya dan berakhir dalam cahaya juga. Cahaya Ilahi 
(Ariff Mohamad: 264)

Kadang-kadang, Ariff terlalu tidak mempercayai imaginasi pembacanya lalu menentukan maksud dan kemilau teks yang sudah diciptanya. Puitis "berakhir dalam cahaya" akhirnya diikat dengan suatu didaktisme (yang kita sudah sedia tahu) "Cahaya Ilahi". Kadang-kadang, ada frasa, perkataan dan ayat yang elok kita biarkan untuk pembaca berkumat mencipta imaginasi. Mungkin Ariff agak terlalu berjaga-jaga, mungkin Ariff agak terlalu risau apa yang orang akan perkatakan tentang tulisannya.

Beberapa bahagian teks Ariff juga lebih deskriptif (hal ini biasa dalam gaya penulisan awal Keris Mas, mungkin ini disengajakan?) semacam suatu sinopsis yang panjang. Tiada jejak untuk kita menurut suara psikologi watak. Watak yang kelihatan besar kadang-kadang pipih kerana gerakan deskriptif sambil lalu ini. Namun saya tersentuh dengan watak Ibu Rizal yang jelas diseksa masa dan persekitaran. Watak yang begitu gigih dengan keadaan hidup zaman yang tidak diberi ruang biasa pada perempuan menjadi suatu perbandingan feminisme yang menarik. Suara wanita ini menjadi suara sunyi yang disengaja diselindungi daripada sejarah (lalu ini sahaja sudah cukup menjadi pembukaan penelahan subaltern dan maksud-maksud bacaan pascakolonial). Dan atas motivasi suara terlindung inilah, Rizal mengambil tujuan untuk menelaah sejarahnya sendiri (lalu kita menelaah sendiri sejarah perjuangan kita) yang berkemungkinan tidak didendang, tidak dikatakan dalam sejarah yang sudah tentu menciptakan suatu suara yang lebih adil. Tujuan ini murni dalam menyampaikan liku-liku dan urat pensejarahan suatu negara yang terbina oleh suara-suara besarnya, dan tragedi-tragedi kecil yang mengelilinginya. Di sini, dengan menarik, pembentukan percantuman-penceraian Malaya-Singapura menjadi metafora terhadap cinta segi tiga Ibu Rizal, Ayah, dan seorang wanita Singapura.

Hanya jika Ariff mengambil masa lagi untuk memberi lebih banyak ruang untuk diperkatakan, diperbualkan dan dipersembahkan berkenaan kisah lama ini, dengan beberapa hal kehidupan Rizal lagi, mungkin teks ini akan menjadi lebih merencam dan tersampai kisah, dan barulah dapat diyakini sebuah saga sejarah yang menggamit jiwa (detik-detik Rizal di UK umpamanya, terlintas babak-babak dalam filem Bilut yang superfisial dan tidak perlu). Dan bukan kata-kata tepian yang kita lihat di tepi cermin bas lalu berlalu dengan begitu cepat sahaja.

Namun secara keseluruhan, percubaan Ariff menarik, sampai berlaku beberapa kutipan nama-nama kawan sekitarnya yang mencuit, menyambar lagi maksud realiti-fiksyen yang cuba disampaikan. Semenanjung Menangis akhirnya menjadi percubaan baik dalam merakamkan detik panas dan kacau yang sehingga sekarang, menjadi suatu enigma yang tidak dapat difahamkan, yang terus mengalir dalam tidur dan jaga nadi rakyat kita.  

No comments: