Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, June 24, 2014

Kitaran Kumpulan dan Gagasan Penulis


Dewasa ini, memang sudah menjadi perkara yang lazim, saya perhatikan, untuk anak muda penulis tidak bergaul dengan persatuan rasmi yang sedia ada, sudah dikenali, serta sudah mapan lama. Bergaul di sini bermaksud: tidak ikut (kadangkala mengikut aktiviti pun tidak). Persatuan lama seperti GAPENA dan persatuan mengikut negeri selalu menggaru-garu kepala mengapa, anak muda tidak sanggup (kebanyakannya, hanya segelintir anak muda yang sanggup, yang "terpilih" sahaja yang gemar mendekati susuk persatuan yang sudah bertempat dan berdaftar) mengikutnya. Hal ini sebenarnya fenomena dunia, di mana-mana sahaja, mengikut susuk zamannya.

Saya kini banyak bergelumang dalam masalah dan keluh kesah penulis lama. Selalunya suaranya sama, selalunya merintih tidak mendapat tempat, tersisih daripada orang muda dan khalayaknya, dan orang mula melupakan mereka. Saya dengar saja keluh kesah itu, saban hari dengan sabar, sepertinya saya punya tongkat sakti yang sekali ayun, masalah orang-orang tua ini diselesaikan oleh pihak kebajikan negara. Keluh kesah ini, seperti, sama bergendangnya para persatuan lama di mana-mana (yang sampai hari ini terus sahaja penulis muda tidak melekat kepadanya), dan dengan ironi tinggi, sama juga kedengaran sedikit dalam ruang institusi lama yang menjadi pusat segala pusat penerbitan penulis satu masa dahulu.

Sebenarnya, jika dilihat dalam keadaan fenomena ini, dengan sendirinya kita menyedari, sudah menjadi kebiasaan anak muda untuk menolak sesuatu yang dilihatnya sebagai "establish" atau baku mengikut zamannya, kerana anak muda, dengan sendiri, memegang suatu semangat dan gagasan tersendiri yang dikiranya kool dan lebih idealis mengikut nalurinya. Memang, terdapatlah kumpulan tertentu, semacam suatu gagasan, contohnya, mereka yang mengikuti, menyebelahi dan menuruti gagasan, pemikiran dan karya susuk-susuk besar sastera negara, contoh yang paling jelas, seperti penggemar Usman Awang dan segalanya, atau Shahnon Ahmad, atau A. Samad Said. Susuk-susuk ini sudah tercipta jelas sebagai petanda obor yang merentas zaman, dan akan diikuti sampai bila-bila (contohnya, di Indonesia, nama seperti Chairil Anwar dan Pram dan Hamka akan sentiasa diulangi sebagai contoh terbaik untuk diikuti). Kemudian, terdapat pula susuk "pemikir" seperti Syed Hussein al-Attas, Prof. Naguib al-Attas, Khoo Kay Kim, dan beberapa lagi yang juga turut membina seperti suatu perlambangan matlamat dan identiti terhadap suatu kelompok anak muda untuk diikuti pemikiran dan idealismenya. Kemudian, terdapat pula kumpulan gerakan, seperti Numera, yang cuba digerakkan oleh suatu susuk "besar" seperti Kemala (yang dilihat oleh orang ramai sebagai elitis dan wadah mengangkat diri), dan hal ini sama seperti (dan lebih berjaya) gerakan-gerakan sastera-seni-persuratan di Indonesia yang mengikut susuk-susuk tertentu atas kuasa pengaruh dan identiti pengaruh seniman itu. Kemudian, sudah tentu terdapat beberapa kumpulan-kumpulan muda lain, yang jelas, seperti gerakan indie yang pesat di Malaysia, sepertimana Anak Alam pada awalnya, yang bergerak atas inisiatif sendiri, untuk mencipta suatu pemberontakan atau reaksi baharu terhadap yang lama/arus perdana kerana dilihat ruang arus perdana itu tidak dapat menampung ruang mereka.

Sememangnya, tidak ada kuasa dan cara untuk menahan kumpulan anak muda ini, kerana mengikut zaman, kumpulan muda ini akan terus terbina, sedari sekolah menengah ataupun universiti, terbina sendiri dengan semangat dan gagasan idealisnya (kadang-kadang jelas, kadang-kadang samar, kadang-kadang entah apa-apa, tapi itu hal yang lain) dengan penyampaian karyanya yang dikira mereka sebagai kool, dengan pemikiran dan cara gerak yang difikir kool, dan dengan strategi dan gerak aktiviti yang dikira kool, mengikut persepsi dan pengalaman asasi mereka. Tidak gunanyalah para sasterawan lama atau kumpulan lama atau persatuan lama untuk berkeluh kesah dengan ketidakhirauan mereka terhadap apa-apa karya mereka. Dan anak-anak muda juga tidak seharusnya berkeluh kesah jika orang lama tidak meneliti karya mereka. Lebih baik sahaja mereka sendiri berfikir-fikir untuk berbicara tentang karya mereka, dan jika mereka menyedari elok karya mereka disentuh oleh orang lama, ada baiknya mereka memasuki acara orang lama dan bergesel bahu dengan orang lama dan sarjana lama (namun mengikut pandangan Eka Kurniawan, jika karya itu bagus, dengan sendirinya akan ada orang yang akan mengangkat dan memperkatakannya dalam ruang apa-apa pun). Keadaan karya baharu dengan kemunculan orang muda ini seeloknya dibiarkan untuk membentuk dan mencari ruang sendiri. Lama-kelamaan, mereka akan belajar sendiri apa itu kekuatan dalam pengkaryaan, mematangkan mereka untuk mencuba sesuatu yang lebih baik daripada titik awal. Memang, dalam ramai-ramai ini, kebanyakannya akan kecundang, hilang, terbenam kerana tidak ada apa-apa yang baharu yang hendak disampaikan kepada khalayak. Hanya yang jelas cuba memberi penyegaran dan akan terus membina nama (seperti Ridhwan Saidi dan Wan Nor Azriq baru-baru ini, contohnya) yang akan ditelaah dan diikuti. Itupun, mereka juga dalam pemerhatian untuk diikuti/diuji oleh kekuatan relevan zaman. Ujian ini berlaku dalam pelbagai bentuk, dalam sayembara, dalam wadah Hadiah Perdana, dan karyanya tiba-tiba diterjemahkan, dalam pemerhatian pengkritik dalam/luar negara, dan dalam pemilihannya untuk mempersembahkan karyanya kepada khalayak antarabangsa. Pada masa inilah, sebenarnya, kumpulan penulis muda harus menyedari kepentingan (dan di sinilah persatuan lama mengambil peranan!) aktiviti sastera yang digerakkan oleh persatuan sedia ada, kerana selalunya persatuan sedia ada ini sudah sedia ada susuk-susuk besar dalamnya yang dapat memberikan penilaian yang paling teliti dan mendalam tentang keadaan yang paling kontemporari. Dalam ruang inilah, kumpulan anak muda menyedari kekuatan/kelemahan yang ada dalamnya, dan sejauh mana pemikiran dan mekanisme pemikiran yang wujud dalam kekuatan anak muda menyampaikan kandungan dan siasahnya.

Saya hanya berharap, kumpulan anak muda sekarang, bila tuanya nanti, tidaklah pula berperanan seperti sikap penulis lama yang saya jumpai, yang mereka juga berkeluh kesah kepada anak-anak muda pada zaman hadapan kerana terasa dipinggirkan dan karyanya sudah tidak dijenguk lagi. Bagaimana hendak mematikan kitaran klise ini? Mudah. Sentiasa menyedari bahawa diri kita tidak sempurna dan terus sahaja belajar mencari kesempurnaan, dan satu hari nanti kita sendiri juga akan tua dan dipinggirkan, dan kumpulan seterusnya yang menggantikan kita akan lebih hebat (walaupun kita meletakkan dengan prejudis mereka tak sehebat mana dengan kita, tapi jangan pula utarakan kepada mereka!) daripada kita, dan ikatlah suatu rangkaian tua-muda sedari sekarang. Jika tidak, percayalah, kita akan melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh penulis lama sekarang. Paling senang dan mudah: buatlah kawan, tidak kira, muda atau tua, kontemporari atau indie, kiri atau kanan.

No comments: