Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Thursday, February 6, 2014

Pesta Kehidupan



Sedutan terjemahan daripada novel klasik Thai, Lakhon Haeng Chiwit (Pesta Kehidupan) terbitan tahun 1929, karya Putera Akatdamkoeng. Antara novel terkemuka dan diangkat oleh pengkritik sastera di Thailand, juga antara novel moden terawal Thailand. Kisah berlatarkan keadaan Thailand yang bebas daripada sekatan penjajah, anak mudanya yang berangkat ke negara luar untuk belajar, pertembungan budaya, dan kefahaman tentang dunia yang lebih luas. Babak ini berkenaan dialog cita-cita protagonis dengan teman wanitanya (orang putih) untuk menjadi seorang penulis sekembalinya ke tanah air walaupun cita-cita itu sia-sia dalam tahap literasi yang rendah di Thailand waktu itu:


"Bobbie, katakan yang sebenarnya," ujar teman setiaku, "kau tidak ada impian langsung, suatu impian untuk melakukan perkara yang lebih besar untuk dipandang di mata dunia, suatu impian yang akan membuat dirimu terkenal?"

"Ada, Maria," jawabku, mengerat tangannya dalam tanganku. "Aku punya impian tinggi. Aku ingin menjadi seorang novelis yang baik untuk Thailand. Negaraku miskin. Aku miskin. Aku berharap untuk mendapat rezeki yang cukup untuk hidupku. Tapi, di Thailand agak susah, tak ada siapa yang gemar membaca. Penulis di sana tidak dapat menampung diri kerana penulisannya, kerana kurang pembelinya."

"Kenapa kau tak jadi novelis di Eropah dan Amerika sahaja?"

"Di sini terlalu banyak saingannya," jawabku, "dan aku tidak fikir aku kenal bahasanya dengan begitu baik untuk aku menulis seperti novelis Inggeris atau Amerika. Aku punya impian untuk menulis sesuatu yang bagus, sesuatu yang tidak pernah ditulis lagi, dan menjadi orang pertama yang menulisnya ... hidup seorang novelis di Thailand mencabar. Maria. Jika seseorang memilih untuk mengambil alam fiksyen secara serius, orang itu mungkin hidup dalam kelaparan seumur hidupnya nanti."

"Bobbie, tidakkah kau sedar betapa kejayaan itu, dalam apa-apa yang kita lakukan, terdapat beratus ribu rintangan yang menghalang? Untuk mengawal keselamatan sesebuah negara, penyamunnya harus dihapuskan; malah kerja menghapuskan jenayah si penyamun itu suatu kerja yang membahayakan bagi detektif, polis dan orang seperti kita. Aku mahu kau menjadi seseorang yang berjaya dalam bidang yang ingin kau ceburi .. aku percaya bahawa kau seorang yang baik ... baik untukku, dan baik untuk dunia."

No comments: