Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Thursday, February 6, 2014

D.U.B.L.I.N.


Tajuk: D.U.B.L.I.N.
Oleh: Wan Nor Azriq
Terbitan: ITBM
Tahun: 2013

Sinopsis:
Sepatutnya, novel ini tidak ada sinopsis, kerana novel ini merupakan sebuah diari catatan yang tercatat beberapa persoalan perutusan seorang pengarang berjaya lama bernama Encik H tentang teorinya dalam susastera, yakni semua penulis berjalan untuk menghasilkan karya, berjalan untuk menangguhkan kebenaran. 

Rasa:

Setelah selesai sahaja saya membaca "novel" ini, saya berasa marah.

Perasaan marah itu mungkin kerana saya sibuk-sibuk mencari "cerita" dalam novel sepanjang 156 halaman. Saya ditempelak kerana misi itu. Saya baca kembali Ucapan Pertama "yang ditulis" Encik H. Saya menyedari saya telah tertipu.

Pembacaan saya tidak meluas seperti Wan Nor Azriq dalam tradisi kesusasteraan dunia. Namun saya faham benar, novel yang menempelak ini benar-benar bermain dengan persoalan pascamoden. Apakah itu "cerita", dan apakah itu "novel"? Apakah sebenarnya maksud naratif? Semuanya bermula dalam persoalan untuk "berjalan-jalan". Pembentukan naratif, juga menjalankan kerja sebagai hamba Allah ini melalui naratif itu (yang kita panggil sebagai riwayat) sendiri suatu perjalanan. Azriq (atau di sini, Encik H?) dengan susah payah (dan dia sendiri mengaku, kerja ini tidak matang dan belum mematangkan, suatu hipotesis mutlak belum dapat dikemukakan olehnya) mengumpul beberapa maklumat tentang gerak-geri dan perangai sang pengarang seluruh dunia berjalan kaki, suatu ritual yang dikatakan, membuka misteri sebenar bagaimana seseorang pengarang itu menghasilkan kerjanya (kononnya, inilah "kebenaran" itu yang dicari-cari), atau bagaimana hasil atau ilham itu menemuinya dalam perjalanan, dan juga bagaimana ia berkait pula dengan penontonnya (pembacanya). Dan dalam perjalanan ini, Encik H juga menyedari suatu kebetulan (atau kita panggil di sini, tema berulang) yang mengikat semua penulis terhadap pembikinan dan penyiapan karyanya, suatu kebetulan yang tidak diminta tetapi kadang-kadang datang tanpa dirancang (dalam novel, inilah yang dipanggil sebagai kejutan).

Encik H juga membuka suatu cerita dalam cerita tentang pembikinan D.U.B.L.I.N. yang saya pegang itu, serta e-mel, catatan, mungkin konfesi oleh editornya, Anita yang membantu Encik H menyunting manuskrip ini (yang mengesyaki, tulisan-tulisan ini ditulis oleh Encik H sendiri, ataupun Encik H sudah melakukan beberapa perubahan di dalamnya). Satu lagi, ialah teks "sebenar" naratif cerita D.U.B.L.I.N. yang ditulis oleh Encik H, yang secara peliknya (dan mungkin dilakukan secara sedar) mempunyai beberapa kebetulan yang sama dengan keadaan hidup dan gerak-geri Anita. Teks sebenar itu dalam bentuk nota kaki. Hal ini menggoyah. Adakah Encik H ingin menyatakan: cerita "sebenar" novel yang "tidak matang" ini ialah suatu serpihan semata-mata?

Suatu sisi yang penting dalam menelusuri novel ini ialah suatu sisi yang mungkin kita ambil dengan remeh: imaginasi. Sisi ini sebenarnya sisi terpenting, yang seperti suatu kerja deduktif, digunakan untuk mengeluarkan paparan atau tampalan-tampalan Encik H pada maksud teks yang sebenar, kebenaran yang ditangguhkan.

Sebab sebenarnya, saya melihat novel ini cuba menyampaikan maksud yang intim untuk menyatukan sang pembaca kepada sang pencipta (OK, ini kedengaran sedikit keluar aqidah). Kita sudah sedia faham, secara asasi Encik H menyatakan bahawa pengarang yang melakukan jalan kaki di atas alam realiti untuk menyediakan ruang dan kemudian bingkai bentuk apa yang akan dihasilkan. Pembacaan yang kita lakukan sendiri, membaca setiap cerita, rencana, suara, foto, dan mimpi Encik H (atau mana-mana buku pun) juga merupakan suatu aksi jalan kaki itu sendiri, ke satu destinasi yang kita sendiri akan alami dengan mengambil segala yang berlaku dalam kesedaran. Suatu kitaran yang lengkap sebenarnya sudah berlaku. Penulis berjalan. Pembaca juga berjalan, dan sudah tentu dalam pengalaman dan kembara yang berlainan dengan penulis tetapi tertumpu pada satu bentuk: novel itu. Misteri inilah yang merungkai, mengapa pembaca terus mencari, bukan sahaja kisah dan kisah sebalik penulisan sesebuah cerita, tetapi juga hidup, kisah, perjalanan, dan ya, jalan kaki si penulis itu lakukan sehari-harian secara fizikal (dan ada, seperti Nisah Haron yang berjalan kaki sendiri ke tempat-tempat penulis itu). Pembaca ialah voyeur kebetulan yang tidak disangka, dan si penulis tidak dapat berbuat apa-apa lagi tentang hakikat realiti itu.

Hal ini yang menarik, apabila Anita, digambarkan sebagai voyeur wahid Encik H, yang kita akan baca sendiri apa yang akan berlaku, dalam keadaan Anita sudah begitu terperosok dalam dunia cerita Encik H. Dan inilah yang menarik, mahu tidak mahu, Encik H, walaupun tidak mengaku, mengalami suatu kepiluan apabila "pembaca"nya hilang secara tiba-tiba. Perasaan yang sama secara realiti dirasa oleh mana-mana penulis.

Diari-novel ini juga penuh dengan ilustrasi menarik yang menjadi (maaf, saya guna istilah ini) alat bantu yang memberikan sudut yang kreatif untuk memberikan impresi realistik terhadap pembacanya, seakan-akan sememangnya Encik H lah yang menampal foto-foto itu dalam bukunya. Ada bahasa yang kadang-kadang kita tercanggung kerana semacam terdapat kesalahan, tetapi mungkin ini disengajakan (kerana ditulis oleh seorang yang hilang ingatan dan meracau?), malah mengaku tidak matang.

Novel yang tampak mencabar ini masih mudah untuk dihadam. Menariknya, jika kita kenal dengan buku permainan (game book) Steve Jackson dan Ian Livingstone pada era 1980-an, kita boleh anggap buku ini juga mempunyai pendirian sebegitu, dan kita akan mendapat beberapa lapisan makna lagi yang mengejutkan.

Antara novel yang membuka lembaran baharu dalam dunia persuratan kita. Ia mungkin mengganggu sekalangan, tetapi sekalangan yang lain tentu dapat menikmatinya. Kalau itu berlaku, begitulah maksud avant garde yang sebenarnya. Oh ya, apakah kebenaran yang ditangguhkan? Bayangkan, anda memegang sebuah diari dan apakah kebenaran yang ada dalam sebuah diari?

No comments: