Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, October 23, 2013

Tawarikh Cinta



Tajuk: Tawarikh Cinta

Oleh: Nisah Haron
Terbitan: Utusan Publications & Distributors
Tahun: 2008



Sinopsis:
Putera Jauhari Firus dan Puteri Cempaka Wilis dibebani tanggungjawab berat apabila masa hadapan empayar besar mereka, Ujana Madani kehilangan raja, ayahanda mereka. Wazir yang bijaksana telah mengharapkan sebuah misi besar dijalankan oleh Firus setelah Firus mendapat alamat dalam mimpi untuk mengembalikan "Kitab Gemala Sakti" asal yang hilang. Bermulalah suatu perjalanan melanggar masa dan dimensi, memasuki alam "dunia" yang kita ketahui, diduduki Nadim yang bijaksana sewaktu nyawanya di hujung tanduk angkara kebebalan rajanya terhadap hikmah kebijaksanaan. 

Rasa:

Kita harus berjaga-jaga dengan fenomena penulisan fantasi yang memegang ungkapan "we can get away with anything and everything." Ya, memang segala-galanya boleh dilancari dan ditelusuri dalam dunia fantasi namun untuk sebuah fiksyen fantasi yang kuat, fenomenanya dicipta bukan atas bayang-bayang imaginasi semata-mata namun mempunyai logos ciptaan teliti dalam dunia fantasi itu tersendiri.

Namun begitu, amat menarik jika saya telusuri (walaupun ada beberapa tema yang seangkatan sama pernah saya baca) novel pemenang kedua HSKU 2007 ini. Pokok mauduk ceritanya mempunyai nilai murni yang ampuh dan digalakkan, mengingatkan kepada novel kegemaran diri, The Neverending Story oleh Micheal Ende (namun novel itu lebih menggarap dunia fiksyen berbanding dengan ideal novel ini tentang buku berilmiah). Nisah mengangkat kekagumannya terhadap buku (kitab) dan "dunia tersendiri" yang dapat dimasuki, khususnya dalam proses pewacanaan dan pengilmuan, penghargaan tertinggi bagi setiap pencinta buku. Hal ini ditelusuri lagi dengan suatu kalimah yang jelas menyampaikan keseluruhan maksud novel ini:

"Kitab tidak mungkin memberi makna hanya dengan menjadi lambang, anakanda. Kitab itu bukanlah hilang, tetapi kitab yang hidup itu mencari-cari makhluk yang dapat mencabut makna dan menyampaikannya kepada orang lain. Sebab itu tintanya tidak tertulis dengan kata-kata basahan kerana tulisannya hanyalah untuk makhluk yang berfikir."
Nisah Haron, 2008:241


Dalam kisah ini, Putera Firus ditugaskan mencari Nadim, tokoh yang diketahui dalam kesusasteraan lama Melayu. Pengimbauan dan "misi menyelamatkan" Nadim menjelaskan emosi Nisah yang tidak puas hati dengan kesilapan demi kesilapan "makan diri" yang dilakukan oleh bangsanya (walaupun sekarang). Sikap "alternasi dimensi" ini dipakai serta untuk menyampaikan didaktik kepada pembaca berkenaan infrastruktur dan harga diri intelektualisme. Prodigi seperti Nadim tidak seharusnya diperlihatkan sebagai pengancam tetapi aset dan kemudiannya pengubah landskap negara, suatu sikap positif dalam aspirasi keremajaan, yang kini dalam era serba tidak mungkin ini juga dibayang-bayangkan "menutup mulut" para remaja yang "melanggar kebiasaan" (namun hal ini bolehlah dibicarakan lagi dari segi tatasusila dan adap sopan).

Menariknya, dunia fantasi Nisah dibina daripada sudut warisan kesusasteraan silam ini, mengimbaukan maksud "interteks" seperti yang pernah dibawa oleh beberapa penulis mapan dan lama, namun dalam hal ini, dalam genre yang lebih muda. Wali Allah, alam ghaib (yang saya bayangkan dunia orang kayangan), hal istana dan percakapan silam dihidupkan dalam pameran dan situasi plot. Alam Ujana Madani itu sendiri semacam cerminan alam silam yang "menyalin" alam lama Melayu, dengan sisi "utopia" Islam dan kemantapan peradaban unggul. Hal inilah yang paling dipersoalkan. Secara agenda, saya memahami mengapa ciptaan dunia "khayalan" ini dicipta, namun rujuk dunia ciptaan C. S. Lewis dan khususnya Micheal Ende. Jika kita teliti dengan kritis, kita mendapati dunia Firus semacam "menyedut" (sekali lagi, dengan pelik, kisah ini dimulakan dalam pandangan alam sebelah fantasi, bukan realiti seperti mana tipikal mana-mana novel fantasi, termasuk Saga Artakusiad yang klasik tersebut) segalanya daripada dunia manusia yang kita ketahui. Mereka tak mungkin "kayangan" kerana "Dewa" tidak memainkan peranan terhadap bumi di sini (ini berkaitan dengan kefahaman alam Jin). Semacam kitab (Kitab Gemala Sakti) dan segala "ilmu" itu dipelajari "dari bumi" sehinggakan maksud dalam Kitab Gemala Sakti itu hanya dapat disampaikan oleh seorang "manusia". Semacam suatu alam "adik kembar" manusia yang mengikuti "abang" dunia dan cuba tidak melakukan "kesalahan" yang dilakukan di dunia. Dalam mana-mana alam fantasi cerminan dua alam, kita memahami maksud dualisme yang dibawakan. C. S. Lewis mencipta alamnya sebagai penciptaan maksud dan legenda baharu, daripada cerita dan lagu yang dinyanyikan dek misi dan tugas manusia dari dunia terhadap alam fantasi. Malah novel Ende lebih-lebih lagi dalam menyampaikan maksud, dengan adanya manusia, dunia fantasi itu wujud(!): dengan adanya manusia membaca, pengalaman imaginasi tidak mati. Dunia dualisme Barker, Rowling, dan Caroll pula menyampaikan cerita di mana dunia fantasi itu mempengaruhi alam dunia, mengambil sikap "kayangan" yang sesilam mitos Yunani, Parsi, Cina, dan India dalam pertalian dewa-manusia (pengaruh tuhan terhadap alam manusia secara tidak sengaja, juga wujud dalam alam Melayu lama). Nisah semacam menebalikkan sikap ini dengan menyatakan dunia dan segala macam ilmu dan tokohnya yang mempengaruhi alam fantasi itu (tanpa manusia sedari!), malah dengan subversif, ilmu dan pengalaman dunia disedut sebagai "sejarah" dan "tatacara" alam fantasi itu. Pendirian ini menarik tetapi membuka pelbagai kotak pandora dalam kefahaman fantasi: mengapakah Nadim satu-satunya prodigi yang dipilih (saya membayangkan, sebenarnya Nadim ialah mahaguru pertama Ujana Madani yang akan menggunakan gapura masa untuk menguatkan peradaban Ratu Hassanatul, namun hal ini tidak berlaku), mengapakah sikap alam fantasi Ujana Madani voyeur/mengintip-intip terhadap perkembangan dunia manusia, kenapa sedutan ilmu dunia manusia dan bukan dunia lain (agenda di sini: ilmu Islam), dan mengapa sikap pentingkan diri rekayasa alam fantasi dan membiarkan kerosakan alam dunia? Nisah menambahkan lagi alasan kukuh dengan menyampaikan maksud "semua ini misteri Tuhan yang Maha Sempurna". Tidak boleh dipersoalkan lagi. Kes tutup. Hal ini menarik namun ada akibatnya. Jelas dunia fantasi ini dicipta bukan hasil tercipta "dengan sendiri" secara alamiah seperti biasa dunia fantasi tetapi terletak pandangan dan agenda khusus penulisnya. Maka dunia ini agak susah untuk pembaca meluangkan imaginasinya sendiri berterbangan dalam alam ciptaan ini kerana klausa-klausa yang sudah ditentukan, yakni penciptaan sebuah dunia imginatif yang diharapkan memberi kesedaran didaktik terhadap pembaca tentang peri penting ilmu dan pengalaman berfikir. Hal ini tampak falasi namun dibolehkan dengan alasan, penulis jelas-jelas menyampaikan dakwah dalam kreativitinya.

Bahasa Nisah sungguh indah dan puitis. Saya kadang-kadang terpampan dan kagum, malah merasakan Nisah seakan menciptakan sebuah "hikayat" baharu. Sikap ini amat menarik dan sungguh murni, yang saya tahu juga digerakkan oleh Zaki Zainol, Masdaliefadzlie, Serunai Faiqr, Ramlee Awang, dan beberapa penulis fantasi kotemporari tempatan. Saya suka misteri "Apakah sebenarnya Kitab Gemala Sakti?" yang ditimbulkan dalam novel ini, juga menyebabkan pembaca yang sudah melalui pengalaman membacanya akan cuba menyingkap beberapa misteri berkenaan Tun Jana Khatib (dibayangkan sebagai Waliyullah yang juga merentas masa dan dimensi!). Saya agak gusar dengan beberapa bab awal novel ini sebelum intrig yang menarik berlaku pada bab 10 dan seterusnya. Hal ini seakan-akan dikembangkan dengan melewah sekali, dipanjang-panjangkan. Penulis kurang memahami kekuatan gerakan cerita dan bagaimana menarik pembaca untuk bergerak bersama-sama cerita. Hal terang dan menerangkan yang panjang-panjang ini biasa dalam novel kanak-kanak lama, khusus dalam penulisan Othman Puteh dan tidak sesuai diulang zaman sekarang. Fantasi mementingkan kembara (adventure) dan intrig, penulis harus sedar hal itu. Serunai Faqir, contohnya memahami sikap ini dan Dewangga Sakti, sebuah contoh novel fantasi yang begitu bergerak dan hidup, seperti mana ciptaan Zaki Zainol dalam Takluk Jagat. Namun Nisah masih boleh dipuji kerana mencipta dunia Ujana Madani sebagai antara karya yang mengangkat martabat buku dan mencipta kisah khas tentang buku, sesuatu yang kurang dalam karya fantasi Malaysia.  

No comments: