Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Thursday, September 24, 2009

Takluk Jagat 1: Permulaan Satu Adikarya Saga Advencer Purba


Tajuk: Takluk Jagat Bahagian I: Bisikian Ariasha
Oleh: Zaki Zainol
Terbitan: PTS
Tahun: 2008

Sinopsis:
Saga-advencer purba yang berlaku di sebuah bumi fiksi Tanah Ini, mengisahkan Bayu Adi Jata, seorang yatim piatu yang berkelana mencari "pencuri" keris pusaka dan pembunuh datuknya. Bayu akan bertemu dengan Zilastra Dunia Kencana, Puteri Ariasha Cinta Castra, seorang puteri bunian dan Budak Tiada Wajah. Pada masa yang sama, negeri Dasyuria yang aman sedang berdebar-debar apabila askar dari negeri Sedinggi sudah mula berbaris di sempadannya. Tetapi musuh lama mereka, Wilayah Dawaka yang sudah lama terpecah sedang mula mengumpul kekuatan. Dalam perjalanan Bayu, dia terserempak dengan seorang lagi perwira yang amat menakutkan dan penuh rahsia, Pemusnah Jiwa, yang sedang mencari keris pusaka Bayu yang sama, Takluk Jagat.

Rasa:
Ingin saya mulakan ulasan novel ini dengan menyampaikan perasaan suka cita saya bahawa warisan Saga Artakusiad Ahmad Patria Abdullah sudah terjawab buat generasi ini dengan lahirnya dua orang penulis yang buat saya, amat bermakna buat penulisan genre fantasi. Saya belum mencedok ketangkasan Ramlee Awang Mursheed dalam trilogi Laksmana Sunannya, tetapi menelusuri dunia Rahsia Agenda Alam Hitam Zehann Ur Rakhie serta saga Takluk Jagat Zaki Zainol, saya berpendirian bahawa genre fantasi novel Melayu Malaysia akan bergerak subur, jikalau dua orang penulis handal ini meneruskan tuk selampit dan ceritakawala mereka.

Malah saya ingatkan pada diri, tidak ada sesiapa dapat menandingi novel fantasi Zehann setakat ini (yang sememangnya lebih saya gemari secara peribadi atas genrenya yang terlingkung dalam seram, vampirisme dan haiwan jadian) sehinggalah saya terjumpa dengan novel Zaki Zainol yang sulung ini, satu lagi petanda bahawa penulis muda generasi sekarang tidak perlu dikhuatiri titis tulisan mereka, atas kesegaran dan kompleksiti terjaga yang mereka bawa dalam hasil fiksyen mereka. Malah saya perlu akur, novel-novel ini lebih tuntas dan teliti gerak ceritanya daripada novel-novel fantasi Malaysia yang terdahulu kecuali mungkin Ahmad Patria Abdullah.

Ya, terdapat persamaan plot dan tema jika kita dapat meneliti dengan persis novel Zaki Zainol ini terhadap latar saga Star Wars (Bayu dengan Luke Skywalker serta persoalan Pemusnah Jiwa yang kemungkinan anal) dan Lord of the Rings (Dakawa dan Sauron, Takluk Jagat dan Cincin Sauron), tetapi hal ini tidak menjadi masalah (genre fantasi mana sekarang yang tulen?) oleh sebab pergerakan cerita, latar, perwatakan dan motif yang Zaki bawa amat berlainan dengan hasil George Lukas serta JRR Tolkein itu. Paling membanggakan, latar tempat Tanah Ini disesuaikan dengan sosio budaya nusantara, atau Melayu Islam yang amat dekat dengan kita. Pembawaan ini yang menarik (seperti Dewangga Sakti), mencipta mitos, susur galur dan perasaan yang amat Melayu dalam novel ini tetapi tetap bercirikan antarabangsa atas sebab-sebab dramatik, humanisme dan ketelitian Zaki merincikan novel ini sebagai sebuah advencer yang terancang ampuh dengan plot bersimpang-siur.

Seperti Zehann (yang lebih bergerak hala penyiasatan dan advencer dua dunia), Zaki Zainol mencipta sebuah dunia di mana aksi berselang-seli dengan drama. Hal ini merupakan kekuatan novelis-novelis seni petempuran Hong Kong dan Taiwan yang mana Zaki tampaknya amat kuat dalam hal perjalinan ini. Dalam dunia Zaki, pencak silat dan mistik Melayu menjadi satu petanda dunia yang unik - Zaki berjaya menampilkan kecantikannya serta fungsinya (terhadap sastera) dan masih penting dalam cerita, walaupun hal ini tampak seperti mengulang aksi penamaan "gaya" yang biasa dalam komik-komik kung fu Tony Wong.

Zaki mengambil penting sikap pembentukan watak, di mana setiap watak di dalam novel ini mempunyai bulatan dan sejarahnya yang tersendiri, psikologi dan motifnya benar pada cerita dan bercirikan pelbagai dimensi, malah "hidup" oleh sebab pembinaan watak yang selesa dengan kulitnya (bukan dibuat-buat). Paling mengejutkan, sekecil-kecil watak seperti Musang Darat mempunyai justifikasinya tersendiri. Ini sememangnya kekuatan Zaki Zainol. Malah, saya gerenti, novel ini senang diadaptasi menjadi sebuah filem bermutu atau komik yang cukup mendebarkan. Titik "drama dan tempur" ini boleh sahaja berhenti di tahap mikro (seperti mana novel-novel kung fu itu), tetapi Zaki membuka luas skopnya (walaupun bahagian peperangan ini adalah bahagian yang paling susah untuk dibaca) kepada beberapa krisis makro yang melibatkan ketenteraan yang besar. Malah, novel pertama ini semacam membuka layar (seperti buku pertama Tolkein) untuk satu pertempuran epikal akan berlaku. Antisipasi ini amat ditunggu-tunggu.

Kompleksiti Zaki dalam menjaga setiap pergerakan watak dan plotya merupakan sebuah lagi kekuatan Zaki. Ya, ada tanda-tanda "relief" sewaktu Raja Dasyuria duduk aman dengan Pemaisurinya, tetapi hal-hal kerajaan Dasyuria dengan rencah perhubungan luar ataupun dalamannya dalam uncang politik monarki, turut melibatkan intrig yang tidak jauh mencengkam pembaca. Kita akan dibawa kembali ke alam raja-raja Melayu dengan pemasalahan dan kebijaksanaan mereka seperti ada di dalam hikayat-hikayat lama, malah dalam drama-drama bangsawan. Saya teringatkan akan adikomik Rejabhad, Periwira Mat Gila, di mana kehidupan rajanya dalam latar istananya mempunyai impak menarik seperti yang dicipta oleh Zaki dalam novel ini. Undangan raja yang zalim dan bodoh yang selalu diangkat oleh pembikin filem sekarang serta para sosialis semasa ditolak oleh Zaki dengan penciptaan raja muda Sultan Amiladdin. Ianya satu kesegaran yang tidak terhingga.

Yang paling saya gemari dalam tulisan Zaki yang mana tidak ada lagi penulis Malaysia yang saya jumpa setakat ini yang dapat menyamainya adalah kebijaksanaan Zaki dalam menjelmakan humor, atau wit Melayu dalam tulisannya. Malah penciptaan wit yang sedia ada pada orang Melayu ini (yang memang saya akur, hanya dapat dijelmakan dan digunakan dengan baik oleh penduduk Kelantan, Kedah, P. Pinang dan Perlis sahaja) telah menjadikan novel ini satu novel fantasi dalam kelasnya yang tersendiri. Ia menampilkan dialog dan balasan kata yang mencuitkan dalam keadaan seriusnya dan ketingkatan adabnya, gaya latah secara tiba-tiba yang amat menyerikan (seperti Raja Bunian yang naik ke atas pokok secara tiba-tiba) dan punya tampuk tasawufnya. Saya memanggil penggayaan ini sebagai "tepuk-menampar" atau "senda gurau". Ia tidak pernah secerdik dan seorganik ini.

Novel pertama Zaki memang menyentak perasaan. Zaki merupakan seorang adicerita, kenal dengan pemanipulasian emosi pembaca (hal ini amat penting buat novel-novel bergenre). Bayangkan kitaran 180 darjah yang berjaya Zaki lakukan terhadap kita dalam watak Musang Darat di akhir cerita, atau rahsia Pemusnah Jiwa ataupun datuk Bayu. Memang, banyak jalinan cerita dan persoalan yang masih tergantung, tetapi ini disengajakan untuk membuka perjalinan buat novel keduanya (yang sudah ada di pasaran), seperti mana proses pengeluaran tiga buku Tolkein itu. Malah, persoalan-persoalan ini amat menarik untuk dijenguk nanti. Hanya kulit edisi ini buat saya agak gagal merumuskan kehebatan latar dan jiwa sebenar novel ini (ia hanya menampilkan 3 watak penting novel ini yang disusun dengan tidak bermaya). Jika ilustrasinya menggambarkan setiap watak dalam keadaan berbaris (seperti mainan strategi komputer Koei atau filem Wali Songo atau Saur Sepuh) dilatarkan dengan banjaran dengan keris Takluk Jagat di tengah, kemungkinan ia lebih menarik, ataupun dengan mengambil satu aksi dalam novel ini, seperti kedatangan Putera Sigorong yang tiba-tiba di tengah pekan, ataupun latar barisan askar Dassyuria di sempadan Sedinggi. Ya, novel ini seepikal itu untuk digambarkan.

Ada sesuatu yang "besar" yang ingin Zaki sampaikan. Tetapi terus-terang, dalam bahagian pertama ini, ia lebih berlandaskan ketelitian dan keutuhan manusia-manusia kecilnya (yang oleh sebab ketelitian mereka memilih dan bertindak serta utuh, menyebabkan mereka manusia-manusia yang berbakat) dalam menghadapi setiap dugaan hidup yang makin memberatkan setiap langkah apabila mereka menghampiri satu tujuan. Ini tampak benar dalam watak Bayu yang bermula dengan dendam, tetapi dalam pertengahan dan pengakhiran, kita menyedari semangat romantisme dendam Bayu mula disamarkan atas ciri-ciri manusia yang lebih agung, iaitu kematangan dan kemanusiaan. Ini membuatkan manusia mencapai kemurniaan yang lebih daripada manusia biasa. Inilah sikap halus Zaki dalam menampilkan adab Melayu. Buat Zaki, adab dan pembinaan perwatakan adab dalam diri merupakan rencah peradaban tinggi yang sebenar.

Secara lintas, novel ini merupakan novel "wajib baca" buat pembaca novel fantasi oleh sebab Zaki merupakan putera humor dan mistik Melayu terbaru yang amat ditunggu-tunggu oleh pembaca fantasi Malaysia.

8 comments:

kangaq said...

terima kasih atas ulasan :)

xara said...

Wah.. menarik rupanya buku ni. saya masih tergolong di kalangan yang menilai buku berdasarkan paras rupa kulit luarannya. :D

fadli akiti said...

xara, serius, novelnya bagus!

Zogon said...

Hampir membelinya. Tatapi kulit bukunye membatalkan hasrat . pehh!

fadz said...

wah, nampaknya ramai yg tak suka kulitnya, huhu, pihak PTS harus ambil perhatian.

Luna said...

Saya sudah terlupa terus tentang satu buku ini yang saya baca semasa awal sekolah menengah bertahun dulu. Kesinambungan buku itu tiada di library sekolah. Dan waktu itu kami tidak mampu untuk beli buku lain selain buku untuk persekolahan. Saya terlupa. Sehinggalah saya baca post ini.

Saya sudah lupa tajuknya, nama wataknya dll, tapi adikaraya saga artakusaid macam ring a bell.

Terima kasih. Saya mahu pergi cari buku itu di kedai2 buku.

fadz said...

yey, silakan ! :)

Anonymous said...

dah baca buku ni Bhg 1 & 2, tapi terbagi pinjam kat kawan, terus jadi pusaka.. last2 2 hari lepas pergi ke Pesta Buku Selangor ..nampak novel tu dah dibukukan 2 dlm 1 .. terus beli untuk buat collections...memang seronok .. tapi lagi seronok kalau penulisnya sambung lagi utk bhg ke 3..haha