Saya Sedang Membaca

Batu Ketiga Dari Matahari oleh Sahidzan, Encik Psychopath, Lucifer, april, KHRLHSYM, Ophan Bunjos, nasyrun, Zoul Yazix| Hikayat Tiga Negara Jilid 3terjemahan oleh Yuen Boon Chan, Woo Tack Lok | Message to Adolf oleh Osamu Tezuka | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | To the Devil a Daughter oleh Dennis Wheatley | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Kronikel Bumi oleh Nurul Izwazi Mohd Nor | Cloud Atlas oleh David Mitchell |

Friday, May 11, 2012

Roslan Jomel Membaca KO KB KU KL

Dalam dunia sastera, Roslan Jomel ni kira besar (wops, maaf Ridhwan Saidi) dan merupakan antara penulis mapan yang mula menampakkan jalur sinarnya (untuk banyak memenangi lebih banyak anugerah), khusus selepas kumpulan cerpennya Namaku Epal Kuning yang banyak diperkatakan dalam kalangan pembaca sastera.

OK, saya tak bohong, apabila saya bertandang ke rumah Pak Shahnon Ahmad, saya bertanya kepadanya, siapa penulis muda (golongan seperti SM Zakir, Nisah Haron, Mawar Shafie sudah masuk ke fasa matang dan mapan) yang beliau anggap "hebat" dan mampu mengangkat suara segar dalam sastera kebangsaan, beliau lantas namakan dua nama sahaja dengan wajah tanpa terujanya, tanpa tersenyum, nyali, seakan-akan soalan itu bukan soalan yang "memecah otak":

"Faisal Tehrani, Roslan Jomel."

"Yang lain-lain takde, Pak Shahnon?"

"Takde."

Jadi, ianya satu perasaan rendah diri apabila beliau, Roslan Jomel, berkata berkenaan novelet saya, KO KB KU KL yang jauh lebih rendah tarafnya (baca: pulpa/picisan) jika hendak dibandingkan dengan tulisan beliau  seperti yang berikut:

"apabila saya membaca baris permulaan novel pendek KO KB KL KU karya Fadli Al-Akiti, saya membayangkan sesuatu penceritaan yang tajam. baris permulaan novel pendek itu mengingatkan saya kepada permulaan novel The Outsider karangan Albert Camus. watak seorang khunsa sangat jarang diterokai. apakah ia kawasan taboo dalam etika penulisan karya sastera tempatan? Fadli sangat bijak memilih dimensi sebegini untuk dituliskan dalam karya fiksyen. suatu pilihan yang agak risky tetapi eksentrik. elemen-elemen sebegini sudah lama dibiarkan tanpa dihidupkan dalam karya sastera. namun bagaimana hendak memindahkan pergelutan batin watak khunsa dengan cemerlang dalam karya fiksyen? sudah tentu bukan sahaja menagih ketepatan gambaran emosi malah jauh daripada itu kerja keras pengarang untuk memperinci surut-naiknya fikiran watak tersebut. dan ia bukan tugasan mudah."


Monday, May 7, 2012

Cinta Hanya Datang Dari Hati Nan Bersih

Saya hanya akan menyatakan apa yang saya nyatakan di sini hanya sekali sahaja, jauh sekali hendak menunjuk pandai malah jauh meletakkan diri saya sebagai "ahli" dalam halnya, tetapi memandangkan saya mengikuti tariqat tasawuf, perlu saya nyatakan juga apa yang terbungkam dalam hati, dalam jiwa nan sangat terkunci ini untuk melepaskan apa yang perlu dilepaskan.

Saya sudah memasuki Bab 10 karya terbaru Faisal Tehrani, Perempuan Nan Bercinta, lalu mengenalpasti wacana karya ini untuk apa, saya tiada "masalah" dengan kaedah itu (saya sudah mula menerima sikap novel yang berbentuk perbincangan sebegini apabila adik saya yang belajar pondok menyatakan ada wujudnya tradisi penulisan sebegini dalam kesusasteraan Arab lama dahulu), malah ada bahagian-bahagian yang sungguh lazat ditekuni, khusus gaya kebahasaan Faisal. Tetapi tiba di bab-bab tertentu, bermula dengan petikan demi petikan "menyelongkar Wahabi" (ini tidak apa walaupun caranya dibuat secara terus terang) dan kemudiannya meletakkan cerita berkenaan "kelompok-kelompok sufi", saya sudah mula rimas hati.

Fine. Dunia ini penuh dengan kata-kata dan para intelektual akan menggunakan kuasa katanya, "balaghah"nya untuk memujuk, untuk membunga hal yang diambil dari luas lautan ilmu Tuhan dari pelbagai sanad dan autoritinya, tetapi ada perbezaan jelas ilmu yang disampaikan dari mulut jiwa yang punya sanad, yang dicuci hatinya oleh Allah dengan jari-jari yang hanya mengutip dari huruf dan ayat dalam kertas-kertas tiada berbicara lalu disampaikan dengan mengatakan "hal ini punya sufinya, punya jiwanya".


Faisal menyatakan bahawa sufisme itu ada pelbagai kelompok, biarlah. Tetapi ingin saya nyatakan, daripada kebodohan saya sendiri yang saya cuba selami, ilmu tasawuf itu secara pemahaman bukan dipelajari atau didapati hanya daripada pembacaan, ianya, seperti Islam itu sendiri suatu tatahidup, tatalaku, tatacuba untuk menghampiri kesempurnaan (hakikat diri), kesempurnaan inilah yang mengenali diri, kesempurnaan inilah yang membawa diri mendekati Dia yang kita inginkan kasih-Nya, dengan mengikuti tatalangkah kekasih-Nya yang terbaik, Rasulullah s.a.w. Dan ilmu yang keluar bagai titis-titis air bersumber air pancuran ini didapati bukan dengan pembacaan sahaja, memilih buku-buku lalu mengenalpasti "ilmu", tetapi berjalan di bawah seorang murshid, guru, pembimbing, penyelia, penjaga - ayah. Ayah inilah guru. Dan guru ini bersanad, dalam tradisi sufisme hanya dua cabang (daripada pelbagai cabang tariqat) yang sampai terus ke Nabi Muhammad Mustafa Kasih yang Dinanti, Saydina Ali karamallhu wajhah (yang kebanyakan cabang tariqatnya ada sekarang, termasuk kebanyakan yang ada di tanah syiah) yang mana tersurat hadisnya, Ali itu gapuranya dan Muhmmad itu kotanya, dan Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang mana kerahsiaan hakikat itu sampai kepadanya sewaktu beliau bersama baginda di dalam gua. Kemudian kita ada pula insan-insan istimewa yang terpilih, Khidir a.s., Uways Karani, Syeikh Abdul Qadir al-Jaylani yang mendapat sumber ilmu pancuran air itu terus-menerus dari sumber-Nya atas kerana cinta mereka yang tiada lagi tertara. Langsung, segala simbol (yang ini selalunya datang dari titisan Saydina Ali), akhlak, turutan, lapisan, cara, adab, penyucian, setiapnya ada pelbagai strata dan tingkatan, yang kadang-kadang berselisih, kadang-kadang tunggal sendiri, kadang-kadang menyerupai, kadang-kadang menandingi, semuanya bersumber Satu, Alif. Apa yang penting di sini adalah "pengalaman" (yang kita panggil ujian) yang dilalui oleh si pencari, si murid, si peminta sedekah, si petualang, yakni kita yang tiada apa-apa, untuk menelurusi dunia dengan segala hidangan dan racunnya, yang mana setiap insan itu akan mengalami pengalaman yang tersendirinya untuk "dia", dibimbingi guru, yang setiap "kelepasan" itu akan menerima tauliah (kunci) yang berbeza-beza mengikut daya jiwanya, yang berbeza-beza itulah yang menunjukkan keindahan Allah menyentuh setiap insan yang berjuta bagai bintang bertaburan di langit, setiapnya punya kaedah dan sifatnya yang berlainan tetapi mencari hanya Satu untuk tujuan. Allah Hu Allah. Ya Qayyum Hu Allah.

Maka saya yang hina ini tiadalah ingin berbalah berkenaan apa-apa, tetapi kini, dunia ini, khusus tanah Melayu, wujud, kelihatan daripada pembacaan, cukup banyak penyair yang mendendang kata "aku sufi" lantas menerapkan dan meletakkan lembaran kata penuh "kesufian" yang mana, jika hati itu tiada berbuka, melalui jalan yang diredai, tiadalah cahaya yang dapat ditimbulkan, tiada manfaat yang dicekupi, kerana kata hanyalah kata-kata dan tiada lagi. Di sinilah rahsia yang diperturunkan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazzali dalam buku yang senang tetapi mendalam, Ayyuhal Walad bila mengatakan bahawa ilmu itu terpecah kepada tiga, dan ilmu yang paling susah iaitu si insani itu sendiri yang "mengalami"nya yakni "cinta", itulah yang diajarkan dalam tariqat, itu yang diajarkan dalam sufi dan ianya tidak akan dapat dicapai dengan buku dan pembacaan. Itulah jua "keimanan" yang tidak dapat diwacanakan untuk dicakupi kemanisannya tetapi dilalui jalan-Nya untuk merasai kemanisannya. Dan dari manis cahaya inilah, tertuang cahaya demi cahaya, kata-kata punya jiwa, punya cinta, berbuah-buah dan mengalir terus seperti air terjun yang tiada akhirnya, terungkap dalam kata-kata yang memaut dan mengikat hati si pembaca, inilah yang kita jumpai dalam syair dan puisi Hamzah Fansuri, Jalaluddin Rumi, Ibn Arabi, Imam Ghazzali, tiadanya cara lain lagi.

Kerana itulah, saya tidak berani menulis syair sufi, tiada saya berani memperkatakan hal-hal kesufian bilamasa diri saya penuh kekurangan, dan sebab itulah bila dibaca, contohnya penulisan Prof. Naquib al-Attas, akan terpancarlah cahaya-cahaya itu, kata-kata bersulam jiwa, kerana kita ketahui ianya datang dari pancuran yang bersumber, sanad dan tariqat, menyelaminya menerangkan jiwa-jiwa, membuka air mata, tiadalah tercakup perasaan bila membaca, ada suqnya. Tenteramlah jiwa. Segar merasai air pancuran, walau terkuaknya hanya setitis.

Ini yang perlu diketahui oleh mereka yang ingin yang amat menulis dan membibirkan dunia kesufian, syair-syair dan wacana-wacana, semoga Allah memberkati jalan dan sesungguhnya Dia yang Maha Ketahui dan Melepasi Kesempurnaan. Wallahu'alam.

Yang Memohon Penyedaran ...

Sinema Spiritual



Tajuk: Sinema Spiritual
Oleh: Faisal Tehrani
Terbitan: Unit Buku Harakah
Tahun: 2012


Sinopsis:
Buku yang ditunggu-tunggu, kupasan "dramaturgi" dan kritikan Faisal Tehrani berkenaan "filem Islam" dan ketauhidan, hidayah, yang dapat memberi nilai dan kebaikan terhadap pembikinan filem kita, sekali gus budayanya yang kini bercelaru dengan ideal kebaratan yang rosak moral dan pemikirannya. 

Rasa:

Inilah buku yang paling susah hendak saya beli di PWTC pada pesta buku kali ini, dua tiga kali saya ke gerai bukunya untuk mendapatkan buku ini, sehingga saya putus asa (seorang kawan penulis membantu saya mendapatkannya setelah saya merajuk hendak ke situ lagi). Buku ini juga saya perkenalkan dengan terujanya di FB, yang bila ditanya seorang kawan tentang isi buku ini, saya jawab: "Tentang syurga dan neraka" lantas dia jawab: "Bosan."

Buku ini jauh daripada membosankan. Kandungannya sebenarnya merupakan kumpulan penulisan penulis prolifik ini daripada Siasah (saya tak baca pun), yang sedikit mengecewakan saya. Ini adalah kerana saya ingatkan, buku ini merupakan "sambungan" semangat segar penulis berkenaan perjuangan dan titik teorinya yang dinukilkan dalam novel pendeknya, Sebongkah Batu di Kuala Berang, yang ingin sangat saya baca, tetapi rupa-rupanya ianya hanyalah resensi dan reaksinya terhadap satu permulaan bicara berkenaan di mana letaknya pokok pangkal pembikinan dan penghargaan filem berciri "Islam" yang dipanggil "spiritual" oleh penulis (sebagai mencakupi dunia luar Islam yang turut punya nilai-nilai murni yang boleh direnungkan).

Tetapi apa-apapun, suatu perkara yang indah berkenaan Faisal ialah, bahasanya, retoriknya, dalam buku ini pun, kelihatan penulis "menang" dalam hujah-hujahnya untuk menegakkan satu pengalaman sebenar "mencari kebenaran" yang dipaparkannya mengapa Gubra itu perlu ditolak, misalnya. Walaupun mungkin pembaca tidak mungkin bersetuju atas hal-hal tersendiri mengikut "kepercayaan", pembaca tetap akan mendapat satu kupasan isu berkenaan pencarian filem sebagai wacana budaya hebat yang dapat memberi keihsanan dan budaya hidup yang lebih kukuh daripada kelaziman hantu dan rempit yang berlaku kepada filem tempatan.

Saya lagi menyenangi untuk pertama kalinya (mungkin), penulis membandingkan dan mengakui wujud "dua jenis sinema" di Iran, dan pengkajian dan penglaporannya menampilkan satu kupasan menarik berkenaan pertelingkahan "liberal" dan "konvensional" suatu hal yang tidak nampak berlaku dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan kita terhadap setiap budaya luar yang terus merobek-robek institusi masyarakat kita (bayangkan K-Pop). Perbandingan intelektual yang hangat ini seakan hanya dapat berlaku di negara "bijak" seperti Iran. Patutlah di sana filem-filem bijak sentiasa diangkat di persada antarabangsa.

Jika buku ini masih menjadi tanda tanya "oh, buku syiahkah", baik ketepikan, ini sebuah buku diskusi berkenaan filem, buku apresiasi filem yang semestinya ditelaahi, walaupun mungkin bukan menampilkan teori yang saya tunggu-tunggu itu daripada Faisal, ia masih mengujakan bagaimana "kepercayaan" Faisal itu, walaupun masih kita tunggu untuk direalisasikan dalam pembikinan, sudah terlaksana dalam resensi dan penjelajahan nilai dan kebudayaan.

Seram Rothschild



Tajuk: Rothschild Yahudi Kepercayaan Dajjal
Oleh: Ibnuyaacob
Terbitan: Moon Media
Tahun: 2012

Sinopsis:
Buku teori konspirasi ini membawa wacana perkaitan sebuah dinasti keluarga paling bahaya dalam umat dunia sekarang, Rothschild, dari permulaan hidup yang sederhana menjadi keluarga jutawan paling kaya dan terpengaruh sarwa dunia, memberi tekanan kepada setiap pemimpin berkuasa dunia. Hal ini tidak sahaja terikat kerana wang dan kuasa keluarga berkuasa tetapi "di bawah radar" ini tetapi atas perjanjian yang lebih purba dari tawarikh, Dajal Laknatullah sendiri. 

Rasa:
Saya membeli buku ini "saja-saja seronok", mahu juga cuba "ubah selera", malah saya juga menyukai teori-teori konspirasi ini yang pernah saya ikuti sewaktu remaja dahulu, khusus teori Dajal Laknatullah (Amerika itu Dajal, contohnya) dan adegan akhir zaman. 

Buku ini menjadi lebih menarik jika penulis dan editor buku ini lebih berjaga-jaga dengan bahasanya, yang kelihatan betul-betul "terburu-buru" hendak menyiapkannya mengikut "masa" sehingga terdapat terlalu banyak kesalahan ejaan yang merimaskan pembacaan.

Selain itu, ini sebuah buku yang menarik, seorang skeptik, boleh separa "percaya" dengan telahan dan kupasan yang diberikan penulis (saya anggap sekumpulan pengkaji), lebih-lebih lagi, saya, dengan buku di kanan dan Internet di kiri, saya akan taipkan setiap nama tokoh yang dinyatakan dan judul buku, agak menarik apabila hal-hal yang dinyatakan adalah fakta yang betul-betul wujud, "diselubungi" atas desakan sesuatu yang "menahan" maklumat itu "sahih". Ah, kerja yang seronok, lebih-lebih lagi dalam mengaitkan satu peristiwa/tokoh/badan dengan suatu entiti lain. Saya sendiri mencuba nama "Najib" dan "Anwar Ibrahim" dengan Rothschild, dan kedua-duanya "tidak boleh dipercayai kewibawaannya", ha ha, seorang memberi   peluang membukaan bank "Yahudi", yang satu lagi menjadi ahli panel forum dunia bersama-sama golongan "yang disyak" itu, ha ha. Contohnya, penulis menyatakan dengan jelas bagaimana siri-siri demonstrasi, revolusi adalah kerja dan proses yang digerakkan oleh tali-tali halus untuk penentangan kuasa (bukan kerana contohnya kerajaan itu suci, tetapi kerajaan itu sudah tidak dimahukan oleh kumpulan keluarga Yahudi Rothschild itu, walaupun mereka bersekutu dengan mereka!), dan ianya berlaku di setiap negara atas arahan keluarga ini yang kemudiannya datang daripada "Dajjal" itu sendiri, nauzubillah (hmm, saya bertanya juga bagaimana halnya dikaitkan dengan adegan Bersih baru-baru ini).

Tetapi lebih lama saya menelaah buku ini, lebih menakutkan jadinya, benar, saya tak pernah jadi takut bila membaca buku Stephen King mahupun Tok Awang, tetapi membaca buku ini, pada suatu malam saya seorang, bulu roma saya naik semacam, lagi-lagi apabila memasuki bab ritual syaitan yang dianggap dilakukan oleh keluarga Yahudi berpengaruh ini. Menghabiskan buku ini seakan satu "kengerian" yang tidak pernah saya rasai, seakan merasa pesimis terhadap hidup dan hanya Allah yang dapat memberi jalan penyelesaian terhadap cengkaman Dajjal laknatullah terhadap kita.

Antara bab yang "menakutkan" dan sangat kontroversial adalah bab berkenaan perkaitan perintis Salafi Muhammad bin Abdul Wahhab-Ibn Saud dengan Illuminati/Freemason(!) serta penggerak kaum muda, Syed Jamaludin Afgani sebagai antara Ketua Lodge Freemason(!) yang memaparkan bagaimana bertahun-tahun di Malaysia, orang kaum tua masih bertahan menolak perjuangan "kaum muda" atas sebab-sebab yang mereka sedari bahayanya, termasuk Tok Kenali. 

Ada beberapa hal yang masih saya "skeptik", tetapi fakta berkenaan pembinaan Israel dan didalangi Rothschild itu tidak dapatlah saya tolak, walaupun para penulis buku ini selalu menggunakan retorik "kerana ini digerakkan oleh Rothschild" tanpa menunjukkan bukti pada beberapa bab, malah ada petikan teks yang diambil sebagai "fakta hujah" kelihatan "samar", walaupun ada beberapa tempat yang membuat saya takut akan "kebenaran"nya.

Buku yang menarik sebagai persuratan teori konspirasi ala Islam yang berkaitan kuasa Yahudi-Zionis merancang peristiwa mendatang pada akhir zaman.