Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, May 7, 2012

Sinema Spiritual



Tajuk: Sinema Spiritual
Oleh: Faisal Tehrani
Terbitan: Unit Buku Harakah
Tahun: 2012


Sinopsis:
Buku yang ditunggu-tunggu, kupasan "dramaturgi" dan kritikan Faisal Tehrani berkenaan "filem Islam" dan ketauhidan, hidayah, yang dapat memberi nilai dan kebaikan terhadap pembikinan filem kita, sekali gus budayanya yang kini bercelaru dengan ideal kebaratan yang rosak moral dan pemikirannya. 

Rasa:

Inilah buku yang paling susah hendak saya beli di PWTC pada pesta buku kali ini, dua tiga kali saya ke gerai bukunya untuk mendapatkan buku ini, sehingga saya putus asa (seorang kawan penulis membantu saya mendapatkannya setelah saya merajuk hendak ke situ lagi). Buku ini juga saya perkenalkan dengan terujanya di FB, yang bila ditanya seorang kawan tentang isi buku ini, saya jawab: "Tentang syurga dan neraka" lantas dia jawab: "Bosan."

Buku ini jauh daripada membosankan. Kandungannya sebenarnya merupakan kumpulan penulisan penulis prolifik ini daripada Siasah (saya tak baca pun), yang sedikit mengecewakan saya. Ini adalah kerana saya ingatkan, buku ini merupakan "sambungan" semangat segar penulis berkenaan perjuangan dan titik teorinya yang dinukilkan dalam novel pendeknya, Sebongkah Batu di Kuala Berang, yang ingin sangat saya baca, tetapi rupa-rupanya ianya hanyalah resensi dan reaksinya terhadap satu permulaan bicara berkenaan di mana letaknya pokok pangkal pembikinan dan penghargaan filem berciri "Islam" yang dipanggil "spiritual" oleh penulis (sebagai mencakupi dunia luar Islam yang turut punya nilai-nilai murni yang boleh direnungkan).

Tetapi apa-apapun, suatu perkara yang indah berkenaan Faisal ialah, bahasanya, retoriknya, dalam buku ini pun, kelihatan penulis "menang" dalam hujah-hujahnya untuk menegakkan satu pengalaman sebenar "mencari kebenaran" yang dipaparkannya mengapa Gubra itu perlu ditolak, misalnya. Walaupun mungkin pembaca tidak mungkin bersetuju atas hal-hal tersendiri mengikut "kepercayaan", pembaca tetap akan mendapat satu kupasan isu berkenaan pencarian filem sebagai wacana budaya hebat yang dapat memberi keihsanan dan budaya hidup yang lebih kukuh daripada kelaziman hantu dan rempit yang berlaku kepada filem tempatan.

Saya lagi menyenangi untuk pertama kalinya (mungkin), penulis membandingkan dan mengakui wujud "dua jenis sinema" di Iran, dan pengkajian dan penglaporannya menampilkan satu kupasan menarik berkenaan pertelingkahan "liberal" dan "konvensional" suatu hal yang tidak nampak berlaku dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan kita terhadap setiap budaya luar yang terus merobek-robek institusi masyarakat kita (bayangkan K-Pop). Perbandingan intelektual yang hangat ini seakan hanya dapat berlaku di negara "bijak" seperti Iran. Patutlah di sana filem-filem bijak sentiasa diangkat di persada antarabangsa.

Jika buku ini masih menjadi tanda tanya "oh, buku syiahkah", baik ketepikan, ini sebuah buku diskusi berkenaan filem, buku apresiasi filem yang semestinya ditelaahi, walaupun mungkin bukan menampilkan teori yang saya tunggu-tunggu itu daripada Faisal, ia masih mengujakan bagaimana "kepercayaan" Faisal itu, walaupun masih kita tunggu untuk direalisasikan dalam pembikinan, sudah terlaksana dalam resensi dan penjelajahan nilai dan kebudayaan.

1 comment:

adibmohdaini said...

assalamualaikum..dimanakah saya boleh mendapatkan buku ini.adakah ada di toko-toko buku terkemuka.kata kawan saya buku ini tidak dijual secara terbuka.