Saya hanya akan menyatakan apa yang saya nyatakan di sini hanya sekali sahaja, jauh sekali hendak menunjuk pandai malah jauh meletakkan diri saya sebagai "ahli" dalam halnya, tetapi memandangkan saya mengikuti tariqat tasawuf, perlu saya nyatakan juga apa yang terbungkam dalam hati, dalam jiwa nan sangat terkunci ini untuk melepaskan apa yang perlu dilepaskan.
Saya sudah memasuki Bab 10 karya terbaru Faisal Tehrani, Perempuan Nan Bercinta, lalu mengenalpasti wacana karya ini untuk apa, saya tiada "masalah" dengan kaedah itu (saya sudah mula menerima sikap novel yang berbentuk perbincangan sebegini apabila adik saya yang belajar pondok menyatakan ada wujudnya tradisi penulisan sebegini dalam kesusasteraan Arab lama dahulu), malah ada bahagian-bahagian yang sungguh lazat ditekuni, khusus gaya kebahasaan Faisal. Tetapi tiba di bab-bab tertentu, bermula dengan petikan demi petikan "menyelongkar Wahabi" (ini tidak apa walaupun caranya dibuat secara terus terang) dan kemudiannya meletakkan cerita berkenaan "kelompok-kelompok sufi", saya sudah mula rimas hati.
Fine. Dunia ini penuh dengan kata-kata dan para intelektual akan menggunakan kuasa katanya, "balaghah"nya untuk memujuk, untuk membunga hal yang diambil dari luas lautan ilmu Tuhan dari pelbagai sanad dan autoritinya, tetapi ada perbezaan jelas ilmu yang disampaikan dari mulut jiwa yang punya sanad, yang dicuci hatinya oleh Allah dengan jari-jari yang hanya mengutip dari huruf dan ayat dalam kertas-kertas tiada berbicara lalu disampaikan dengan mengatakan "hal ini punya sufinya, punya jiwanya".
Faisal menyatakan bahawa sufisme itu ada pelbagai kelompok, biarlah. Tetapi ingin saya nyatakan, daripada kebodohan saya sendiri yang saya cuba selami, ilmu tasawuf itu secara pemahaman bukan dipelajari atau didapati hanya daripada pembacaan, ianya, seperti Islam itu sendiri suatu tatahidup, tatalaku, tatacuba untuk menghampiri kesempurnaan (hakikat diri), kesempurnaan inilah yang mengenali diri, kesempurnaan inilah yang membawa diri mendekati Dia yang kita inginkan kasih-Nya, dengan mengikuti tatalangkah kekasih-Nya yang terbaik, Rasulullah s.a.w. Dan ilmu yang keluar bagai titis-titis air bersumber air pancuran ini didapati bukan dengan pembacaan sahaja, memilih buku-buku lalu mengenalpasti "ilmu", tetapi berjalan di bawah seorang murshid, guru, pembimbing, penyelia, penjaga - ayah. Ayah inilah guru. Dan guru ini bersanad, dalam tradisi sufisme hanya dua cabang (daripada pelbagai cabang tariqat) yang sampai terus ke Nabi Muhammad Mustafa Kasih yang Dinanti, Saydina Ali karamallhu wajhah (yang kebanyakan cabang tariqatnya ada sekarang, termasuk kebanyakan yang ada di tanah syiah) yang mana tersurat hadisnya, Ali itu gapuranya dan Muhmmad itu kotanya, dan Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang mana kerahsiaan hakikat itu sampai kepadanya sewaktu beliau bersama baginda di dalam gua. Kemudian kita ada pula insan-insan istimewa yang terpilih, Khidir a.s., Uways Karani, Syeikh Abdul Qadir al-Jaylani yang mendapat sumber ilmu pancuran air itu terus-menerus dari sumber-Nya atas kerana cinta mereka yang tiada lagi tertara. Langsung, segala simbol (yang ini selalunya datang dari titisan Saydina Ali), akhlak, turutan, lapisan, cara, adab, penyucian, setiapnya ada pelbagai strata dan tingkatan, yang kadang-kadang berselisih, kadang-kadang tunggal sendiri, kadang-kadang menyerupai, kadang-kadang menandingi, semuanya bersumber Satu, Alif. Apa yang penting di sini adalah "pengalaman" (yang kita panggil ujian) yang dilalui oleh si pencari, si murid, si peminta sedekah, si petualang, yakni kita yang tiada apa-apa, untuk menelurusi dunia dengan segala hidangan dan racunnya, yang mana setiap insan itu akan mengalami pengalaman yang tersendirinya untuk "dia", dibimbingi guru, yang setiap "kelepasan" itu akan menerima tauliah (kunci) yang berbeza-beza mengikut daya jiwanya, yang berbeza-beza itulah yang menunjukkan keindahan Allah menyentuh setiap insan yang berjuta bagai bintang bertaburan di langit, setiapnya punya kaedah dan sifatnya yang berlainan tetapi mencari hanya Satu untuk tujuan. Allah Hu Allah. Ya Qayyum Hu Allah.
Maka saya yang hina ini tiadalah ingin berbalah berkenaan apa-apa, tetapi kini, dunia ini, khusus tanah Melayu, wujud, kelihatan daripada pembacaan, cukup banyak penyair yang mendendang kata "aku sufi" lantas menerapkan dan meletakkan lembaran kata penuh "kesufian" yang mana, jika hati itu tiada berbuka, melalui jalan yang diredai, tiadalah cahaya yang dapat ditimbulkan, tiada manfaat yang dicekupi, kerana kata hanyalah kata-kata dan tiada lagi. Di sinilah rahsia yang diperturunkan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazzali dalam buku yang senang tetapi mendalam, Ayyuhal Walad bila mengatakan bahawa ilmu itu terpecah kepada tiga, dan ilmu yang paling susah iaitu si insani itu sendiri yang "mengalami"nya yakni "cinta", itulah yang diajarkan dalam tariqat, itu yang diajarkan dalam sufi dan ianya tidak akan dapat dicapai dengan buku dan pembacaan. Itulah jua "keimanan" yang tidak dapat diwacanakan untuk dicakupi kemanisannya tetapi dilalui jalan-Nya untuk merasai kemanisannya. Dan dari manis cahaya inilah, tertuang cahaya demi cahaya, kata-kata punya jiwa, punya cinta, berbuah-buah dan mengalir terus seperti air terjun yang tiada akhirnya, terungkap dalam kata-kata yang memaut dan mengikat hati si pembaca, inilah yang kita jumpai dalam syair dan puisi Hamzah Fansuri, Jalaluddin Rumi, Ibn Arabi, Imam Ghazzali, tiadanya cara lain lagi.
Kerana itulah, saya tidak berani menulis syair sufi, tiada saya berani memperkatakan hal-hal kesufian bilamasa diri saya penuh kekurangan, dan sebab itulah bila dibaca, contohnya penulisan Prof. Naquib al-Attas, akan terpancarlah cahaya-cahaya itu, kata-kata bersulam jiwa, kerana kita ketahui ianya datang dari pancuran yang bersumber, sanad dan tariqat, menyelaminya menerangkan jiwa-jiwa, membuka air mata, tiadalah tercakup perasaan bila membaca, ada suqnya. Tenteramlah jiwa. Segar merasai air pancuran, walau terkuaknya hanya setitis.
Ini yang perlu diketahui oleh mereka yang ingin yang amat menulis dan membibirkan dunia kesufian, syair-syair dan wacana-wacana, semoga Allah memberkati jalan dan sesungguhnya Dia yang Maha Ketahui dan Melepasi Kesempurnaan. Wallahu'alam.
Yang Memohon Penyedaran ...
2 comments:
Biarkanlah mereka berjinak-jinak perihal kesufian... Mungkin satu hari nanti, akan terpancar roh sufi di bumi Malaysia, jika bukan datang dari sang penulis... mungkin dari sang pembaca...
Saya gembira nama Uwais disebut di sini...
;-)
Salam Taf Teh, saya cuba mencari dan menghubungi saudari, mohon dan mempelawa saudari utk mengirim puisi buat Dewan Sastera, emelkan terus kpd fadlidewansastera[@]gmail[.]com, mohon sertakan nama penuh, No KP, alamat penuh, no telefon, akaun bank, ... sgt menanti jawapan!
Post a Comment