Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, August 28, 2012

'Salem's Lot

Tajuk: 'Salem's Lot
Oleh: Stephen King
Terbitan: Heinemann
Tahun: 1977


Sinopsis:
Novel yang terus mengangkat nama Stephen King (yang juga memerangkapnya) sebagai penulis genre seram. Vampire datang ke sebuah pekan kecil di Utara Amerika, 'Salem's Lot di mana penduduknya mengenali antara satu sama lain, serta menyimpan rahsia dan mimpi hitam. Segalanya akan terbongkar apabila ada yang tiba-tiba hilang, sakit dan mati. 

Rasa:

Novel King yang paling puas saya baca setakat ini, ya, sudah ada beberapa tetapi ini yang paling memuaskan, metaforanya jelas, senang dan menggigit, serta babak-babak seramnya benar-benar seram dan kini menjadi klasiknya yang tersendiri. Memanglah, jika dilihat dari tahun ia ditulis lalu diterbitkan, ianya sebuah karya kreatif "taking its craft really seriously" yang sezaman dengan era Peter Blatty menghasilkan The Exorcist. Maka percubaan King menyampaikan bagaimana sinikal manusia moden (waktu itu) terhadap hal-hal "tahyul" menarik (zaman ini di Malaysia pula, berlaku kebangkitan penulis kita menghasilkan karya menolak tahyul dan menerima rasional sains dan pembangunan moden sosial) dengan menyampaikan watak seorang cikgu dan watak utama, Ben Mears "mengkaji" hal vampire ini dengan metodologi sains (yang sebenarnya mengikuti gaya yang dilakukan oleh Bram Stoker dalam Dracula yang turut bersandarkan pengkajian sains melanggar hal ghaib, dengan watak penyiasatnya, Dr. Van Helsing). Lebih menarik dalam cara dan susunan King terhadap kisah-kisah manusia di pekan kecil ini, rahsia mereka, sakit mereka, dosa mereka, dibuka sedikit demi sedikit, sepertimana "mati"nya pekan kecil tersebut, sedikit demi sedikit. Metafora besar ini merupakan kritikan sosial King yang besar terhadap sikap "tidak apa" dan "buat-buat tak tahu" masyarakat pada masa itu (yang amat berkaitan dengan sikap sosio urban kita sekarang). Walaupun mungkin tidak kompleks, dan sememangnya lebih kelihatan tersusun jika dibandingkan dengan kisah penduduk "orang kecil" dalam It,  setiap karikaturnya menjadi dan dirasai, seperti mana-mana watak dalam novel Charles Dickens. Ada beberapa babak seram masih diingati dan menyerap masuk dalam kulit. Saya masih tidak melupai kegerunan seorang watak menghantar keranda ke dalam rumah agam Marsten yang unsur ketakutannya amat dirasai. Juga babak Mark terikat dalam rumah sebelum Straker mendapatkannya untuk dijamu kepada si vampire  Barlow. Buku ini sudah klasik buat saya, dan amat menghiburkan sebagai novel seram terulung 70-an.

3 comments:

Resmanc said...

Suka ulasan ini...Im one of his fans...Thanks for da info sebab saya belum baca lagi yang ni...

shandye. said...

Stephen King adalah salah seorang pengaruh terbesar saya dalam penulisan. Terkadang ada juga yang cakap saya terikut-ikut gaya tulisan beliau. Ya, saya juga menggemari Salem's Lot walaupun hands down his best work thus far bagi saya semestinya It. Mungkin ia terlalu tebal, melalut at times dan terkadang rasa macam terlalu banyak info dan perincian yang dimuntahkan dalam novel tersebut tapi saya rasa kegigihan beliau untuk menghasilkan cerita yang bagi saya agak kompleks dan berselirat (lets face the fact, novel SK mana yang tak berselirat bagai?) harus dipuji.

Lyla Ibrahim said...

Tak pernah baca buku-buku Stephen King. Mungkin sebab ianya terlalu tebal. Tetapi Salem's Lot memang betul-betul menarik minat saya.