Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Tuesday, September 25, 2012

Mari Kita Tanam Sastera Kita Enam Kaki Dalam Tanah


Dan kita sudah sediakan pun lubangnya pada tarikh 11 September lalu sewaktu Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia diperkenalkan.

Lalu kita biarkan?

Saya teringat akan wajah seorang anak saudara, yang mana saya bertanya kepadanya, "Ambil apa di sekolah?"

Dia yang ceria sebelumnya, tertunduk malu (ke lantai) lalu menjawab: "Sastera ..."

Di sekolah, kelas sastera, jurusan sastera itu sudah dilongkang-longkangkan. Saya masih ingat lagi, bagaimana kami, para pelajar, dipecah-pecahkan (saya belajar di sebuah sekolah kebangsaan di bandar Kuala Lumpur) kepada kumpulan "pelajar sains" dan kumpulan "pelajar sastera-perdagangan". Saya berserta dua(!) anak orang Melayu dikelaskan dalam (satu-satunya) kelas "pelajar sains" kerana keputusan PMR yang baik. Balik sekolah, saya bertanya kepada ibu, "Mengapa saya tak boleh ambil sastera?"

Ibu saya menjawab, "Sebab nanti kerja senang dengan sains, senang masuk universiti."

Sumpahan apa yang telah kita lakukan terhadap jati diri kita sendiri?

Saya tidak melalui zaman KOMSAS yang saya tahu, kebanyakan pelajar mengambil jalan mudah dengan membeli "buku rampaian tips untuk lulus cemerlang" yang mana dalam buku itu tersedia kesemua "jawapan pintas" tanpa perlu membaca sebuah novel atau memahami serangkap puisi.

Pelaksanaan KOMSAS itu sendiri penuh dengan kontroversi (kerana dikatakan tidak berupaya menanamkan sikap pengapresian sastera tempatan dengan mendalam, kerana soalannya terlalu struktural). Saya tidak faham, mengapa sekolah-sekolah kita tidak usahakan pembacaan buku (bahasa Melayu) sepertimana di UK, yang mana mahu tidak mahu, para pelajar perlu menghabiskan sebuah buku (yang dipilih guru) dan membuat laporan dan perbincangan tentangnya, sedari umur 8 tahun lagi.

Mungkin itulah yang dihasratkan oleh pembikin Pelan Pembangunan Pendidikan apabila memperkenalkan "Kesusasteraan Inggeris" dengan wajib untuk setiap sekolah menengah serata negara (rujuk, ini bukan seperti KOMSAS yang terselit dalam subjek Bahasa Melayu).

Bayangkan, serata ceruk pedalaman Sabah, sehingga Ulu Kelantan dan sampai ke Johor Bahru, kelas Kesusasteraan Inggeris dibuka.

Apa akan jadi dengan kelas-kelas Sastera Malaysia?

Kini, sudah dilaporkan (fakta) ada guru besar sendiri "menutup" kelas-kelas sastera dengan alasan "tidak laku". 

Lantas dengan kehadiran kelas sastera Inggeris nanti?

Adakah sastera kita, baik daripada Anggun Cik Tunggal sampai kepada Naratif Ogonshoto terlalu lemah dan daif untuk memahamkan pemikiran kritis, menggarap pemahaman nilai dan mencetuskan kefahaman tentang dunia lebih luas jika dibandingkan dengan Shakespeare dan Hemingway? 

Apa salahnya, Kesusasteraan Melayu (dengan turutan tahap kesusahan mengikut umur sudah tentu) diperkenalkan, diwajibkan (sepertimana permintaan pihak GAPENA) sebelah menyebelah dengan Kesusasteraan Inggeris? Mungkin mereka tidak perlu melakukan ujian, tetapi laporan dan perbincangan itu amat penting, ditambah dengan beberapa hal kreativiti (mengikut kemampuan dan kebijaksanaan guru) untuk membawa pendedahan dan amatan yang lebih tinggi buat para pelajar.

Ya, cakap senang, tetapi ini juga berkenaan jati diri.

Bayangkan, anak saya, jika pendedahan "sastera Inggeris" melebihi sastera Melayu (dan berapa ramai sahaja yang PEDULI?), dia akan lebih mengenali Hamlet dan Raja Henry ke-8 berbanding dengan Hang Tuah (dan kini pun ramai sahaja yang tidak kenal dan tidak peduli) mahupun Raja Iskandar Zulkarnain. Itu belum lagi Merong Mahawangsa, Awang Sulong Merah Muda dan Malim Deman.   

Pelik, sastera dan persuratan kita, jauh lebih lama tercipta dan dipupuk tetapi kita masih lagi tidak mahu merangkulnya.

Kita lebih sukakan buah epal dan ayam belanda panggang.

Ya, suatu hal berkenaan "kelemahan" pembelajaran sastera kita, saya faham, tidak ada bahan "versi mudah" yang dipupuk, dibina oleh pihak penerbit yang bertanggungjawab mahupun pihak persendirian. Sebenarnya, sudah ada beberapa, tetapi Kementerian Pendidikan, sedarikah wujudnya beberapa bahan teks mudah "sesuai untuk pelajar" ini yang boleh diguna pakai sebagai bahan teks rasmi di sekolah rendah? Ada beberapa versi dan bentuk, tersimpan dalam gedung-gedung ilmu, rujuk dan telitilah sebelum buku-buku ini dimamah anai-anai. Terbitkanlah kembali. Buku-buku ini juga sesuai dijadikan komik.

Ini masalah kita juga.

Di negara Barat, jika novel Wuthering Heights dijadikan teks rasmi pembelajaran di sekolah, ada beberapa "tahap" disesuaikan, mengikut kecerdasan para pelajar (rujuk buku-buku keluaran University Oxford Press). Ada tahap yang sesuai seperti buku "Lady Bird" untuk budak-budak tadika (ya, diberikan, tetapi ditapis habis-habisanlah, bukan seperti novel KOMSAS Interlok tersebut), kepada teks "senang baca" sekolah rendah, dan versi mudah sekolah menengah. Untuk sekolah menengah atas dan universiti sahaja, novel "unabridged" digunakan. Tetapi jika memang ada pelajar pintar (rujuk novel Roald Dahl, Matilda), sedari 10 tahun pun mereka boleh membaca sebuah novel sastera dewasa yang berat (seperti beberapa rakan yang saya kenali, memamah novel Shahnon Ahmad dan A. Samad Said sedari sekolah rendah, yang saya bayangkan, GILA).

Menangani antara majalah paling panas di Malaysia (panasnya tidak terasa kerana pihak pengedar masih lagi malu-malu kucing mahu mengedarnya serata umum), saya menemui bagaimana dunia Sino-Asia (China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea) yang mengajar San Guo Yan Yi (Romance of the Three Kingdoms) di sekolah-sekolah turut menyediakan pelbagai VERSI novel sastera klasik Cina itu, ada yang dibuat versi mudah, versi anak-anak sekolah rendah, versi teks dan gambar, serta versi komik! Komiknya sendiri, terdapat berpuluh-puluh syarikat yang mengeluarkannya, dari Jepun hinggalah ke Taiwan!

Novel besar itu (novel ini kini diterjemahkan dan dijual di DBP, susah mahu dicari di kedai-kedai buku biasa) menanamkan jati diri kalangan Sino, menerap masuk dalam anak-anak Sino tersebut, memperkenalkan "pemikiran tinggi" orang-orang mereka dahulu (Sino itu kiranya serumpun golongan keturunan Mangloid ini jika dibandingkan dengan kita, adakah kita berani hendak membuka sempadan keserempunan kita dari segi ini?).

Mereka tidak pun memerlukan Shakespeare untuk itu (dan universiti-universiti mereka antara universiti terbaik di dunia).

Orang China pandai.

Kita bodoh.

7 comments:

Rem said...

Artikel yang bagus Fadz. Thanks for sharing!

Rusdi Arman said...

Harus lawan! Apa kejadahnya Sastera Inggeris?!!!!

Lan said...

sastera melayu makin difosilkan..

shandye. said...

hai.

apabila saya berpeluang utk sambung belajar ke peringkat sarjana di usm dalam jurusan kesusasteraan, ini sekaligus telah membuka mata saya terhadap kedudukan teks sastera melayu di tanah air sendiri. saya yg sebelumnya belajar dlm jurusan tesl terasa agak terkebelakang apabila duduk sekuliah dengan pelajar sarjana yang rata-rata berlatarbelakangkan ijazah sarjana muda kesusasteraan. banyak benar teks-teks melayu (salina, naratif ogonshoto, ranjau sepanjang jalan dan berpuluh-puluh cerpen melayu lain) yang indah-indah tetapi tidak pernah saya sentuh gara-gara sepanjang sekolah dan di peringkat ijazah sebelum ini tidak pernah didedahkan kepada saya.

memang benar saya sendiri akui bahawa tahap kepekaan kita terhadap sastera sendiri masih jauh terkebelakang jika hendak dibandingkan dengan sastera inggeris (atau indonesia?) di mana saya lihat begitu banyak karya2 yg bagus-bagus dijulang dan diberi penghormatan sewajarnya sejak di peringkat sekolah rendah lagi.

makanya mengapa tidak hal itu berlaku di malaysia?

pokoknya masih terlalu banyak lagi faktor luar yang pd hemat saya menjadi kekangan utk jadikan sastera medium pilihan di sekolah2. mungkin dek kerana pada mata saya malaysia masih lagi sebuah negara yang sedang membangun menyebabkan galakan dan mentaliti ibu-bapa yg fikir bahawa bidang sastera ini suatu bidang yang lapuk dan tiada peluang utk berkembang jika dibandingkan dengan aliran sains.

ya tak?

apapun, saya bangga akhirnya dapat mendekati cabang bahasa ibunda sendiri (walaupun saya rasa agak terlewat sebenarnya) di peringkat sarjana.

apapun, utk melihat senario sastera melayu diangkat seperti apa yg berlaku pada sastera inggeris di barat rasanya masih jauh dan masih perlu banyak usaha utk ketengahkannya agar masyarakat tidak terus rabun.

mkriza said...

Saya tertanya.
Sastera Inggeris itu; adakah sastera Barat atau sastera Malaysia yang diinggeriskan?
Sekiranya hanya untuk mempraktikkan MBMMBI sahaja, elok diinggeriskan sahaja sastera Malaysia dan bukannya mengambil sastera dari Barat. Lebih faedahnya.

Taf Teh said...

Nak buek cam no ni jang?

Agaknya kat Barat tu, bebudak dia jatuh-chinta ke dgn sastera Inggeris ni? Mungkin keadaannya hampir sama dgn di sini.

Bebudak sekolah dah beripad-ifon, ulam kerdas sambal belacan pun diaorg tak minat, ini kan pula buku sastera...

fadz said...

para guru perlulah dedahkan pada sastera bagus dan karya sastera yang mapan, tak boleh lagi kita dengar guru mengajar KOMSAS pun guna buku rujukan ikut poin.