Semalam, aku banyak berjalan. Dan aku menyukai bagaimana seperti bendalir, dari Bukit Damansara ke Bangsar kemudian ke KL Sentral selepas itu ke Pasar Seni, kemudian KL Sentral kembali dan kemudian ke Mid Valley dan selepas itu ke LRT Universiti, semuanya dengan teksi, LRT (sekali-sekala bas, jika ada). Siapa perlukan kereta? Mereka kata, sememangnya aku anak jati Kuala Lumpur. Tetapi semua anak jati Kuala Lumpur berkereta (atau bermotor). Aku tidak memandu (dan tidak boleh). Aku mempunyai niat diam, untuk mengelar setiap manusia yang menasihatkan aku untuk memandu, sewaktu mereka sedang memandu, sambil berkata, "Kau duduk sini (Malaysia), kau kena memandu". Terutama teman sepejabat. Filem James Bond.
Semalam lagi menarik. Dalam sebuah teksi dari Bukit Damansara, si lelaki India dari Sentul tidak habis-habis menggelar aku "pendatang" kerana tampak aku takut-takut menaiki teksinya. Aku bukan takut, tetapi di depannya ada wanita, di belakangnya ada dua anak lelaki. Jadi aku keliru. Rupa-rupanya mereka isteri dan anak-anak pemandu itu. Dia mendabik bercakap Inggeris, sambil mengutuk aku kerana "tidak berInggeris" yang mana aku "sengaja jawab" Inggeris dengan ayat tersusun. Dia "menuduh" lagi bahawa aku pelajar kolej yang naif dan lembik, perlu bersikap lantang dan bising (sepertinya). Kemudian dia kata, "gunalah bahasa kau." Aku mahu sahaja menyalak, "itu bahasa kita semua, bukan aku sahaja, bangak!" Bila sampai, si anak itu dengan tangan terkapai meminta sedekah mohon aku menghulur duit aku. 20 sen tidak diberi baki. Keluar teksi, aku tersengih, ah, inilah KL. Tentu New York juga ada ceritanya. Tetapi, sudah tentu, separuh massa yang memandu tak tahu urat darah sebegini di jalan-jalannya.
(2)
Isteriku akhirnya dapat menemui Redza Minhat, walaupun dari jauh (kenapa dia sudah berperut?), aku semacam rasa, antara senarai "Wish-To-Do-List"nya sudah termakbul. Dia boleh ke Mekkah selepas ini.
Dia tidak habis-habis memuji keindahan wajah Redza, yang begitu lain daripada yang ditontonnya dalam Pisau Cukur.
(3)
Aku amat gembira melihat anak-anak muda, kebanyakannya yang (mungkin) tidak ada peluang ke MPR atau bengkel penulisan, terkumpul tengah hari di CM Annexe, menghasilkan buku. Seperti Roslan Jomel kata, yang sisi ini pun perlu diraikan kerana mereka bakal mewarnakan dunia sastera kita, walaupun mereka tidak sedar (aku rasa Ridhwan Saidi seorang yang sedar akan hal ini).
(4)
Aku baru sedar aku tak popular. Sewaktu nama aku dipanggil Amir, hanya beberapa tangan yang menepuk. Mata penonton kebanyakannya seperti bolen mencanggung. Mungkin, kerana stigmata Amir memanggil aku "Editor Dewan Sastera". "Dewan" mungkin begitu "jauh" daripada anak muda sekarang, sepertimana itulah yang aku temui daripada perbincangan aku dengan siswa di UPM baru-baru ini.
Mungkin aku perlu nyatakan kepada mereka sekali lagi, "Saya editor yang tak makan orang."
Oh ya, buat yang baru kenal, "Saya juga penulis blog tontonfilem, pengkritik capuk yang selalu keluar Gala TV Plus di Astro Awani setiap Ahad, penulis novel fiksyen sains, kawan Saharil (sebab dia artis), dan suka makan coklat."
(5)
Walaupun kehadiran aku janggal dan dijanggalkan oleh remaja muda pelancaran Antologi KOPI, setiap nama disebut aku tepuk tangan. Bangga dengan hasil mereka, malah memang bagus-bagus, khusus gaya penceritaan dan plot mereka. Ini dipaparkan sungguh-sungguh dalam filpen yang ditayangkan, contohnya, pada hari itu, sepertimana cara gerakan plot Kopi Percik hasil Amal Hamsan yang bagi aku amat menekuni penceritaan dan tahu tempo-tempo kejutan dan "kening naik".
(6)
Berjaya menangkap novel SM Zakir yang rupawan! Sengaja kontradik mungkin, kekotoran politik dengan keputihan kulitnya, sesuatu yang sepatutnya dilakukan terhadap novel-novel politik Shahnon Ahmad. Terus aku rebut (walaupun sebelum itu Aloy Paradoks kata dia tak tahu terjualnya novel itu).
(7)
Novelet fiksyen pulpa aku habis terjual hari itu. OK, aku mungkin popular.
(8)
Aku menangis dapat ketemu Syafiq Halim, editor Republik Kutu. Aku bangga pencapainnya secara kendiri. Di dalam zine Kata-katanya, ada tertulis makalah Wan Nor Azriq berkenaan kirtikan sastera (yang sudah mati di sini) dan ini sebuah artikel yang penting, walaupun pendek. Azriq merangkum holisitik. Inilah yang kita mahu dengar dan lihat dan bukan "ss".
(9)
Aku gembira dapat ketemu kawan-kawan, malah, aku gembira dapat ketemu penulis-penulis muda khusus KOPI yang hebat-hebat sebagai kawan baharu. Betul, aku segan (bukan sombong) depan mereka. Aku rasa kerdil. Oh ya, kebanyakan mereka bertutur Inggeris dengan baik sekali. Aku harap mereka juga mengenali khazanah sastera kita dari Sulalatus as-Salatin hingga ke Pelabuhan Putih Kemala. Tapi aku syak, mereka memang tahu.
(10)
Aku berjanji kepada Nabila Najwa aku akan mengulas cerpennya dalam KOPI. Kalaupun aku akan ditempelak sepertimana Roslan pernah ditempelak dengan kejam (karya yang sudah sampai ke tangan pembaca menjadi milik pembaca itu dan bukan penulisnya lagi), aku reda. Aku tidak akan mengulas KESEMUA karya antologi ini (dalam diam aku mahu saja) walaupun pernah melakukannya untuk Orang Macam Kita dan Republik Kutu (itupun tidak begitu kritis). Aku sudah penat mahu mengulas "buku sendiri". Ini kerana aku sedih tidak ada penulisan ulasan yang benar-benar kritis kalangan blogger [boleh rujuk (8)], terlalu lapisan pertama, takkan kita perlu menunggu Dewan Sastera atau akhbar massa sahaja? Inilah permintaan editor Orang Macam Kita yang tidak kunjung padam lagi (untuk penulisan bersejarah itu dikritis secara kritis).
(11)
Nadia Khan ialah anak Hatta Azad Khan sang pencipta Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang fenomena itu.
(12)
Aku dapat bergambar dengan Shafaza Zara, murshid tariqat Kitab Terfaktab, ah, seorang lagi artis persuratan moden! Begitu kagum dengannya.
(13)
Syaz Johan yang kini Joan Collins jantan dengan sisi gelap, yang menjadi penulis yang banyak kali ditempah bukunya oleh rakan sepejabat akhirnya bersalam dengan aku. Aku terharu. Begitu juga Gina Yap (yang amat mengejutkan kawan editor aku yang gilakan novel jenayah Inggeris), Dayang Noor (yang mengaku takut dengan Dewan Sastera) dan beberapa yang lain. Hanya terkilan Luc Abdullah tidak ada, serta Raja Faisal.
(14)
Kawan aku yang aku lepak di Kota Bharu, Ayien tak nampak batang hidung. Aduh ... rindulah ketemu!
(15)
Aku beli beberapa benda di Arts For Grabs. Isteri aku bingit, "Kau membeli ini kerana suka atau kau membeli kerana membantu kawan? Kadang-kadang kau perlu waspada wang."
Aku berjanji kepadanya aku akan kurang berbelanja di Pesta Buku nanti.
Dia ketawa, "You wish lah."
(16)
Mautopia, puisi Wani Ardi, buku Hero dapat free (yey!) daripada Ratu Zara, Invasi terbeli. Aku mencari Odisi Kampar Afifuddin Omar, tidak dijual. Agak hampa.
3 comments:
Ratu katanya. :D
Dan mohon juga komen Barista Cinta. Mana tahu, boleh perbaiki diri dan ada peluang untuk menulis di DS (impian jauh melangit).
Dan ya, terima kasih atas buku comel yang buat saya rasa nak hentak kepala habiskan selaju mungkin KOPI. :)
Nota Kaki : Sudah lama hantar pesanan mahu menjadi kawan di Mukabuku, bila mahu sahkan? :D
Sekarang dah boleh cakap, saya kawan Luc Abdullah (sebab dia artis).
Hi hi.
suka tengok faz pakai tudung tu ;)
Post a Comment