Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, March 25, 2012

Ulasan Ini Buat Nabila Najwa

Saya menulis ini ditujukan buat Nabila atas permintaannya mengulas cerpennya, "Cethu", dalam Kumpulan Cerpen: KOPI terbitan terhad Fixi.

Persoalan tatabahasa mungkin perlu saya ketepikan kerana tiada kekuatan saya memahami bahasa Indonesia, yang mana tulisan ini ditulis dengan butir-butir bahasa itu (dan disengajakan guna bahasa Melayu di akhir untuk memperlihatkan kontradiksi ruang latarnya, dan kemungkinan perubahan protagonisnya).

Secara ringkasnya, cerpen ini ada pembawaan emosi yang menarik, disalur dengan hentakan dan percubaan penulisan puitik berkenaan cinta sejenis yang berlegar dalam jiwa seperti "cethu". Protagonis seorang dara keluarga kaya yang belajar perubatan di Yogyakarta, menemui seorang pasangan Indo sejenis yang telah membuka matanya melihat budaya kota Yogya dan sisi-sisi indah yang menyekutu di dalamnya.

Yang menarik, walaupun tidak ditekankan sangat oleh penulisnya, adalah singkapan perbandingan mata Malaysia terhadap dunia Indo dan mata Malaysia yang berada di situ melihat mata Malaysia menyingkap diskriminasi (persoalan yang sentiasa membeku dalam jiwa saya, kenapa tiada pula, atau jarang mata Indonesia kita dengar memperindah dunia Malaysia?) atau "sebelah mata" mereka terhadap dunia campur-baur Indonesia. Ini diperlihatkan pendek oleh suara-suara ibu protagonis mengujar ketidakmatangannya terhadap industri pembantu rumah pemberian bumi batik itu. Yang mana, diberontak oleh anak, dengan mendalami segala yang ada di Yogyakarta, segala yang dapat diberi, dihirup, dan segala yang dapat dilepaskan naluri seksnya terhadap sesuatu yang buatnya tidak dapat dijumpai di Malaysia. Ini menarik kerana ia juga berselang-seli dengan pendirian "dua sisi" sang protagonis, seperti sumpah-sumpah, apabila kembali ke Malaysia. Hal ini sebuah penelitian psikologi yang susah (kerana kompleksiti wataknya terhadap ruang dan tekanan sosial - si gadis memberontak hanya dalam "diam", masih tunduk kepada dominasi kehendak masyarakatnya, melampaui keagamaan) yang bagi saya, walaupun percubaan yang kelihatan amatur, boleh dikatakan menarik, berani dan membawa suaranya yang tersendiri. Ini adalah kerana percubaan penulis dalam memilih kata-kata yang terbaik mengisi "kekosongan jiwa" sang protagonis yang menyelami dunia "susah mahu lupa"nya. Wacana ini mungkin tampak "Oh, suatu cerpen romantika URTV yang dinaik taraf dengan lesbi dan utur Ayu Utami", tetapi sekurang-kurangnya penjiwaannya betul, dan masih menampakkan kekalutan dan hipokrisi keduniaan wataknya, yang bagi saya adalah suatu "cubitan" yang memikat, lembut, subliminal tetapi mengena.

3 comments:

ghost said...

sebenarnya aku sendiri sangat menyukai tulisan Nabila Najwa. Sangat jelas bila ada kawan yang bertanyakan padaku secara spontan, tulisan siapa yang kau suka dalam KOPI? pantas aku menjawab; Nabila Najwa.

aku terlupa untuk review KOPI dalam Goodreads.

Anne said...

juga antara cerpen yang aku hirup perlahan-lahan dengan penuh nikmat selepas terburu-buru minum kopi-kopi 'segera' yang sebelumnya.

nanawrote said...

Terima kasih Fadli, sudah mereview. Saya terpaksa baca berulang-ulang sebab sebelum ni belum pernah cerpen saya diulas sedemikian rupa :D

Terima kasih juga kawan-kawan lain yang dah suka dengan cerpen saya.

- Nabila Najwa