Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Thursday, March 1, 2012

Apa Lagi Yang Diperlukan?

Banyak yang memberi sahutan positif apabila Ketua Pengarah baharu DBP, Dr. Hj. Awang Sariyan diwawancara secara langsung di Astro Awani semalam malam. Kata-kata KP baharu ini sungguh meyakinkan, membawa semangat baharu (sebenarnya lama tetapi diperhalusi kembali) dan wawasan segar terhadap pembawaan kapal organisasi terbesar mengemudi benteng Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan dasar-dasar yang berkaitan dengannya.

Saya turut bersyukur, ramai yang menyetujui kehadiran mantan DBP ini "bagai sirih pulang ke gagang", merasa "arus perubahan" itu akan berlaku, merasa positif mendepani pelbagai kerenah perosak bahasa, buku teks, pemasaran Dawama, ahli politik, aktivis bebas dan pelbagai lagi resam garam dunia semasa mendepani bahasa dan sastera kebangsaan.

Ramai sahaja penulis yang memberi laungan sorak gembira itu. Dan ini amat-amatlah menggembirakan.

Kini, "kembali kepada hal mustahak", atau kata Inggeris, "back to work", apa yang amat-amat diperlukan dan menjadi hal utama KP DBP ini harus tangani?

Bagi saya, yang paling menyakitkan dan terus menjadi kudis buta DBP sekarang adalah hal krisis perjanjian dan pembangunan semula Dawama yang masih tidak selesai (rujuklah Facebook mereka untuk melihat perkembangan) serta pemasaran buku-buku dan majalah DBP (majalah DBP sekarang dan sebilangan buku-bukunya digerakkan oleh Kooperasi DBP). Kini, masyarakat bukan lagi masyarakat tertutup yang penat membaca. Saya percaya masyarakat sekarang dahaga pembacaan. Jikalau tidak, tidaklah setiap kali berlaku soalan dan permintaan agar majalah dan buku DBP berada di rak-rak kedai buku popular seluruh Malaysia (walaupun pihak kedai agak rumit menyiarkannya). Hal berkenaan cara "pengedaran" buku dan majalah ini turut dan mesti ditekuni sekali lagi, tidak lagi jenis dilambak dan kemudian tidak boleh diambil kembali oleh pengedar. Langganan majalah juga harus diperbuat sesuatu oleh pihak pemasaran, khusus majalah yang saya tangani. Saya sudah meneliti bagaimana pengedaran majalah sastera di mana-mana kedai buku, selalunya hanya di beberapa toko yang "kuat" dan "utama" yang menjualnya. Selalunya, majalah sastera ini (contoh di Konikuniya) di"tempah" oleh pelanggan lalu baharu "dipesan" oleh kedai buku (secara terhad). Maka jika ramai yang "menempah", bilangan "pesanan" majalah ini akan dipertingkatkan.

Masalah dengan pelanggan kita pula, tidak mahu bertanya, kemudian "memesan" majalah sastera tersebut di kedai buku yang memberi khidmat ini. Mungkin kita tidak seprogresif ekspatriat dan bukan Melayu (majoriti yang bertanya Melayu).

Langganan merupakan kekuatan majalah seperti The Paris Review, The Writers, Pen American dan Literary Review. Saya pernah menjenguk toko-toko buku di UK. Di situ pun agak sukar menemui majalah sastera berbanding GQ, Vogue mahupun Wallpaper. Hanya beberapa pusat toko utama yang "menjualnya", itupun amat terhad, dan selalunya cepat habis. Si pekedai kulit putih sendiri menyuruh saya "langganlah Literary Review, lagi senang", seperti sudah tahu kebiasaan yang dilakukan oleh penggemar sastera. Menjumpai Dewan Sastera di tepi toko mamak kemungkinan sudah mitos. Kita harap-harap tidak.

Bercakap tentang majalah, ada suatu lagi yang perlu pihak atasan DBP telerusi. Para karyawan di DBP. Saya melihatkan, seperti mana kuatnya zaman Keris Mas, kemudian Pak Sutung, kemudian Zaen Kasturi menangani Dewan Sastera adalah kerana wujudnya "pelapis sasterawan". Dari Keris Mas sehingga ke Kak Siti Zaleha (dan ada yang pelru meletakkan Rozninah sudah tentunya), mereka ini "hidup mati" demi sastera (sudah tentu Allah, tetapi sastera dalam nadi mereka). Mereka "mengambil berat" dengan sastera. Mereka mahu melihat sastera kita itu terus terbang, hirup dan melintas ke mata-mata dan telinga-telinga, sampai memekik ke telinga ahli politik. Saya tahu kekuatan Keris dan Sutung juga kerana tangannya dekat dengan politikus zamannya. Tetapi yang lebih penting dari itu adalah semangat mengangkat persuratan itu ditempatnya, hanya kerana mereka ini "sasterawan" sebenar, tanyalah mana-mana penulis di luar siapa mereka dan rakan-rakan saudara yang pernah mengelilingi mereka, Pak Kemala, Dinsman dan Pak Suhaimi contohnya.

Ini adalah kerana, sasterawan tidak akan mendajal wadah sastera sendiri. Sasterawan tahu "survival"nya di situ, di majalah itu, lantas akan berbuat pelbagai perkara untuk melihatnya terus hidup dan wujud dalam dunia serba pascamoden yang mana kebenaran itu palsu dan kepalsuan itu benar.

Saya sendiri bukanlah gah sasterawan jika dibanding nama-nama besar tadi (Oh, ya saya tahu kekuatan saya di mana dan saya berani berdiri atas hal itu, walaupun kegemaran hakiki saya pentas wayang, seram dan fisyen sains), tetapi saya tahu majalah yang saya tangani ini memerlukan penerusan dan bukan 14 tahun terperap menanganginya. Saya berharap sangat agar ada (sepertimana Pak Suhaimi pernah menyatakan kepada saya bagaimana beliau, dan Kemala yang ditangani atasnya Keris Mas dan Usman Awang, lima orang, bukan berdua, atau seorang) peluang bagi sasterawan yang sasterawan memasuki DBP selepas ini, yang boleh dibawah saya, yang kemudiannya menerajui pula majalah ini, lantas pengemudian ini bersambung-sambung dan tidak tersekat 14 tahun.

DBP tidak boleh lagi ditahan hanya mengambil para linguis dan pegawai kerajaan, tetapi sasterawan, ahli budayawan dan seniman serta dramatis. Jika benar-benar mahu menghidupkan DBP, tiga golongan inilah (walaupun saya tidak menafikan aktivis bahasa) diambil kira. Ini adalah kerana, golongan ini, secara tidak sengaja juga adalah bahasawan dan mencintai bahasa. Merekalah pelapis sebenar, si sasterawan tidak akan meninggalkan kelompok dan dunia sasterawannya, tahu hujung pangkal "survival" sastera dan isu semasa yang melandanya, kenal penulis (walaupun tak pernah ketemu), dan tahu ke mana sastera kebangsaan itu harus dibawa. Dari Keris Mas hingga Rozninah, tentu mereka tahu ke arah mana sastera hendak dibawa. Maka golongan ini pula, bila kuat dan punya kerusi-kerusi penting dalam pentadbiran sastera, tahulah bentuk dan arah mana kesusasteraan perlu dibawa, yang bukan mengikut detik birokrasi dan pengisian ISO semata-mata (saya selalu teringat dekan saya Prof. Ibrahim Bajuned berkata, kita perlu melangkaui ISO memandangkan ISO itu sendiri adalah ciptaan kita sendiri, malah Prof. Ibrahim sendiri yang membawanya masuk dahulu).

Ini adalah kerana, ruang dan rasa penulis atau sasterawan ini lain, daripada bentuk dan ruang empat segi yang diberi kepada pegawai kerajaan. Saya sendiri mengaku hal ini. Lantas lihatalah bagaimana bendalir mengalir lepas zaman Keris Mas (rujuk memoirnya) dan bagaimana, sedikit demi sedikit kerja sastera itu dikotak-kotak pascapengurusan Anugerah Sastera Negara, kerenah Sasterawan Negara, anugerah SEA Write dan seterusnya yang dikatakan menuju "profesionalisme" sehingga karyawan DBP dikenalkan dengan "mesin daftar masuk kerja" kesukaan Tun Dr. Mahathir pada tahun 1990-an.

Kenapa seniman dan budayawan pula? Merekalah yang menambah golongan estetik (dan eksentrik) maka seni akan kembali menggerumini DBP (yang kini dipenuhi di ruang dan badan lain) yang sudah ketandusan sekarang (ingat zaman pepecahan DBP-Dawama bila kebanyakan seniman hebat seperti Hassan Majid terpaksa terperuk ke Dawama meninggalkan DBP). Lantas senanglah kerja-kerja majalah DBP dan kulit dan segala yang berkenaan rekaan dan seni itu kembali indah (kerana berlaku geseran seniman dan karyawan).

Kenapa dramatis? Ah, mereka ini sebenarnya "nafas luar" DBP. Ingat zaman Usman Awang tukang teater dan kemudiannya Zakaria Ariffin, Johan Jaafar, Dinsman, Othman Hj. Zainuddin, dan pelbagai lagi dan kini hidup seorang sahaja, A. Wahab Hamzah yang berjuang untuk drama? Lihatlah hebat dan gah zaman Usman dan pilunya zaman A. Wahab apabila dikatakan tiada yang menonton teater baik Harga Sebuah Maruah. Ini adalah berkait dengan "aktivisme teater" itu sendiri, bagaimana kuat dan besar satu produksi yang bergerak bukan sahaja pengurusan, pergerakan teater, tetapi pemasarannya. Inilah yang dapat mengembalikan penonton dan masyarakat menjenguk kembali DBP, walaupun mengambil masa yang mungkin bukan setahun dua.

3 comments:

Sas said...

Pernah jadi pelanggan tetap Dewan Sastera sampailah kedai mamak tak jual lagi. Semua majalah DBP dah takde jual kat sana. Majalah lain ada pulop.

Anonymous said...

Moga-moga pintu "Sudut Penulis" yang diselak, dipalang dan dipaku akan dibuka semula daun pintunya untuk ruang diskusi orang-orang kecil pencinta sastera, seni dan budaya.

VFN said...

Isu dalaman DBP yang perlu diselesaikan dahulu sebenarnya :)