Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, February 15, 2012

Manifestasi Postmortal: Menyelongkar Rahsia Blok 1



Tajuk: Manifestasi Postmortal: Menyelongkar Rahsia Blok 1
Oleh: Mohammad Hafiz
Terbitan: Produksi Nur Johan
Tahun: 2011

Sinopsis:
Imtiyaz belajar di sekolah kampung atuk dan neneknya di Perak, bertemu dengan sahabat sejati, Ainul Hikmah yang pelik dan selalu diganggu oleh beberapa pembuli di sekolah. Tiba-tiba Imtiyaz menemui beberapa hal yang pelik, yang turut berkait dengan kuasa istimewa Ainul Hikmah. Mereka membuka rahsia sebuah blok sekolah yang tidak dapat digunakan lagi.

Rasa:
Ulasan ini akan saya buat dengan pendek, memandangkan pembacaan novel remaja ini tidaklah mengambil masa yang berat dalam lama (seperti novel dewasa) malah temanya senang.

Saya sendiri sudah menasihatkan apa yang saya perlu nasihatkan kepada penulisnya, seorang anak muda yang berbakat. Saya memberi pandangan, bahawa penulisan ini lebih bersifat amatur, dan sememangnya pun pada mana-mana novel pertama (debut) seorang penulis muda. Hanya, kekuatan bermain dengan genre dan mengetahui selok-belok dan kuasanya perlulah dicapai dan digarap penulis, agar logik dan wacana kisahnya lebih sebu.

Saya membuat perbandingan ini dengan Nazri M. Annuar, seorang penulis muda (yang kini menulis skrip filem dan televisyen) yang amat-amat memahami dunia penulisan sebegini dalam novel Aliya Eliyananya. Genre novel ini (kedua-duanya) berkaitan dengan hal separa fiksyen sains separa fantasi (sai-fai) dalam pengkuasaan deria keenam. Genre penyiasatan turut termasuk, dalam tradisi Hardy Boys dan Nancy Drew kesukaan remaja. Apa yang meletakkan kedua-dua novel ini berjauhan adalah pengkisahan atau pembinaan plot, di mana Nazri, yang kita sedia tahu pakar dalam memutar-belit plot melancarkan ceritanya dengan babak-babak episodik yang mendebarkan. Hal ini tidak berapa nampak dalam novel ini walaupun mencuba kerana banyak plot lubang dan kejutan-kejutan yang boleh disangka. Inilah sebenarnya genre yang paling susah jika seorang penulis tidak tahu bermain dengan struktur plot, mencipta jangkaan luar batas, mengejutkan pembaca, maka plot yang kita akan temui klise dan sudah dapat dijangka.

Satu lagi adalah undang-undang atau kanun perwatakan atau kanun kuasa yang dijelmakan. Ini amat-amat penting dalam mana-mana novel sai-fai. Jika sejenis roh/spektra sudah boleh berkomunikasi (bercakap dengan monolog panjang, menunjukkan diri), bukankah pelik jika ia tidak terus menunjukkan di mana tempat dia dikuburkan? Hafiz haruslah memahami dengan jelas, apa yang boleh/tidak boleh dibuat jika satu-satu unsur diambil. Ini yang boleh mengeluarkan "kejutan". Filem-filem "hantu" barat sudah banyak menampilkan kepandaian ini, di mana "hantu" itu hanya menunjukkan diri, tidak bercakap, atau hantu itu tidak sedar mereka hantu, atau hantu itu hanya boleh berkomunikasi dengan mencampak barang sepertimana kajian poltergeist. Inilah yang perlu diselami oleh Hafiz dalam menguatkan struktur plot dan pembinaannya kepada sesuatu yang lebih ampuh.

Tetapi saya perlu juga puji Hafiz kerana dia dapat menggambarkan serta mencirikan hal-hal psikologi watak dan perwatakan dengan baik, bermotivasi dan "hidup", tidaklah satu watak sehala yang selapis tipikal dalam novel-novel sebegini. Hal ini amat dialukan dan merupakan kekuatan sebenar Hafiz.

Akhir kata, Hafiz juga perlu melihat judulnya. Judul yang panjang selalunya "susah nak jual" kecuali ia "menarik" (cth. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Merunut Akar Meraih Bumi). Hal ini perlulah diwaspada oleh Hafiz yang sesungguhnya amat berbakat sebagai novelis.

1 comment:

HAFIZ LATIFF said...

Assalamualaikum.

Pertamanya, aku mahu ucapkan terima kasih atas kesudian tuan tanah membaca dan mengulas novel sulung tersebut.

Banyak yang aku belajar melalui komen tuan tanah secara langsung ketika bertemu tempoh hari, mahupun melalui ulasan ini. Semuanya akan diambil sebagai proses pembelajaran sepanjang perjalanan penulisan yang baru bermula. Heheh.

Cuma, ada beberapa perkara yang aku rasa harus diperbetulkan kerana aku rasa terdapat kekeliruan di situ.

1) Sebenarnya, ia adalah "Menyelongkar Rahsia Blok I" dan bukan Blok 1.

2) Judul novel sebenar adalah "MANIFESTASI POSTMORTAL" sahaja. Manakala, "Menyelongkar Rahsia Blok I" adalah tagline kepada novel tersebut yang merupakan idea editor aku.

Apapun, aku hargai masa yang diluangkan oleh tuan tanah untuk membaca, mengulas dan membantu perjalanan seni aku. =)