Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 16, 2007

Mainan kuasa Tuhan dalam "Aliya Elyana"



Tajuk: Aliya Elyana
Oleh: Nazri M. Annuar
Terbitan: Gala Unggul Resources (Gempak Starz)
Tahun: 2004

Sinopsis:

Aliya dan Eliyana adalah kembar kepada sepasang suami isteri yang sudah bercerai. Mereka berdua mempunyai kuasa psikik, kuasa luar biasa yang dapat menggerakkan benda atau membaca fikiran orang. Tetapi bukan itu sahaja, kuasa mereka lebih daripada itu.


Mereka masih di bangku sekolah menengah, penuh dengan rutin kebimbangan dan keseronokan remaja di samping membantu pihak polis menyelesaikan kes-kes pembunuhan yang sukar.


Dan semua rutin ini bergegar tiba-tiba dengan kedatangan Irene, seorang nenek berkuasa psikik tinggi dari Amerika, yang datang untuk mencungkil bakat istimewa Aliya dan Eliyana. Tetapi kedatangnnya turut bersama sebuah misi rahsia yang menggoncang Aliya dan Eliyana sebagai kembar dan keluarga.


Rasa:

persoalan keluarga, kebimbangan dan perasaan suka duka remaja mungkin menjadi latar Aliya Elyana, novel sulung fantasi Nazri M. Annuar ini.


Tapi jangan tertipu oleh olahan yang orang ramai mungkin prejudiskan sebagai stereotaip ini, kerana dalam Nazri bermain dengan psikologi watak 'baik tapi tak baik ala Rebel Without A Cause versi gadis yang agak dekat dengan Carrie tetapi tidak dikutuk oleh rakan-rakan seumurnya' Aliya dan Elyananya yang mengharungi detik keremajaan yang penuh warna.


Terdapat satu lagi struktur yang gelap dan agak setaraf dengan keinginan 'separa sedar' emosi remaja yang mencetus amuk tentang sekeliling mereka yang menekan mereka, sama seperti yang kita lihat dalam Akira ciptaan Katsuhiro Otomo (berkenaan kuasa yang perlu dibendung kerana kalau ia dipergunakan tanpa had, ia memusnahkan sesiapa sahaja walaupun diri sendiri).
Dan ini dibuat dengan teliti sekali oleh Nazri, walaupun ia tampak 'sebuah drama remaja-keluarga', ia amat berkait dengan Elyana yang memendam 'id'nya daripada membuas keluar dek pepecahan ibu bapanya. Dan ini yang dimainkan oleh Nazri dengan baik sekali untuk dikaitkan pula dengan satu lagi tema tersembunyi iaitu mainan 'campur tangan dewa' dalam mitos-mitos dewa Yunani, yang di simbolkan oleh pertarungan Irene, Kauffman dengan Aliya dan Elyana.


Dalam mitos Yunani (dan kebanyakan mitos klasik, termasuk hikayat-hikayat lama kita yang berkait dengan alam bunian), selalunya dewa-dewa mempunyai peranan penukaran takdir dan politik terhadap para manusia (sebagai simbol bidak). Manusia, seperti dalam kitab klasik Hindu Mahabrata adalah manusia-manusia yang diperlakukan (diperguna) dalam padang mainan dewa-dewa. Ini dapat dilihat jelas dalam Illiad karya Homer.


Dalam situasi ini, kadang-kala manusia, yang selalunya diwakilkan oleh separa-dewa (demigods, kerana pencampuran benih dewa dan manusia) dapat melakukan perkara-perkara luarbiasa yang boleh (seperti Hercules) melangkaui taruhan dewa-dewi.


Dan ini yang dimainkan oleh Nazri dalam Aliya Elyana. Aliya dan Elyana adalah separa-dewa dalam cerita ini, dipermainkan sebagai bidak oleh dua pihak kuasa besar (secara sindir, Nazri memilih antara seorang daripadanya sebagai simbol Amerika) yang ingin memiliki dan mempergunakan mereka. Ia adalah dalam kuasa Aliya dan Elyanan sendiri untuk sedar perkara ini (seperti teori paling laris detik ini selepas pos 9/11 untuk negara-negara Islam secara tidak sengaja- oksidentalisme serta berkait dengan nasionalisme) lalu memecahkan diri mereka daripada dibelenggu oleh kuasa-kuasa kuat luar ini (simbol anasir luar) yang hanya mahu menggunakan mereka untuk 'sebuah permainan'. Satu satira yang amat kena dengan realiti dan tanggapan kebanyakan orang tempatan kini tentang kuasa-kuasa barat terhadap rakyat tempatan dan jiran kita.


Itulah 'subtle'nya Aliya Eliyana, yang mungkin di luarnya adalah sebuah cerita bertemakan kebimbangan (teen angst) keremajaan yang punya kuasa psikik, tetapi di lapisan yang lebih dalam, mengharungi persoalan memiliki kuasa dan apa yang kuasa boleh buat (dan persoalan tanggungjawabnya) bila ada di dalam tangan seseorang.

No comments: