Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 16, 2007

Kritikan Filem Rahman Shaari

Tajuk: Kualiti Drama dan Filem Melayu
Oleh: Rahman Shaari
Terbitan: Munora Publishing
Tahun: 1983

Sinopsis:
Mengupas pemasalahan, persoalan dan kritikan terhadap latar teater dan filem pada zaman 80-an. Teater-teater Dinsman, Nordin Hassan, Othman Hj. Zainuddin dan Usman Awang diperkatakan, juga filem-filem 'angkatan baru' Rahim Razali, Jins Samsuddin, Yassin Salleh dan beberapa lagi penerbit-pengarah filem, yang tidak sedar mereka akan mengharungi era kemerosotan perfileman Melayu pada waktu itu.

Rasa:
Buku setebal 80 muka surat ini adalah antara tulisan 'aliran baru' kritikan teater dan filem tempatan pada awal 80-an (sebelum perfileman Melayu memasuki zaman kemesosotan yang paling teruk). Rahman mungkin tidak dikenali sangat seperti Mansor Puteh dan Dr. Anuar Nor Arai sebagai pengkritik filem tetapi beliau telah menempahkan nama dengan menghasilkan buku kecil tetapi agak kritikal ini untuk tatapan para penyelidik filem dan teater pada zaman itu.

Saya tidak membaca kebanyakan bab-bab teater kerana itu bukan niat saya meminjam buku ini dari Pusat Dokumentasi Melayu DBP (memang patut dijelajah oleh pencinta buku Melayu kerana banyak khazanah-khazanah lama yang menarik, majalah-majalah lama, buku-buku erotis Melayu lama, buku-buku Hamzah Husein yang tidak diterbitkan lagi malah beberapa buku lama yang baik seperti Projek 157 dijumpai di sini). Ini adalah antara naskhah bukan fiksyen yang memperkatakan tentang filem maka ia agak penting sebagai bahan warisan dalam isu perfileman tempatan.

Rahman Shaari mempunyai idea dan mazhab sendiri tentang apa itu kritikan dalam perfileman Melayu.

Tetapi beberapa perkara yang ditulis oleh Rahman agak membingitkan, seperti bagaimana Rahman mahu sangat melihat didaktik disuntik di dalam filem Bila Hati Telah Retak lakonan Rubiah Suparman. Ini adalah filem kegemaran Faisal Tehrani(!) dan banyak kali beliau memperkatakan tentang filem ini dalam wawancara beliau. Maka saya agak terkejut bila Rahman sendiri melihat bahawa filem perlu ada unsur 'pengajaran moral' sepertimana yang ditekankan dalam kesusasteraan tempatan pada waktu itu. Maka saya tidak dapat salahkan pembikin filem sekarang yang banyak mempamerkan filem-filem moralistik dan didaktik yang terlampau kerana pada waktu ini lagi, pengkritik-pengkritik sudah mahu melihat 'pengajaran' dan 'balasan moral' yang perlu sedangkan yang lebih penting dalam filem adalah melalui kesedaran dalam menimba pengalaman 'menonton' itu sendiri dan apa yang boleh penonton terjemahkan (konsep hermeneutik) daripada apa yang penonton tonton.

Beberapa idea Rahman tentang apa itu kritikan filem adalah segar dan penting pada zaman itu, malah ia masih relevan sekarang. Iaitu, bagaimana kritikan saling memperlengkapi filem itu, menjadikannya satu bahan seni yang 'hidup'. Hidup di sini bermakna, jika satu-satu hasil seni itu diperkatakan, baik disukai atau dicercai, ia membentuk denyutan supaya hasil seni itu terus disebarkan dan tidak tersimpan sebagai satu kerja seni yang duduk berhabuk di rak perpustakaan. Itulah kepentingan kritikan (atau ulasan) sebenarnya. Dan Rahman Shaari memberi alasan ini (selain daripada ia sebagai bahan rujukan pembikin filem waktu itu untuk memperbaiki diri mereka).

Filem-filem yang dikritik Rahman Shaari adalah Potert Maria (1981), Abang (1981), Pemburu (1981), Ribut Di Hujung Senja (1982), Anita Dunia Ajaib (1981) dan Bila Hati Telah Retak (1982). Membacanya, walaupun saya mungkin tidak sependapat dengan kritikan beliau (contoh seperti persepsi pengajaran yang beliau kemukakan untuk Bila Hati Telah Retak), ia menghiburkan dan memberi satu petunjuk bagi saya bila menonton filem-filem yang tersenarai.
Mungkin buku ini tidak sebaik kritikan-kritikan pengkritik filem terkemuka Malaysia (mungkin kritikan teaternya lebih berhasil), tetapi ia adalah antara buku filem yang perlu dibaca walaupun sekali oleh pencinta filem-filem Malaysia.

Nota: Rahman Shaari adalah di antara penyair dan novelis terkemuka di Malaysia. Beliau banyak menulis buku-buku rujukan tentang bahasa dan sastera. Antara novelnya adalah Mufarakah (yang diadaptasi ke drama TV terbitan RTM-DBP), Suluh Peraba, Ayu Sepora dan sekuelnya. Beliau adalah antara ikon saya dalam penulisan novel.

No comments: