Tajuk: Tekad
Oleh: Nazel Hashim Mohamad
Terbitan: DBP
Tahun: 1991
Sinopsis:
Kuala Lumpur ditimpa bencana! Sistem keselamatan tercanggih dan kubu bawah tanah tidak bermakna apa-apa. Kuala Lumpur jadi padang jarak padang tekukur! Encik Saleh dan keluarganya berpindah ke belantara. Banyak rintangan terpaksa ditempuhi, banyak pancaroba terpaksa dihadapi. Tetapi sebelum sempat menemui kejayaan, Encik Saleh terkorban. Kenapa?
Persoalan-persoalan yang mencabar hanya terjawab dengan membaca Tekad, novel kembara ini. Anda juga pasti terkesan oleh kesabaran, keyakinan, semangat setiakawan dan yang pentingnya keluhuran mengesakan Tuhan adalah jalan hidup yang sebenar. Ikutilah kisah seterusnya karya penulis terkenal ini. (diambil dari www.karyanet.com.my)
Rasa:
Novel ini adalah siri asal daripada novel sekuelnya, Nekad (lihat: http://kububuku.blog-city.com/nekad.htm). Saya harus berterus-terang. Saya tidak faham kenapa novel ini boleh mencapai tempat ketiga dalam "Peraduan Menulis Novel Remaja DBP 1990".
Ya, seperti yang saya terangkan dalam sekuel Nekad, novel ini adalah novel Melayu fiksyen sains yang agak kehadapan kerana membawa satu tema yang sangat jarang disentuh oleh penulis tempatan. Hanya ada sebuah novel sahaja yang mempunyai tema sebegini (dengan dunia dan gaya yang berlainan) iaitu Manuklon karya Rahmat Haroun.
Tetapi isi tetap isi. Makna dan roh adalah perkara yang paling penting dalam sesebuah novel (dan bukan sahaja struktur cerita dan plotnya sahaja). Dan dua perkara ini, walaupun agak tampak dalam novel Nazel ini, pembawaannya agak lemah dan penuh lubang-lubang.
Wataknya, seperti yang sudah maklum memang kadbod dan sangat satu sisi. Tetapi perkara ini dimaafkan, kerana kebanyakan, malah mengikut tabii penulisan fiksyen sains dunia, watak dalam sesebuah novel FS tidak penting untuk diperkembangkan, malah kebanyakannya berbentuk satu dimensi. Yang penting dalam sesebuah buku FS adalah ideanya dan penyungkilan isu dan persoalan ideanya.
Jadi, adakah Tekad agak gagal bagi saya?
Ya dan tidak.
Tidak, kerana ia berani, berani membawa suatu pembaharuan (walaupun agak lewat) dalam mengutus tentang dunia yang ditimpa kiamat dan bagaimana sekumpulan manusia berhasil untuk menyelamatkan diri lalu membina semula sebuah masyarakat madani walaupun berskala kecil. Ya adalah kerana cara persembahan Nazel yang tampak, dalam beberapa bahagian novel ini, dicampur aduk dan dibuat tanpa penelitian yang jitu, malah tampak ditempel-tempel untuk menguatkan rasionalisme terhadap sesuatu perkara. Ia tidak berjalan dengan lancar seperti air tetapi dibuat-buat dengan pelbagai penjelasan yang "tiba-tiba".
Boleh dikatakan, Tekad lebih luas skopnya daripada Nekad. Kalau Nekad hanya sebuah cerita sekumpulan manusia akhir zaman yang mahu berpindah semula, melakukan satu tualang untuk mencari tamadun lama yang ditelan zaman, Tekad lebih luas dunianya. Dalam Tekad, beberapa keluarga di satukan, kemudian bergaduh, kemudian berlawan, dan kemudian bersatu kembali.
Terdapat pelbagai puak dan komuniti yang tinggal di dalam dunia belantara Tekad. Di dalam novel ini juga, kita akan diperkenalkan dengan watak Syurga, antara watak menarik daripada Nekad kerana dia seorang pengkoloni dari bulan.
Di dalam Tekad, kita dapat mengetahui kenapa Syurga turun ke bumi. Di pertengahan novel ini, ada berlaku konflik di antara penduduk belantara bumi dan tiga pengkoloni bulan ini, tetapi cara Nazel mempersembahkan 'idea'nya agak menjengkelkan. Ini berlaku apabila kawan pada Syurga, Nurulhaq ingin berpaling tadah dengan keluarga Zabil, ketua kumpulan penduduk belantara. Dengan 'tiba-tiba' sahaja, tanpa rasional yang munasabah (yang kononnya hasad dengki), Nurulhaq terus mahu mengkhianat. Tidak ada motivasi atau adegan yang kuat untuk membawa watak Nurulhaq ini menjadi 'jahat'. Malah, terang-terangan wataknya terus 'hitam' oleh sebab niatnya yang mahu menakluk belantara itu.
Ini diperlemahkan lagi dalam episod berikutnya apabila dengan tiba-tiba, sekumpulan manusia menyerang kubu keluarga Zabil. Tanpa memberitahu sejarah, kronologi ataupun kod bagaimana perkara ini boleh berlaku, ia berlaku begitu sahaja, tiba-tiba! Ia seakan Nazel sengaja melakukan ini untuk membawa semangat saspens dalam novel ini, tetapi ia menimbulkan kemarahan kerana tidak adanya pengenalan sekurang-kurangnya bagaimana sekumpulan manusia ini boleh muncul dengan tiba-tiba dan bagaimana Nurulhaq dengan 'genius'nya dapat mengumpulkan sejumlah manusia yang begitu banyak dalam masa yang terlalu singkat tanpa diketahui oleh orang-orang Zabil. Amat menjengkelkan!
Ini ditambah lagi dengan cara pembawaan Nazel dalam menggambarkan sesuatu adegan. Lihat sahaja perenggan ini:
"Ya Allah!" keluh mereka, kecut dan ngeri melihatkan kejadian yang sekali-kali tidak mereka duga dan ingini itu.
Jerit pun tidak. Cuma seketika sahaja Nurulhaq di ruang kosong udara. Dari atas jurang itu mereka dapat melihat tubuh Nurulhaq terbongkang di atas batu hampar raksasa di tengah-tengah air lalu. Tentunya remuk seluruh tubuhnya yang rapuh itu. Darah mula meleleh pad aabtu dan bermesra dengan air.
Tentunya remuk? Tentulah!!
Bayangkan, sudah Nazel bawa antisipasi pembaca untuk mengetahui apa yang berlaku, tiba-tiba perkataan "tentunya" tiba-tiba merosakkan segala keseraman dan ketakutan yang pembaca alami bila membaca ayat ini.
Sebenarnya novel ini satu pendekatan segar dan murni. Malah perbalahan antara puak, penemuan puak-puak baru yang jahil, keinginan pemimpin untuk meredah dan mencari tempat 'utopia' sedang mereka dikelilingi malapetaka amat menarik untuk menunjukkan bagaimana jiwa manusia ingin terus hidup berkelana dan meneruskan tamadun hidup mereka.
Jiwa ini penting kerana ia juga memaparkan, selagi manusia itu sedar akan sekelilingnya, dia akan berlawan untuk mempertahankan apa yang dia rasa benar dan menolak apa yang dia rasa salah. Malah cara Nazel mempertemukan satu puak dengan puak lain yang pelbagai rencam dan pegangan juga amat menarik, sama seperti teori sejarah Ibn Khuldun tentang perbezaan, ilmu dan jangka hidup tamadun ataupun teori evolusi Darwin tentang kemenangan dan pengamilasian tamadun yang lebih kuat terhadap tamadun yang lebih lemah.
Tetapi mungkin kerana dunia yang dicipta dalam Tekad ini agak luas dan kompleks untuk diperkembangkan. Malah ia sepatutnya tidak patut terbantut pada sebuah 'novel remja'. Mungkin kerana ini, dengan pelbagai rempah yang Nazel terpaksa campurkan dalam sebuah balang yang agak kecil, maka persembahannya tidak memaparkan satu makanan yang agak lazat.
Dengan itu, Nekad sebenarnya, walaupun lebih kecil dunianya berbanding Tekad, lebih berjaya sebagai sebuah novel pos apokolips tempatan.
No comments:
Post a Comment