Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Friday, March 16, 2007

Kritikan Filem Mansor bin Puteh

Tajuk: Kritikan Filem
Oleh: Mansor bin Puteh
Terbitan: Zan Corp Communications Sdn. Bhd., Uniti Films Sdn. Bhd.
Tahun: 1995

"Kalau mahu dikira berapa pengkritik filem yang tulen di Malaysia, satu daripadanya adalah Mansor Puteh"
Hassan Muthalib

Sinopsis:
Tulisan kritikan filem oleh pengkritik terkemuka negara, Mansor Puteh, yang dikumpul daripada hasil tulisannya di akhbar dan majalah tempatan.

Rasa:
Saya masih ingat permintaan Mansor Puteh pada malam arprisiasi filem Matinya Seorang Patriot(1984) di Akademi Seni Kebangsaan, beliau tidak mahu lagi disebut-sebut sebagai seorang "pengkritik filem". Beliau mahu lari daripada gelaran itu.

Tetapi apabila saya membaca buku beliau ini yang saya jumpa di Pusat Dokumentasi Melayu DBP, teruja saya. Baru saya faham kenapa Mansor Puteh itu Mansor Puteh, seorang pengkritik filem yang memang seorang pengkritik filem.

Suaranya, walaupun sangat pedas dan terus-terang dalam beberapa artikel (termasuk beberapa filem bikinan Jins Samsuddin yang dikutuk pada tahap mencerca, memang beliau seteru utama Jins Samsuddin), menunjukkan suara beraninya dan arus baru dalam pemikiran (waktu itu) dan semangat terhadap filem-filem Melayu. Filem-filem Hollywood juga tidak terkecuali daripada ditelah dan dikopek sedemikian rupa. Paling mengujakan, beberapa filem Melayu yang Mansor sudah perkatakan baik, memang sudah diperlihatkan sebagai karya klasik dan penting abad ini (Kembara Seniman Jalanan, Matinya Seorang Patriot, Mekanik).

Hanya, kadang-kadang, suara Mansor agak janggal dalam beberapa sebab, mungkin kerana tidak melihat filem sebagai filem (bila menontonnya), tetapi mengambil kira publisiti dan war-war yang berlaku terhadap filem itu. Contohnya filem Bukit Kepong Jins Samsuddin. Waktu itu memang media memainkan peranan mempromosikan dengan besar-besaran sebuah filem "besar" daripada sutradara terkenal itu. Dan apabila Mansor Puteh menontonnya, Mansor tidak nampak besarnya, hanya membandingnya dengan Battleship Potemkin, sebuah filem yang dibuat dengan agenda dan ciri yang sangat lain walaupun kedua-dua filem itu filem perang.

Battleship Potemkin adalah sebuah filem propoganda komunis terhadap pemerintahan Tsarnya. Bukit Kepong lebih kecil daripada itu. Seperti Lt. Adnan, filemnya berdasarkan sekumpulan manusia mempertahankan sebuah kawasan yang dikepung musuh. Semangatnya turut berbeza jika dilihat daripada konteks ini. Kalau Potemkin, ia sememangnya membuak semangat sosialistik (anak-anak buah Tsar ditonjolkan sebagai penindas rakyat paling kejam) sesama rakyat Rusia. Untuk Bukit Kepong, ia lebih mendramakan satu peristiwa serangan pada tanah rakyat majoriti oleh para minoriti (pengganas di sini adalah komunis yang rata-rata adalah etnik Cina, minoriti terhadap barisan etnik bersatu Malaya waktu itu, Perikatan). Walaupun filem Bukit Kepong sedikit kecil, ia tetap sedikit perkauman. Idea di belakang filem ini, kalau diperlihat betul-betul, adalah bagaimana berlakunya sifat melangkau daripada konsep nasionalis keMalaysiaan tetapi lebih pada penjagaan tanah hak ketuanan Melayu daripada penjajah/pengganas yang 'luar' daripada darah dan keturunan Melayu. Ia adalah satu menifesto seorang Melayu pada massa Melayu bahawa tanah Melayu ini perlu dipertahankan daripada jajahan/belian etnik lain, dipertahankan walaupun dengan darah kalau boleh. Ini adalah idea yang sama berlaku dalam filem Tha Alamo (mempertahankan tanah yang diambil oleh kulit putih Amerika daripada Red Indians) dan Zulu (mempertahankan tanah yang diambil oleh Empayar British daripada kaum kulit hitam Zulu). Maka perbandingan perlu berlingkar dari segi begitu.

Beberapa pandangan filem Mansor tetap kritis, malah menggunakan aliran naturalis untuk mengupas filem-filem yang ditontonnya. Sepertimana yang berlaku dengan kritikannya terhadap Kembara Seniman Jalanan. Malah saya sendiri terkejut membaca kritikannya tentang filem Hafsham, Mekanik. Satu kupasan idealis yang sangat kritis dan relevan hingga kini.

Walaupun mungkin Mansor Puteh sudah tidak mahu dipanggil pengkritik filem, dengan terdokumentasi buku ini di pasaran, namanya sudah tertulis dalam sejarah sebagai antara pengkritik filem Melayu utama yang membawa perubahan pada bagaimana media dan penonton perlu melihat dan menilai filem mereka.

2 comments:

nawriregit said...

Fadz. ada tak maklumat atau latar belakang mengenai Mansor Puteh. Kalau ada, boleh masukkan tak.

fadz said...

salam, naw, maaf, tidak ada lah...