Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 16, 2007

Nekad- Survival Melayu Pasca Kiamat



Tajuk: Nekad
Oleh: Nazel Hashim Mohamad
Terbitan: DBP
Tahun: 2005

Sinopsis:

Tamadun perkampungan di belantara yang mula diusahakan oleh keluarga Zabil dan keluarga Salleh semakin maju. Walau bagaimanapun, bencana yang datang mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda penduduknya. Yang hidup kemudiannya berpindah untuk mencari penempatan baru.


Mereka mengembara, mencari kota kosmopolitan nenek moyang mereka dahulu yang telah ditenggelami banjir. Berbagai-bagai halangan dan dugaan yang mereka hadapi semasa mengembara itu. Halangan dan dugaan inilah yang menguji ketabahan mereka terutama pada remajanya.


Novel ini tidak sahaja bersifat futuristik, tetapi di dalamnya tertanam nilai-nilai positif secara bersahaja, seperti gigih, berani, rajin, sayang keluarga, dan mencintai alam semula jadi. Di samping itu juga, novel ini memperlihatkan kesan teknologi tinggi yang tidak terkawal ke atas kehidupan manusia dan alam sekitar.



Rasa:

Siri buku ini (sekuel pada Tekad, Pemenang Ketiga Peraduan Menulis Novel remaja DBP 1990) oleh Nazel sebenarnya sebuah novel yang "revolutionary" pada lanskap fiksyen sains tempatan. Sekurang-kurangnya tempatan.


Ia adalah antara novel SF tempatan yang mengutarakan tema "post-apocolypse", satu tema yang jarang disentuh oleh penulis tempatan (lihat di atas, DBP pun memanggilnya futuristik yang sememangnya salah).


"Post apocolypse" atau pasca kiamat (selepas kiamat) mempunyai roh dan jati yang berbeza dengan futuristik. Ia seakan satu lagi tema SF, "Dystopia" tetapi lebih menggerutu dan pesimis lanskapnya kerana mungkin "Dystopia" boleh berlaku sekarang, pada era ini (pengertian "Dystopia" secara lewa, keadaan yang tidak diingini oleh konsensus) tetapi pasca kiamat berlaku selepas satu-satu peristiwa malapetaka yang maha besar dan membunuh berjuta-juta manusia di bumi. Persoalan pasca kiamat selalunya bukan bertitik kepada kenapa 'kiamat' itu berlaku tetapi bagaimana manusia dapat menyesuaikan diri mereka pada alam yang sudah berubah corak dan lanskapnya dek 'kiamat' yang datang.


Di negara-negara maju terutamanya Jepun, tema SF ini sudah banyak dicungkil dan didekati. Ramai penggemar filem akan kenal dengan komik manga Akira dan Armageddon. Pengaruh ini, terutamanya di Jepun sememangnya tidak dapat dinafikan. Lebih-lebih lagi, masyarakat Jepun mengalami sendiri fenomena bom atom dan bagaimana mereka hidup selepas pengeboman jet bomber AS itu.


Gambaran yang selalu diberikan adalah pesimistik. Tidak ada harapan lagi untuk kemanusiaan. Perubahan kadang-kala terlalu laju untuk manusia tahani (seperti Akira). Atau manusia mengambil masa untuk memahami kemusnahan yang berlaku disekeliling mereka lalu membina kembali tamadun yang baru (seperti The Postman oleh David Brin). Apa yang penting adalah, apa yang manusia ini lakukan untuk terus hidup. Persoalannya, adakah mereka terus-menerus menghancurkan atau membina? Persoalan ini sendiri tidak boleh dijawab dengan satu "Ya" atau "Tak". Ia sendiri kompleks kerana pada setiap penghancuran adanya kewujudan baru (seperti simbiosis mesin dan manusia dalam The Matrix: Revolution) dan pada setiap pembinaan adanya penghancuran (fenomena pencemaran contohnya).


Tetapi persoalan terpenting dalam novel-novel pasca kiamat ini adalah, apa itu nilai manusia dan bagaimana bentuknya dalam senario yang serba baru. Adakah manusia boleh dikatakan manusia kerana:


(1) Nilai dan pembawaan hidup mereka bertukar selepas kiamat;

(2) Mereka tetap manusia dengan beberapa pembaharuan (kebanyakan penulis SF menyukai idea ini);

(3) Mereka masih memegang pada nilai dan pembawaan hidup mereka selepas kejadian kiamat.

Apa yang Nazel lakukan dalam siri novel ini adalah menitikberatkan idea yang ketiga (3).


Bagaimana manusia boleh "survive" dengan memegang utuh pada falsafah, nilai dan budaya mereka turun-temurun. Ini juga cuba dilakukan oleh David Brin dalam The Postman tetapi beliau memaparkan bagaimana manusia 'cuba belajar' dan mengadaptasi sesuatu yang sudah hilang ditelan gaung kiamat, sedangkan Nazel menonjolkan bagaimana manusia (di sini sekelompok orang Melayu) dengan titisan darah yang terakhir, masih memegang pada adat hidup mereka yang mereka bawa lalu diajar pada waris mereka, supaya adat dan jalan hidup mereka tidak akan ditelan zaman kiamat yang mereka hadapi, yang menakutkan mereka di kiri dan kanan.


Maka kerana itu, walaupun mungkin pembawaan Nazel dalam siri buku ini lebih mikro bentuknya, seperti gaya The Swiss Robinson oleh Johann David Wyss, ia tetap menperincikan persoalan-persoalan besar ini.


Novel pertama Nazel berutus tentang bagaimana dua buah keluarga Melayu ini mencuba untuk "survive" di belantara, melarikan diri dari kiamat yang berlaku di kota. Maka novel keduanya, iaitu Nekad berutusan bagaimana keluarga 'besar' ini yang sudah senang dengan persekitaran baru mereka di belantara terpaksa berpindah kembali kerana belantara yang diduduki diserang bah besar.


Apa yang Nazel lakukan selepas ini adalah, mengarah para wataknya untuk 'mencari kembali pusat tamadun manusia lama yang hilang'. Persoalan ini menyamai semua bentuk idea novel-novel pasca kiamat, di mana para manusianya akan cuba menyelidik kembali sejarah silam mereka. Ini penting kerana ia membawa bukti dan tanda identiti, siapa diri mereka sebenarnya dan apa erti kewujudan mereka.


Sebenarnya, dalam konteks sejarah, setiap tamadun baru yang mahu naik akan cuba mewujudkan satu pencarian perkaitan dengan tamadun-tamadun besar yang sudah lama terkubur. Dengan aktiviti ini, mereka akan menjadi 'beradab' dan punya 'jati diri'.


Lihat sahaja tamadun Rum yang meminjam dewa-dewi Yunani, teks Yunani Homer sebagai kitab klasik mereka, atau tamadun Melayu yang mengaitkan keturunan Kesultanan Melayu dengan Iskandar Zulkarnain Makedonia dalam Sejarah Melayu.


Dengan adanya kaitan (dan ini yang dilakukan oleh David Brin walaupun persepsi akhir warga pasca kiamat terhadap budaya 'mengepos' itu berubah falsafahnya), satu-satu tamadun 'baru' itu akan terutuh identiti mereka.


Nazel sebenarnya cuba melakukannya dalam Nekad. Oleh kerana pembawaan cerita ini lebih mikro, tertumpu pada aksi drama sekelompok manusia yang mengembara kembali ke kota-kota lama yang ditenggelami air, ciri 'kaitan' ini tidak dapat dilakukan. Yang berlaku hanyalah satu pengalaman 'melihat-merasa-mendengar' para wataknya pada 'benda-benda yang lama ditelan gaung kiamat'. Ia tidak membawa penyelesaian tetapi hanya 'perasaan'.


Beberapa babak dalam novel ini dilakukan dengan efektif dalam mempamerkan 'perasaan' ini, dan ini terletak dalam babak-babak akhir novel ini. Kita dapat merasa nostalgia, rasa dan sayu watak-watak tuanya dalam 'melihat kembali' benda-benda pra kiamat (seperti orang Jepun melihat kehancuran rumah-rumah mereka). Paling menarik ialah bagaimana Nazel menggambarkan tuli dan kagumnya watak-watak muda pasca kiamat melihat benda-benda lama ini. Inilah perkaitan 'subtle' yang Nazel cuba lakukan.


Mungkin perkaitan identiti ini tidak tampak jelas, tetapi kita sedar, pewaris tua inilah yang seharusnya memainkan peranan 'mengajar' pewaris muda. Memaparkan, nilai manusia (atau secara politik, survival Melayu, maka kerana itu, novel ini masih bersifat nasionalistik) yang dipegang berabad lama tidak mungkin lupus kalau terus-menerus diperturunkan pada generasi baru, walaupun badai dan kiamat yang menimpa.

No comments: