Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 16, 2007

Confessions of a Mask- Merundum Jiwa walaupun Hasil yang angkuh



Tajuk: Confessions of a Mask
Oleh: Yukio Mishima (diterjemah dalam Inggeris oleh Meredith Weatherby)
Terbitan: Panther
Tahun: 1977

Sinopsis:

Sebahagiannya memoir, sebahagiannya fantasi- ini adalah coretan awal hidup dan rasa penulis Jepun terkenal, Yukio Mishima yang melakukan hara-kiri terhadap dirinya sendiri di depan khayalak ramai pada 1970 (yang memberi inspirasi pada Paul Schrader merakamkan sebuah filem tentangnya dalam Mishima: Life in Four Chapters). Novel ini menyingkap jiwanya yang bergolak dengan pengaruh sadis, St. Sebastian, keremajaan, kelelakian, filem lama, transeksualiti, wanita dan S & M.


Memoir ini bermula dengan waktu kecilnya dan bagaimana waktu itu lagi beliau sudah sedar kuasa 'kelainan'nya. Dan kesedaran ini berlaku hingga beliau meningkat remaja waktu zaman perang dunia kedua (yang sangat mengganggunya kerana beliau sendiri mengaku, lebih mahu melihat 'chaos' dari Jepun memenangi peperangan), dan waktu beliau jatuh cinta-pertama dengan seorang gadis kampungnya.

Rasa:

Ini bukan sebuah buku yang senang dibaca (dan memang buku-buku Mishima kesemuanya agak susah untuk aku) walaupun ia hanya setebal 204 muka surat. Mungkin kerana cara Mishima menulis, beliau menulis dengan jiwanya yang bongkak dan halus. Manusia boleh saja disamakan seperti haiwan dan malaikat pada satu masa.


Novel kemarahan dan kejujuran Mishima ini memaparkan tentang siapa dirinya sebenarnya dan bagaimana Mishima menjadi Mishima yang kita jumpa dalam hasil-hasil novelnya terutama tetraloginya. Agak sedih kerana beliau mahu menjadi begitu, memilih dan mengenal kewujudannya (yang tidak boleh diubah lagi) dan di mana hakikatnya di akhirnya. Membaca buku ini, aku terasa, bahawa memang betul dan hakiki, manusia yang digelar penulis agung ini, mereka disumpah untuk hidup keseorangan hingga ke akhir hayat mereka, bukan kerana mereka tidak mahu tetapi mereka menerima hakiki itu.


Sebuah buku yang sekaligus mencuit kerana pemerhatian seksualnya tetapi juga menakutkan dan menyedihkan kerana pemerhatian pada kesedaran tentang kematian dan pengakhiran.

No comments: