Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, September 13, 2010

Ke Hulu Pun Tidak, Ke Hilir Pun Tidak

Kita tidak perlu pergi jauh.

Tanah Malaysia ini luas. Contoh keluasannya terletak kepada minda masyarakatnya, kepelbagaian perspektif dan kepelbagaian bahasa yang mereka tuturkan pada waktu-waktu dan situasi-situasi tertentu.

Kadang-kadang, kepelbagaian ini bertemu juga di satu titik, yang mana, ramai akan bersependapat dalam satu hal atau perkara, wujud di titik ini. Titik ini dipanggil konsensus atau kata sepakat, atau pandangan majoriti.

Pandangan majoriti buat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Malaysia masih tidak berubah. Masih ditakuk lama sedari Datuk Aziz Deraman selaku Ketua Pengarah DBP pada waktu itu mengangkat bendera putih apabila kerajaan meneruskan untuk membahasa Inggeriskan pembelajaran sains dan matematik di sekolah. Saat itu lagi, konsensus menganggap, Dewan Bahasa tidak menjalankan kerja "memartabatkan bahasa".

Ini ditambah lagi dengan rintihan pelanggan yang "susah" mencari majalah DBP (untuk makluman, majalah DBP kini boleh didapati di 7-Eleven seluruh Malaysia) serta buku-buku DBP, hal yang mana dipertanggungjawabkan penuh ke bahu syarikat swasta Dawama yang bergerak seperti badan kerajaan (malah beberapa badan kerajaan sekarang pun sudah bergerak pantas). Jika dijenguk baru-baru ini ke mana-mana kedai, kelihatan majalah DBP September masih kosong di rak, malah beberapa kedai buku masih mempamerkan majalah DBP Ogos. Berlainan dengan susunan majalah Milenia Muslim September yang merata di pasaran. Sikap masyarakat yang tidak tahu "siapa punya angkara" terus-menerus menuding ke pihak DBP.

nota: Untuk makluman, buku dan majalah DBP boleh dibeli/langgan melalui talian: www.dawama.com

Rujuk majalah Milenia Muslim September mutakhir, seorang pembaca hingga menyatakan majalah tersebut boleh "mengambil alih sedikit peranan Dewan Bahasa dan Pustaka yang sepatutnya bertungkus lumus untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul..."

Hal ini menunjukkan kepersisan dan keluasan pasaran majalah itu dibandingkan dengan majalah DBP (menolak perbandingan jumlah penjualan), Dewan Masyarakat contohnya.

Baru-baru ini juga, saya dihujankan kembali dengan persoalan dan rengekan saudara-mara tentang peranan DBP yang "tidak nampak" dek lemahnya dan hilangnya, sedikit demi sedikit pemartaban bahasa Melayu yang meluas kepada penduduk Malaysia.

Seorang pak cik saya, dengan lurus memaklumkan DBP perlu menjadi "penguatkuasa" supaya dapat membentengkan pemartaban Bahasa Kebangsaan.

Saya menyutujui pendapat pak cik saya itu, tetapi sekali gus menyelarnya, menunjukkan, entah berapa kali isu ini dibangkitkan, masyarakat masih tidak faham apa sebenarnya yang sedang berlaku di Malaysia.

Antara yang beliau nyatakan, menunjukkan bahasa Melayu di"ke mana-mana" buatnya:

1. Kenapa istilah-istilah seperti "cakera padat" dicipta (CD) yang menyusahkan pemikiran minda Melayu untuk menangkap maksud istilah tersebut.

2. Kenapa mengadakan istilah-istilah yang mengambil langsung daripada bahasa Inggeris, seperti "bajet".

3. Kenapa istilah, cogan kata, iklan yang salah di merata tempat di"kuat kuasakan" oleh pihak DBP?

Malah semua ini, beliau bicarakan dalam bahasa kolikual campuran Inggeris dan Melayu (saya boleh bayangkan jika kita belajar Mandarin dan Tamil, mungkin bahasa percakapan kita pun akan bercampur-baur terus dalam empat bahasa!) Sungguh kuatnya pengaruh Inggeris terhadap minda orang Melayu!

Darah saya menjadi panas pada waktu itu. Panas dan amat panas, saya terpaksa bersemangat Jebat pada pagi itu, dengan lantang dan perasaan membara untuk menjawab persoalan-persoalan itu yang buat saya, sudah banyak kali dinyatakan, terutamanya oleh Pn. Noresah Baharom, mantan Pengarah Jabatan Bahasa DBP, yang buat saya sudah menyatakan dengan kompreensif, tapi beginilah kira ceritanya. Masyarakat tetap bebal dan menyoal sekali lagi dan sekali lagi. Menyatakan kesalahan dan kerapuhan dan dan dan dan (mengambil semangai stilistik S. Othman Kelantan). Jelas sekali, jika soalan dan hal ini dilemparkan sekali lagi kepada saya, saya rasa malu untuk bekerja di tempat ini, kerana merasakan apa yang saya lakukan di sini tidak sampai dan tidak berhasil. Baik saya berhenti kerja sahaja, sebab, ya, organisasi ini bukan badan "khidmat masyarakat" per se tetapi badan perjuangan, terutamanya terhadap bahasa dan bangsa. Jika benar tidak nampak relevan dan peranannya, eloklah saya berhenti langsung kerana komen-komen klise ini sudah mencapai tahap yang amat menyakitkan.

Persoalan sebegini berlaku kerana satu sahaja, orang Melayu khususnya masih terbelenggu dengan segala yang "indah" dan "hebat" tentang bangsa lain, termasuk Inggeris, Cina, India dan kini Arab (walaupun adab orang Arab merupakan manusia paling kurang sopannya dalam dunia ini). Pak Cik saya sendiri menyatakan pengalamannya belajar bahasa Inggeris "cockney" dan betapa "bangga"nya beliau dengan bahasa Inggeris "membawanya pergi jauh". Jadi, jika kita boleh menyelusuri dan menyelami bahasa Inggeris dengan baik, kenapa susah sangat kita menyelami bahasa Melayu, membuka Kamus Dewan selalu dan menikmati kata-katanya yang indah? Inilah berlaku jika persoalan "cereka padat" yang buat saya sudahpun digunakan secara meluas masih "ditahan" di dalam minda, hanya kerana ego diri menyatakan "entah apa makna perkataan".

Mahu tidak mahu, kita perlu menyandang dan melihat keberkesanan nasionalisme dan sistem kebahasaan Indonesia yang dinamik dan teguh, walaupun sekarang kerajaan mereka cuba menyuntik para pelajarnya untuk berbahasa lebih daripada satu bahasa, seperti Mandarin dan Inggeris.

Pertamanya, bahasa pertuturan bagi kesemua etnik di Indonesia menggunakan bahasa Indonesia (iaitu bahasa Melayu, lihat, sekarang generasi mudanya sudah hilang sejarah dengan tidak mengiktiraf bahasa Melayu Riau sebagai ibu kepada penciptaan bahasa Indonesia), maka apabila satu-satu istilah yang diperkenalkan secara meluas oleh pihak media (ini termasuk singkatan!!) walau bagaimana peliknya istilah itu, atau dipinjam daripada Inggeris, secara majoritinya istilah itu akan dianggap sebagai "bahasa Indonesia" dan bukan "pelik" atau dipinjam, malah akan dimasyarakatkan secara meluas. Sila lihat apa yang berlaku di Malaysia, wujudnya dua kumpulan yang menyindir (orang kita tak habis-habis menyindir, sampai ke kubur kot mereka menyindir, termasuk Mungkar dan Nangkir mungkin) penggunaan peminjaman bahasa Inggeris/asing ke Melayu, malah ada yang menyatakan mereka "keliru" yang mana perlu dipakai.

Inilah masalah yang tercipta apabila Dr. Mahathir memperkenalkan perkataan "bajet" apabila perkataan "belanjawan" sudah sedia ada. Apabila pihak berkuasa memberi kata dua (contohnya, perkataan "glokal" oleh Najib), pihak kerajaan, termasuk DBP "terpaksa" mengikut kata, walaupun dalam senyap dan terang, kami masih menggunakan istilah yang sedia ada (contohnya kami masih menggunakan istilah Bahasa Melayu daripada Bahasa Malaysia kerana hal ini sudah termaktub dalam perlembagaan).

Sebenarnya, dengan wujudnya kepelbagaian, termasuk istilah-istilah, bukankah ini bagus? Akan teballah kosa kata kita (seperti mana bahasa Inggeris, bahasa lanun yang cepat meminjam istilah bangsa lain dan ini tidak disedari pun oleh pak cik saya yang gah dengan Inggerisnya), akan teballah tesaurus dan kayalah bahasa kita (walaupun dipinjam) dengan pelbagai kepenggunaan, selari dengan dimanisme manusia yang cepat menyerap dan mengubah cara ia melihat alam. Oleh sebab itu, DBP senantiasa mengambil jalan tengah dengan memberi laluan kepada perkataan sehodoh "bajet" ciptaan Mahathir untuk diserapkan dalam Dewan Kamus, kerana masyarakat pengipas belakang pemimpin pun (termasuk media perdana) menggunakan perkataan yang sama. Hal yang baharu jadi konsensus semua (maka bila turunnya Mahathir, baru ada suara yang hendak menyuarakan keabsahan ini dan menuduh ketidakkeprihatinan DBP "meminjam", betapa busuknya jati diri kita!)

Kemudian, kita juga diperkenalkan dengan kumpulan penulis Jalan Telawi, serta Frinjan yang dikemudi oleh Sufian Abbas dan Ruhayat X yang melihat perkembangan sastera dan bahasa Indonesia. Malah merekalah kumpulan pusat (antaranya) yang memperkenalkan istilah serta penggunaan terus perkataan Inggeris di dalam teks Melayu. Pembaharuan ini, ada yang menyokong, ada yang melihatnya sebagai satu "nafas baharu" dalam dunia kesusasteraan kita (tetapi perkembangan sebegini tidak disokong oleh Dewan Sastera), dan ada juga yang menyelarnya, tetapi pelik, mereka yang menghukumnya sekali lagi menyalahkan DBP kerana mencipta bahasa-bahasa sebegitu! Entah mana pula DBP terperosok dalam hal ini?

Memanglah saya sebagai pejuang bahasa tersinggung dengan penggunaan bahasa Inggeris yang leluasa dalam bahasa Melayu oleh mereka, tetapi saya melihatkan, jika mereka tiada, siapa lagi yang mahu memperjuangkan sastera dan bahasa kebangsaan, walau bagaimana "berbeza"nya bentuk dan sifatnya.

Malah saya percaya, orang seperti pak cik saya, serta mereka yang berada di dunia luar itu yang memandang serong terhadap DBP, tidak menjenguk pun buku dan majalah DBP yang dijual, tidak selongkar pun Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang sudah banyak menolong para penulis, editor, penterjermah dan wartawan dan tidak sedar pun dengan ucapan-ucapan Ketua Pengarah DBP setiap tahun.

Hal ini memaparkan, masyarakat kita, bukan sahaja membenci matapelajaran sejarah, tetapi memang tidak tahu akan sejarah mereka. Contohnya, apabila pak cik saya bertanya berkenaan penguatkuasaan bahasa (kita menjadi polis bahasa, begitu busuknya jati diri kita sehingga kita terpaksa depotismakan masyarakat kita untuk berbahasa kebangsaan!), tidakkah beliau tahu dengan perkembangan pihak atasan (luar DBP) yang masih menyemak dokument penguatkuasa yang sudah DBP sediakan? Tidakkah beliau tahu polemik yang masih berlaku antara bahasawan, cendiakawan serta ahli parlimen tentang perlu/tidak perlunya "polis bahasa"?

Saya sendiri merasa MALU kerana kita memerlukan "polis bahasa" untuk menyuruh/memaksa kita menggunakan bahasa yang betul sedangkan kita sendiri boleh tanamkan sikap untuk menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Tidakkah kita merasakan diri kita masih seperti anak-anak sekolah yang perlu dirotan oleh cikgu kerana berlari dalam kelas? Alangkah lemahnya jati diri kita. Saya malu dengan jiran kita seperti di Indonesia, Vietnam, Thailand, Jepun dan China yang tidak memerlukan polis untuk memusatkan diri mereka di dalam satu lagi "rejim" yang "menakut-nakutkan" masyarakat.

Patutlah sampai sekarang, kita tidak tahu beratur apabila naik bas. Patutlah. Mungkin kita masyarakat sadomachois, masyarakat yang ghairah dipukul dan ditampar untuk kepuasan.

Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober ini, saya mengesyorkan agar pejuang-pejuang bahasa sedikit bingit dan bingkas, keras terhadap pesalah bahasa. Jika Perdana Menteri kita sekali lagi merojakkan ucapannya, selar terus tanpa kemaafan, jika ada tokoh pemimpin yang mencampur-baurkan bahasa seperti makan tengah harinya, paksa dia makan ulam bahasa. Sesiapa yang di atas tidak perlu berdiam dan melihat sahaja kebiadaban para pemimpin merosakkan bahasa, dan takut untuk menegur kerana menjaga gaji (baca: perut), tidak usahlah merasa perlu duduk di atas kerusi yang penuh tanggungjawab perjuangan. Jika nasihat dan teguran sahajalah senjata bahawasan sekarang, maka nasihat dan teguranlah yang perlu dilempiaskan. Jangan sampai orang memperlekehkan lagi badan perjuangan yang tidak ada perjuangannya lagi.

7 comments:

sinaganaga said...

Kau tulis panjang. Aku malas nak baca. Tapi, aku dapat satu idea: 'Mermurtabakkan Bahasa' - bunyinya sangat sinikal. Kalau ada peluang - nak guna istilah ini, ha ha.

sinaganaga said...

Ok, dah petang, sudah ada kekuatan untuk membacanya. Tabik!

Sepatah kata saya, "Orang Melayu semakin memurtabakkan bahasa ibunda mereka!"

fadz said...

org melayu mmg suka makan murtabak. Sesuai sangat lah tu.

saat omar said...

Jangan berhenti...DBP perlukan semangat dan idea orang muda macam kau.

mukhsen_x said...

orang melayu malas, macam naga. ha ha. ha, murtabak kalau isi macam2 pon tak sedap jugak eh?

lutfi said...

Wallahua'lam bissawab

Siti Mardhiah said...

Aku suka kalu ko berhenti jah, karang aku jadi bini PM kang, aku hasut laki haku lantik terus Sufian Abas dan geng bahasa rojak jadi BOD berbunuhan betul-betul kita nantinya.