Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, March 31, 2009

Hujan Kuala Lumpur

Aku katakan padanya bahawa aku merindui hujan di Kuala Lumpur. Malah sebenarnya aku merindui ketenangan dalam diri untuk menutup mata lalu sekelip mata hilang tanpa kewujudan di antara jirim. Aku mahu jadi seperti hujan yang hanya menitik dan membentuk keterlarutan yang menerima segalanya. Aku mahu dilupakan. Aku mahu difikir: kau tidak ada apa-apa lagi.

I

Hujan di Kuala Lumpur lain dengan Kota Bharu. Di Kota Bharu, hawanya terik menyebabkan aku akan menadah tangan untuk Rahmat Tuhan agar tidak membelakangi jerih perih aku dalam membanting tulang empat keratku semata-mata untuk Tuhan. Aku memerlukan Tuhan untuk untuk segala-galanya. Aku tidak ada masa untuk memikirkan tentang diri aku, tetapi tanah aku yang perlu subur, dan kulit yang tidak rela terbakar padam.

Dan bila Rahmat Tuhan benar-benar turun, dengan deras ia turun, terus-menerus mengganas sampai aku tidak ada masa untuk memahaminya. Kadang-kala ia turun dengan lebat tanpa henti. Aku mahukan ia turun lagi agar aku dapat berpesta dan tidak bekerja. Lalu tingkap-tingkap aku buka dan membawa masuk hawa sejuk ke dalam kamar aku yang sudah lama berhaba.

II

Hari ini aku dapat merasa hujan KL sekali lagi. Dan aku seorang. Aku merasa sunyi. Hujan KL merintik senyap, kalau ia turun, beritma penggalnya. Dan alam sekeliling jadi malam. Renyainya tidak dapat aku tahan. Ia meminta kepadaku. Ia memerlukan nyanyian blues yang perlahan mendayu dengan dendangan Simone atau Moyet menghirup curut Havana melintas desir ruang. Aku hendak mendakap seseorang tetapi aku rasa jauh daripadanya, dan yang pelik lagi, aku tidak teringat Tuhan. Aku hanya teringat akan diriku yang terbuang dan akan senantiasa keseorangan, dan hilang seperti air parit yang datang membentuk alur ke entah sebuah paya yang tidak bernama. Dan peliknya, aku menginginkan perasaan itu. Aku merindui keinginan itu.

3 comments:

Mersik said...

Hujan itu seni. Nikmatilah, sebelum ia pergi...

diana afandi said...

well, this is the stuff you've been telling me huh, it's pretty cool babe!

Anonymous said...

Good, Fadli!