Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Wednesday, November 26, 2008

Seyogianya Susastera




Entri ini buat Nan,

Ada dua buah pengalaman yang kontradik mengganggu saya untuk menulis rencana ini.

Pertama, sewaktu berjalannya ekspo Bulan Bahasa dan Sastera Negara peringkat kebangsaan di Sabah, seorang mak cik menghampiri gerai kami untuk menyertai kuiz. Mak cik itu seorang Cina tempatan, bercakap dengan anak-anaknya dalam bahasa Melayu dan kadang-kadang Inggeris. Apabila melihat saya, mak cik itu tersenyum, menyatakan ekspo yang kami buat perlu sebagai pendedahan kepada masyarakat dengan bahasa Melayu baku. Mak cik itu menambah, “Bahasa memaparkan jiwa bangsa.” Perkara ini menarik buat saya kerana di Sabah, bahasa Inggeris adalah bahasa penghubung yang biasa malah lebih penting daripada bahasa Melayu (akhbar tempatan Sabah dalam bahasa Inggeris). Luahan mak cik itu menambah ciri penarik, mak cik itu menyatakan ketelusannya dengan menggunakan bahasa penuh baku semacam iklan propaganda “Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita”.

Kedua, sewaktu saya di Kemboja. Seorang kawan saya menyatakan perkara ini di depan saya tanpa silu: “Sekarang, sastera Melayu sudah statik. DBP tak buat apa-apa pun.” Saya bertanya kepadanya kenapa beliau berkata begitu. Beliau memberi dua alasan, pertama, DBP sudah berhenti menterjermah karya sastera terutamanya novel luar negara ke bahasa Melayu dan juga novel bahasa Melayu ke bahasa lain (beliau mencadangkan terjemahan siri Ceritalah Lagi kepada bahasa Inggeris), kedua, cerpen-cerpen di akhbar perdana (bahasa Melayu) sekarang sangat memualkan, masih ditakuk yang sama dan tidak ada pembaharuan (membuatnya menolak membaca akbar bahasa Melayu). Saya menjawab persoalannya satu-satu.


Pertama, saya menyatakan kepadanya bahawa terdapat institusi baru yang bertanggungjawab dalam hal penterjemahan, ITNM. Kedua, cerpen itu pilihan editor akhbar yang tidak ada sangkut-paut dengan DBP. Ya, saya mengaku konsep nilai murni telah mematahkan beberapa kekreatifan sang penulis meneroka isu lain. Akan tetapi, kita dapat lihat daripada penulisan gaya baru seperti karya Faisal Tehrani, Saharil Hasrin Sanin, S. M. Zakir, Nisah Hj. Haron dan beberapa lagi penulis muda yang membawa bentuk dan gaya baharu dalam penulisan mereka (ini ditolak oleh kawan saya sebagai masih menggunakan isi nilai yang sama). Malah, sastera Melayu tidak dirasakan mati oleh penjelmaan golongan alternatif baharu (yang selalu dikenali sebagai golongan Jalan Telawi serta kumpulan Neohikayat) yang membawa karya yang lebih getir isinya dan kadang-kala menolak moral standard mentah-mentah. Ini satu perbandingan yang lazim dan tidak mendalam.

Lalu kawan saya menyatakan dengan terus-terang bahawa mungkin adanya perubahan dan perkembangan dalam susastera Malaysia, tetapi orang ramai tidak tahu. Saya kata, ada, beberapa yang diperkatakan dalam akhbar tempatan. Di sini beliau nyatakan, “Saya tidak lagi membaca akhbar Melayu.” Rupa-rupanya, inilah trend yang sedang berlaku dalam kalangan penduduk belia-dewasa kelas menengah di Malaysia.

Trend mereka ialah, mereka banyak membaca bahan bacaan Inggeris (buat mereka, buku-buku/akhbar/majalah Melayu lapuk) dan mereka tidak memilih berita RTM dan kadang-kala termasuk TV3 (yang selalu memaparkan aktiviti kerajaan) kerana mengklasifikasikannya sebagai “propaganda”.

Saya sedar sesuatu daripada perkara ini. Seperti di dada akhbar, penyiaran laporan BBSN tidak mendapat tempat di muka depan akhbar nasional (mungkin disebabkan isu ekonomi dan politik yang sedang bergelora sekarang lebih penting daripada agenda bahasa dan sastera). Hanya akhbar Inggeris di Sabah ada melaporkannya di muka depan, oleh sebab ianya sebuah “aktiviti besar” yang berlaku di Sabah. Saya sedar ini, kerana apabila saya balik ke Kuala Lumpur, tidak ramai orang yang tahu BBSN sedang berlangsung, sedangkan seperti di Sabah, masyarakat di sana “sedar” akannya. Saya sedar, pendedahan tentang aktiviti sastera sekurang-kurangnya gagal di Kuala Lumpur, hanya sekolompok yang terpilih sahaja yang tahu akan kegiatannya.

Seorang kawan wartawan saya mengaku, menyatakan zaman ini bukan zaman Pak Said Zahari, siaran di akhbar dipengaruhi oleh pengiklanan, dimiliki oleh editor dan pemodal iklan. Maka tidak banyak organisasi besar seperti DBP yang sanggup mengeluarkan duit untuk menyiarkan satu-satu siaran kegiatan sastera. Dan itu baharu akhbar, belum buka cerita televisyen lagi.

Ini sangat berbeza dengan akhbar bahasa Inggeris di Thailand dan Indonesia. Akhbar Jakarta Post umpamanya, memperkenalkan khalayak (pelancong dan orang luar) kepada sastera Indonesia dengan menejermah cerpen tulisan penulis Indonesia ke Inggeris dan disiarkan dalam akhbarnya. Malah aktiviti dan biodata tentang penulis Indonesia disiarkan, walaupun karya terjemahan mereka kurang dalam bahasa Inggeris. Ini dapat kita lihat jarang-jarang berlaku dalam akhbar Inggeris tempatan. Siaran sastera hanya berlaku kepada penulis Malaysia yang menulis sastera bahasa Inngeris. Begitu juga dengan akhbar bahasa Melayu yang langsung tidak pernah menyiarkan tentang karya dan pencapaian Arwah Lloyd Fernando ataupun K. S. Maniam.

Kami berbincang lagi. Kami menambahkan cerita bagaimana terdapat pembahagian kelompok sastera yang sangat tampak, kumpulan sastera Melayu dan kumpulan sastera Inggeris-Malaysia, dan kedua-dua kumpulan ini selalunya susah untuk bercampur antara satu sama lain, walaupun mereka akan menafikannya secara baik. Contohnya golongan sastera Melayu kotemporari yang memasuki sebuah aktiviti sastera Inggeris akan merasa diri seperti ‘rusa masuk kampung’ apabila melihat para pengunjung menuang arak dan berbahasa Inggeris, mereka selalu menstereotaipkan golongan sasterawan Inggeris ini sebagai “elitis” dan kadang-kala, “dekaden”.

Golongan sastera Inggeris pula selalu merasakan aktiviti dan karya sastera Melayu “masih lama” dan masih berbentuk “didaktik”. Hanya beberapa sasterawan, seperti Nordin Hassan, Muhammad Hj. Salleh, A. Samad Said, Allahyarham Usman Awang dan beberapa penulis baru yang disokong.

Sebenarnya, buat saya, berlakunya tanggapan sebegitu kerana sikap kedua-dua golongan itu, yang saya berharap terisi segelintir sahaja daripada mereka, sepertimana yang saya lihat berlaku pada KL Literary Festival beberapa tahun lepas apabila golongan sastera Inggeris langsung tidak berminat memasuki sebuah seminar susastera Melayu yang diucapkan oleh Allahyarham S. Othman Kelantan.

Pertamanya, kawan saya terus-terang, bahasa apakah yang digunakan oleh Othman Kelantan pada seminar tersebut. Saya mengatakan bahasa Melayu. “Fasal itulah!” Idea yang ingin beliau sampaikan ialah, jika susastera Melayu dan lenggok dan ayunya ingin berkembang, ia perlu disampaikan dalam bahasa Inggeris di dalam seminar keInggerisan yang sebegitu. Saya juga sedar, para sasterawan, penulis sastera Melayu amat dikenali dan disanjungi oleh para sastera Inggeris kerana mereka selalu menghadiri aktiviti sastera yang dikelokakan oleh golongan sastera Inggeris ini. Pendek kata, “They mix around.”

Kawan saya memberi contoh yang baik dengan menceritakan bagaimana sebuah tempat seperti KL Pac mempunyai misi menyatukan dua golongan berbeza ini di dalam sebuah ruang. Ini boleh dilihat dalam aktiviti teater yang selalunya popular berlawan dengan serius. Perkara ini juga boleh dilihat berlaku dengan jayanya pada malam tayangan filem pendek di Maskara Shorties (lihat, penggunaan frasa Inggeris digunakan) oleh Sindiket Sol-jah, golongan sastera Inggeris dan Melayu bersama-sama menikmati filem dan karya berbahasa Melayu dan Inggeris di bawah satu bumbung.

Mungkin dengan ini, pensyarah sastera juga perlu memberi pendedahan (walaupun bukan terletak di dalam kurikulum disiplin mereka untuk berbuat demikian) kepada sastera “yang lain”, pensyarah sastera Inggeris memperkenalkan sastera Melayu kepada pelajarnya dan pensyarah sastera Melayu memperkenalkan sastera tempatan Inggeris kepada pelajarnya. Ini perlu untuk menolak pelabelan nilai peribadi terhadap satu-satu karya. Biar para pelajar yang melakukan menafsiran dan penaakulan. Biar mereka yang menilaikan.

Ini adalah kerana, terlalu ketara diperlihat di dalam budaya pembaca-penulis di Malaysia, terutamanya pembaca sastera Melayu, si pembaca akan menyokong dan menurut habis-habisan sebuah tulisan karya Melayu. Pemikiran yang kritis terhadap pembacaan karya selalunya jarang. Ini boleh dilihat dengan pengulasan para pembaca di dalam blog yang lebih menitik beratkan peringkasan, suara “perasaan” dan kuasa “hiburan”. Jika adanya ilmu dalam sesebuah novel, mereka akan mengatakan novel itu “berat” atau “sarat dengan ilmu bantu” atau terus menyanjung novel itu tanpa penelitian yang kritis dengan memberi alasan “tidak mempunyai ilmu untuk komen tentangnya”.


Sebenarnya, para pembaca tidak perlu “ilmu” untuk meneliti sesebuah karya. Ini zahir berlaku oleh sebab budaya adab orang Melayu massa yang begitu menghormati cendiakawan, merendah diri kepada “yang berilmu”, malah kadang-kadang feudalis mengikut tanggapan barat – apa-apa yang diperkatakan itu betul dan elok diikut. Mungkin sebab ini susastera Melayu agak susah untuk keluar daripada kepompong didaktisme, oleh sebab menerima falsafah bahawa karya itu sepatutnya indah dan memperkatakan sesuatu yang murni-murni sahaja (memang istilah naqli sastera itu sendiri ialah “cantik”). Kegiatan seni sastera itu dilihat sebagai menjadi “seni” pabila ada orang menentang tidak begitu diterima. Penerimaan lebih kepada “seni” itu dapat diterima masyarakat daripada “bertentang” dengan masyarakat. Oleh sebab itu, golongan sasterawan sendiri menjadikan isu besar apabila novel popular mendapat sambutan hebat, oleh sebab “penerimaan seni” novel popular lebih hebat daripada sastera “cantik” mereka. Sesuatu yang menarik untuk difikirkan.

5 comments:

fssf said...

Menulis dan mengarang adalah suatu seni dari anugerah Ilahi yang harus diperkhalayakkan dengan sewajarnya, persoalan samada khalayak mahu membaca atau tidak, itu nombor dua. Yang penting tugasan dan pelaksanaan seorang penulis tercapai apabila tanggungjawanya untuk menyebarkan dakwah atau dakyah itu telah diterbitkan. Yang kurang, hanyalah promosi sahaja, itu sahaja masalah terbesarnya. Kalau benar-benar promosi terhadap sastera serius dilakukan dengan betul, maka tentu sekali generasi masakini akan lebih mengenali pengkarya kita yang serius. Tapi itu tidak berlaku bukan?

Hanya lewat penulis terkini sahaja yang mengambil inisiatif untuk mempromosikan karya mereka sendiri tanpa menunggu penerbit melakukannya.Begitulah senario sastera di tanah air. Pun begitu, saya optimis bahawa sastera akan kembali ke kemuncaknya apabila sesuatu yang betul dilakukan dengan tepat. Dan terlebih dari itu, sebagai penulis, kita gerak sendiri, terbang dan menongkah angin monsun yang bakal tiba nanti. Jangan tunggu juragan untuk menggerakkan kapal itu agar belayar ke destinasinya. Kita buat sendiri ... sebagaimana pengkarya alternatif buat. Saya sendiri sudah melakukannya. Bayangan itu terpamer pada beberapa pengkarya serius yang karyanya diterbitkan oleh penerbit popular bukan? Kenapa itu harus terjadi? Wuallahua'lam.

sinaganaga said...

>>>Maskara Shorties (lihat, penggunaan frasa Inggeris digunakan) oleh Sindiket Sol-jah

Betul. Kerana kami ingin 'mengajak' pengkarya-pengkarya berbahasa Inggeris untuk datang bersama-sama. :)

Bunnybaby said...

Menyebut tentang kritikan, seperti kata saudara, hakikatnya kebanyakan orang Melayu masih belum begitu terbuka dan rela untuk menerima komen selain pujian.

Kritikan yang dilemparkan selalunya disalah anggap, dan berpatah balik kepada pengkritiknya, seolah-olah si pengkritik adalah si jahat yang cuba membusukkan nama pengkarya.

Acapkali juga seni dijadikan sebagai alasan berselindung. Sesiapa yang mengkritik dianggap tidak memahami seni. Maka selamanyalah masyarakat kita beku dengan pujian semata.

Wan Nor Azriq said...

Salam saudara fadz,

Saya berpendapat bahawa dbp perlu meneruskan kembali usaha menterjemahkan karya-karya luar ke dalam bahasa kita.Usaha ini tidak boleh dilepaskan atas bahu satu pihak sahaja.Malah,hakikatnya,perjuangan sastera harus dilakukan secara kolektif dan bukan diserah bulat-bulat kepada dbp.Dan dbp sendiri juga perlu aktif dalam menerbitkan semula karya-karya klasik dan moden dan memastikan karya-karya ni dijual dengan harga murah dan mudah dibeli oleh pembaca.Hikayat-hikayat yang ada sekarang sangatlah mahal seolah-olah hanya dibuat khusus untuk orang akademik.

fadz said...

fssf, setuju!

abg naga: oleh sebab itu saya menghormati wawasan abang.

Bunnybaby: Ya, ia satu tanggapan yang unik dan pelik...

Wan, ya, saya setuju. Saudara mahu menyumbang sama dalam menterjermah buat DBP? Berkenaan akan bahan hikayat, DBP sebenarnya ada, malah banyak lagi terderet di rak buku DBP, sila teliti. Tetapi saya setuju dengan pendapat saudara akan bahan "collectors item" yang diperkatakan. Orang kita belum 'elitis' lagi untuk menghargai nilai buku sebegitu- Sebenarnya pihak yg menerbitkan buku itu haruslah berfikir 'cepat', terbitkan bentuk kulit keras DAN lembut dan bukan bahan kulit keras 'buat rumah org kaya' sahaja. Masalahnya, mungkin mereka ada cadangan berbuat begitu tetapi oleh sebab 'tak terjual', mereka menolak... Sikap dan tanggapan sebegini kita perlu ubah kerana kita belum ada budaya pembaca seperti di barat di mana pembeli buku di barat menanti bahan buku kulit keras (buku baru di pasaran) sebelum ia jadi 'buku nipis' atau 'paperback'. Malah, kedai buku 'used' lebih popular kini, bukan?