Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, July 4, 2007

Konspirasi


Tajuk: Konspirasi
Oleh: Ramdan Che Hassan
Terbitan: DBP (KaryaNet)
Tahun: 2006


Sinopsis:
Adam, seorang pascasiswa di sebuah IPTA menemui satu penemuan yang bakal menggegarkan dunia sarjana serta pertalian antarabangsa seantara negara. Penemuan untuk tesis sarjananya suatu bisikan silam yang pernah didengari tetapi tidak pernah ditutur secara umum. Adam menemui sebuah kumpulan rahsia yang 'menguasai dunia'. Dan dia mempunyai misi untuk membongkarnya.

Lalu ada segolongan manusia yang akan membantunya mendedahkan kumpulan rahsia ini, dan segolongan lagi akan melakukan apa-apa sahaja untuk menghancurkan misinya serta dirinya selama-lamanya.



Rasa:
Jujur saya katakan, saya tidak dapat mempercayai bahawa novel ini adalah novel sulung penulisnya, Ramdan Che Hassan. Apa yang mengujakan saya terutamanya ialah, inilah novel, buat pertama kali, telah membuat saya tak berhenti membacanya, dari awal perenggan sehinggalah ke akhir cerita. Dan itu satu rekod yang saya sendiri tergamam memikirkan 'keajaiban' novel ini, semacam suatu ganja yang menagih, atau sebuah filem yang sangat menyeronokkan. Bagi pengulas barat, mereka memanggil 'sifat' ini sebagai "unputdownable", "thrill ride" atau "page turner". Dan Ramdan tahu bagaimana mahu mengikat pembacanya, tidak membiarkan mereka terlepas, dan terus sahaja teruja membaca dan membuak rasa 'ingin tahu' lalu memberi kepuasan terhadap pembaca yang tak terfikirkan.



Bukan itu sahaja "magic trick" yang dipunyai oleh Ramdan. Beliau juga telah berjaya membawa beberapa ilmu bantu yang berilmiah, tetapi berjaya disadurkan ke dalam novel ini dengan santai dan biasa ke dalam ceritanya. Ceritanya, aduh, mengujakan. Tidak pernah lagi saya membaca sebuah novel ngeri (thriller) yang membuat saya tertanya-tanya dan berdebar dari awal hingga akhir. Malah, bagi saya, penulis novel ini telah menyamai kehebatan penulis ngeri terulung Malaysia, Ramlee Awang Mursheed. walaupun mungkin tidak sehala dan sekata dengan beliau, Ramdan mempunyai keterujaan yang tersendiri.


Suatu perkara yang penting dalam novel-novel sebegini ialah menjaga perhatian pembaca tentang psikologi watak di dalam cerita. Ini juga sangat dibuat dengan baik oleh Ramdan. Walaupun buat saya, yang sudah banyak membaca novel-novel ngeri sebegini, saya sudah agak apa yang sudah dan akan berlaku. Saya sudah dapat mengecam, siapa yang baik atau jahat di dalam novel ini. Tetapi ini tidak membuat saya bosan terhadap novel ini. Ini adalah kerana, kepandaian Ramdan mengaitkan beberapa watak, beberapa adegan serta beberapa 'nuansa' yang ada dalam novel ini semacam sebuah filem jenayah/mafia/penyiasatan/noir/aksi Hollywood atau Hong Kong yang saya pernah tonton (dipanggil membuat rujukan atau "making reference", pengidealisasi biasa dalam novel-novel pascamoden kini), malah paling penting (seperti filem Hot Fuzz(2007) baru-baru ini), menaikkan 'par' adegan itu atau psikologi itu atau mempermainkan klise adegan itu- ini yang membuat saya terkekeh-kekeh apabila membaca novel ini. Semacam karya ini hasil daripada tim Robert Rodriguez dan Quentin Tarantino yang 'menggaru gatal' mahu menulis sebuah novel campuran genre Ian Fleming, Dan Brown atau Tom Clancy.


Ideanya sendiri baharu dan segar (walaupun mungkin ada yang mengatakan novel ini mirip novel-novel Dan Brown), membawa seorang anak jati Kuala Lumpur mengembara ke merata negara dalam beberapa hari untuk mencari tesis-tesis penting yang dapat membantunya (bukan sahaja meluluskan sarjananya!) menyelongkar rahsia sebuah pertubuhan yang merbahaya, tetapi menjumpai pelbagai persoalan seperti cinta, maruah negara dan kekuatan diri. Apa yang penting di sini ialah, bukan sahaja idea globalisme itu dapat ditawan oleh orang tempatan yang naif seperti Adam, tetapi hala tuju yang menghantui Adam di dalam perjalanannya, dan pilihan-pilihan yang perlu dibuatnya. Persoalannya tampak seperti kecil, tetapi secara didaktik, novel ini mengajar nilai sebuah patriotisme kepada sebuah negara dan bagaimana manusia cuba dan perlu menghargai tanahair tempat tumpah darah mereka. Secara tersirat, novel ini menyertai pandangan Samuel Huntington di dalam The Clash of Civilizations tentang negara-negara membangun dan rasa 'gerun' mereka terhadap globalisme dan negara maju (dan apa reaksi sosial dan politik yang mereka lakukan terhadap fenomena ini). Tetapi Ramdan telah membawa satu skop yang unik di mana Adam ini menafikan stereotaip seorang watak naif yang pesimis terhadap negara maju atau 'melawan' tamadun globalisasi yang 'menyerang' tanahairnya. Adam lebih cerdik, beliau bersama-sama (saya tidak kata asimilasi) dan bermesra dengan manusia-manusia dunia maju ini seakan mereka kawannya, dan mencapai kepercayaan mereka serta bantuan mereka. walaupun perkara ini tampak janggal, tetapi gaya dan cara Ramdan mencipta Adam dan situasi-situasi di dalam novel memberi kita keyakinan bahawa Adam dan pencapaiannya, baik yang menyiksanya atau menggembirakannya benar-benar boleh berlaku.


Malah membawa idea ini (yang juga dikira kehadapan), melakarkan Malaysia, dalam pendirian tidak berpihak mereka pada mana-mana blok dunia, menjadikan Malaysia sebuah negara kerdil yang boleh berdiri bersama dengan gergasi besar dunia tanpa rasa rendah diri atau jengkel. Malah, pendirian Adam sebenarnya dalam novel ini, secara seloroh, memaparkan persoalan kepengaruhan dari segi budaya, agama, politik, pegangan dan kenegaraan di mana Adam, dalam situasi kehilangan/pencarian/perjumpaannya, membuka pendirian Adam terhadap identitinya terhadap dunia dan dunia terhadapnya. Idea ini jarang-jarang sekali dibuat dengan senario tirai dunia dengan acuan logik dan keinginan tempatan. Maka kerana inilah, novel ini benar-benar besar tujuannya.


Ada beberapa perkara yang agak 'berlubang' secara sengaja atau tidak sengaja dalam novel ini. Pertama adalah prolognya yang bukan sahaja membuka persoalan dengan impak yang besar tentang penyerbuan dan penipuan seorang perisik perempuan, yang tidak memberi apa-apa 'clue' terhadap kewujudannya di dalam novel setebal 270 halaman ini. Ada juga beberapa adegan yang boleh dipersoalkan dan seakan-akan 'terpotong' daripada perjalanan cerita. Paling menjengkelkan ialah kekurangan sumber atau banyak jalan pintas yang digunakan oleh penulis dalam menerangkan bagaimana tesis-tesis yang dianalisa oleh Adam dapat diselesaikan dan dicapai jawapannya (tentang suatu konspirasi terbesar yang dapat menggegar keamanan dunia), bukan seperti huraian teori yang dan jitu dan memukau yang kita baca dalam novel-novel Dan Brown, Robin Cook atau Micheal Crichton. Tetapi ini bukan masalah besar terhadap perjalanan mengujakan Adam mengelilingi dunia untuk mencari satu persoalan yang menolongnya. Paling penting, Adam akhirnya menemui identitinya dan dirinya terhadap keluarga, agama, bangsa, dan dia perlu mengelilingi beberapa benua untuk mendapatkannya. Dan bukankah itu mengujakan?


Novel ini dicetak terhad. Dapatkan versi e-bukunya di http://www.karyanet.com.my/.

3 comments:

Anonymous said...

Kisah Adam ini mengingatkan saya kepada pertubuhan Freemanson.

zubin said...

hey dude, check out latest posting on www.svarnabhumi.blogspot.com

Abu Irfan said...

i. aku setuju tentang novel ini pada akhirannya, kurang memperincikan perihal pertubuhan itu sendiri. jika dibuat, tidak mustahil novel ini akan menjadi bahan kajian umum dan institusi pengajian apabila membicarakan pertubuhan yang aku sendiri pernah dengar, pernah baca, dan pernah belajar di universiti dulu. tidak dinafikan, homework yang sangat banyak perlu dibuat untuk memdedahkan profil pertubuhan ini. mungkin Ramdan perlu mengembara seperti Adam, atau lebih lagi! Hhaha.

(Sengaja tidak dinyatakan nama pertubuhan itu, spoiler kepada yang belum membaca novel ini.)

ii. mulanya, aku berkerut juga memikirkan perkaitan bab prolog dengan pertubuhan itu. setelah diteliti, aku andaikan, prolog itu adalah intro ataupun klu kepada kerja/tugasan yang menjadi rutin salah seorang watak wanita di dalam novel ini.

iii. tahniah kepada penulis novel.