Tajuk: Bintang Bukan Saja di Langit
Oleh: Hamzah Hussin
Terbitan: Penerbit UKM
Tahun: 2006
Sinopsis:
Novel ini memuatkan pengalaman peribadi Hamzah Hussin bergelumang dalam kancah perfileman Melayu era Cathay Keris di Singapura. Kehidupan anak wayang ditampilkan dengan penuh manis, pahit dan glamour. Namun, mereka juga sedar, kegemilangan yang dikecapi tidak berkekalan, kemasyhuran yang dinikmati boleh lenyap sekelip mata. Inilah dunia mereka pada suatu masa dahulu.
Rasa:
Apa yang dapat saya katakan apabila dapat membeli buku ini? Menyeronokkan dan bersyukur. Ini adalah kerana novel ini adalah legasi terakhir Hamzah Hussin kepada peminat filem Melayu, sejarawan filem serta pembaca novel sebelum Hamzah meninggalkan kita.
Idea novel ini memabawa pelbagai nostalgia dan garapan klasik tentang 'pada suata masa dahulu di singapura', di mana kita dibawa mencelah setiap pintu dan tingkap, setiap sudut dan bilik 'bintang-bintang' pujaan kita suatu masa dahulu. Gambaran mereka, cara hidup mereka, perasaan gundah mereka dilakarkan dengan penuh kejujuran, tanpa sentimentaliti atau romantik, tetapi digambarkan dengan setampak mungkin, dan kadang-kala sensasional ataupun kasar. Mereka, para-para 'bintang' Cathay Keris ini 'dibogelkan' dengan pendirian dan keinginan negatif mereka, kadnag-kala membawa simpati kita, kadang-kala mencuitkan, kadang-kala menyiksa.
Sebenarnya, novel ini ada sesuatu, lebih-lebih lagi kepada peminat atau penggemar yang ingin mengetahui 'cermin-cermin hitam' yang diselindungi oleh media selama ini tentang perangai artis-artis, pengarah filem serta pengarah studio. Hamzah Hussin semacam Capote menulis Answered Prayer. Kelainannya hanya ialah, Capote lebih berani dengan memaparkan nama kawan-kawan/kenalan yang ditulis di dalam buku itu (sehingga menyebabkan masyarakat yang terkait di dalam buku itu naik 'marah'), sedangkan Hamzah lebih 'beradab' dengan meletakkan nama samaran terhadap nama-nama watak bintang di dalam novel 'separa fiksyen' ini.
Tetapi, buat penggemar filem Melayu lama, kita sudah boleh kenal, siapa Maria Menado, Husin Hanif, Latifah Omar atau Wahid Satay di dalam novel ini. Di sini, seperti mana Capote melakukannya dalam dua novel terakhirnya, novel ini memaparkan 'bitterness' serta 'membuka tin-tin cacing' tentang kawan-kawannya dulu tanpa segan-silu dan penghukuman, semuanya mereka dibayangkan seadanya mereka sewaktu hidup. Semacam capote, seakan-akan sebelum Hamzah meninggal, arwah sudah mahu mengkhabarkan satu sisi dunia yang tidak dapat dicapai imaginasi manusia merasainya selain arwah, lalu perkara itu di'rekodkan' untuk di'tayangkan' kepada pembaca.
Tetapi novel ini bukan novel 'masterpiece' Hamzah, jauh sekali sebuah novel yang baik. Mungkin kerana ia tidak diberi masa yang cukup atau Hamzah sudah terlupa atau memang disengajakan beberapa cerita 'ditiadakan', novel ini semacam sebuah filem yang tidak cukup cerita, banyak sekali 'plot holes', melompat-lompat, semacam satu eceran yang tiada berarah dan diletakkan secara sengaja dengan idealisme 'naik muat sahaja' lalu dipanggil "ini sebuah filem".
Ada banyak perkara yang boleh diperdalamkan lagi di dalam novel ini tetapi semacam dengan sengaja Hamzah membiarkan ia tidak berlaku. Arwah tidak mencucuk apa-apa harapan, malah novel ini pesimis terhadap kehidupan orang Melayu di Singapura. Tidak ada rasa kemahuan para pembaca untuk benar-benar terikat atas mana-mana bintang di dalam novel, kerana mereka semacam ada 'merata-rata' di dalam novel ini, tidak sekata dan tiba-tiba muncul dan tiba-tiba menjerit dan menangis, ia agak susah untuk para pembaca benar-benar menyelami liku hidup golongan anak wayang ini. Maka novel ini semacam satu cerita yang tiada hujung pangkal tetapi dibiarkan berterabur maka pembaca tidak perlu peduli tentang apa yang dibacanya, hanya merasakan santai terhadap 'keteraburan' bintang yang ada dalam novel ini.
Novel ini mungkin tidak memberikan kepuasan yang sepatutnya, tetapi sekurang-kurangnya akan menjadi tempat rujukan (walaupun disangsikan kerana idea 'separa fiksyennya') bagi para penggemar filem Melayu menyelusuri asam garam bintang-bintang Jalan Ampas.
No comments:
Post a Comment