Tajuk: Kalashnikov
Oleh: Sindiket Sol-Jah (Sinaganaga, OP, Sidi Amir Mukhriz, Jigo, Vovin, Mat Jan, Spyz, Tok
Rimau, Bukunota)
Rimau, Bukunota)
Terbitan: Sindiket Sol-Jah
Tahun: 2007
Sinopsis:
sekumpulan tulisan cerpen [atau lebih pendek lagi, serpen] oleh penulis-penulis segar lagi muda tentang bukan seorang tokoh yang mencipta sebilah senapang yang menjadi kegemaran pengganas dunia, Kalashnikov.
Rasa:
Percayalah kepada saya suatu perkara ini. Hanya apabila anda sudah baca buku ini dan menyukainya baharulah anda boleh sebut K-A-L-A-S-H-N-I-K-O-V dengan baku (anda nak sebut dalam Rusia, simpan sahajalah).
Buku ini adalah himpunan 9 orang penulis (sebenarnya, beberapa daripadanya sudah pun maklum terkenal dan berjaya mengeluarkan buku, tetapi mereka bertopeng di sini, siapa pandai cuba teka siapa) blog yang menulis karya asli mereka ke dalam suatu subjek, iaitu senapang AK-47 dan apa-apa yang melibatkan dengan senapang itu. Jangan terkejut apabila anda akan membaca sesuatu yang segar, laju, seronok, selamba dan tidak kurang juga memberi kesan.
Sebagai suatu karya asli (hasil karya dalam buku ini belum diterbitkan di mana-mana lagi) oleh penulis-penulis muda ini, mereka seharusnya diberi penghormatan dan ucapan 'syabas' kerana, daripada idea, isi sehingga ke foto gambar dan susun atur buku ini, semuanya dibuat oleh mereka sendiri (dengan konsep kulit oleh sinagangaga yang sangat memikat), sungguh berbaloi. Saya menjumpainya sewaktu saya menghadiri majlis dialog pinggir di Rumah PENA. Ada seorang lelaki veteran, apabila melihat kulit buku ini, terus mencampaknya, dan berkata, "Ceh, ini punk!"
Inilah semangat buku ini. Walaupun mungkin, saya agak 'overrate' jika saya mengatakan buku ini seasli-asli 'punk'. Sebenarnya, buku ini agak sederhana dalam keberaniannya, tetapi ia tetap memberontak dan penuh dengan idea-idea kontreversi tetapi masih suci lagi beradab.
Sebenarnya, idea penciptaan buku ini sendiri sangat menarik. Kumpulan penulis dalam buku ini cuba memperkatakan sesuatu daripada imej AK-47 di kulit luar buku. Maka, dengan kebolehan dan kemahiran masing-masing, 'Kalashnikov' menjadi barang mainan kumpulan sindiket ini untuk 'melantun', 'menyumpah', 'mensatira', 'melucah' sehingga 'menyeram'kan pembaca.
(Sidi) Amir Mukhriz ialah penulis pertama, membawa 'biskut-biskut' sebelum 'santapan utama' buku ini, membawa idea 'seks dan ganas' kepada satu tingkat lain (yang anda tak akan dapat tonton dalam filem Hollywood) dengan berseloroh, bersahaja, gelap(!) dan penuh miang sehingga ke titik akhir.
OP pula membawa dekonstruksi terhadap Kombat 1511 Faisal Tehrani (atau memang sengaja di'tribute'kan kepada penulis terkenal itu) dengan memberi idea 'occidental' boleh berlaku jika manusia tahu mengembara ke zaman lampau secara literal. Hanya akhir-akhir ceritanya, saya agak tersangkut dan tidak mendapat impak (seakan bersenggama, saya tidak mencapai klimaks) yang diingini.
Selepas itu, Sinaganaga pula menulis, dengan pelbagai rencah dan sedutan tentang peperangan dan perkara-perkara yang berkait dengan itu. Ia agak menarik (kerana Sinaganaga memang terkenal dengan 'wit' dan mainan bahasanya) tetapi para pembaca boleh tersesat dalam pengolahan warna-warninya. Ini adalah kerana, Sinaganaga lebih menembak-nembak daripada betul-betul berpegang pada satu idea atau cerita. Ideanya berterabur maka pembaca mungkin akan hilang arah tuju. Ia tidak boleh disamakan dengan avant garde atau eksperimentasi yang berjaya, tetapi bolehlah dikatakan sebagai suatu 'mainan perang' untuk mata dan minda pembaca.
Vovin pula membawa suatu pembaharuan dan antara karya yang paling serius dalam himpunan tulisan buku ini. Saya boleh katakan, penulis ini bolehlah diberi peluang 'karyawan tamu' di DBP kerana tampak cara beliau menulis, ada ciri-ciri seorang sasterawan yang berkaliber. Walaupun ceritanya agak subversif (kalau pembaca dapat menangkap beberapa objek yang diutarakan), dengan pengkahiran yang bukan biasa berlaku dalam karya tempatan (lebih-lebih lagi sastera 'Islam'), ia masih punya logik dan dan dunia yang dicipta dengan penuh sindiran dan gelap, tetapi masih memberi pembaca masa untuk bernafas dan tertawa akan mainan bahasanya.
Mat Jan pula menulis sesuatu yang membuat saya meloncat dari tempat duduk saya dan menjerit, "Padaiyappa!" Walaupun sedutan-sedutan Mat Jan tampak 'berpecah', Mat Jan memang tahu menulis, malah beliau ialah raja humor kita yang kita cari-cari. Mungkin Mat Jan tidak ada elegan, dan orang akan mengatakan beliau 'lucah', tetapi tulisannya mengingatkan saya kepada Oscar Wilde dan lawak orang British yang kotor (sila tonton Little Britain). Walaupun ia kotor, ia mempunyai makna yang sangat pedas dan menyindir. Baca sahaja sedutan awal cerpennya, rasa 'sedap' ketajaman 'wit' Mat Jan akan membuka mata anda. Seorang penulis 'cult' yang akan diingati pada masa depan.
Tulisan daripada Jigo juga memikat, dan penuh makna-makna kuat. Walaupun beberapa isu yang beliau utarakan seakan sama dengan penulis-penulis sebelum (malah sedikit pop), beliau melakukannya dengan gaya beliau yang tersendiri, walaupun ada beberapa bahagian yang dirasakan beliau boleh lagi 'menguatkan' cerita, tetapi kesantaian beliau juga ialah kekuatan beliau.
Spyz pula membawa satu penggayaan cerita yang menarik, tentang seorang 'McGyver Laden jr.' yang tak kesampaian cita-citanya. Hanya mungkin, Spyz memerlukan kekuatan olahan dan bahasa seperti Mat Jan, kerana ceritanya ada, intrignya kurang sedikit.
Tok Rimau pula sebetul-betulnya perlu menjadi penulis skrip filem. Beliau tahu apa maknanya untuk membuat pembaca ternanti dan tertipu (ada gaya mainan tragedi Shakespeare di dalamnya). Hanya saya mahu sangat Tok Rimau tidak berhenti kerana sedutan tulisannya terlalu pendek bagi saya.
Akhir sekali Bukunota yang juga menjadi 'kuih alas perut' terhadap buku ini, membawa satu alegori cerita haiwan yang separa suci separa subversif yang seangkatan dengan mahaguru Mansasau atau allahyarham Malungun. Pemilihan 'katak' sebagai satira masyarakat memberontaknya (adakah beliau sebenarnya menyatirakan penulis-penulis dalam buku ini sendiri?) kena dengan ideal katak sebagai objek 'mangsa' dalam novel-novel tempatan, baik Othman Puteh, Saharil sehingga Baha Zain.
Mungkin saya mahu lihat buku ini lebih gemuk lagi, di mana penulis-penulisnya bukan sahaja diberi kebebasan menulis, tetapi kebebasan untuk mereka 'melalut' sehingga ke beberapa halaman, kerana ada tulisan yang tampak memberi 'harapan besar' terhadap pembaca, tetapi akhirnya seakan 'cligghanger' atau anti-klimaks, dan kadang-kala memerlukan lagi isi atau jalan cerita kerana ideanya memikat. Tetapi, dengan semangat yang ditunjukkan oleh sindiket penulis buku ini, ia masih berbaloi dan seronok untuk dibaca.
5 comments:
Buku-buku terbitan Sindiket Sol-Jah mana mungkin akan tebal kerana kami miskin.
ini baru betul dipanggil review...
nice one..
:-)
Kau pandai baca fikiran aku. Belerang Perang asalnya cubaan lakonlayar prequel kepada KIRI (filem pendek aku). Untuk Kalashnikov, ia dicerpenkan.
ramai yg boleh baca fikiran tokr. :)
oit.. oit.. sapa yg kata ini buku punk.
tahu tak, salah seorang daripada penulisnya adalah lepasan al-azhar?
sungguh tidak berbudi pekerti orang itu!
:)
Mantap sungguh rebiu ini
Setiap ulasan rasa mcam extended versiondari cerpen dalam buku tersebut pulak.
Saya bagi empat lampu biru!!!!!!!!!!!!!
Post a Comment